Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta tiada mana-mana pihak menjadikan program Jalinan Muhibah Madani sempena Tahun Baru Cina di Kelang, Selangor sebagai polemik.

Ketua Pengarah JAKIM, Sirajuddin Suhaimee, berkata program yang dijadual berlangsung di dewan Persatuan Hokkien Kelang itu bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian negara.

Progam berkenaan dikatakan dianjurkan bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yayasan Pusat Hidayah (HCF) serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Program seumpama itu sudah dianjurkan Jakim setiap tahun untuk menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina, selain memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturrahim masyarakat majmuk di negara ini.

Kehadiran pemimpin beragama Islam dalam sambutan Thaipusam misalnya, pernah menjadi hal yang cukup kontroversi  sehingga menatijah sebuah pemikiran sebagai Muslim liberal dan pengamal pluralisme agama. Sedangkan kehadiran tersebut bukan menunjukkan seseorang itu sudah lupa agama asalnya, iaitu Islam. Tulis wartawan veteran, beliau pernah menziarahi sahabat bukan Islam meninggal, tetapi dirinya tidak terpengaruh dengan upacara pengkebumian sahabatnya itu.

Khalifah Umar al-Khattab, ketika memasuki Baitul Maqdis setelah tentera Islam berjaya menawannya, tidak pula bersembahyang di sebuah gereja walaupun diberikan laluan oleh pentadbir gereja. Bahkan, Umar memberikan alasan yang boleh diterima oleh pentadbiran gereja berkenaan, beliau khuatir dengan fitnah dan sangkaan buruk umat Islam apabila bersembahyang di gereja.

Dari perspektif Islam, kita boleh bersembahyang di mana-mana sahaja asalkan lokasi itu bersih dan selamat. Ia berbeza dengan bukan Islam, mereka melihat untuk beribadat ia memerlukan tempat yang khusus, sedangkan dalam Islam yang lebih diutamakan ialah niat dan kiblat ketika bersembahyang.

Itulah sebabnya bila ada bukan Islam pernah mencadangkan agar sembahyang Jumaat dipindahkan ke hari lain, hanya kerana alasan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas pada waktu itu, ia ditentang oleh hampir keseluruhan umat Islam. Cadangan itu tidak boleh diterima, dan tidak boleh dikompromikan kerana ia adalah ketetapan yang tidak boleh diubah sama sekali.

Komen pemimpin MIC, apakah perlu untuk bukan Islam mendapat kebenaran daripada JAKIM atau pihak berkuasa Islam negeri untuk menganjurkan majlis yang turut disertai oleh umat Islam atau menziarahi rakan-rakan daripada penganut Islam tatkala mereka meninggal dunia?

Pertanyaan itu, bila dilihat secara serius, ia merupakan suatu pertanyaan yang tidak wajar. Tidak wajar kerana setelah sekalian lama berada dalam komposisi penduduk berbilang kaum yang menerima Islam sebagai agama persekutuan, belum lagi memahami sensitiviti orang Islam. Maknanya, di situlah perlunya Garis Panduan, jika sesuatu majlis yang diadakankan membabitkan orang Islam, agar tidak berlaku pelbagai rempohan sosial dan budaya yang boleh dikaitkan dengan persoalan akidah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Secara literalnya pula ia boleh memberi makna, apakah orang-orang Islam tidak dibolehkan hadir menziarahi bukan Islam yang meninggal dunia? Apakah umat Islam perlu menutup pintu dan meninggalkan rumah ketika ada jiran tetangga bukan Islam meninggal dan upacara adat sedang berjalan sebelum si mati dibawa ke kubur?

Wartawan veteran dan bekas penasihat komunikasi kepada Tun Dr Mahathir (PM 22 bulan) mengulas dengan penceritaan terbuka pengalamannya. Walaupun bersekolah Inggeris, dia dapat menjaga dirinya sebagai seorang Muslim. Dia juga menziarahi rakan yang beragama Kristian meninggal, tetapi tidak menjadikan dirinya terjejas akidah.

Apakah tujuan bila ada cadangan perlukan sebuah kementerian baharu bagi masyarakat bukan Islam? Walaupun dijelaskan ia bukan berperlembagaan, tuntutan sedemikian akan terus kedengaran, kerana bukan Islam sebenarnya sedang menguji sejauhmanakah politikus Muslim mampu mempertahan atau sedia mengalah. Sudah banyak perkara yang menjadi bentuk ‘hakisan’ dalam politik di Malaysia, atas sebab perlukan sokongan bukan Melayu.

Sejujurnya, akibat kompromi dan toleransi itu menyebabkan kuasa politik Melayu semakin hilang (Firdaus Zainal, Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa, Kuala Lumpur: Ilham Books, 2024).

Alasannya, cadangan itu dianggap sebagai “satu bentuk kawalan tidak perlu” kerana ‘ia boleh menjejaskan keharmonian antara agama’. Ia merupakan satu pandangan yang cukup dangkal dan simplistik, walaupun Islam itu mudah, ia bukan boleh dipermudahkan sesuka hati.

Bekas Menteri Agama (22 bulan), yang kini adalah Timbalan Presiden Parti Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa nampaknya lebih kemas berbicara mengenai Garis Panduan.Kata Mujahid: “Sebarang penganjuran majlis agama atau upacara tertentu bagi golongan bukan Islam, jelas tidak memerlukan kehadiran mana-mana orang Islam dan jika perlu sekalipun, ia mestilah dijustifikasikan kepada orang Islam tertentu atau keperluan tertentu serta dengan mengikut adab-adab tertentu sebagai seorang Muslim, seperti mana ditetapkan dalam Fiqh hubungan Antara Agama”.

“Secara umum, seseorang Muslim berpegang kepada konsep ‘lakum dinukum wali yadin’ (Bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku). Ini bermakna seorang Muslim tidak boleh mengiktiraf, meraikan atau mengikuti mana-mana upacara ibadat bukan Islam atas apa jua alasan sekali pun.” (Berita Harian, 7 Februari 2025).

Oleh kerana persepsi muncul bahawa Garis Panduan dianggap ‘satu bentuk kawalan tidak perlu” dan “tembok penghalang hubungan antara kaum”, ia akan menjejaskan keharmonian dan mengurangkan interaksi antara kaum. Itu sahaja alasan yang digunakan, dan alasan itu nampaknya cukup berjaya untuk mengkaburkan apa sahaja peraturan, cadangan dan rencana bagi pembinaan akhlak umat Islam.

Cukup dikesalkan oleh sekumpulan panganut Islam, yang pada zahirnya mereka dianggap kelompok konservatif dan kadangkala digelar sinis sebagai otordok. Walhal, kerana kurangnya kawalan dan pembudayaan akhlak menyebabkan semakin meningkat penyertaan generasi umat Islam dalam perkara-perkara yang mungkar, akibat terdedah dengan pelbagai tidak sihat yang sebahagiannya merupakan budaya masyarakat bukan Islam.

Secara perbandingan, Islam mencetuskan pola budaya yang sangat terikat dengan ajaran Islam. Bagi bukan Islam, ada yang menganggap budayalah yang membentuk nilai ibadah dan kecenderungan agama, dan ada ketikanya, prinsip-prinsip agama dilenturkan oleh kehendak budaya. Paradigma yang cukup berbeza dan sedikit sebanyak turut mempengaruhi pemikiran segelintir umat Islam.

Sebenarnya, peraturan dan kawalan cukup berjaya membentuk jatidiri umat Islam sebelum bebas berinteraksi dengan kerencaman budaya. Bahkan dalam kehidupan masyarakat bukan Islam di beberapa buah negeri, tidak muncul sengketa dan kontroversi sebagaimana berlaku sekarang.

Di Kelantan misalnya, masyarakat bukan Melayu boleh tinggal di sekitar masjid dan surau. Mereka tidak pernah membantah setiap kali azan dikumandangkan, termasuk waktu Subuh. Namun, situasi sedemikian semakin dipersoalkan apabila kedengaran suara azan kuat dengan alasan menganggu masa tidur. Dalam bulan puasa, bukan Islam bercampur gaul dengan masyarakat Islam yang berpuasa, bukan Islam ikut menghormatinya, sehingga selagi mereka bersama, tidak ada tindakan untuk makan, minum atau merokok kerana menghormati rakan-rakan Islam yang berpuasa.

Ia berbeza dengan resam pergaulan bukan Islam di negeri-negeri yang mempunyai majoriti penduduk bukan Islam. Bahkan, dalam beberapa kes, bukan Islam menghina umat Islam berpuasa kerana puasa itu dilihat sebagai satu bentuk penyiksaan pada tubuh badan dan boleh melemahkan fizikal. Kadangkala mereka faham puasa itu sebagai bentuk ibadat, tetepi dengan sengaja mahu mencetuskan kontroversi atau provokasi.

Rempohan sedemikian semakin rancak dan bergerak dalam pelbagai cara. Termasuklah dalam bentuk penganjuran majlis, yang kadangkala tidak melihat dengan serius sensitiviti umat Islam, dan keadaan itu kemudian diterbalikkan sebagai umpan untuk mengecam bahawa rasa tidak puas hati sebagai menjejaskan hubungan antara kaum dan menyebabkan munculnya ketidakharmonian.

Kadangkala bukan Islam sengaja memancing kontroversi dengan mengecam sesuatu yang dikaitkan dengan Islam. Hal ini cukup membimbangkan dan pernah berlaku bertalu-talu ketika berlakunya pertukaran rejim pentadbiran politik negara, yakni selepas PH memenangi pilihan raya umum ke-14 (2018).

Cuba kita semak, cuba kita kembali melihat kenapa dalam tempoh beberapa hari JAKIM membuka ruang aduan mengenai pelecehan ajaran Islam, institusi berkaitan Islam, lebih 10,000 aduan telah diterima dalam tempoh seminggu. (“JAKIM terima 10,000 aduan berhubung hina agama Islam – Fuziah”, Berita Harian, 12 Mac 2019). Kenapa penghinaan terhadap Islam naik mendadak? Bukankah sebahagiannya berpunca daripada provokasi bukan Islam untuk menunjukkan bahawa Islam itu sebagai satu bentuk ajaran dan amalan yang boleh menghalang ‘cita-cita mereka’? Bukankah kerana mereka faham dan sedar, selagi umat Islam mempunyai kekuatan dari dalam diri, mereka akan terus kekal bersatu dan sukar untuk dikuasai atau kekuatan politiknya diruntuhkan?

Jadi, Islam digunakan sebagai ‘punching bag’ untuk membolehkan orang Melayu berpecah belah. Dalam keadaan orang Melayu berpecah belah itulah kuasa politik Melayu akan runtuh dan berkecai. Situasi itu benar-benar berlaku sekarang, jadi apabila ada usaha untuk membina ‘kubu’ umat Islam. Maka digunakan serangan dalam bentuk menghasilkan polarisasi kaum, dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Apakah Islam merupakan faktor perpecahan dan ajaran Islam menjurus kepada ketidakharmonian antara kaum?

Ini semua merupakan helah dan strategi. Tidak pernah ada bukti bahawa ajaran Islam menggalakkan perpecahan, walaupun secara perilaku dan pembawaan segelintir umat Islam ada budaya sedemikian. Jika kita mengkaji sejarah, kenapa Islam kekal subur di Tanah Melayu walaupun penjajah berusaha untuk merosakannnya. Islam subur dan terus kekal dalam jiwa orang Melayu kerana orang Melayu tidak banyak terkesima dengan budaya penjajah secara mutlak. Islam terus menjadi benteng kekuatan spiritual umat Islam,

Tetapi benteng itu semakin terserpih setelah berlakunya percampuran yang cukup mendesak dengan bukan Islam kerana mereka menguasai ekonomi dan sedang mengorak langkah untuk menguasai politik.

Jika situasi ini berlarutan dalam politik orang Melayu, situasi juga tidak akan berpihak kepada pemerkasaan umat Islam. Boleh sahaja diterbalikkan, apabila sesuatu rencana untuk memperkasakan umat Islam, akan didakwa boleh menyentuh ketidakharmonian antara agama, kaum dan etnik. Tidak membantu perpaduan tetapi, bila bukan Melayu menuntut sesuatu, tidak pula dilihat daripada perspektif yang sama.

Pada mereka, apa yang dituntut itu adalah kebersamaan yang wajar sebagai hak setiap warganegara. Mereka lupa kepada perjanjian moral yang dipanggil kontrak sosial, mutual understanding yang menjadi syarat utama oleh British untuk bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Mereka buat-buat lupa, persetujuan itu dirangkumkan dalam Manifesto Perikatan, yang menjadi latar pembentukan sebuah negara merdeka. Persetujuan itu sedang dirungkai dan jika boleh akan dirombak kesemuanya.

Pola perjuangan ke arah merombak dan meruntuhkan asas pembinaan negara itulah yang semakin rancak bergelut dalam politik Malaysia, yang akhirnya, benang yang ditarik dalam tepung mungkin terputus pada suatu ketika. Bentuk-bentuk serangan seolah-olah menampakkan ciri-ciri Islamofobia. Islamofobia bukan sahaja berlaku di antara barat dan Islam, bahkan antara Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Dalam satu perbahasan di Dewan Rakyat beberapa hari lalu, Presiden MCA, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong menjelaskan, perayaan Tahun Baru Cina yang disambut pada akhir bulan  lepas (29 dan 30 Januari 2025) adalah perayaan kebudayaan, bukan perayaan keagamaan. Orang Islam dijemput bersama untuk meraikannya, sama ada oleh jiran tetangga mahupun perayaan itu dibuat oleh ahli politik sebagai satu bentuk perhubungan awam, ia tetap dibolehkan, ia tidak melibatkan unsur-unsur keagamaan.

Kalau pun hadir, umat Islam tidak perlu mengambil juadah yang disediakan jika diragui status halalnya, terutama jika masakan itu ditempah daripada restoran yang tidak mempunyai Sijil Halal ataupun dimasak oleh pekerja asing yang memang kita tahu, sebahagiannya bekerja kerana dibayar gaji, juga dijadikan sebagai alat untuk mempercayai ‘kehalalan’ masakan itu.

Kisah sebegitu banyak kita tahu, adakalanya pekerja memakai ketayap, bertudung litup walhal, dalam banyak keadaan tidak pasti bahan mentah yang dugunakan dikelasifikasikan halal sepenuhnya.

Secara umumnya, Dr Abu Hafiz menyifatkan Menteri Agama “gagal sepenuhnya” dan kerana itu dicadangkan jawatan tersebut diberikan kepada timbalannya, Dr Zulkifli Hassan. Menteri Agama perlu “direhatkan” sementara atau “rehatkan selamanya pun lagi baik. Beban sangat dah dia tu.” (Malaysiakini, 6 Februari 2025).

Kata-kata itu bukan menggambarkan Menteri Agama ‘terbeban’ yang pemikiran Dr Abu Hafiz. Sebenarnya beliau sendiri yang sangat terbeban. Mungkin beliau ada agenda lain yang lebih besar daripada itu, kerana melihat dirinya paling ‘betul’ dan ‘cukup cekap’ berprestasi. Apakah prestasinya?

Apakah ukuran yang digunakan untuk melihat diri sendiri lebih baik daripada ‘orang lain’ sedangkan Islam sangat memuji sesuatu perkara dibuat secara berhemah, dengan fikiran yang mendalam dan tidak terburu-buru. Jangan ‘terbulu-bulu’, kata salah seorang pemimpin DAP pada suatu ketika bagi menggambarkan apa yang diucapkanya sangat berhati-hati dan berfikir panjang.

Berfikir dan bercakap sebenarnya sesuatu yang sangat mudah. Untuk melaksanakan apa yang difikirkan baik, ada konsekuensinya, ada pertimbangan yang perlu dihalusi, dan jika membabitkan ‘hubungan silang budaya, etnik dan agama’ ia memerlukan kebijaksanaan sebagaimana sebahagian besar umat Islam menekuni sirah Nabi Muhammad SAW dalam memimpin umat pelbagai kabilah, kaum dan agama.

Kita boleh belajar dan meneladani apa yang Nabi Muhammad SAW lakukan dalam menyelesaikan kemelut ‘sektarian’ sehinga ramai yang mengagumi baginda sebagai ‘the world changer’. (Mohamad Jebara, Muhammad: The World Changer: The Intimate Potrait, New York: St Martin Publishing Group, 2021; dan Dr Yasir Qadhi, The Sirah of the Prophet SAW: A Contemporary and Oroginal Analysis, Leicestershire, United Kingdom: Kube Publishing Ltd., 2023)

Mengenai pengharaman arak misalnya, ia tidak diharamkan semalaman, walaupun secara tegasnya Islam melarang apa sahaja makanan atau minuman yang memabukkan. Period dakwah Rasulullah SAW cukup bertahap, bermula daripada mendisiplinkan dan peneguhan iman penganutnya, sebelum mengkerangkakan sesuatu peraturan yang bersifat sejagat, atau rentas kaum dan budaya.

Katanya lagi, “Ini bukan kali pertama, menteri agama buat masalah dan lajak daripada laju. Isu logo halal yang dulu yang tengah masih dibincangkan pun dia umum sebelum dimuktamadkan.” Nampak jelas Abu Hafiz tidak memahami proses ‘jual’ dan ‘beli’ dalam kaedah komunikasi politik.

Dalam pembudayaan politik atau psikologi politik, ada istilah ‘conditioning the mind’, maka jika itu dianggap ‘lajak daripada laju’, maka apa pula yang boleh kita katakan bila Dr Abu Hafiz mendesak PMX ‘rehat’ atau ‘pecat’ Menteri Agama sedangkan PM X belum terilham untuk membuat keputusan? Beliau sebenarnya sedang membuat provokasi, atau pembulian ke atas Dr Mohd Naim, alasannya, beliau sendiri yang ‘lebih tahu’.

Saya hanya mampu membuat telahan, Dr Abu Hafiz mempunyai ‘agenda’ kerana itulah beliau berkali-kali mendesak dan cuba ‘membuli

Apakah Abu Hafiz yang mendapat pendidikan dalam bidang kajian Al=Qur’an dan Hadis itu memahami bahawa Islam juga muncul sebelum hadirnya Nabi Muhammad SAW, dan disebut dalam beberapa kitab suci agama tertentu. Apakah bayangan kelahiran Nabi Muhammad SAW beratus tahun sebelum kelahiran Baginda tidak membawa makna ‘sebelum’ sesuatu itu ‘wujud’?.

Memang Allah SWT berhak untuk melakukan apa yang Dia inginkan, tetapi apa yang digambarkan lebih awal itu sebagai sesuatu peringatan buat manusia, sesuatu yang Allah SWT mahu manusia memikirkan hal yang lebih baik daripada sekarang, masa silam dan sebagainya. Kenapa Allah SWT gambarkan mereka yang melanggar perintah-Nya akan ditempatkan di neraka, manakala yang berbuat baik dan mematuhi suruhan-Nya akan dimasukkan ke syurga?

Ertinya, Allah SWT menyeru setiap manusia berbuat baik kepada dirinya, komunitinya, persekitarannya dan dalam masa yang sama, tidak membuli, mengancam dan menghina orang lain, komuniti lain, persekitaran orang lain serta setiap makhluk yang ada. Itulah juga yang Allah SWT menjelaskan:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut denan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (surah ar-Rum, ayat ke-41).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman dengan maksud: Dan orang-orang yang menganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah menuduh secara dusta  dan berbuat dosa yang amat nyata.” (surah al-Ahzaab, ayat ke-58).

Ia mungkin Dr Abu Hafiz boleh menolaknya. Ini kerana bayangan kelahiran ‘seorang manusia’ yang akan memperbetulkan budaya masyarakat jahiliyah adalah ketentuan-Nya. Ertinya, Dr Abu Hafiz juga harus menerima bahawa Dr Mohd Naim dilantik sebagai Menteri Agama adalah ketentuan-Nya, bukan menjadi cita-cita dan permintaan dari dalam dirinya sendiri.

Allah SWT menggerakkan hati PMX untuk memilih seseorang yang berkecuali dari segi parti politik. Dr Mohd Naim bukan menjadi ahli mana-mana parti politik, sebaliknya dinilai daripada kepakaran pengetahuan dan amalan guaman Islam.

Kedua, apabila Dr Abu Hafiz berkata: penyokong kerajaan Madani selama ini cukup menentang idea ekstrem daripada pemimpin PAS. Tapi, selama mana PAS jadi menteri agama, mereka tidaklah sejumud dan ekstrem macam menteri agama yang ada di Putrajaya sekarang ini.”

Terasa sedih apabila Dr Abu Hafiz tidak cuba melihat kebenaran daripada realiti politik yang sudah berlaku. Mungkin juga Dr Abu Hafiz terlupa, pernah muncul pelbagai kontroversi apabila pemimpin PAS dilantik sebagai Menteri Agama.

Pada suatu kenyataan, oleh kerana Menteri Agama yang berasal daripada PAS, persoalan Amanat Haji (berasal daripada ucapannya di Banggul Peradung, Terengganu pada 7 April 1981) yang difatwakan sebagai sesat (dikeluarkan pada 21 Novermber 1984, dan fatwa mengenai perpecahan umat Islam yang dikeluarkan pada 15 Februari 2001) telah dikeluarkan dalam web rasmi JAKIM. (Sinar Harian, 21 Jun 2021).

Akibatnya, ramai yang beranggapan apakah kerana Menteri Agama daripada PAS berusaha untuk memadamkannya dan ‘cuba membersihkan’ fatwa amanat itu yang sekalian lama dikategorikan sesat? Itu adalah salah satu daripada ‘kegentaran umum’ yang mengapung di permukaan, tetapi Menteri Agama menafikannya ia adalah bukan berpunca daripada ‘nasihat’ atau ‘arahan’ yang diberikannya.

Mengulas mengenai ‘kehilangan fatwa’ itu, bekas Menteri Agama selama 22 bulan dalam kabinet PH 1.0. Mujahid Yusuf Rawa berkata: Tetapi sekarang (PAS) sebagai parti dalam kerajaan [Perikatan Nasional – 17 bulan dan Keluarga Malaysia 13 bulan] dan wakilnya timbalan menteri (di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal agama), tiba-tiba boleh padamkan (fatwa) begitu saja setelah para ulama dan mufti (pada masa itu) bermuzakarah…error 404.” (Malaysiakini, 23 Jun 2021).

Setakat ini, belum ada usaha daripada Presiden PAS untuk menarik balik fatwanya dan juga ada pembatalan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan. Maknanya, fatwa itu masih berkuatkuasa dan kenyataan Presiden PAS sudah meninggalkan kesan mendalam terhadap perpecahan umat Islam yang maraknya cukup hebat pada pertengahan 1980-an dan awal 1990-an. Kesannya masih berlanjutan hingga sekarang, termasuk kes yang membabitkan seorang pengajar dan penggiat PAS di Kedah semasa kempen PRU ke-15 (2022).

Hal itu mengingatkan satu lagi kontroversi yang cuba dibangkitkan oleh Abu Hafiz apabila menyiarkan kenyataan dan footage perjumpaan Menteri Agama dengan Imam Masjidil Haram semasa bersama PMX mengadakan lawatan rasmi ke Timur Tengah beberapa minggu lalu.

Ia membangkitkan konflik antara Wahabi dan doktrin Sunni yang diamalkan di Malaysia. Pada Menteri Agama yang cukup terkesan dengan bacaan ayat al-Qur’an ketika berjemaah di Masjidil Haram dan tausyiah yang disampaikan dengan penuh bersulam hikmah, dilihat sebagai satu bentuk ‘hipokrasi’.

Setakat ini, kita tidak memahami apa maksud kriminalisasi yang dimaksudkan oleh Abu Hafiz, kerana beliau hanya menulis istilah tanpa menerangkan maksudnya yang jelas. Terlalu ambiugiti atau kabur.

Apakah bentuk ‘jenayah’ yang dilakukan oleh kerajaan Madani, yang Dr Mohd Naim menjadi sebahagian daripadanya. Jika ‘kriminalisasi’ membawa makna ‘pertentangan’ atau ‘perbezaan pandangan’, mungkin juga istilah itu terpakai apabila mengatakan ‘Menteri Agama perlu direhatkan’ kerana ia mendesak PMX melakukannya.

Mendesak juga merupakan elemen ‘kriminalisasi’ kerana desakan itu membawa kepada ‘penyingkiran’ yang menurut Imam al-Ghazali patut dielakkan. Ia dikhuatiri akan menyebabkan keadaan menjadi lebih kacau.

Nampaknya anarkisme politik sedang menjadi ‘muara kemarahan’ dalam jiwa Dr Abu Hafiz, yang sepatutnya lebih faham dengan makna ‘nasihat menasihati’ yang sangat digalakkan dalam Islam, dan menasihati secara berhemah dan bertatasusila, bukan menunjukkan ‘kegeraman’ menerusi media sosial.

Nilai-nilai seperti itu jika terkumpul lama, akan menjelma tindakan radikal dan ekstrem. Islam mengharapkan penganutnya mengamalkan budaya wastiyyah, bukan melempiaskan geram dan radikalisme.

Apakah natijahnya Dr Abu Hafiz berbuat demikian, menggesa Menteri Agama dipecat atau direhatkan, serta diserahkan kepada Dr Zulkifli Hassan sedangkan PMX belum ada cadangan untuk melakukannya, bererti beliau cuba mempengaruhi PMX. Itulah masalanya, jika memilih amalan yang kadangkala tidak selari dengan prinsip Islam, hanya kerana bersandarkan ego dan penilaian sendiri yang lebih betul dan benar.

Dr Abu Hafiz mengatakan setiap daripada kita perlu ‘terbuka’ (lawan makan jumud), namun anjuran yang didesaknya mengandungi sebahagian daripada pengertian jumud, tidak benar-benar terbuka dan cuba memahami proses perpolitikan dalam berkerajaan dengan jelas dan memadai.

Benar beliau boleh bercakap lepas, berasaskan tafsiran sendiri dan bingkai pengetahuan yang digunakan, tetapi seharusnya dilihat bagaimana ‘kecerdikan’ yang dimiliki boleh pula menyimpang menjadi sesuatu yang ‘tiada adab’nya.

Menurut al-Ghazali, oleh kerana Islam ditegakkan menerusi pembinaan akhlak, maka itulah magnum opusnya, Ihya Ulumuddin cukup teliti dengan pelbagai adab yang dibolehkan (digalakkan) dan adab yang wajib dihindari (ditegah).

Kata Imam al-Ghazali, dalam kehidupan seorang Islam, adab menjadi tunjang kepada kesempurnaan iman dan memenuhi makna takwa kepada Allah SWT. Dalam kitab pertama, jilid pertama Ihya Ulumudin, al-Ghazali yang memetik pandangan Ibu al-Mubarak, bahaa ulmulah yang membezakan antara manusia dengan binatang ternakan.

“Manusia itu mulia kerana ilmu yang dimilikinya, bukan kerana kekuatan yang ada padanya, bahkan unta lebh kuat daripada manusia. Bukan kerana saiznya, bahkan gajah lebih besar daripada manusia. Bukan kerana sifat beraninya, kerana singa ternyata lebih berani daripada manusia.

“Bukan kerana kuat makannya, kerana perut seladang lebih besar daripada manusia. Malah bukan kerana kekuatan nafsunya, kerana sekecil-kecil burung pun lebih banyak mengawan daripada manusia. Bahkan manusia dicipta kerana sifat berilmunya.” (Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin: Menghidupkan Ilmu Agama, Jilid 1, Kitab Ilmu, terjemahan Mohamad Hilmi Marjunit dan Zahid M Na ser, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn Bhd., cetakan kedua, Disember 2023, hal. 22).

Maknanya, seseorang itu walaupun dikatakan berilmu dan mempunyai kelulusan yang tinggi, tidak bermakna keadabannya lebih baik daripada orang lain. Ia berlaku kerana tujuan sebenar seseorang itu mencari ilmu dan bagaimana ilmu itu digunakan, apakah untuk faedah manusia sejagat atau untuk memuaskan ego yang tidak pernah ‘merasa puas’ dan nafsu diri yang menonjol seumpama ‘enau dalam belukar’.

Ulama-ulama besar pernah menasihatkan agar menjauhkan diri daripada mereka yang berilmu yang menggunakan ilmu sebagai senjata untuk menjatuhkan orang lain secara semberono dan tidak beradab.

Jalaludin Rumi pernah menegur para ulama yang merasa loya dan jijik apabila hanya melihat parut dan kudis yang ada pada orang lain, sedangkan di diri sendiri, tidak pula merasa loya dan jijik. Dalam keadaan kudis dan kurap yang masih bernanah, jelas Jalaludin Rumi, orang itu sanggup makan sup yang dicelup tangan berkurap dan bernanah tanpa rasa loya dan jijik.

Nasihat sedemikian menunjukkan betapa galaunya seseorang yang berilmu dalam mencari kepuasan diri dan memenuhi tuntutan nafsunya sehingga sanggup menghina orang lain. Itulah fenomena intelektual yang kehilangan ‘rasa tanggungjawab’ dan mendalami roh ilmu dalam hakikat Islam dan pengertian kehidupan sebenar.

Ilmu bukan untuk dibanggakan, bukan untuk mencari kekuatan diri sendiri, tetapi memimpin ke jalan yang benar dan dimanfaatkan untuk membangun jiwa yang ikhlas, jujur dan melengkapi makna ‘kehambaan’ dalam hubungan dunia dan akhirat. Wallahuaklam.

MONOSIN SOBRI

Translate »