SESEKALI, muncul reaksi marah dan juga meluat. Sebagai seorang yang berilmu, kita sangat mengharapkan mereka akan benar-benar mampu ‘mengajar’ atau ‘membudayakan’ kita menjadi seorang baik. Baik dalam erti kata menghormati adab dan menegur kesalahan dengan tujuan mendidik, bukannya mengherdik.
Sayang. Semakin lama semakin kecamuk dunia pengetahuan yang dipegang oleh umat Islam.
Intelektualiti yang dimiliki digunakan untuk menyerang, mengecam dan jauh daripada makna ‘menegur’ dan memberi nasihat. Ia kelihatan seumpama perlumbaan melepaskan senjata ‘ilmu’ dengan harapan objek yang disasarkan ‘terbunuh.
Itu yang berlaku dalam dunia kesarjanaan umat Islam, serangan yang tidak lagi bersifat melawan dengan kerangka ilmu. Serangan berdasarkan emosi dan persepsi. Serangan berlaku dalam desakan yang menghina, dan sekaligus bertujuan menjatuhkan seperti coup de tat dalam arena budaya politik.
Saya berpandangan begitu setelah beberapa kali mendengar betapa kuatnya Dr Abu Hafiz Salleh Hudin daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) melantun guruh kebencian terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar yang diberikan tanggungjawab menjaga Hal Ehwal Agama dalam kabinet Kerajaan Madani.
Dr Mohd Naim bukan ahli politik. Dr Mohd Naim adalah professional dalam bidang perundangan syariah yang telah berjaya mendaki tangga kepengurusan undang-undang syariah sehingga dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Dari segi akademik, Dr Mohd Naim bukanlah ‘hakim kedai kopi’ atau ‘cult of amaetur’ (pinjam istilah Andrew Keen, yang meneliti bagaimana netizen yang diistilahkan sebagai keyboard warior, yang menghancurkan nilai budaya dan adab hanya kerana merasakan diri sendiri lebih bagus dan betul, walaupun sebenarnya tidak).
Dr Mohd Naim berkelulusan ijazah kedoktoran dari UKM dalam bidang syariah. Ijazah pertama dari IIUM, sarjana dari Universiti London dan diploma amalan undang-undang syariah dari IIUM. Bermula sebagai pensyarah undang-undang di IIUM dan kemudian dilantik sebagai pengamal undang-undang syariah di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan.
Tahun 1998, dilantik sebagai hakim di Mahkamah Syariah Petaling Jaya. Tahun 2001, dilantik pula sebagai hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dua tahun kemudian, dilantik sebagai penyelidik di Jabatan Kehakiman Syariah. Tahun 2005, dilantik sebagai pensyarah tamu (visiting lecturer) di UKM dan IIUM.
Dr Mohd Naim juga pernah dilantik sebagai fellow pelawat di Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, dan Harvard Law School. Beliau turut menjadi pemeriksa luar untuk ijazah kedoktoran di IIUM, UiTM dan UKM, selain sebagai professor adjunt di UiTM. Tahun 2022, setelah terbentuknya kerajaan perpaduan, Dr Mohd Naim Mokhtar dilantik sebagai Menteri di JPM, berdasarkan kepakaran dan pengalamanya dalam perundangan syariah.
Nampaknya, pendekatan dan gaya kepimpinan Dr Mohd Naim yang tidak terlalu offensive, dilihat oleh Dr Abu Hafiz Salleh Hudin sebagai kelemahan. Mungkin Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mahukan seorang menteri yang agresif, bahkan kadangkala mengambil tindakan lebih reaksioner, baharulah boleh dianggap berkesan dalam gaya dan pengurusan kepimpinan. Kadangkala, apa yang dicanangkan oleh Dr Abu Hafiz berirama salafi, seboleh-bolehnya terus bertindak keras kepada mereka yang mengecam, mengkritik dan memberikan pandangan berbeza terhadap Islam.
Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dilihat semakin galak mengecam dan mendesak PMX untuk mengganti atau memecat Menteri Agama, Datuk Sri Dr Mohd Naim Mokhtar . Sudah beberapa kali menganjurkan desakan sedemikian, sehingga kadangkala sebahagian daripada kita berfikir, apakah yang dimahukan oleh seorang pensyarah dari IIUM itu, yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Dr Abu Hafiz pernah menganggotai Parti Pejuang Tanah Air dan dilantik sebagai Ketua Pemuda Parti Pejuang. Apabila Pejuang ingin bersama dalam pakatan Perikatan Nasional, Dr Abu Hafiz keluar parti.
Alasannya: Keputusan mengutus surat secara rasmi bagi menjadi anggota komponen PN adalah berbeza dengan pendirian peribadi dan akademik saya yang melawan ektremisme, menyalahgunakan sentiment Melayu-Islam dan juga mereka cuba memusuhi segala unsur Melayu-Islam.
“Saya mengambil inisiatif peribadi mengulas dan melawan ucapan, tulisan serta apa-apa naratfif manipulasi agama-bangsa secara terbuka yang digunakan secara melampau dalam PN, terutama PAS.” (https://www.getaran.my/artikel/politik/41774/pejuang-mohon-sertai-pn-abu-hafiz-keluar-parti). Ada yang mendakwa, Abu Hafiz ada kecenderungan berpolitik, tetapi kini melakukan perjuangan politik secara solo setelah keluar daripada Pejuang (22 Mac 2023).
Kita telusuri apa yang pernah didesak oleh Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, dengan melihat apa yang didakwanya sebagai faktor yang patut Dr Mohd Naim Mokhtar meletakkan jawatan atau dipecat dan direhatkan oleh PMX. Namun, desakan-desakan solo Dr Abu Hafiz setakat ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang ‘mengancam’ dan ‘melemahkan’ kerajaan Madani, walaupun didakwanya boleh menyebabkan sokongan masyarakat awam terjejas.
Saya katakan begitu atas beberapa alasan, dengan melihat gerakan menjatuhkan kerajaan perpaduan (madani) yang dimulakan sejak di awal pembentukannya (November 2022) hingga kini telah gagal. Terbaharu, PAS memberikan indikasi, parti itu sentiasa berusaha mengelak daripada ‘terjerat’ dalam permainan politik Bersatu, yang mahu menamatkan kerajaan perpaduan (Free Malaysia Today, 15 Februari 2025).
Walaupun Dr Abu Hafiz bukan ahli PAS dan ‘bencikan PAS’, tidak bermakna menyokong Bersatu kerana beliau sendiri sudah menunjukkan ‘sikap bermusuh’ yang menjadi faktor menarik diri daripada Pejuang setelah ada cadangan bekerjasama dalam Perikatan Nasional. Beliau bergerak solo, tetapi cukup aktif menggunakan media sosial untuk menyerang, dan kadangkala cukup bernuansa politik setiap kali menyerang Dr Mohd Naim Mokhtar.
Setakat ini, Dr Mohd Naim belum menunjukkan kecenderungan politiknya. Apa yang jelas ialah beliau mengekalkan sikapnya yang neutral, tetapi cuba memperkemaskan apa yang dilihat berlaku kelompongan pengurusan hal ehwal Islam. Tentunya, kerana budaya politik di Malaysia yang rencam, penuh dengan kompromi dan prejudis tertentu, apa yang dicadangkan mewujudkan kontroversi walaupun cadangan tersebut hanya sekadar untuk kepentingan umat Islam, dan tidak mengecam atau mengkritik dan menyekat bukan Islam.
Kali pertama Dr Abu Hafiz mengecam ialah berkaitan dengan aktiviti Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISB) di atas amalan perniagaan yang melanggar undang-undang, menindas pekerja termasuk kanak-kanak dan salah etika pengurusan yang boleh menjejaskan Islam.
Kali kedua ialah mengenai RUU Mufti Wilayah Persekutuan yang bercadang menjadikan syarat Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai kerangka dasar dan pemetaan pentadbirannya. Ahli Sunnah Wal Jamaah telah diisytiharkan sebagai aliran yang disepakati sebagai aliran yang sah di Malaysia, sebagaimana tertera dalam Fatwa Majlis Kebangsaan Islam, sebagai doktrin keagamaan yang sah. Bagaimana pun RUU itu ditarik balik dan sedang dalam proses penambahbaikan serta harmonisasi.
Kecaman ketiga ialah mengenai cadangan mewajibkan Sijil Halal ke atas mana-mana entiti perniagaan makanan yang mempamerkan signage “No Pork No Lark’ dan “No Alcohol”. Cadangan itu mendapat bantahan lantang daripada MP Seputeh.
Cadangan itu disifatkan sebagai tidak munasabah, boleh meningkatkan kos pengendalian restoran dan paling dibimbangkan ialah menjejaskan ekopelancongan dalam kalangan pelancong luar. Tidak banyak pelancong luar negara yang kisahkannya, kecuali pelancong muslim yang taat. Muslim sebahagiannya hanya sekadar nama dan dilahirkan sebagai Islam dalam keluarga yang tidak ambil kisah.
Kita mungkin teringat kontroversi filem Mentega Terbang. Seorang anak yang dilahirkan dalam pasangan mualaf, yang tidak ambil kisah tentang amalan Islam akhirnya menempa sikap dan pendirian yang sama kepada anaknya. Anaknya, seorang gadis bergaul dengan pelbagai kelompok etnik, akhirnya ingin cuba makan makan yang ada ‘daging babi’, tetapi ditegur oleh rakannya, seorang remaja lelaki bukan Islam.
Muslim Malaysia juga ada yang terjebak, bahkan tidak mengendahkan sama ada premis penyediaan makanan itu halal atau tidak. Isu sebegini cukup lantang diperkatakan apabila tibanya bulan Ramadhan.
Apatah lagi bila ada iklan Bufet Ramadhan. Walaupun mahal, ramai juga umat Islam yang berpuasa menempahnya, tanpa peduli sama ada bahan dan proses penyediaan makanan itu dilaksanakan secara sah (syariat) dan halal menurut tatacara (peraturan) syariat.
Kita mungkin belum lagi lupa dengan sebuah iklan yang pernah disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris menawarkan Dim Sum Ramadhan. Istilah “Dim Sum” sangat berkaitan dengan juadah yang ada daging atau tulang babi.
Beberapa hari lalu, kontroversi makanan halal muncul lagi apabila sebuah kedai serbanika di Uiversiti Malaysa menjual sandwic cheese hamburger yang diragukan status halalnya. Kesannya, pihak berkuasa melakukan siasatan dan menemui bahawa pembekalnya tidak mempunyai Sijil Halal. Namun, pembekal makanan itu berkongsi Sijil Halal syarikat lain yang diberikan atas kapasiti bahan mentah diambil dan diproses menurut kaedah halal.
Isu itu tidak berakhir di situ, pembekal telah dibawa ke pengadilan, manakala kedai serbanika itu dikhabarkan ditutup (belum pasti sama ada sementara atau kekal). Selang beberapa hari selepas itu, ia dilaporkan disimbah cat.
Ini disindir oeh masyarakat awam ke atas pengendali kedai serbanika tersebut. Rangkaian kedai serbanika itu pernah dikecam kerana menjual stoking yang tertera “kalimah Allah” sebagai design.
Ekoran daripada itu, muncul gerakan atau kempen memboikot. Kali ini KK Mart tidak begitu terkesan berbanding dengan isu stoking “kalimah Allah”. Isu stoking telah diuruskan dengan baik. Tindakan undang-undang sudah dilaksanakan, pembekal stoking tersebut secara ’consignment’ telah didenda manakala premisnya di Batu Pahat tidak lagi menjadi tumpuan pemeriksaan.
Kecaman keempat ialah mengenai berita kunjungan Menteri Agama ke Arab Saudi. Menteri memuatnaikkan gambarnya ketika mengunjungi Imam Masjidil Haram, Syaik Dr Abdul Rahman al-Sudais.
Abu Hafiz cuba mengaitkan ‘permusuhan’ antara doktrin, Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi yang diamalkan oleh Arab Saudi. Ketika perjumpaan dan mendengar tausyiah, yang menimbulkan rasa terharu dan teruja, Menteri Agama melupakan ‘permusuhan’, yang seolah-olah dipersepsikan oleh Dr Abu Hafiz sebagai satu bentuk ‘hipokrasi’.
Tulis Abu Hafiz: Tatkala di Malaysia, Menteri Agama berhempas pulas memecat aliran Saudi dari Ahli al-Sunnah sehingga ke tahap kriminalisasi…kemudian ke sana dengan ayat-ayat sebegitu?!” dan “Moga watak dibawa Menteri Agama seperti beliau tidak lagi berterusan dalam pembinaan Negara Madani.” (http://www.facebook.com/share/p/1MDPuERF6S/).
Kecaman kelima dan terbaharu ialah cadangan Garis Panduan pembabitan umat Islam dalam tradisi perayaan atau aktiviti keagamaan bukan Islam. Bagi sesetengah pihak, Garis Panduan tersebut boleh menjadi ‘tembok’ yang menghalang keharmonian kaum masyarakat Malaysia yang terkenal majmuknya.
Kadangkala, kerana terlalu berkompromi nilai-nilai Islam semakin menjadi liberal dan tersasar daripada kerangkanya. Akhirnya, ada yang beranggapan, akibat terlalu bertoleransi – ata nama perpaduan kaum dan keharmonian – nilai-nilai Islam semakin menemui kehancuran dan jauh tergelintar.
Sayangnya, Dr Abu Hafiz tidak melihat cadangan tersebut sebagai sesuatu yang positif, tetapi lebih mencari jalan untuk mengkontroversikannya dan melihat ia sebagai kelemahan yang boleh menyebabkan reputasi seorang menteri merudum, lalu didesaknya Dr Naim Mokhtar direhatkan.
Dr Mohd Naim memiliki kepakaran pengendalian hukum syariah, sebagai pengamal dan pelaksana di peringkat tertinggi itu dicapnya pula seolah-olah tidak kompeten. Memang cukup mudah membuat dakwaan dan mengeluarkan sesuatu jalur pemikiran, tanpa melihat bagaimana sesuatu proses perlu dibuat dan apa prosedur yang wajib diikuti.
Itulah sifat lazim sebahagian besar umat Islam di Malaysia, menghukum orang lain menurut ‘kata hati’ dan bukan melihat secara lebih meluas atau pertimbangan akal yang waras. Kekal bermain dan berurusan dengan persepsi. Memang Islam itu mudah dan cukup sederhana dalam bersikap, tetapi bukan bermakna semuanya yang Islam perlu dipermudahkan dan disederhanakan hanya kerana ingin dilihat ‘harmoni’ dan tunduk kepada acuan yang dilarang secara syarie.
Kenapa Garis Panduan itu perlu? Tentunya ia berkaitan dengan pelbagai tafsiran yang muncul, baik secara politik mahupun imbangan sosial bila sesuatu aktiviti yang membabitkan umat Islam dan bukan Islam. Isu ini cukup menggambarkan provokasi politik. kerana ada politikus-ulama mengambil pendekatan bahawa umat Islam dilarang membabitkan diri dalam mana-mana perayaan dan upacara keagamaan bukan Islam. Dua kontinum pemikiran yang bercanggah dan kadangkala boleh menyebabkan konflik yang besar.
Larangan dan pandangan begitu sudah lama muncul, disebabkan politik di Malaysia cukup mudah dikeruhkan dengan doktrin halal dan haram, kufur dan kuffar, taghut dan kafir sehingga berlaku perpecahan dalam kalangan Melayu-Islam berdasarkan penjenamaan istilah parti politik dan ideologi politik.
Kita mungkin pernah dengar kenyataan pedih, yang mengatakan mana-mana orang Islam yang menyertainya, akan cenderung kepada kekufuran. Ia dikeluarkan oleh politikus yang bertentangan dengan elit politik berkuasa, apabila ada elit politik yang berkuasa hadir dalam upacara-upacara tersebut, sebagai satu bentuk keraian dan makna toleransi. Maka, muncullah pelbagai pandangan sama ada dalam kitaran siasah syariah mahupun sosialisasi fiqh.
Dalam kes Garis Panduan, muncul pandangan bahawa ianya tidak perlu. Garis Panduan boleh menyebabkan lebih banyak negatifnya, termasuk boleh menyebabkan segmentasi kaum dan agama semakin berjarak. Tetapi, pandangan itu sebenarnya terlupa, Garis Panduan itu hanyalah sebagai ‘pengingat’ dan juga pedoman yang boleh digunakan bila terasa was-was atau cuak sebaik sahaja mendapat undangan atau jemputan.
Recent Comments