Akhir-akhir ini, Malaysia berhadapan dengan situasi tidak menyenangkan di mana terdapat segenlintir ulama meletakkan dirinya ke kancah pemalsuan ilmu. Ulama sanggup menggunakan kepintaran hujahnya untuk mempengaruhi orang awam hanya semata-mata mencari populariti, yang kalau diterjemahkan ialah berusaha memasukkan dirinya dalam bingkai politik dan kuasa.
Kemunculan kelompok yang penulis anggap mereka ini tergolong ulama su yang menggunakan tafsiran masing-masing dan acuannya yang lebih tertakluk kepada kepintaran akal dan walaupun ia merupakan kelompok kecil, ia berjaya mempengaruhi pendapat awam. Di zaman akhir ini, banyak manusia yang ingin meraih kekuasaan politik, tetapi tujuannya bukan untuk meninggikan kalimatullah, mereka hanya ingin mendapat posisi yang tinggi, dan terhormat, tetapi lupa kepada yang maha Tinggi, dan kenderaan yang ditumpanginya bukan kenderaan yang menuju ke arah penegakkan hukum Islam. Sikap ulama demikianlah dipanggil ulama su atau jahat oleh al-Ghazali, kerana ulama tersebut berusaha membangunkan citra diri seolah-olah dirinya sahaja yang betul, benar dan mampu menyelamatkan keadaan. Dari segi praktiknya, ulama tersebut tidak mahir dalam aspek pengurusan negara.
Ulama seperti itu boleh dikategorikan sebagai orang yang pandai tetapi dari segi siasahnya masih belum cukup cerdik. Dengan erti yang lain, ulama berkenaan melihat dirinya sebagai intelektual walhal dalam perkara muamalah, masih tidak cukup berpengalaman dan mahir.
Secara teorinya mereka memahami dengan baik, secara alaminya, kaedah dan sahsiahnya masih belum teruji, hanya berlagak alim, merendah diri dan mudah didekati. Inilah ironinya ulama yang mengharapkan kelebihan kebendaan. Setiap percakapannya seperti “kelingking berkait”, apa yang diperkatakan terselubung pelbagai agenda halus.
Ia membina persepsi seolah-olah elit politik yang memerintah tidak cukup berani bertindak, kurang cekap dan lambat memberikan reaksi. Ada juga yang mendesak agar menteri yang dipertanggungjawab itu digugur atau dipecat daripada barisan kabinet. Digantikan dengan tokoh-tokoh agama yang lebih muda, berani, berpendidikan dan agresif mempertahankan agama. Alasannya,kononnya tokoh-tokoh tersebut lebik baik ilmunya dan lebih berani menyampaikan wawasan pemikiran, yang kadangkala bersifat radikal dan tegas.
Itulah persoalan besar yang sedang berkembang dalam aksi dan budaya politik di Malaysia, yang pada anggapan mereka, merekalah yang paling baik dan sesuai untuk memimpin. Sedangkan mereka ini sebenanrya terdiri dari ulama jahat yang bercita-cita menghancurkan negara.
Kita tahu, cubaan melobi mendapatkan sesuatu jawatan bukan perkara baharu, apatah lagi jika ada prerogatif melantik seseorang itu menduduki posisi kemuncak dalam sesebuah organisasi boleh berlaku melalui lantikan, bukan diwajibkan mempunyai status sebagai wakil rakyat. Mereka becita-cita untuk mengambil alih tempat Dato’ Setia Dr Mohd Naim Mokhtar sebagai menteri agama.
Menteri Agama, sudah beberapa kali diberikan unjuran nakal: digantikan oleh PMX atau meletakkan jawatan, yang boleh dikesan daripada isu sijil halal, Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan 2024; kes GISB; dan terbaharu imaginasinya setelah mendengar bacaan surah dalam sembahyang yang diimankan oleh Syeikh Dr Abdul Rahman al-Saudis “yang amat menyentuh hati”, “menitiskan air mata menghayati firman Allah” dan “mengamati tausyiah …yang penuh bersulam air mata.”
Apakah perkongsian kegembiraan dan imaginasi Menteri Agama itu sesuatu yang patut disembunyikan atau paradoks dengan hantaran kata-kata sinis Abu Hafiz Sallehhudin bila mengomen: Tatkala di Malaysia, Menteri Agama berhempas pulas memecat aliran Saudi dari Ahli Sunnah sehingga ke tahap kriminalisasi… kemudian ke sana dengan ayat-ayat sebegitu? “Moga watak dibawa Menteri Agama seperti beliau tidak lagi berterusan dalam pembinaan negara Madani.” (https://www.facebook,com/share/p/14dPw2xCnN/).
Dalam kes GISB, Abu Hafiz pernah mencabar Menteri Agama meletakkan jawatan kerana lambat bertindak. Sikap berprasangka buruk dan menghina bagaikan budaya yang sukar dibendung lantas menjadikan manusia saling bercakaran dan bermusuhan kerana terhakisnya rasa percaya antara satu sama lain. Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu lama untuk disebarkan. Semuanya mampu dilakukan dengan kecanggihan teknologi yang disalahguna bagi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Ini pastilah amat bertentangan dengan prinsip al-Quran yang jelas menegaskan:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa.” (al-Hujurat:12). Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. turut dipertegaskan: Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah perbicaraan yang paling dusta (riwayat Muttafaqun Alaihi).
Golongan yang suka mencaci maki ini tidak sepatutnya datang dari golongan berpendidikan tinggi yang bergelar ulama. Inilah akibat nafsu serakah yang tidak terkendali. Kebencian yang berlebihan itu sesungguhnya menghancurkan sesiapa sahaja. Inilah yang digelar Ulama su’ yang dipopularkan oleh al-Ghazali, merupakan orang pertama yang akan dihumban ke dalam neraka seandainya mereka terjerumus dengan godaan duniawi dan melalaikan peranan mereka sebagai penjaga dan pengawal prinsip-prinsip agama dalam kerajaan dan amalan hidup rakyat. Ulama, yang sepatutnya berperanan menasihati penguasa agar sentiasa berada di jalan kebenaran, malah berperanan sebagai perosak tatanan kehidupan bernegara.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan karena Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Karena (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan” (Maksud surah Maidah ayat 8)
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments