Khalifah kelima Abbasiyah ialah Harun al-Rasyid (786-809). Di bawah pemerintahannya, Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan dalam bidang ekonomi, perdagangan, wilayah, ilmu dan peradaban Islam.

Wilayah kekuasaan Harun terbentang dari daerah Laut Mediterranean di barat hingga India di timur. Harun juga menghadapi banyak pemberontakan seperti pemberontakan kaum Khawarij. Selain seorang yang dermawan, Harun juga meminati bidang seni sebagai penyair.

Sebagai anggota keluarga istana, sejak zaman mudanya, beliau banyak terlibat dalam pelbagai urusan pemerintahan yang menjadi bekalannya kelak semasa menjadi khalifah. Pergaulannya luas, dari kalangan ulama, pakar undang-undang, penulis, seniman, hingga kalangan bukan Islam. Baginda kerap kali mengundang mereka ke istana untuk membincangkan pelbagai masalah.

Beliau sangat menghormati setiap orang dan tidak hairanlah jika baginda dikagumi sebagai tokoh lagenda.

Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan ketika dipimpin oleh Harun al-Rasyid, dan selepas itu oleh anaknya al-Amin dan al-Makmun. Pada masa itu Islam berada pada zaman keemasan. Masyarakat Islam hidup makmur. Ekonominya maju, terutama dalam sektor perdagangan dan pertanian.

Pada masa itu, ibu kota Baghdad menjadi pusat perdagangan terbesar dan paling sibuk di dunia. Pemerintah juga melengkapkan Baghdad dengan bangunan besar sebagai tempat beribadat, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.

Harun al-Rasyid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam. Beliau mendirikan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan pelbagai bidang ilmu.

Pada zaman al-Makmun, fungsi institusi ini dikembangkan lagi menjadi institusi perguruan tinggi, perpustakaan dan badan penyelidikan. Harun al-Rasyid juga menubuhkan majlis penyelidikan agama yang diselenggarakan di rumah, di masjid dan di istana.

Beliau juga sangat mengambil berat tentang ilmu perubatan, farmasi, kebudayaan, dan kesusasteraan.

Harun al-Rasyid juga tergolong sebagai seorang pemimpin yang kuat beribadat. Beliau dikatakan mendirikan solat sunat seratus rakaat setiap hari.

Beliau juga pergi menunaikan haji atau umrah sebanyak dua kali setahun dengan berjalan kaki dari Baghdad ke Mekah bersama-sama keluarganya dan ulama. Jika tidak pergi menunaikan haji, beliau menghantar kira-kira 300 orang menunaikan haji dengan biaya penuh daripada istana.

 Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada 149 H/766 M. Ayahnya ialah al-Mahdi bin Abu Jaafar al-Mansur, khalifah ketiga Abbasiyah (755-785). Ibunya bernama Khaizuran yang berasal dari Yaman.

Harun al-Rasyid mendapat pendidikan agama dan ilmu pemerintahan di istana atas bimbingan Yahya bin Khalid. Pada 779-780 dan 781-782 baginda pernah memimpin pasukan tentera untuk menyerang Byzantium.

Pada 163 H/779 M, beliau menjadi gabenor al-Saifah dan setahun kemudian (164 H/780 M) menjadi gabenor Maghribi. Pada 166 H/782 M baginda disahkan sebagai putera mahkota yang akan menjadi khalifah.

Pada 786 M, baginda menjadi khalifah Abbasiyah kelima. Baginda meninggal dunia di Khurasan pada 193 H/809 M.

Catatan: Ibnu Khaldun

Translate »