Secara fitrahnya, Islam membenarkan perbezaan pendapat tetapi jangan sampai memecahbelahkan umat. Secara fitrahnya, Islam tidak meletakkan seseorang itu lebih baik daripada orang lain kecuali pada keimanan dan ketaqwaannya. Ia bermakna, keimanan dan ketaqwaan itu perlu diraih dan diamalkan, berdasarkan ilmu yang benar dan amalan yang disuruh atau diteladani daripada apa yang diajar secara langsung ataupun tidak langsung – percakapan dan tindakan – Nabi Muhammad SAW.
Setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW keadaan situasi umat Islam menjadi semakin besar permusuhan antara sesama Islam, bukan kerana agama tetapi sudah menjalar masuk ke ruang politik. Ia dimulai dengan Syafiqah Bani Saadah di antara kelompok Ansar yang mahukan pemimpin mereka dipilih sebagai pengganti Rasulullah SAW.
Dalam kesibukan ahli keluarga dan sahabat bersiap sedia menguruskan pengkebumian Rasulullah SAW ia berlaku. Setelah perkhabaran itu diketahui para sahabat, Umar Farouk (Umar al-Khattab) dan Abu Bakar as-Sidik segera ke Syafiqah Bani Saadah. Di tengah-tengah perbincang itu, Umar dengan tegasnya mencelah bahawa persoalan sedemikian tidak harus disandarkan semata-mata kehendak kaum Ansar. Ansar juga berhadapan dengan dilema, mereka terdiri daripada beberapa kelompok yang masing-masing ada justifikasinya dalam memilih seseorang.
Namun, jika salah satu dipilih, ia akan menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan Bani Ansar keseluruhannya. Ini akan menambahkan lagi kerumitan dan perpecahan. Umar mempunyai wawasan yang lebih menarik, lebih rasional dan seterusnya mencalonkan Abu Bakar as-Siddik sebagai pemimpin umat Islam bagi mengambil alih peranan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.
Akhirnya Bani Ansar yang ada dan Syafiqah Bani Saadah menerimanya, tetapi ia tidak memuaskan hati semua penganut Islam walaupun kemelut yang berlaku berjaya diselesaikan. Muncul sekumpulan penganut Islam yang menganggap bahawa orang yang paling layak untuk memimpin umat Islam ialah dalam kalangan keluarga Nabi Muhammad SAW, dan yang menjadi cadangannya ialah Ali bin Abi Talib.
Selain sepupu Rasulullah, Ali adalah menantu Rasululllah. Ali berkahwin dengan puteri kesayangan Rasulullah, iaitu Fatimah. Beberapa dekad ketidakpuashatian itu berjaya diredam tetapi ia tidak bermakna terhapus sama sekali. Kelompok ini kemudiannya dikenali sebagai Khawarij, dan merupakan permulaan gerakan politik yang cukup mencabar kepimpinan Islam selepas dua orang khalifah ar-Rasyidin – Abu Bakar dan Umar al-Khattab meninggal dunia.
Ia menjadi sesuatu yang membesar dan cukup berdarah pada period sepuluh tahun kedua pemerintahan Uthman bin Affan, yang menggantikan Umar al-Khattab. Kemuncaknya, Uthman bin Affan terbunuh dan tragedi tersebut terus berkembang hingga ke hari ini. Masyarakat Islam semakin terpecah dan juga saling membunuh, sama ada dalam bentuk pembunuhan fizikal mahupun pembunuhan karakter. Faktornya, kerana mereka yang tidak berada dalam koridor kuasa melihat bahawa elit yang berkuasa dengan pelbagai kelemahan. daripada kelemahan atau kepentingan personality dan peribadi hinggalah kompetensi kepimpinan.
Jadi untuk mempengaruhi orang awam, menambahkan pengikut dan mendapat populariti pelbagai strategi disusun. Ada strategi propaganda atau dakyah disebarkan dan tidak kurang juga menggunakan strategi kekerasan. Setelah Uthman terbunuh, muncul Muawiyah bin Abi Sufyan, yang merupakan seorang yang cukup rapat dengan Rasululllah SAW menuntut agar Ali bin Abi Talib mengambil tindakan ke atas pembunuh. Tetapi dikatakan enggan berbuat demikian, bahkan mengambil beberapa orang kelompok Khawarij dalam koridor kuasa kekhalifahan.
Muawiyah semakin meluap rasa marah, lantas mengumpul kekuatan melancarkan pemberontakan ke Ali bin Abi Talib. Pemberontakan itu dikenali sebagai Perang Siffin (Mei hingga 28 Julai 657). Oleh kerana kekuatan tentera Muawiyah semakin melemah, muncul idea untuk berunding dan melakukan gencatan senjata. Melihat kepada kesediaan pasukan Muawiyah ‘sedia berunding’, khalifah akhirnya bersetuju.
Persetujuan itu akhirnya menjadi wabak perpecahan seterusnya. Sebahagian kecil kelompok tentera Ali tidak bersetuju dengan proses tahkim (runding tara) disebabkan wakil yang dipilih oleh Muawiyah dianggap licik dan tidak layak. Puak Khawarij kemudiannya bertekad, membunuh tiga orang pemimpin – Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abi Sufyan dan Amru al-Ash – kerana ketiga-tiga mereka inilah yang menjadi penyebab perpecahan.
Setelah berusaha dan melaksanakan strategi, Abdul Rahman Muljan berjaya menikam Ali selepas mengimankan sembahyang Subuh di Masjid Kufah (26 Januari 661), tetapi dua petugas yang lain (Al-Burak bin Abdillah dan Amru bin Bakr al-Tamimi) gagal membunuh Muawiyah dan Amru al-Ash. Ali disahkan meninggal dua hari kemudian (21 Ramadhan 40H/31 Januari 661).
Abdul Rahman Muljan juga ada dendam peribadi, kerana seorang wanita yang cintainya (anak salah seorang pemimpin Khawarij) meletakkan syarat, berjaya membunuh Ali akan menerimanya sebagai suami. Saudara dan ayah wanita itu terbunuh dalam peperangan di Nahrawan (antara tentera Ali dan kelompok Khawarij) pada bulan Julai 658.
Pertempuran Nahrawan merupakan kemuncak kepada ketidakpuashatian kelompok Khawarij yang menerima proses Tahkim di akhir Perang Siffin. Perang Siffin berlaku kerana adanya dendam Muawiyah di atas sikap yang diambil oleh Ali terhadap pembunuh Utsman di mana Muawiyah merupakan warisnya yang terdekat. Perang Siffin juga terjadi kerana adanya tindakan yang dirancang oleh Ali untuk melenyapkan pelbagai fitnah yang menyebabkan Utsman terbunuh, nepotisme dan kronisme.
Muawiyah dikatakan salah seorang yang mendapat kedudukan (Gabenor Syam) setelah meninggalnya, Yazid (640), iaitu saudaranya. Muawiyah dilantik pada zaman Umar al-Khattab, dan dikekalkan pada masa pemerintahan Uthman bin Affan. Ali dikatakan bercadang untuk memecat dan menyusun semula pentadbiran bagi mengelakkan lebih besar fitnah berkembang. Cadangan itu cukup membimbangkan Muawiyyah dan penyokongnya, memandangkan Muawiyah berjaya melakukan banyak kemajuan dalam peluasan takluk Islam (menawan Cyprus tahun 649, menumpaskan tentera laut Byzantium yang merupakan koloni Roman Katholik, di Lycia tahun 655) dan menyusun ketumbukan tentera yang besar (mulai tahun 647).
Namun, semua aktviti peluasan takluk oleh Muawiyah terhenti sebaik sahaja Ali bin Abi Talib mengambil alih teraju pemerintahan. Pergolakan – fitnah, dendam, kecelaruan falsafah politik dan masalah peribadi (kekeluargaan) telah menjadi umat Islam semakin berpecah. Kelompok Khawarij yang pada awalnya hanya menerima Ali bin Abi Talib sebagai pemimpin umat Islam semakin bertukar corak perjuangan, walhal sepatutnya telah selesai apabila Ali memimpin.
Pecahannya menjadi semakin ganas dan radikal. Kelompok ini kemudiannya menjadi dikenali sebagai Syiah. Syiah pula berpecah dalam beberapa kumpulan kecil. yang kemudiannya menjadi seteru yang cukup mematikan dalam sejarah umat Islam, terutama pada masa pemerintahan Abasiyyah, dan dinasti-dinasti selepasnya. Daulah Fatimiyyah di Mesir menjadi lambang terbesar kekuasaan kelompok Syiah yang ditubuhkan untuk melawan Daulah Abasiyyah yang berfahaman Sunni. Dalam beberapa ketika, pengaruh Syiah turut memasuki ekosistem pentadbiran Abasiyyah.
Kelompok inilah (dikenali sebagai assassin dalam masyarakat barat atau sekte Nizari Isma’illism dan hashashin, dalam masyarakat Islam) yang dikatakan cukup aktif dan menjadi pembunuh upahan, membunuh Nurudin Zenki (Nuruddin Mahmud bin Imaduddin Zenki bin Aq-Sunqur,1118-1174) dan dua kali cuba membunuh Salahudin al-Ayubi (1137-1193). Rashid ad-Din dikatakan mendapat upah lumayan dan dijanjikan kegiatan mereka tidak akan disekat oleh pemerintah Byzantium (Katolik), jika bersedia mengekang tentera Islam yang berteraskan fahaman Sunni.
Mereka berlindung di kawasan perbukitan di Syria, yang dipimpin oleh Rashid ad-Din Sinan (1130-1193), yang digelar “lelaki tua dari gunung- Old Men of the Mountain” dan dalam kelompoknya beliau dianggap sebagai al-mu’alim (mentor). Walaupun secara kuantittifnya, jumlah umat Islam yang bermazhab Sunni (yang kemudiannya dikenali sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah) lebih tiga suku daripada jumlah penganut Islam, pengaruh Syiah dalam sistem pemerintahan, pemikiran dan politik umat Islam semakin berkembang akibat berlakunya pertembungan pelbagai aliran falsafah, perkembangan ilmu-ilmu dan metod pemikiran sekular.
Ini kerana pemikiran Syiah lebih mengutamakan pragmatisme, dan akal rasional dalam menentukan sesuatu permasalahan sehingga ikut mempengaruhi ramai anak muda Islam yang takjub dengan fahaman impirisme yang berkembang dalam tradisi ilmiah barat. Malaysia tidak terkecuali dalam asakan dan desakan aliran pemikiran sedemikian selain daripada aliran sekte yang berkembang dalam kelompok yang mendefinisikan semula aliran pemikiran Ibnu Taimiyah dan beberapa orang tokoh falsafah Islam yang awalnya berkembang di Andalusia (Sepanyol).
Andalusia merupakan sebuah pusat yang terbina dengan kekuatan ilmu dan kepimpinan Islam selama 700 tahun, yang kadangkala dilihat sebagai bermulanya asas fahaman liberal dan menepis kedudukan atau keutamaan wahyu dalam pemikiran umat, semuanya disandarkan kepada pemikiran rasional.
Aliran falsafah ini turut diterima sebagai punca yang akan membolehkan Islam menjadi sebuah titik kemajuan yang dahsyat, dan mereka yang terus kekal berpegang kepada aliran pemikiran Sunni dituduh telah menyebabkan ‘tertutupnya minda’ dan kemunduran umat Islam.
Hal ini turut diakui oleh cendekiawan Muslim sendiri dan bukan Islam (Hamka, Falsafah Hidup, 1995; Majid Fakry, Sejarah Falsafah Islam, terjemahan, 1989; dan Robert R Relly, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin, terjemahan, 2017). Ia menjadi semakin rumit apabila semakin ramai pelajar-pelajar Islam dari Nusantara dihantar untuk menyambung pendidikan mereka pelbagai institusi di pelbagai negara, yang sebahagiannya menjadi lebih tekun mempelajari Islam untuk ditafsirkan dalam konteks impirisme.
Mereka ini kemudiannya, setelah tamat pengajian menjadi sarjana yang cuba melihat Islam dalam konteks keilmiahan barat dan memperkenalkan konsep-konsep yang awal berasal daripada terma kajian ke atas Kristian ke dalam bentuk dan asas keilmuan Islam kerana taksub dengan kebebasan akademik dan kemantapan kerangka teori barat. Antara konsep-konsep yang menjadi popular ialah hermeneutika, emansipasi (feminisme, kesetaraan gender dan hak asasi), etno-religius, communicative action (ruang awam, ruang peribadi, hegemoni dan oligarki) dan skeptisme.
Oleh kerana itu muncul pelbagai tekanan kepada elit politik yang berkuasa, mereka mencabar bukan sahaja statusquo bahkan ikut mempertikaikan apa sahaja dasar dan keputusan yang dibuat oleh pemerintah. Mereka mula mempersoalkan rasional, justifikasi dan juga semangat zaman dengan andaian bahawa negara akan menjadi lebih maju dan berkembang sekira nilai-nilai barat (pemikiran dan pembangunan fizikal) diambil, diubahsuai dan dikerangkakan dengan kearifan lokal, kerana sesebuah negara tidak lagi boleh secara isolasi.
Namun, pengalaman-pengalaman tradisi, konteks keilmuan lama dan asas pemikiran agama turut dicadangkan agar berubah, kerana mereka percaya bahawa tradisi itulah yang telah menyebabkan negara-negara Islam mundur, bahkan sentiasa dikawal oleh peradaban barat. Dalam masa yang sama, muncul sekelompok lagi pemikiran yang dilihat menolak sikap liberal, demokrat dan harmonisasi, kerana unsur-unsur itulah telah menyebabkan Islam semakin tercabar dan diperlekehkan.
Kita tahu, Islam adalah agama tauhid yang tidak boleh berkompromi atas kedaulatan Allah SWT sebagai Maha Pencipta, dan Maha Penyayang. Rahmat-Nya melimpah-limpah, dan kadangkala kita bersikap ‘take think for granted’ tetapi pula berkesempatan berdikir mula menyalahkan orang lain dan mengecam sesiapa yang dilihat semacam paradoks. Inilah imaginasi yang dibangunkan dalam segelintir masyarakat Islam yang menyebabkan Islam terus dilontarkan dengan pelbagai kecaman dan kutukan, kerana umat Islam sendiri menjadi ‘tidak ramah’.
Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Ismail Hashim Yahya sebagai fantasmagoria, realiti buatan yang selalu berubah dari masa ke semasa yang diharap dapat menjadi realiti sebenar mengantikan realiti hakiki yang akan dilupakan oleh tujahan gelombang, maklumat palsu dan manipulasi tanpa henti dalam sesuatu waktu.
Bukankah fantasmagoria itu menepati makna langkau kebenaran (post-truth). Post-truth bermula dengan cuitan nakal terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa sehingga cuitan nakal itu membentuk cognitive surplus (istilah Clay Silky, Surplus Cognitive: How Technology Makes Consumers Into Collaboration, New York: Penguin Publishing Group, 2011).
Atau ia adalah fenomena dunia maya yang disifatkan oleh Amir Yasrat Pilliang sebagai kelahiran ‘ruang kesepian’ yang cuba memasuki (merentasi) “ruang sosial”. (Amir Yasraf Pilliang, Bayang-Bayang Tuhan: Agama dan Imaginasi, Jakarta: Penerbit Mizan Publika, 2011).
Kenapa memasuki ‘ruang sosial’ yang selalunya diidentifikasi dengan populariti dan mencari pengaruh? Tentunya ada sesuatu matlamat yang hendak dicapai. Jadi, dalam memenuhi harapan dan ekspektasi itu, dilakukan kritikan, imaginasi nakal dengan menyindir, mengecam dan seterusnya menunjukkan imajinasi sendiri dalam emosi riak, bongkak dan sombong, secara sedar atau tidak.
Jika dilihat daripada keterkaitannya, saya percaya mereka-mereka yang menyerang institusi seperti JAKIM dan kadang kala lebih bersifat peribadi menyerang Menteri Agama ada hubungan yang rapat dengan seorang tokoh agama sebuah negeri. Merunut semula perjalanan tokoh tersebut kita akan menemui beberapa kenyataan klasiknya tatkala menjelang pilihan raya umum. Kita pernah mendengar kenyatannya, pernah ditawarkan untuk bertanding, namun secara semiotiknya, beliau berandaian begitu, dan mengharapkan sesuatu yang lebih besar jika menang. Saya hanya membaca tanda-tanda dalam kenyataan terbukanya, tetapi saya juga kadangkala mual apabila beliau mengulas mengenai tawaran tersebut.
Beliau cukup tinggi imaginasinya. Imaginasi, menurut Yasraf Amir Pilliang, “…mekanisme psikis dalam melihat, melukiskan, membayangkan, atau memvisualkan sesuatu di dalam struktur kesedaran, yang menghasilkan sebuah citra (image) pada otak…apa yang kita bayangkan dapat berasal dari dunia luar (melalui persepsi) atau di dalam dunia mental itu sendiri (seperti mimpi). “Imaginasi adalah struktur mental menyangkut bagaimana seseorang membuat potret dunia (world picture), iaitu konsepsi, representasi, dan makna dunia, dengan sudut pandang, perasaan logik dan keyakinan tertentu.
“Apa yang kita bayangkan dapat bersifat internal iaitu membayangkan diri sendiri, masyarakat sendiri, atau bangsa sendiri, yang menghasilkan citra diri sendiri (self-image); atau membayangkan sesuatu yang external: orang lain, komuniti lain, agama lain, suku lain, alien, atau Tuhan, yang menghasilkan citra yang lain (image of the others).
“Imajinasi diri (self imagination) adalah proses pembayangan diri sendiri, baik diri individu, kelompok, bangsa atau umat. Imajinasi diri individu menghasilkan citra diri (self-image) yang menjadi dasar subjektiviti (subjectivity).
“…Hal itu akan membuat orang terperangkap di dalam citra palsu (pseudo image) dan terpancang selamanya di sana.” (Amir Yasraf Pilliang, Bayang-Bayang Tuhan…, hal. xxi).
Hal itu banyak saya temukan apabila membaca tulisan-tulisannya; mendengar atau menonton klip video yang dimuatkan dalam media sosial. Tetapi, ia tidak bermakan ‘tidak dibolehkan’ berimaginasi. Imaginasi diperbolehkan, tetapi jangan sampai ke peringkat merendah-rendahkan fikiran orang lain, pendapat mahupun peribadinya, kecuali ia benar-benar disahkan salah dan terkeluar daripada akidah.
Mencari populariti dibolehkan, tetapi bukan dengan cara menghodohkan peribadi orang lain. Mengkritik diperbolehkan, asalkan kritikan itu tidak bersifat menyerang peribadi, bertelagah pendapat. Jika ada kesilapan, kelemahan, kekurangan atau kejanggalan, jelaskanlah secara berhemah secara jujur apa yang sepatutnya dilakukan, bukan menghentam tanpa membina konstruksi yang jelas. Setiap manusia ada kekuatan dan kelemahannya, dan kerana itulah setiap manusia berperanan sebagai saling melengkapi, bukan menghina.
Saya akur, saya juga mungkin silap dalam menyatakan pandangan dalam rencana ini. Tetapi, sebagai orang awam yang kadangkala muak dengan segelintir pemuka agama di atas caranya menegur, memerihalkan keangkuhan diri, berseru seumpama ‘seruan berhantu’.
Saya kadangkala merasakan apakah ini sebenarnya wajah orang beragama yang perlu kita jadikan pedoman dan suri teladan? Ini bukan bererti saya membenci orang yang berilmu atau dipanggil ulama. Imam al-Ghazali menamakan ulama yang mementingkan (pesona) dunia, sanggup ‘menjual agama’ demi mencari kedudukan (mengharapkan pangkat, prestij sosial dan ekonomi) sebagai ulama suu (ulama jahat).
Jalaludin Rumi dalam kumpulan syarahannya berkata: Sifat-sifat buruk- zalim, iri, dengki, serakah, keras hati, dan sombong- ketika ada dalam dirinya, kau akan merasa biasa saja. Namun, saat kau melihat sifat-sifat itu pada diri orang lain, kau segera menghindar dan merasan tersengat.
“Seseorang tidak jijik pada kudis dan kurap di tubuhnya sendiri. Ia mencelupkan tangannya yang luka ke dalam sayur sup kemudian menjilatnya. Sama sekali tidak muak. Namun, jika ia melihat bekas kudis saja atau sekadar luka kecil di tangan orang lain, ia akan menghindari sup orang itu dan tidak mahu memakannya.
“Sifat-sifat buruk ibarat kudis dan kurap. Ketika kudis dan kurap itu ada di diri sendiri, seseorang tidak merasa menderita. Namun, jika ia melihat bekas-bekasnya saja pada orang lain, ia merasa tidak nyaman dan perlu menghindar.” (Jalaludin Rumi, Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, terjemahan Abu Ali dan Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, cetakan kedua, 2016, hal. 65).
Saya petik dua cuplikan (anekdot) Imam al-Ghazali sebagai pengakhiran tulisan ini: Al-Hasaan berkata: Umar RA duduk-duduk bersama sekelompok manusia. Tiba-tiba al-Jarud bin al-Munzhir datang. Lalu seorang dari mereka berkata: “Orang ini adalah kepada suku Rabi’ah.”
Kata-kata itu di dengar oleh Umar dan orang yang berada di situ dan turut didengar oleh al-Jarud. Ketika mendekati Umar, Umar memukul al-Jarud dengan cambuk yang ada di tangannya.
Maka al-Jarud bertanya: “Apa yang terjadi antara saya dengan engkau, wahai Amirul Mukminin?”
Umar menjawab: “Apa yang terjadi antara saya denganmu, apakah kamu tidak mendengar perkataan tadi?”.
Al-Jarud menjawab: “Saya mendengarnya, lalu apa?”
Umar menjawab: Saya khuatir perkataan tadi bercampur dengan hatimu, lalu saya ingin menundukkan kepalamu.”
(Imam al-Ghazali, Panduan Mengawal Lisan: Kenali Bahaya dan Kegelincirannya, Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise, 2003, hal. 181-182, yang merupakan bab ke-4 dalam jilid ketiga Ihya Ulumuddin, terjemahan al-Haj Maulana Fazlur Karim, New Delhi: Islamic Book Service, cetakan ketiga, 2008).
Anekdot kedua, dipetik daripada Bab Ilmu, dalam Ihya Ulumuddin, Jilid 1: “Ibnu Mubarak menganggap hanya orang berilmu termasuk dalam kalangan manusia, kerana ilmu membezakan antara manusia dengan binatang ternakan. Manusia itu mulia kerana ilmu yang dimilikinya, bukan kerana kekuatan yang ada padanya, bahkan unta lebih kuat daripada manusia.
“Bukan kerana saiznya, malah gajah lebih besar daripada manusia. Bukan kerana sifat beraninya, kerana singa ternyata lebih berani daripada manusia. Bukan juga kerana kuat makannya, kerana perut seladang lebih besar daripada manusia. Malah bukan kerana kekuatan nafsunya, kerana sekecil-kecil burung pun lebih banyak mengawan daripada manusia. Bahkan manusia dicipta kerana sifat ilmunya.”
(Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Menghidupkan Ilmu Agama, Jilid 1, Kitab Ilmu, terjemahan Mohamad Hilmi Marjunit dan Zahid M Naser, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2023, hal.22).
Penulis Khas
Petikan: alfalahmadani.my
Recent Comments