Kaherah: Mumia Mesir purba mempunyai aroma berbau kayu, pedas dan manis, menurut penyelidik yang mengambil bahagian dalam kajian baharu yang unik.
Sky News melaporkan, kajian itu, yang diterbitkan dalam Journal of the American Chemical Society, membabitkan saintis dari University College London (UCL) dan Universiti Ljubljana, Slovenia, bersama konservator serta kurator dari Muzium Mesir di Kaherah.
Mereka menggunakan gabungan ‘penghidu terlatih’ terdiri dalam kalangan manusia serta peralatan canggih seperti ‘hidung elektronik’ bagi menganalisis bau daripada sembilan mumia yang dikaji.
Penyelidik berkata, bau adalah pertimbangan utama bagi orang Mesir purba dalam proses mumia.
Bermakna walaupun 5,000 tahun kemudian, konservator secara meluas menganggap aroma itu “menyenangkan” kerana penggunaan resin dan minyak seperti pain, cedar, dan juniper.
Penemuan itu, kata penyelidik, menunjukkan bahawa bau boleh digunakan sebagai cara menganalisis mayat yang diawet dengan cara yang tidak invasif, tetapi mereka juga ingin mencari cara untuk mencipta semula bau di muzium untuk memberi pengunjung pengalaman mumia sepenuhnya.
Ketua penyelidik, Profesor Matija Strlic, berkata kajian itu memberikan dimensi baharu dalam pemuliharaan serta pemahaman mengenai bahan pengawetan mumia kuno.
“Bau mumia telah menarik minat ramai selama bertahun-tahun, namun kajian saintifik gabungan kimia dan persepsi baru sahaja dilakukan sekarang,” katanya.
Menurut Profesor Ali Abdelhalim, pengarah Muzium Mesir di Kaherah, proses mumifikasi amat penting dalam kepercayaan Mesir purba bagi memastikan jasad dan roh kekal untuk kehidupan selepas mati.
“Melalui kajian bahan dan teknik yang digunakan, kita dapat memahami lebih lanjut zaman, lokasi dan status sosioekonomi individu yang dimumiakan,” katanya.
Kumpulan penyelidik kini merancang untuk mencipta ‘landskap bau’ di muzium bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman deria ini sebagai sebahagian daripada warisan Mesir purba.
Sumber: hmetro.com.my
Recent Comments