Setelah mendekam dalam penjara, disoalsiasat tanpa belas kasihan (mengganggu waktu tidur kanak-kanak), Ahed dipaksa ‘mengaku bersalah’: menghalang tentera menjalankan tugas. Ahed dibenarkan menggunakan khidmat peguam. Proses pemenjaraan dan perbicaraan akhirnya menyebabkan Ahed dan Nariman dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan. Dua beranak itu dibebaskan pada 29 Julai 2018. Sepupunya Nour Tamimi (20 tahun) dibebaskan pada 6 Januari 2018 dengan ikat jamin 5,000 sekhel (sekitar RM 1,500).
Autobiografinya diterbitkan 2022, dan menerima kritikan pedas daripada akhbar Israel, sedangkan perihal ketidakadilan yang didedahkan dalam buku Gadis Palestina mendapat sambutan hangat masyarakat antarabangsa. Jesse Roberts (PUSH Tunisia) dan Jesse Locke (AMZ Production) menerbitkan filem dokumentari berjudul Radiance of Resistance (profil dua anak perempuan).
Dokumentari itu membabitkan period Ahed sebagai kanak-kanak cilik berumur 14 tahun dan Janna Jihad (Janna Jihad Ayyad al-Tamimi, juga dikenali Janna Tamimi, sepupu Ahed, yang dijoloki sebagai wartawan cilik (termuda) Palestin dan dunia, lahir 6 April 2006), berusia 4 tahun. Durasi tayangan filem itu ialah 59 minit.
Janna Jihad sebagai wartawan kerana klip video dan komentarnya yang dimuatnaikkan ke media sosial (facebook, instagram, snapchat dan youtube berbahasa Arab dan Inggeris)’cukup menggambarkan kematangannya. Komennya mengenai kaedah penyelesaian ‘dua negara’ disifatkan sebagai “very cliché – western made, without looking at the real situation” dan pertanyaan balasnya yang menempelak wartawan BBC, “where are the borders?” cukup menggambarkan kematangannya. (Yousef Eldin, “As Palestinian youths, the political process has failed us”, 13 Jun 2023 dalam https://www.bbc.com/news/world-middle-east-65812444)
Tahun 2017, dokumentari itu ditayangkan di seluruh dunia di pelbagai festival. Namun, filem itu dilarang di Singapura dengan alasan “skewed narrative”, naratif serong (songsang) yang boleh mengakibatkan ketidakhamonian masyarakat. Filem itu memenangi anugerah Dokumentari Terbaik, Festival Hak Asasi Manusia di Belfast, Ireland Utara (2017). Rakyat Malaysia dan Indonesia tahu, Singapura pernah dijolokkan sebagai pengkalan Yahudi di Asia Tenggara (Rizki Ridyasmara, Singapura Basis Israel Asia Tenggara, Jakarta: Khalifa, 2005).
Di awal pembentukannya, Singapura mengambil enam orang penasihat Israel untuk membangunkan pasukan tentera. (Mattia Tomba, editor, Beating The Odds Together: 50 Years of Singapore-Israel Ties, Singapore: World Scientific Publishing Company, 2019).
Tahun 2021, Nadav Lapid (penulis skrip dan pengarah filem Israel) mengarahkan drama berjudul Ahed’s Knee berdasarkan kisah Ahed Tamimi. (Pad Padula, “Ahed’s Knee: A Film about Israel that is as divided as its subject”, Washington Post, 3 Mei 2022, https://www.washingtonpost.com/movies/2022/05/03/ahed-knee-movie-review/ diakses 29 Disember 2024).
Buku Gadis Palestina, dibahagikan kepada empat bab utama, yakni masing-masing seorang penulis menulis satu bab. Namun, sebelumnya, dikepilkan bersama sekeping surat yang melahirkan rasa duka oleh seorang ayah, Bassem Tamimi apabila terpaksa menyambut ulang tahun ke-17 puterinya tanpa kehadiran ‘orang yang diraikan’ dan isteri.
Bassem lakukan juga, dalam sedih dan pilu, sebagai tradisi keluarga apabila anak-anaknya (semuanya empat orang: Waed Tamimi, Ahed Tamimi (puteri tunggal), Muhammad Abu Yazan dan Salam Tamimi), dengan mengucapkan ‘Selamat Ulang Tahun ke-17, puteriku, Ahed Tamimi”
Untuk menulis surat itu, Bassem berada di katil puterinya yang sudah beberapa hari tidak berpenghuni dan semasa meletakkan kepala ke bantal kecil milik Ahed, semangat perjuangan Bassem kembali segar: ‘…terisi hingga penuh oleh rasa syukur ketika mengenang kemurahan hatimu. Bagaimana mungkin semangatku tidak bangkit, ketika kaulah yang mendatangkan badai bak angin taufan ke dunia?
“Gadis kecilku yang berani, pemalu, cantik dan tegar – kemenangan cocok [sesuai benar] untukmu, sama seperti kebahagiaan pas [tepat] buatmu. Puteriku, aku benar-benar minta maaf tidak boleh melindungi dari kebusukan [kezaliman, brutal] Pendudukan [occupied, penakluk/penjajah/penjarah atau settler-colonialism dan penguasa negara haram Israel].
“Aku minta maaf telah membuat jeruk-jeruk [buah-buah di kebun] Yafa sedih dan tidak terkupas [dipetik dan dinikmati atau diproses agar tahan lebih lama], merindukan sentuhanmu. Kau di kelilingi jeruji [jeriji] besi, di tempat waktunya terhenti, tidak ada kebebasan dan cinta.
“Namun, di dalam sel tahananmu, itulah kini terletak harapanku akan masa depan yang lebih baik dan kepastian [kemenangan] kita akan meraihnya. Kau, cahaya harapanku, terkurung di penjara, yang dibangun di atas reruntuhan Imm Khaled, di dekat pantai laut kita. Imm Khaled yang sama, yang disingkirkan gara-gara etnisnya [etnik] oleh tentera yang kau tampar.
“Ahed, sel tahananmu, setengah perjalanan ke Haifa, di rute [jalan] yang suatu hari kelak akan kita tempuh kembali. Di sana aku membayangkan diriku bersamamu, suaraku menggema di balik dinding-dinding – Ahed…Ahed..Ahed…Puteriku. untaian [belahan] jiwaku – biar setiap tahun kau bersinar semakin terang dengan kebenaran yang kau simpan di dalam dirimu. Biarlah setiap tahun kau menjadi semakin kuat, semakin riang, dan sekukuh batu-batu karang yang menahan amarah [gelora] laut.” (Gadis Palestina, hal, 9-10).
Walaupun sedikit kecewa dengan penangkapan puteri tunggalnya, Bassem tidak pernah menyesal dengan tindakan dan perlakuan Ahed. Sebaliknya, berbangga kerana Ahed hadir sebagai seorang yang cukup kental semangat dan keinginan untuk bersama bersolidariti membebaskan tanah leluhur daripada cengkaman peneroka-penjajah, yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Ahed menjadi gadis kedua yang bersedia bangkit ‘melawan’ (nonviolent, bukan seperti mana dilakukan oleh Leila Khaled, terbabit dengan rampasan pesawat pada tahun 1969) dan menyertai aktiviti melawan ‘peneroka penjajah’ yang pada akhir buku Gadis Palestina, Manal Tamimi, ibu saudara dan peguan hak asasi Nabi Saleh menulis:
“Perempuan pada saat ini, sama seperti yang mereka lakukan selama dekad-dekad terakhir, tidak akan meminta pendapat dan persetujuan kalian [orang/pihak lain] untuk berpartisipasi [mengambil bahagian atau menyertai] dalam melindungi negara mereka. Mereka akan berdiri dengan menggunakan kaffiyeh dan hijab.
“Mereka akan berdiri melawan ketidakadilan dan berjuang untuk kemerdekaan. Namun, aku akan menyerahkan kata-kata terakhir kepada Ahed:
“Saat ini ketidakadilan terjadi di seluruh dunia. Kita harus memperluas perjuangan kita untuk satu sama lain, demi mengakhiri semua ketidakadilan dunia. Kita semua adalah korban dari semacam pendudukan. Kita tidak akan membiarkan siapa pun menderita sendirian.” (Gadis Palestina, hal. 226).
Pada bab terakhir, Manal menulis “Kaum Perempuan dan Perjuangan Untuk Kemerdekaan Palestin” dengan huraian yang cukup bermakna, berdasarkan pengalamannya sendiri, sebagai seorang peguam dan tahanan tanpa bukti yang kukuh oleh IDF. Sehingga penulisan buku tersebut dibuat, Manal sudah tiga kali dipenjarakan dan dua orang anaknya, Osama dan Muhammad berada di penjara sejak Januari (2018), yang berkemungkinan akan dijatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga empat tahun.
Beliau turut dianggap sebagai ‘supermom’ kerana pembabitannya dalam aktiviti menuntut ketidakadilan bersama suaminya, Bilal. Bilal adalah seorang wartawan, bekas jururakam video, aktivis Fatah semasa Intifada pertama dan bekerja sebagai pereka grafik di Kementerian Kesihatan Awam PA. Bilal juga telah beberapa kali merengkok di dalam penjara dan dikenakan perintah tahanan pentadbiran oleh IDF. (https://www.aljazeera.com/features/2017/8/23/how-to-be-a-palestinian-supermom).
Nariman al-Tamimi, ibu Ahed Tamimi dan isteri Bassem Tamimi juga seorang ‘supermom’. Pada mereka (Manal dan Nariman), tidak ada semangat putus asa, menyerah atau gentar dengan setiap ketidakadilan yang mereka hadapi. Semakin kuat ditekan, semakin bersemangat untuk berlawan, dan perlawanan sudah mendarah daging sejak Israel berdiri sebagai negara haram.
Nariman terus membesar, mendidik dan meniup semangat juang dalam diri anak-anaknya, biarpun pada masa-masa sukar, termasuk ketika ‘kehilangan suami’ akibat penahanan yang tidak kurang daripada 10 kali (kebanyakannya tidak dibicarakan dan disabitkan melakukan jenayah). Seperti dirakamkan oleh Ben Ehrenreich, wartawan bebas yang pernah bersama Bassem Tamimi, dan bermalam di Nabi Salleh, Bassem Tamimi (lahir 1967, tahun di mana Israel menduduki Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur, Gaza, Semenanjung Sinai dan Bukit Golan):
“…merupakan ketua gerakan protes di Nabi Saleh, sebuah kampung kecil yang terletak kira-kira 25 minit perjalanan di bahagian barat laut Ramalah. Sudah lebih setahun lamanya [Ben Enhrenreich mula tiba di Tebing Barat pada 15 Mac 2011] penduduk Nabi Saleh mengadakan perarakan setiap hari Jumaat selepas solat Jumaat.
“Dan, setiap hari juga, askar-askar Israel akan cuba menghalang mereka dengan menggunakan gas pemedih mata, grenad pegun dan peluru bersalut getah.
“Dalam keadaan kelam kabut di medan al-Manara petang itu, anehnya Bassem kelihatan tenang dan terasing, seolah-olah wajah panjang dan mata birunya sedang melihat dunia lain dan bukannya keadaan kelam-kabut di sekeliling kami.
“Apabila difikirkan semula, saya rasa ada beberapa sebab kenapa dia berkeadaan begitu, ataupun mungkin juga dia cuma penat. Sudah beberapa hari dia tidak pulang ke rumah, “Saya sedang diburu”, jelasnya, sambil tersenyum sedih. (Selagi Bernyawa, hal.14).
Kakak Bassem, meninggal pada tahun 1993 apabila seorang penterjemah (memakai uniforn tentera) di Mahkamah Tentera Israel di Ramalah menolaknya sehingga terjatuh tangga. Akibat terjatuh, lehernya patah. Kakaknya ke situ untuk melawat anaknya, Mahmoud, yang berusia sekitar 12/13 tahun yang sedang ditahan.
Ketika itu, Bassem berada di penjara. Bassem dituduh bersama-sama tiga orang penduduk Nabi Saleh membunuh seorang peneroka haram Israel bernama Chaim Mizrahi berdekatan Beit El, di luar Ramalah. Semasa disoalsiasat, seorang penyiasat (Shin Bet atau Shabak) menggoncangkan kepala Bassem dengan kuat dan berterusan, menyebabkan Bassem pengsan.
Beritahu Bassem: “otak saya berkocak-kocak dalam kepala” dan “saya rasa seperti kepala saya hendak meletup, sangat sakit”. Setelah sedar, Bassem berada dalam keadaan lumpuh dan berjahit 63 jahitan di kepala. (Selagi Bernyawa, hal. 15-16)
Secara keseluruhannya, sehingga buku Selagi Bernyawa selesai ditulis (diterbitkan pertama kali pada 2016), Ben Ehrenreich menyatakan:
“Bassem telah menghabiskan tiga tahun daripada hayatnya dalam penjara Israel tanpa sekalipun disabitkan kesalahan jenayah”
Isterinya, Nariman al-Tamimi, ‘telah ditahan pada tahun 2010 semasa tunjuk perasaan yang kedua, dan ketiga” dan menurut Bassem, “anak lelaki saya yang berusia 13 tahun cedera, isteri saya pula cedera akibat peluru bersalut getah, dan anak lelaki kecil saya, yang baru berusia tujuh tahun, telah tercedera akibat peluru getah dan gas pemedih mata”. (Selagi Bernyawa, hal. 17)
Menurut Manal Tamimi, yang pernah tiga kali ditangkap (dan dipenjarakan) dan dua kali ditembak dengan peluru bersalutkan getah, walaupun peranan perempuan dalam intifadah kedua berkurangan berbanding intifadah pertama:
“…rakyat Palestin telah bangkit melawan ketidakadilan, pendudukan, penindasan, penahanan pentadbiran, pengangguran dan keadaan kehidupan yang sukar.”
Tambah Manal, “Tentu saja peranan heroik yang dimainkan perempuan oleh perempuan Palestin dalam pemberontakan bukanlah awal barisan mereka dalam sejarah rakyat Palestin dan revolusinya.
“Semenjak awal pendudukan Palestin, kaum perempuan telah, dan terus memainkan peranan penting bersama kaum lelaki di setiap lokasi dan waktu. Perempuan Palestin memainkan peranan utama dalam perjuangan itu lewat segala bentuk aksi lokal dan nasional.
“Mereka juga berjuang, sebagai ibu, dalam membesarkan anak-anak mereka untuk menghadapi cabaran itu. Kami terlibat dalam organisasi pelajar dan organisasi perempuan. “Namun, yang terpenting, perempuan berada di garis hadapan massa nasional di dalam Palestin yang diduduki. “
Dengan semangat yang kuat, tekad yang satu, Manal menjelaskan: Di desa ini (Nabi Saleh), kaum perempuan telah memainkan peranan utama:.
“Semenjak awal, sangatlah penting bagi mereka untuk mengambil bahagian dalam semua kegiatan, kerana kami adalah komuniti kecil dan seluruh desa adalah satu keluarga, jadi ini membuat kami bersatu, dan menjadi komuniti yang sangat kuat.
“….Itulah sebabnya kaum perempuan mengambil peranan sangat penting dan hampir sepanjang waktu kami berada di garis depan. Aku berada di garis depan dalam protes, bersama para perempuan lain di desa…..
“Namun, ketika aku berada dalam protes-protes di Nabi Saleh, aku juga merasa aman kerana di kelilingi oleh orang-orang yang dekat denganku, ada suamiku, saudara laki-lakiku, anak lelakiku, bapa saudaraku, sepupuku. Aku khuatirkan mereka, tetapi pada saat yang sama aku tahu, begitu sesuatu yang buruk menimpaku atau salah seorang dari kami, kami semua akan langsung menolong.
“Namun, sebagai perempuan, kami menghadapi hal yang sama dengan yang dihadapi kaum lelaki, iaitu ditangkap, ditembak, atau bahkan dibunuh. Kami setara dengan kaum lelaki, tetapi jika suami ditangkap atau cedera, perempuan menjadi ketua keluarga, dia menafkahi keluarga jika suaminya cedera, dan dia juga harus sangat kuat untuk menangani situasi.” (Gadis Palestina, hal. 215-220).
Di tengah-tengah kesukaran, halangan dan tanggungjawab itulah perempuan muncul sebagai ‘pemberani’ dan kadangkala melebihi tindakan para aktivis lelaki. Rentetan kebangkitan gadis dan perempuan muda mula menjadi tumpuan masyarakat dunia setelah mereka menjadi pemberani bukan sahaja di media sosial, bahkan di medan perlawanan sebagaimana dimulai pada tahun 2015, oleh Dalia Nassar, seorang pelajar Universiti Berziet.
Dalia lahir dan dibesarkan dalam keluarga Kristian. Pembabitannya dalam ‘melawan tirani Israel’ melangkaui batas agama, walaupun sebahagian masyarakat mengaitkan masalah dan perjuangan Palestin sebagai perlawanan atas faktor agama. Ini tidak dapat ditolak total, kerana sebahagian besar masyarakat Palestin adalah beragama Islam. Namun, dalam perlawanan tirani Israel, penganut Islam dalam kebanyakan pertembungan turut disertai oleh penganut Kristian. Cukup ramai penganut Kristian dibunuh kejam oleh tentera dan peneroka haram Israel. (Gary M Burge, Whose Land? Whose Promise? , 2003; dan Tim Wallace-Murphy, The Genesis of a Tragedy: A Brief History of the Palestinian People, 2016).
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments