Ariel Sharon (1928-2014) adalah Perdana Menteri Israel ke-11 (Mac 2001-April 2006) dan sebelumnya adalah Menteri Pertahanan (1981-1983); Menteri Pertanian (1977-1981); Menteri Perumahan dan Pembinaan (1990-1992); Menteri Luar Negeri (1998-1999); Menteri Penyerapan Imigran (2001-2003); Menteri Infrastruktur Kebangsaan (1996-1999); Menteri Industri dan Perdagangan (2002-2003); dan Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Agama (2003). Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang ganas, kejam dan tidak berperikemanusiaan; sikap serta perangainya diwarisi kepada Benjamin Neetanyahu.
Israel menamakan Ariel Sharon sebagai negarawan dan ‘hero perang’ sedangkan Palestin bersama masyarakat antarabangsa (Human Right Watch) meletakkannya sebagai ‘penjenayah perang’. Ariel Sharon yang pernah memimpin Haganah, tidak pernah berhenti berperang dan membunuh sejak tahun 1947, dan berkata:
“We had become skilled at finding our way in the darkest nights and gradually we built up the strength and endurance these kind of operations required. Under the stress of constant combat we drew closer to one another and began to operate not just as a military unit but almost as a family…[W]e were in combat almost every day. Ambushes and battles followed each other until they all seemed to run together.” (Ariel Sharon & David Chanoff, Warior: The Authobiograohy of Ariel Sharon, New York: Simon & Schuster, 2001, hal. 41 dan 44).
Puncak daripada penjarahan itu telah menjadikan bumi Palestin semakin tidak lagi dimiliki oleh orang Arab-Palestin, dan Israel tidak pernah mematuhi apa sahaja undang-undang yang ditetapkan oleh masyarakat dan organisasi antarabangsa, kecuali undang-undang atau resolusi yang menyebelahi (menghalalkan) kejahatannya. Israel menjadi semakin gila dan brutal, kekejamannya dipertahankan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, atas alasan ‘menjamin keselamatan’ dan ‘mempertahankan diri’.
Atas mitos itulah menyebabkan sekutunya terus mengisytiharkan sebarang penentangan oleh Palestin sebagai ‘pengganas’, dan ‘pengganas’ mesti dihukum berdasarkan pertimbangan undang-undang tentera, termasuk kanak-kanak dan wanita. Ilan Pappe dan Roger Garaudy berjaya memperkatakan mitos-mitos mengenai penubuhan negara haram Israel dengan cukup tegas, melangkaui apa yang difikirkan oleh pemimpin Israel.
Sebelumnya, Gary M Burke membuktikan bahawa Zionis telah melanggar makna ‘janji Tuhan’ terhadap ‘tanah yang dijanjikan’. Israel telah melanggar syarat janji yang ditetapkan dalam perspektif Perjanjian Baru yang menjadi pegangan umat Kristian. Antara pelanggaran ialah tindakannya yang jahat sedangkan Tuhan menawarkan ‘tanah’ tersebut untuk mereka saling hidup dalam persefahaman walaupun berbeza kepercayaan. (Ilan Pappe, Ten Myths About Israel, London: Verso, 2017; Roger Garaudy, Mitos Dalam Penubuhan Israel Moden, K.Lumpur: ITBM-IIUM, 2022; dan Gary M Burke, Whose Land? Whose Promise?: What Chritians Are Not Being Told About Israel and the Palestinians, Cleveland, Ohio: Pilgrim Press, 2004 (edisi kedua, 2013); dan Gary M Burge, Jesus and the Land: The New Testament Challenge to Holy Land Theology, Grand Rapid, Michigan: Baker Academic, 2010).
Ahed Tamimi mewakili generasi ketiga Palestin. Beliau tidak takut dengan kekejaman tentera dan kejahatan peneroka haram Yahudi yang mendominasi dan membentuk negara haram Israel. Ahed mewarisi semangat kental untuk memerdekakan Palestin daripada kedua orang tuanya. Ayahnya, Bassem Tamimi merupakan penyelaras kempen menentang kezalimam dan gerakan kemerdekaan Palestin dengan cara ‘damai’ yakni tidak menggunakan kekerasan (non-violent).
Ibunya, Nariman Tamimi juga seorang yang cukup cekal berhadapan dengan tindakan ganas IDF dan pemerintah negara haram. Bassem dan Nariman beberapa kali meringkuk di dalam penjara, dan penahanan dibuat tanpa alasan yang kukuh, tetapi dinamakan oleh IDF sebagai ‘tahanan pentadbiran’ (administrative detention) hanya atas syak wasangka (prejudis) dan mempertahankan aktiviti pencerobohan peneroka haram.
Kisah penahanan dan ketidakadilan undang-undang terhadap rakyat Palestin, perjuangan pembebasan Palestin di Nabi Saleh yang diselenggarakan oleh Bassem Tamimi cukup terperinci dilaporkan oleh Ben Ehrenreich dalam bukunya, The Way to the Spring: Life and Death in Palestin (New York: Penguin Press, 2016). Rakaman kewartawanan itu dikutip hampir tiga tahun oleh Ben Ehrenriech, berulang alik dari Los Angeles, USA ke Tebing Barat bermula tahun 2011 untuk majalah Harper dan 2012 hingga 2013 untuk majalah The New York Times.
Ben turut memerhati dan tinggal bersama penduduk, membuat wawancara dan bergaul dengan masyarakat Nabi Saleh, yang pada awalnya tidak disangka mereka cukup ramah dan mesra. Ben beberapa kali ikut serta dalam demontrasi yang diadakan setiap minggu selepas sembahyang Jumaat, dan berpeluang mengamati perangai sebenar kumpulan peneroka haram dan kebrutalan IDF,
Menariknya, antara tokoh yang mendapat perhatian Ben Ehrenreich (ada darah keturunan Yahudi, tetapi membenci Zionis) ialah Bassem Tamimi dan seluruh keluarganya. Mereka bukan sahaja membantu Ben memahami makna perjuangan pembebasan Palestin, dan juga mengenali lebih dekat kisah perjuangan yang tidak pernah luntur walaupun setiap kali berlaku, ada rakyat Palestin terkorban dan ditahan secara kejam. Ben mempunyai alasan, kenapa beliau tidak menulis berdasarkan sudut pandangan negara haram Israel, sebaliknya lebih bersimpati dengan orang-orang Palestin terutama di Tebing Barat.
Jadi, ada persepsi negatif yang dilontarkan oleh politikus Israel terhadap laporan Ben yang cukup berkesan menggambarkan realiti politik Palestin sepanjang sejarah berhadapan dengan kekejaman Zionisme. Kadangkala terasa lucu, lontaran batu daripada pejuang Palestin – kanak-kanak dan remaja – sangat ditakuti oleh IDF. Hasilnya, membaling batu dipersepsikan sebagai ‘peluru hidup’ yang mematikan, dan tentera IDF cukup trauma.
Bagi anak-anak Palestin, batu adalah simbol aksi perjuangan, kerana mereka tidak ada senjata, tidak seperti peneroka haram yang dibenarkan membawa senjata tajam dan senapang sepanjang masa, termasuk ketika bertembung dengan petani yang mengusahakan kebun kepunyaan mereka. Tulis Ben Ehrenreich:
“…Saya berharap dapat membetulkan, ataupun mula membetulkan, suatu ketidakseimbangan yang sudah lama wujud, yang sudah mengorbankan terlalu banyak nyawa. Dunia ini – sekurang-kurangnya manusia yang mendiaminya – bukan hanya terdiri daripada tanah, daging dan api, tetapi juga cerita yang kita kisahkan.
“Melalui penceritaanlah, dan cerita yang berkait dengan cerita-cerita lain, dapat kita menjelmakan alam semesta ini dan bersama-sama menentukan wajah masa kininya, bentuk masa lalunya, dan bentuknya pada masa hadapan.
“Jika kita mengabaikan cerita yang dianggap tidak selesa dan cerita yang tidak sesuai, sebaliknya hanya menonjolkan perspektif tertentu dan kisah-kisah bagi menyokong perspektif itu, maka ia akan menjadikan dunia ini tidak seimbang. Ia akan menjadikan penceritaan itu palsu.
“Adalah menjadi tugas penulis, dan tugas saya di sini, untuk membongkar pembohongan dan putar-belit yang merosakkan kehidupan kita, keseluruhan hidup kita, dari setiap sudut.
“Apabila kita memanggilnya Tebing Barat dan bukannya “Judea dan Samaria”, memanggilnya Palestin dan bukannya “Israel”, bermakna kita sudah pun terlibat [berpihak].
“Apabila kita memilih berada di Tebing Barat dan bukannya Tel Aviv atau Baitulmaqdis Barat, Washington atau New York, bermakna kita sudah terlibat dalam konflik ini, sama ada mahu atau tidak. Sekiranya pilihan kita ini pula tidak begitu jelas pada mulanya, kita akan segera membuat pilihan apabila bertembung dengan askar Israel di tempat pemeriksaan.
“Menerusi buku ini, saya berhasrat untuk mencari sesuatu yang lebih sederhana daripada keobjektifan, iaitu kebenaran. Kebenaran itu sesuatu yang licik dan sukar diperolehi dan selalunya bercanggahan.
“Untuk mencari kebenaran, kita bukan sahaja perlu melakukan penyelidikan yang terperinci dan menyangkal sebarang kesangsian dengan pasti, tetapi kita juga bersikap arif dan berempati, yang hanya boleh dilakukan oleh mereka yang memang berada dalam jasad, tempat, sejarah dan pandangan tersebut.” (Ben Ehrenreich, Selagi Bernyawa: Kisah Kehidupan dan Kematian di Palestin, terjemahan oleh Zainora Muhamad, Shah Alam: Kelab Buku Sdn Bhd., 2024, hal. 4-5).
Petualangan Ben Ehrenreich sedikit sebanyak telah memberikan makna dan pembetulan tentang sejarah Palestin, kerana perspektif yang dipilihnya tidak cuba membenarkan apa yang dilakukan oleh media yang dikawal dan dilihat ada kaitannya dengan ‘dana pelaburan Yahudi’.
Ben Ehrenreich lebih berani memperkatakan ‘kebenaran’, yakni apa yang difahami, diamati dan dilihat sendiri dalam setiap aktivis Palestin yang ditemuinya, dalam bentuk nilai kewartawanan yang baik (telling the truth). Ben seterusnya mendorong lebih ramai wartawan barat menyanggah akhbar-akhbar yang berpihak kepada Israel perjelaskan dan dipersepsikan terhadap masyarakat Palestin. Ia sedikit sebanyak mampu mengubah persepsi berbanding pada tahun-tahun awal penjarahan. Sebahagian mitos mengenai negara haram Israel sudah dibongkar, bukan hanya dalam kalangan penulis Muslim, bahkan dalam kalangan sejarawan Yahudi sendiri.
Inilah yang kita saksikan sekarang, semakin banyak negara, pertubuhan bukan kerajaan dan individu semakin berani menyokong penubuhan negara Palestin, dan juga meminta agar negara haram Israel dibatalkan pembentukannya, sehingga ada yang bercadang agar Israel menjadi sebuah negara dalam gabungan tanah air bernama Amerika Syarikat. Ada kata-kata yang disebarkan berbunyi: If you stand with Israel; Give them Your Land. Maksudnya: Jika anda mendokong Israel, berikanlah tanah anda kepada mereka.
Di Nabi Saleh, nama Tamimi merupakan nama yang sangat digemari dan seolah-olah menjadi nama yang sangat tipikal dalam kalangan kurang 1,000 orang populasinya. Sejarah penentangan penduduk Nabi Saleh bermula pada tahun 1976, walaupun Israel mula menjarah Palestin sejak tahun 1948 dan menjadi semakin tamak selepas menang Perang Enam Hari (Jun 1967):
“…apabila sekumpulan orang Israel daripada kumpulan nasionalis Messiah, iaitu Gush Emunim (Blok Orang-Orang Beriman), mula menduduki sebuah kubu batu lama yang dahulunya dibina oleh British untuk dijadikan balai polis di kawasan puncak bukit yang bertentangan dengan kampung itu.
“…para peneroka haram itu mula menebang pokok dan membina rumah. Penduduk Nabi Saleh dan Deir Nidham, sebuah kampung berjiranan, menuduh para peneroka itu mencuri tanah mereka dan membawa kes itu ke mahkamah. Mahkamah menyebelahi penduduk kampung – tanah di sekeliling balai polis itu milik kerajaan, tetapi kebun-kebun di sekeliling tanah itu adalah hak milik peribadi.
“Para peneroka pergi, namun pada bulan Mei 1977, Parti Likud yang berhaluan kanan telah memenangi pilihan raya Israel. Sekali gus menamatkan pemerintahan selama tiga dekad oleh pendahulu, Parti Buruh yang ada pada hari ini. Menachem Begin menggantikan Yitzak Rabin sebagai Perdana Menteri.
“Para peneroka haram itu kembali. Tahun berikutnya, kerajaan Israel merampas hampir 150 ekar tanah penduduk kampung untuk ‘keperluan tentera’ dan menyerahkannya kepada para peneroka tersebut. Komuniti mereka kemudiannya dikenali sebagai Halamish. Populasinya kini kira-kira 1,200 orang, hampir sekali ganda populasi Nabi Saleh.” (Selagi Bernyawa, hal. 17)
Tahun 2018, empat orang penulis berganding bahu, menyertai kesedihan Bassem Tamimi apabila anak perempuan, Ahed Tamimi dan isterinnya, Nariman Tamimi ditangkap dan dipenjarakan oleh IDF. Ia berlaku pada malam 19 Disember 2017, ketika Ahed sedang nyenyak tidur.
Pihak IDF menggeledah rumah, dan seterusnya mengheret Ahed keluar. Ahed dibawa pergi menaiki sebuah kenderaan tentera, dengan mukanya diselimut. Tujuannya, jelas agar Ahed tidak dapat mengecam laluan yang dilaluinya dan tidak mampu menceritakan pengalaman dalam perjalanan ke penjara, yang berada di wilayah Israel.
Dan, tentunya, perlakuan itu melanggar undang-undang antarabangsa, misalnya Konvensyen Geneva Keempat, dan Konvensyen Den Haag. Bagi Israel, semua peraturan itu tidak terpakai dengan alasan, “Tebing Barat dan Gaza bukanlah wilayah kedaulatan – negara yang berdiri sendiri – dan Israel berperanan sebagai ’pentadbir”.
Itulah yang menjadi sebab kenapa mereka (IDF) boleh melakukan apa sahaja, daripada penggelidahan rumah waktu malam, mengheret ‘pesalah’ di bawah umur di waktu tengah malam, dan memindahkan ‘tahanan’ ke wilayah Israel. Ia bukan merupakan kesalahan (melanggar undang-undang), ia adalah sebuah kewajaran yang ditempelkan atas kehendak dan maksud penjajahan.
Mereka (empat penulis) itu bergabung, selain daripada Manal Tamimi, tiga lagi pergi ke Nabi Saleh untuk melihat dan meneliti sendiri apa yang berlaku ke atas anak gadis pasangan Bassem dan Nariman. Akhirnya mereka mendapati terlalu banyak kejanggalan, paradoks dan ketidakadilan undang-undang yang dikenakan ke atas penduduk Palestin, termasuk ke atas Ahed dan ibunya, Nariman.
Terlalu banyak kontradiksi, dalam undang-undang tentera tidak ada istilah ‘tidak bersalah’ dan menyebabkan mereka mempersoalkan bagaimana anak-anak Palestin dianiayai, dipaksa ‘mengaku bersalah’ dan dikenakan proses penghakiman berdasarkan undang-undang tentera.
Ia sebagai satu bentuk imej ‘kelam’ bahawa semua keturunan Arab-Palestin adalah kelompok yang tidak bertamadun, suka berperang dan merusuh. Sebenarnya, ia berpunca daripada kehadiran pendatang Yahudi yang tamak dan ‘membalas dendam’ secara salah, atas apa yang didakwanya sebagai kekejaman Nazi.
Seharusnya, jika benar Parti Nazi pimpinan Hitler melakukan holocaust dan penyeksaan kejam ke atas masyarakat Yahudi, rakyat Palestin tidak sepatutnya menjadi mangsa. yang wajib dimangsakan. Ia merupakan suatu percubaan menulis semula sejarah, sejarah melawan Islam sebagaimana kaum Yahudi gagal melakukannya sejak Islam menjadi kekuatan baharu di Timur Tengah apabila Nabi Muhammad SAW berjaya menguasai Madinah, yang sebelumnya menjadi sebahagian monopoli mereka.
Mereka merasakan ‘kehilangan’ itu sebagai proses sejarah yang wajib ditebus kembali, biarpun di zaman pemerintahan Islam, umat Yahudi tidak pernah didiskriminasikan. Mereka diperangi apabila mengkhianati Islam dan melanggar perjanjian yang dipersetujui. Mereka menciptakan pelbagai sebab dan mitos, tetapi sebab-sebab yang direka itu semakin menampakkan kebohongan yang nyata.
Bagi Avram Noam Chomsky (lahir 7 Disember 1928, kini mengalami masalah pertuturan atas faktor usia), seorang pakar bahasa dan pemerhati (aktivis politik) yang rasional dari Amerika Syarikat, berkata: People who call themselves supporters of Israel are actually supporters of it moral degeneration and ultimate destruction.” Chomsky merupakan generasi kedua pasangan penghijrah Yahudi di Philadelphia, Pensylvania, Amerika Syarikat, William Chomsky dan Elsie Simonnofsky .
Ayahnya, William Chomsky setelah berhijrah ke Amerika Syarikat diberikan jawatan sebagai pengetua sekolah Israel, Conggression Mikveh. Ibunya, Elsie ikut mengajar di sekolah tersebut. Namun, darah Yahudi yang ada dalam diri Noam Chomsky tidak menjadikannya lebih simpati kepada Israel. Sebaliknya, Chomsky bersuara lantang, mengkritik dan mengecam apa yang diberlakukan di Palestin atas perjuangan Zionisme. Beliau cukup meluat dan tidak mendokong Zionisme.
Rakyat Israel, walaupun terbukti bersalah, mereka dibebaskan, malah ada ketikanya tidak dibicarakan. Jika diadili, undang-undang yang diguna pakai ialah undang-undang sivil dan tidak dibicarakan di mahkamah tentera. Orang-orang Israel diberikan peluang pembelaan yang mampu meloloskan diri daripada sebarang pertuduhan. Jika bersalah, mereka dihukum dengan cukup ringan atau diberikan peluang memohon pengampunan.
Banyak kejadian, pihak tentera tidak pernah menyalahkan peneroka haram, dan mereka dengan mudahnya dibebaskan seolah-olah menjadi mangsa serangan keturunan Arab-Palestin. Peneroka haram menjadi mangsa kerana ‘mempertahankan hak’ mereka diceroboh, dirampas dan melakukan provokasi, walhal apa yang dipertahankan itu adalah apa yang mereka rampas daripada orang Palestin. Sedangkan, keturunan Arab-Palestin dipersalahkan apabila mempertahankan hak mereka yang telah dirampas.
Kata Prof Ilan Pappe, sejarawan generasi baharu Yahudi yang terus mengkritik dan cukup ritikal terhadap tindakan kejam Israel: Jika anda bandingkan Israel pada hari ini dengan Israel yang saya tinggalkan dahulu [sekarang menjadi warganegara Britain], atau Israel semasa saya membesar, masyarakat sekarang mempunyai kecenderungan untuk bersikap cauvinis,, etnosentrik dan keras kepala, yang membuat kita merasakan bahawa perdamaian dan keamanan itu sangat jauh jika hanya kita bergantung kepada harapan bahawa masyarakat Yahudi itu akan berubah daripada dalam.” (Ilan Pappe dan Noam Chomsky, Perihal Palestin, hal. 134)
Ertinya, Ilan Pappe sendiri mengakui bahawa doktrin politik Israel itu sebagai satu bentuk kedegilan yang parah, tidak akan berubah daripada hasrat merampas, menjarah apa sahaja milik orang lain yang sah menjadi miliknya, dengan kaedah yang tidak sah. Itulah yang menjadi masalah terbesar dalam melakukan apa-apa perundingan dan kata sepakat bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel sejak terbentuknya negara haram Israel.
Sejak menengking dan menunjukkan tangan ke arah salah seorang askar Israel, Ahed menjadi sorotan di seluruh dunia sehingga ada pihak yang menggelarnya Singa Betina. Empat orang yang bergabung tenaga itu ialah: Manal Tamimi, seorang peguam hak asasi manusia lulusan sarjana Undang-undang Antarabangsa dari Universiti al-Quds, juga ibu saudara Ahed; Paul Morris, seorang pensyarah Universiti Malardalens, Sweeden; Paul Heron, seorang peguam hak asasi manusia Britain; dan Peter Lahti, seorang wartawan, yang menulis Ahed Tamimi: The Girl Who Found Back, yang diterbitkan oleh Vektal Books/Vaktel Forlag, Sweeden, 2018, berdasarkan perspektif kepakaran masing-masing.
Menurut penerbit buku tersebut, ia dilakukan sebagai solidariti dan sokongan untuk Ahed Tamimi, yakni bagi mengumpul dana, membayar denda dan kos guaman yang akan diputuskan oleh mahkamah tentera Israel.
Paul Morris mula merancang dan akhirnya mereka bertemu di Nabi Saleh untuk memulakan projek tersebut. Mereka (Paul Morris dan Paul Heron) bertemu dan berbincang dengan Bassem Tamimi, yang ketika itu cukup sedih kerana anak perempuan dan isterinya merengkok dalam penjara. Bassem terpaksa menguruskan anak-anaknya, terutama dua orang adik Ahed yang masih kecil.
Bagi Bassem, dirinya tidak pernah gerun dan gentar berada dalam tahanan IDF. Lebih sepuluh kali ditahan dan pernah juga ditahan bersama Nariman sehingga menyebabkan Ahed Tamimi yang masih baru meningkat usia remaja terpaksa menjadi ‘ibu dan ayah’ kepada dua orang adiknya, dan seorang abang.
Selain menguruskan adik-adiknya, Muhammad Abu Yazan Tamimi dan adik lelaki bongsu, Salam Tamimi, Ahed turut memasak dan mengaturkan hari-hari persekolahan mereka. Pernah suatu ketika, Ahed ditanya, bagaimana dia melakukan kesemuanya sedangkan kanak-kanak seusianya masih cukup manja dengan orang tua.
Dijawabnya tegas: “Ini sangat berat, tapi aku harus membuat diriku kuat dan tampak bahagia, agar adik-adikku tidak khuatir [bimbang]. Aku harus membangunkan [mengejutkan] mereka pada pagi hari, memasak, mengerjakan PR, dan mengurus mereka….Nilai-nilaiku [pestasi pembelajaran] di sekolah anjlok [merudum] ketika mereka menangkap ibuku.”(Gadis Palestina, hal. 50).
Ahed ditangkap kerana rakaman video yang menunjukkan dirinya ‘bersalah’, menyoal dan menengking seorang tentera IDF, dengan mempertahankan apa yang dilakukan oleh sepupunya, Muhammad Tamimi yang berusia 15 tahun, yang mendekam kesakitan akibat ditembak pada jarak dekat. Peristiwa itu berlaku pada 15 Disember 2017. Empat hari kemudian, seramai 30 orang tentera IDF yang lengkap bersenjata menyerbu rumah mereka jam 3 pagi dan mereka berjaya menyeret Ahed setelah bilik tidurnya digeledah.
Pertengkaran itu kemudian terakam dalam video IDF. Ia menjadi tular. Empat hari kemudian (19 Disember 2017), Ahed yang berusia lewat 16 tahun, ditangkap. Keesokannya, ibunya Nariman bersama sepupu Ahed, Nour cuba mencari sebab dan mempertahankan anaknya, juga ditangkap dan dipenjarakan oleh IDF apabila hadir ke lokasi tahanan Ahed untuk berbuat demikian.
Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke pelbagai bahasa, dan edisi bahasa Indonesia diterjemahkan oleh Dwijani Nimpeono dan diterbitkan oleh PT Mizan Pustaka (Bandung) dengan judul Ahed Tamimi: Gadis Palestina Yang Melawan Tirani Israel (2018).
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments