Salah seorang tokoh pembaharuan Islam yang berasal dari Mesir ialah Qasim Amin.

Gagasannya untuk meningkatkan martabat kaum perempuan di dunia Islam sudah diketahui umum. Qasim Amin dilahirkan di Tarah (sebuah desa di pinggir kota Mesir) pada 1865.

Beliau berbangsa Kurd. Walaupun keluarganya tergolong dalam keluarga yang agak kaya, namun beliau dan keluarganya cenderung memilih kehidupan yang sederhana. Beliau mendapat pendidikan rendah di Madrasah Iskandariah, Iskandariah. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Madrasah Tajhiziyah dan Universiti al-Azhar (kedua-duanya di Kaherah).

Pada 1881, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang di Universiti Montpelliar, Perancis. Sekembalinya dari sana, beliau bekerja di Dewan Perwakilan Rakyat Mesir dan sebuah badan kehakiman.

Semenjak itu, beliau menetap di Kaherah hingga ke akhir hayatnya pada 23 April 1908. Qasim Amin ialah salah seorang murid dan pengikut setia Muhammad Abduh, tokoh pembaharuan Islam di Mesir. Mereka bertemu semasa Qasim mendapat pendidikan di Universiti al- Azhar, Kaherah.

Qasim Amin menentang sistem perkahwinan yang diamalkan pada zamannya. Pada masa itu, lelaki boleh menikahi perempuan tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak. Selain itu, lelaki juga boleh menceraikan isterinya tanpa alasan yang jelas dan berpoligami tanpa menghiraukan syarat yang ditetapkan di dalam al- Quran. Oleh sebab itu, beliau berpendapat bahawa peraturan itu perlu diperbaiki.

Untuk mengangkat martabat kaum wanita, Qasim Amin menulis buku yang berjudul Tahrir al- Mar’ah (Pembebasan Wanita). Buku itu mengandungi gagasannya tentang persamaan hak antara lelaki dengan perempuan.

Menurutnya, terdapat beberapa masalah utama yang selama ini membatasi pergerakan kaum wanita, antaranya termasuklah hijab (tutup muka), pergaulan perempuan, poligami dan kebiasaan talak.

Menurut Qasim Amin, Islam tidak membezakan hak antara lelaki dengan perempuan berasal daripada adat istiadat dan kebiasaan orang Islam yang telah menyelewengkan ajaran Islam.

Menurut Qasim Amin, kaum perempuan perlu mendapat kebebasan memandangkan pentingnya kedudukan dan peranan kaum perempuan dalam masyarakat. Salah satu kebebasan yang berhak diterima oleh perempuan ialah pendidikan.

Beliau mengingatkan, apabila suatu bangsa mengabaikan pendidikan kaum perempuan, bangsa itu akan menjadi bangsa yang ketinggalan. Selain itu, perempuan merupakan pendidik utama bagi anak- anak mereka. Justeru, keciciran kaum perempuan akan mengancam masa depan generasi akan datang.

Idea pembaharuan yang dilahirkan oleh Qasim Amin mendapat kritikan dan kecaman daripada para ulama, namun beliau tetap berpegang pada ideanya. Semua kritikan dan kecaman dijawabnya dengan memaparkan hujah yang dikemukakan dalam bukunya yang berjudul al- Mar’ah al Jadidah (Perempuan Moden). Beliau mempertahankan pendapatnya tentang pembebasan kaum perempuan.

Selain perkahwinan, Qasim Amin juga prihatin terhadap masaalah hijab (segala sesuatu yang menghalangi atau menutupi aurat perempuan daripada pandangan mata). Hijab dan larangan keluar rumah bagi kaum perempuan sudah menjadi tradisi masyarakat dan dianggap sebagai sebahagian daripada ajaran Islam.

Maka masyarakat memegang teguh tradisi ini. Padahal menurut Qasim Amin, tradisi itu bukan ajaran Islam, tetapi hanyalah tradisi masyarakat. Qasim Amin menegaskan bahawa diperbolehkan bagi kaum perempuan keluar rumah untuk menuntut ilmu.

Catatan: Ibnu Khaldun

Translate »