Beberapa hari lalu, kedengaran formula cantik, mengambil semangat ‘dua khalifah’ yang menjadi model amalan pemerintahan yang ‘adil’ dan berintegriti. Terima kasih kerana memahami bahawa dalam sesebuah sistem kepimpinan konsep dan amalan integriti adalah kunci yang akan melonjakkan sesebuah kerajaan atau pemerintahan.

Namun, ungkapan-ungkapan yang cantik, dilihat sempurna dan menarik itu tidak akan dapat menjadi realiti kehidupan kepimpinan (leadership life) sekiranya ‘ada udang di sebalik batu’ atau ada agenda lebih besar yang tersembunyi, yang mahu ‘digunungkan’ kerana secara jelasnya berkontradik dengan kejujuran (humility), keikhlasan (sincerity) dan kesempurnaan (perfection) atau kemampanan (sustainability).

Bahkan, ada ketikanya menjadi sangat berkecamuk (misalnya, semasa kempen politik dan mempertahankan ideologi politik, meraih sokongan). Tentunya, bila makna keadilan bercapah dan integriti terlalu bebas nilai. Keadilan beralurkan ‘kebebasan’ dan ‘hak asasi’ walhal semuanya menjadi semacam ilusi, juga delusi. Integriti kadangkala bersulamkan prejudis, stereotaip dan bias kebenaran ritma diri atau kelompok.

Nilai diri, sifat peribadi, kedalaman roh dan jiwa ‘integriti’ itulah yang menggerakkan apa yang kita fahami ‘keadilan’ dan ‘integriti’ dalam dua contoh kepimpinan dua orang yang cukup kuat pertalian keluarga, Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz. Semuanya dilihat dalam konteks luaran atau eksoterik, tidak berpadu dengan roh dan jiwa terdalam. Jiwa terdalam bukan sekadar spiritual yang kita kenali sekarang, yang cukup dangkal dan cetek, mengensotkan makna dan jalan rohani.

Umar Abdul Aziz adalah cicit kepada Khalifah Umar al-Khattab. Umar al-Khattab ialah khalifah kedua pemerintahan ar-Rasyidin, selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW (632). Umar al-Khattab merupakan seorang yang sangat beriman dan memahami ajaran Islam dengan baik, bahkan banyak untaian pemikiran atau nasihat dan tingkah lakunya selepas bersyahadah menjadi pedoman, baik dalam doktrin praktis agama mahupun asas pengurusan kehidupan rakyat.

Umar al-Khattab juga seorang wira dakwah Islam yang berani dan memiliki sejumlah kekayaan yang terlalu banyaknya pengobanan demi kemaslahatan rakyat dan juga kesejahteran masyarakat, termasuk hubungannya dengan bukan Islam. Sejarah mencatatkan, Umar al-Khattab cukup bertoleransi dengan pemeluk Yahudi dan Kristian ketika Islam memasuki Baitul Maqdis dan menguasainya.

Cucunya, walaupun sempat diangkat sebagai khalifah ke lapan Daulah Umayyah, yang diasaskan oleh Muawiyah selepas sengit berlawan  dengan khalifah ar-Rasyidin terakhir, Ali bin Abi Talib atas beberapa sebab peribadi dan dendam, tidak pula mencetuskan kegawatan sebagaimana berlaku pada zaman-zaman pemerintahan Muawiyah, anaknya, Yazid, dan juga bapa saudaranya, Sulaiman. Umayyah memaksa Saidina Hasan bin Ali, putera Ali bin Abi Talib menyerahkan kuasa. Ia berlaku pada tahun 661M.

Sebaik sahaja menerima bai’ah sebagai pemimpin umat Islam, kedua-dua Umar tidak melihat pelantikanya sebagai satu bentuk prestij, tetapi ia adalah ‘amanah’ dan ‘tanggungjawab, dan kerana itulah mereka melafazkan ikrar, mengorbankan apa sahaja demi kemaslahatan  rakyat dan kepentingan dakwah Islam, termasuk menghapuskan segala bentuk ‘kultus diri’, kesenangan peribadi, membina kekayaan sendiri dan keluarga, dan memastika  bahawa setiap rakyat tidak dipinggir, siang dan malam.

Contoh klasik yang cukup menggambarkan tekad dan praktis kepimpinan ialah mereka sanggup berbuat apa sahaja demi membantu rakyat. Umar al-Khattab, tanpa protokol sebagai Amirul Mukminin, keluar malam hingga ke hujung kampung untuk melihat dan mencari ruang memenuhi keperluan dan membantu rakyat.

Diriwayatkan, menemui sebuah keluarga miskin, dan dalam kegelapan malam, pulang semula ke pusat pemerintahannya lalu memikul seguni gandum untuk diberikan kepada keluarga miskin tersebut.

Bukan setakat itu, Umar memastikan bahawa anak-anak yang ketiduran akibat kelaparan (tanpa makanan) perutnya terisi. Umar juga tidak menunjukkan perilakunya sebagai Amirul Mukminin, apa yang dilakukannya tersangat rendah diri, down to earth.

Akhirnya, perempuan yang menerima bantuan tersebut semakin mengenali bahawa Umar al-Khattab adalah seorang pemimpin, seorang yang cukup pasrah dan tawaduk, seorang yang pemurah dan cukup empati kepada setiap orang yang dipimpinnya, tanpa basa-basi.

Begitu juga bila setiap daripada kita membaca kisah cicitnya, Umar Abdul Aziz. Umar Abdul Aziz, bukan sahaja mengubah gaya hidupnya, bahkan menjadi teladan terbaik dalam keadilan kepimpinan dan reformasi pemerintahan, di dalam dirinya hadir nilai-nilai zuhud dan ketakwaan yang cukup besar.

Tentunya, Umar Abdul Aziz bukan mudah untuk berbuat demikian. Ada pergolakan batin dan ada cabaran yang terpaksa dihadapi. Semuanya berjaya dihadapi dengan tabah, sabar, dedikasi dan penuh keimanan. Pernah juga diceritakan, sepeninggalannya, hanya mewariskan harta sebanyak 14 dinar dan hasil tahunan untuk 18 orang anaknya, 600 dinar. 300 dinar daripdanya manakala 300 dinar lagi daripada Abdul Malik bin Umar, putera sulungnya. Harta dibahagikan secara faraid: 15 bahagian untuk anak-anak lelaki (12 orang) dan tiga bahagian lagi untuk enam orang anak perempuan. (Syeikh Muhammad Nurudin Marbu al-Makki, Khalifah Zuhud: Umar bin Abdul Aziz, Subang, Shah Alam: PSN Publications Sdn. Bhd. 2012, hal. 122-123).

Dua contoh pemimpin Islam dianggap begitu unggul sebagai manusia yang memimpin, yang berusaha keras memenuhi tuntutan Islam dan meneladani adab, kemuliaan dan kebijaksanaan memimpin Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan terbaik.

Hakikatnya, jika pemimpin bukan Islam dan pemimpin Islam sendiri ingin mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh dua Umar, pemimpin terbilang dalam sejarah Islam kerana adil, mesra rakyat, berwawasan, karismatik dan cukup menepati makna intruksional, apakah peniru-penirunya cukup ikhlas, jujur dan bertendensi? Itu persoalan yang muncul selepas kita membaca pengakuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dalam perutusan tahun baharu (2025) di kementeriannya pada 16 Januari 2025.

Saya tidak mendengar ucapan penuhnya, tetapi berdasarkan apa yang dilaporkan menerusi media, yang sebahagian daripada kita memahami budaya media (media culture) , ada ruang sensasi, ada nilai yang boleh menjadi kontroversi, ada celahan dan cuplikan ‘suspense’ dan macam-macam lagi sehingga intipati yang dilaporkan itu menjadi sesuatu yang cukup besar, menonjol dan kadangkala ‘mengkagumkan’.

Kita lupakan hal itu, tetapi membaca berkali-kali berita tersebut, minda saya kembali merunut sejarah yang boleh dianggap ‘neo-klasik’ tatkala parti yang mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang bermantera untuk mentadbir negeri tersebut menurut atau meniru atau mensesuaikan apa yang pernah diamalkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz.

Gempita seluruh negara (2008), seolah-olah sedang dimanah dan dicengkam ‘seekor garuda’ kerana sebelumnya tidak kedengaran kecenderungan untuk meniru, mengambil dan mereformasikan pentadbiran negeri semurni apa yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Ramai yang terpesona, ramai juga umat Islam di Pulau Pinang rasa teruja sehingga membentuk euforia di atas pengumuman tersebut.

Gemputa itu pudar selepas beberapa tahun dimomokkan, dan tidak muncul lagi setelah terputusnya Tahaluf Siyasi. (Mohd Syaikir Mohd Rosdi dan Afnan Hamimi Taib Azamuddin, Tahaluf Siyasi Dalam Politik Dakwah: Hubungan Politik Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Democratic Action Party (DAP)< Kota Bharu: UMK Press, 2021).

Ia, kerana pengumunan itu adalah euforia, ada agenda besar di sebaliknya, maka apa yang berlaku ialah secara mentalnya, kefahaman umum tentang sejarah Pulau Pinang perlu diubah, sedikit sebanyak nilai dan hakikat sejarah wajar dikambus sehingga muncul pandangan yang berbeza. Itu menyebabkan ramai sejarawan, sama ada yang memahami sejarah awal Pulau Pinang, ahli akademik dan manusia politik mempersoalkannya,

Mereka berusaha melibas dan membuka langkah sehingga ‘langkah menulis semula sejarah’ itu tidak menjadi sesuatu yang ‘boomerang’ dan akan  menjadi kendala besar dalam ‘pembudayaan semula mental masyarakat’.

Mujurlah mereka yang ‘melawan’ itu mempunyai kecekapan ilmiah, tetapi tidak bermakna mereka yang menyerang itu ‘berhenti langkah’. Mereka menguji berkali-kali, dari hanya sebuah tulisan kecil mengenai Balik Pulau, hinggalah kepada projek-projek besar yang meminggirkan nama-nama lama dengan cara dan berselidung taman-taman perumahan baharu yang mewah, dan juga kultus tertentu.

Bising lagi, bila karikatur (komik) BRI – Belt and Road Initiative – sehinggalah bagaimana pemukiman tradisional orang-orang Melayu mahu dibangunkan dengan pulau buatan di sebahagian kawasan majoriti Melayu yang masih tersisa di bahagian pulau, Pulau Pinang yang asalnya jajahan takluk Kedah, yang disewakan kepada British dan menjadi petunjuk awal penggelonsoran kuasa politik Melayu oleh penjajah British, yang cukup terkenal dengan doktrin ‘pecah dan perintah’.

Dalam nuansa politik yang sama, tekanan bernada ‘kebersamaan’ nampaknya Nga Kor Ming yang sudah beberapa kali tersimbah dengan kontroversi berkaitan Islam, cuba menyusikan imej politiknya, kerana beliau kini adalah seorang menteri dalam kabinat Kerajaan Madani. Beliau perlu menyesuaikan diri dengan makna madani, jika berterusan jiwa polemiknya, cabaran yang menanti akan cukup besar, termasuk kodifikasinya tentang makna ‘haram dan halal’ dan juga ‘politik Islam’.

Tidak salah memetik hadis, ayat-ayat suci al-Qur’an, tetapi yang salahnya ialah kadangkala petikan itu menjadi ‘fetanil’ yang tujuannya melegakan sementara, menyebabkan sebahagian khalayaknya mengitar diri untuk menyebelahinya, terutama dalam kalangan orang Melayu-Islam yang kurang semangat juang, yang kurang mentarbiyahkan diri dengan makna ‘politik Islam’. Atau yang semakin terpesona dengan kedudukan, dan meraih status.

Itulah yang terlahir secara langsung apabila membaca pengakuannya, yang akan diterapkan untuk mencapai kecemerlangan pada jalan politiknya sendiri, dan mengurangkan geseran kepada ‘lawan parti yang disertainya’, dengan apa yang dipanggil ‘greater HEIGHTS’. (Berita Harian, 16 Januari 2025).

Jelas Nga Kor Ming, nilai-nilai itu ialah Humility (rendah hati), Ethics (etika), Integrity (integriti atau kebertanggungjawaban), Gung-ho (kerja keras atau dedikasi), Honesty (kejujuran) dan Teamwork (berpasukan). Namun, tidak ada nilai dan roh agama yang dikerangkakan dengan jelas, yang mungkin akan dikembangkan pada masa yang lain. Hal ini nampak ‘janggal’ tetapi tidak bermakna bakal hilang bersama angin politik yang semakin menderu, dan sesekali menjadi taufan.

Secara jelas, nilai-nilai Heights itu terkandung dalam beberapa kajian keberkesanan kepimpinan (tingkah laku pemimpim) yang dibuat oleh masyarakat barat, yang penuh teori dan pandangan imprik, yang kadangkala berakhir dengan skeptisme. Teori-teori yang dikemukakan, menolah asas dan bingkai yang sebenarnya perlu dibina, iaitu bagaimana agama memandu setiap daripada kita menggapai HEIGHTS yang diperkatakan itu.

Kita boleh mengambil contoh, teori pengurusan yang pernah kita dengar, Teori X dan Teori Y (Douglas Mcgregor), teori motivasi (Abraham Maslow), teori pengurusan Grid (Rober R Blake and Jane Mouton), insentif material (Henry Fayol), usahawan-manusiawi (human side enterprise, Douglas Mc Gregor), cabaran kepimpinan (leadership challenge, James Kouzes dan Barry Posner), kecerdasan emosi (emotional intelligence, Daniel Coleman), kecerdasan spiritual (Danah Zohar), kepimpinan situasional (Kenneth Blanchard), pengurusan sufistik dan sebagainya, tetapi masalah kesejahteraan manusia, kehidupan yang aman, rasa selamat dan sebagainya ‘hilang’ dalam kesepaduan nilai dan harga diri.

Disebabkan kesemua penemuan, jalan penambahbaikan dan ‘berubah menjadi lebih baik’ itu sangat menjarakkan diri dengan nilai-nilai agama, walaupun Stephen R Covey melihat ia sebagai sesuatu yang cukup memberikan kesudahan besar bagi seseorang yang ingin menjadi “Highly Effective Peoples (juga, Leaders)’ dan juga ‘memimpin diri sendiri dan keluarga’. Semua teori-teori itu sebahagian daripada kita cuba menghadamkannya, tetapi dalam masa yang sama selain teruja, ikut berpartisipasi, masalah keumatan terus membengkak, kurang harmoni kerana pelbagai faktor.

Antaranya, kesedaran asabiyyah (perkauman), prejudis, stereotaip, dan ruang berfikir dalam kerangka agama – fadhu ain dan fardhu kifayah, beribadat dan bermuamalah- sehingga semuanya menjadi semakin sempit dan tersusun agenda masing-masing (peribadi, kelompok, etnik dan sosio-agama), yang akan dipertahankan sebagai ‘kaedah yang paling benar’ walaupun apa yang ditonjolkan bukan bersifat agama, lebih bersifat budaya dan politik.

Itulah kelompongan dan kemusnahan yang telah, sedang dan terus berlaku. Kesemuanya menyumbang kepada pelbagai kesan yang bukan sahaja membakar emosi, bahkan juga boleh meruntuhkan sistem dan peradaban. Kemelut yang tidak pernah selesai, yang terus berputar dalam kitaran yang kadangkala berbeza, tetapi akhirnya ‘memusnahkan’ selagi setiap daripada kita hanya tahu bercakap, berfalsafah, tetapi tidak menilik ke dalam diri makna diri untuk apa manusia hidup dan diciptakan. Kalaupun sebahagian daripada kita memahaminya, apakah dipraktikkan setiap masa: 24 jam sehari, 7 hari seminggu, dan setiap saat ‘selagi bernyawa.”? Tiada pembatasan waktu dan membina tembok agar berjarak.

Dua Umar yang digelar The Great itu bukan sahaja bertekad begitu sahaja (berfalsafah), melaksanakannya sehingga akhirnya hayat yang tidak semua orang bersetuju dan berpolemik. Umar al-Khattab (Umar al-Khattab bin Nufayl bin Abdul Uzza, 582-644), yang terkenal alim, berilmu, adil, mesra dan mudah didekati akhirnya dibunuh oleh Abu Lu’luah bin Muljam, yang berasal dari Parsi. Ia telah dirancang dan dan ketika menunaikan haji (melontar di Jamrah) pada bulan Oktober 644, seseorang membaling batu dan terkena kepalanya. Umar tidak mati, dan mendengar suara seseorang, iaitu Abu Lu’luah, lalu bertanya apakah puncanya ‘membaling batu’.

Abu Lu’luah sebelumnya merungut kepada Umar al-Khattab masalah cukai yang tinggi dikenakan oleh Mughirah. Umar bertanya kepada Mughirah, jawapan yang diberikan dianggap rasional dan berjustifikasi. Jawapan itu tidak memuaskan hati, lantas Abu Lu’luah bersama pengikutnya menyusun strategi, membunuh Umar ketika mengimankan solat Subuh di Masjid Nabawi selepas selesai mengerjakan ibadat haji. Abu Lu’luah menikam Umar menggunakan pisau bermata dua sebanyak tiga kali dari belakang, ketika sedang mengimankan solat subuh di Masjid Nabawi. Ia berlaku pada pagi 31 Oktober 644, dan Umar dilaporkan meninggal tiga hari kemudian (3 November 644/23 Zulhijah 23H).

Bagaimana pula dengan Umar Abdul Aziz, yang juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang adil dan pembaharu dalam pentadbiran kemasyarakatan (kenegaraan Islam)? Umar Abdul Aziz lahir dalam keluarga Bani Umayyah. Ayahnya bernama Abdul Aziz ibn Marwan ibn Hakam ibn Abu Umayyah ibn Abdu Syams ibn Abdul Manaf. Ibunya, cucu Umar al-Khattab bernama Laila binti Ashim ibn Umar al-Khattab.

Umar Abdul Aziz bernikah dengan dengan Fatimah binti Abdul Malik, Lamis, Ummu Utsman dan beberapa orang lagi hamba yang dijoloki sebagai Ummu Walad. Daripada pernikahannya dengan Fatimah Abdul Malik, menjadi salah satu sebab kenapa Umar Abdul Aziz dipilih menjadi khalifah di akhir hayat Khalifah Sulaiman Abdul Malik, walaupun sebelumnya bercadang memberikan kepada puteranya, Ayyub yang masih kecil.

Raja ibn Haiwah, yang merupakan salah seorang penasihat berkata: Wahai Amirul Mukminin! Apa yang engkau lakuan, sesungguhnya di antara hal yang dapat menjaga khalifah di dalam kuburnya adalah ia mengangkat seseorang yang soleh sebagai penggantinya.”

Khalifah Sulaiman ketika itu berada dalam keadaan sakit yang tidak ada ruang kesembuhan, menjawab: “Aku masih memohon petunjuk Allah tentang penggantiku. Aku belum memutuskan secara mutlak.”

Dua hari selepas itu, Sulaiman mengoyak ‘surat wasiat’ dan memanggil penasihatnya, lalu bertanya” Siapakah orang yang layak pada pandangan kalian?”

Salah seorang bertanya: Menurutmu, siapa orangnya, wahai Amirul Mukminin?”

Sulaiman bertanya: Bagaimana pendapatmu mengenai Umar Abdul Aziz?

Menurut pengetahuan saya, dia seorang yang mulia, baik dan muslim sejati”, jawab Raja.

Sulaiman menjawab: Dia akan akan terus seperti itu jika aku memilihnya, Namun, akan terjadi fitnah jika aku tidak mengangkat salah seorang daripada anak-anak Abdul Malik. Mereka tidak akan membiarkan Umar memimpin kecuali bila aku menjadikan salah seorang daripada mereka sebagai peminpin setelah Umar.”

Setelah diam beberapa ketika, Sulaiman meneruskan: Aku akan memutuskan akan melantik Yazid bin Abdul Malik sebagai khalifah setelah Umar. Ini akan menenangkannya dan mereka pasti setuju dengan keputusan ini.”

Salah seorang penasihat mencelah: Tepat sekali pendapatmu, wahai Amirul Mukminin.”

Setelah itu, Sulaiman menulis surat seperti berikut:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Penyayang. Ini adalah surat keputusan daripada hamba Allah, Sulaiman ibn Abdul Malik, Amirul Mukminin untuk Umar ibn Abdul Aziz. Aku telah mengangkatnya sebagai khalifah. Dan kuangkat Yazid ibn Abdul Malik sebagau khalifah setelah Umar ibn Abdul Aziz. Maka, dengarkanlah dia, taatilah dia, serta bertawakkallah kepada Allah. Janganlah kalian berpecah-belah atau memusuhi, musuh akan menundukkan kalian.”

Kenapa Sulaiman memilih anak saudaranya, Umar ibn Abdul Aziz? Faktor terbesarnya ialah kerana praktis agama yang dimiliki, selain mempunyai pengetahuan agama yang luas. Umar ibn Abdul Aziz, walaupun dibesarkan dalam kalangan keluarga berada, dan mengahwini salah seorang keturunan bangsawan, hatinya jauh daripada ego.

Umar juga mempunyai latihan kepimpinan yang cukup bekesan kerana sebelumnya pernah diangkat sebagai gabenor, dan diberikan beberapa pengalaman memimpin oleh pewaris Daulah Umayyah baik sebelum mahupun semasanya dipimpin oleh Sulaiman.

Namun, apa yang menjadi Umar seorang pemimpin yang sederhana, melebarkan makna kemaslahatan ummah ialah peribadinya yang Zuhud, dan semakin mencengkam jiwanya setelah menyedari bahawa kepimpinannya bukan untuk meraih kekayaan peribadi, dan takut kepada apa yang akan dipertanggungjawabkan nanti menjadi kebencian Allah SWT.

Itu letaknya perbezaan yang ketara, dengan pengalaman politik yang dapat kita selami daripada dua orang pemimpin daripada parti yang sama, satu sudah ‘tidak lagi berkuasa dalam pemerintahan kerajaan’ dan seorang lagi sedang berusaha mendaki ke puncak yang lebih tinggi.

Orang kedua itu sedang membina reputasi, dan menampalkan imejnya yang sedikit sebanyak tercalar, pernah diteladan gelodak emosi, pertelingkahan makna dan juga persengketaan budaya politik.

Namun, yang belum menonjol ialah bagaimana dua orang pemimpin yang cuba mengambil ‘kisah Umar Abdul Aziz” membersihkan ‘hati dan jiwa’, menjauhi daripada segala populariti dan pseudo imagination. Belum tersembul erti keikhlasan dan kejujuran, yang tentunya etika kepimpinan akan terus dipersoalkan.

Ada hasrat politik yang besar, ada perjuangan yang belum selesai, dan banyak lagi jalan dan strategi yang sedang dikerangkakan, selagi ‘melayan diri’ dengan makna kebebasan dan hak asasi, tanpa merujuk apakah itu selari dengan nilai-nilai agama. Agama bukan lahir sebagai satu produk budaya, agama itulah penentu terbesar budaya dan pemikiran.

Dalam usaha saya memahami maksud ‘Great HEIGHTS’, tidak menemukan nilai-nilai agama dikristalkan, hanya sebatas hujah untuk memujuk, mempengaruhi dan menyempurnakan sebuah perjuangan yang belum selesai, sedang dimulakan dalam situasi politik ‘kebersamaan’ yang hipotetikal serta bertaut dengan subjektif. Itulah yang saya faham mengenai etika, kerana etika itu tidak sama dengan agama, etika itu boleh berubah dan diperbaharui melalui pelbagai kaedah, antaranya keputusan majoriti dan dokongan awam.

Agama tidak begitu sifatnya. Kita ambil contoh, hidup serumah tanpa pernikahan, cohabitation. Tidak ada agama yang menghalalkannya, tetapi agama yang muncul daripada percikan budaya boleh menerimanya, atas landasan saling bersetuju dan tidak memaksa. Islam tetap menganggapnya zina, dosa besar. Begitu juga dengan judi, setiap agama tidak membenarkannya, tetapi kerana ia menjadi sebahagian budaya, judi diperbolehkan, walhal asasnya ialah kapitalisme. Namun, apabila ada cadangan mengharamkannya, dan tidak dikeluarkan ‘lesen judi’ riak dan tentangannya cukup menjadi-jadi. Untuk apa?

Tauke judi memang kaya. Tetapi penjudi ‘tidak pernah kaya’. Ia membentuk kesenjangan sosial yang besar, dan keparahan moral yang jelas. Tetapi, ia tidak ‘salah’ sebab sudah membudaya.

Kita kembali kepada apa yang hendak dilaksanakan dan dijagai oleh KPKT. Salah satu tugasnya ialah menguruskan dasar perumahan negara, yang tentunya ada hubungan langsung dengan makna kesejahteraan dan ketenangan. Namun, dalam masa yang sama, turut menjaga dan menyelaras puhak berkuasa tempatan (PBT). Kadangkala, ada pelbagai situasi sehingga ada ketidakselesaan, termasuk pembangunan ekosistem masyarakat dan kejiranan.

Tidak perlu kepada dasar yang besar dan program mega. Cukuplah dengan menyoal apa nilai-nilai muafakat, memahami dan menterjemahkan ‘keharmonian’ telah disemai, diterap mahupun dipaksakan dalam kehidupan peribadi di perumahan awam? Boleh sahaja kita lihat, amati dan menilaikannya, bila sesebuah komuniti etnik mendominasinya.

Boleh sahaja sebahagiannya menjadi takut untuk bersosialisasi dan mencerap makna ‘harmoni’ dan ‘ketenangan’ jika suara azan setiap ketika dilarang, kesesakan lalu lintas pada waktu sembahyang Jumaat dipersoalkan, dan juga ketika musim ‘hantu lapar’ dan ‘operasi klasik’ dipentaskan.

Tentu sahaja ada di antara kita boleh berkompromi, tetapi tidak semuanya boleh menerima sebagai “kesatuan dalam kepelbagaian”. Kalau hanya ‘teamwork’ berjaya dibentuk di KPKT, apakah kerja berpasukan itu hanya terhad dalam program tertentu dan projek khusus, bukan dipraktiskan secara menyeluruh dan mendasar. Sudah lama kita dengar, ada orang Jawa berkata: Saya telan menekan brek, tetapi kaki tidak mahu bekerjasama.

Itulah sebabnya, apabila mengambil semangat dua Umar yang ‘the Great’, ramai yang tersenyum kambing, dan ada yang bertanya, apakah yang ingin meneladaninya cukup kuat zuhud dan bersih hatinya? Ia tidak cukup dnegan kata-kata, belum memadai melihat makna kepimpinan kedua Umar itu secara luaran, harus diselami kedalaman iman dan tekadnya.

Kedua-dua Umar the Great tidak ada kecintaan kepada dunia dan merebut pengaruh di ruang politik. (Fuad Abdurrahman, The Great of Two Umar, Penerbit Zaman, 2013; Abdullah bin Abdul Hakam, Umar bin Abdul Aziz, Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise, 2009; Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Tasawuf Dalam Politik Islam, K.Lumpur: Kafilah Buku-Pelita Dhihin, 2023: dan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Umar Abdul Aziz, Nilai, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi, 2014).

Apakah metamorfosis (metamorphorsis) ini merupakan suatu bentuk kedunguan (pembodohan) atau fastamorgaria? Ia menjadi sesuatu sangat berpengaruh dan cukup momok dalam dunia maya, dunia yang sedang kita alami ini yang penuh dengan langkau kebenaran, hypereality dan kesalinghubungan (connectivity), yang bersambung dengan benang merah ‘persepsi’.

Wallahuaklam.

MAHANOR SALEHA

Translate »