“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang yang kafir) dan supaya kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim…” QS Ali Imran 3:140
Peradaban Barat sebenarnya muncul dalam suatu bangsa yang tidak memiliki sumber air jernih dan tidak mempunyai mata air sejuk untuk menghayati hikmah Ilahi. Orang Barat sendiri kini mula menyedari kesan-kesan buruk dan bahaya dari tamadunnya yang mengutamakan kebendaan semata-mata. Mereka cuba kembali semula kepada agama dan menatap masa depan dengan keyakinan agama. Namun hakikatnya mereka sebenarnya sudah terlambat.
Pada dasarnya tamadun Barat yang berlandaskan kebendaan, kepentingan diri dan hawa nafsu sebenarnya tidak mampu bertahan kerana mereka hanya bersandarkan kepada pemikiran manusia semata-mata. Mereka tidak dapat memberi apa-apa dan ada yang tidak dapat diterima langsung kerana perbezaan masyarakat, masa dan suasana.
Perkara ini senada dengan pandangan Alexis Carel iaitu tokoh ilmuan Barat, pemenang Hadiah Nobel dalam bidang sains dan juga penulis buku Manusia Makhluk Yang Misteri telah memberi kritikan ilmiah terhadap tamadun Barat berdasarkan kepada logik dan paradigma ilmu. Dalam buku tersebut beliau menyatakan:
“Tamadun Barat moden sedang menemukan dirinya pada posisi yang sulit kerana tamadun itu tidak sesuai dengan kita. Tamadun ini dibentuk tanpa mengenal tabiat kita yang sebenarnya. Ini disebabkan ia dilahirkan daripada khayalan-khayalan penemuan ilmiah, hawa nafsu, imaginasi, teori-teori dan hasrat manusia. Meskipun ia diciptakan dengan jerih payah kita, namun ia tidak sesuai jika dilihat dari ukuran dan bentuk kita”.
Demikianlah kebakaran hutan yang memusnahkan sebahagian bandar Los Angeles dan daerah sekitarnya, memusnahkan kawasan perumahan dan perniagaan, serta tempat-tempat awam. Jumlah kematian kini seramai 24 orang dan dijangka meningkat, dengan hampir 180,000 orang diarah berpindah. Sheriff Robert Luna menyatakan bahawa kawasan yang terjejas “kelihatan seperti bom dijatuhkan di dalamnya.”
Sebelum kebakaran L.A. ini berlaku, Presiden dipilih US, Donald Trump, telah menyatakan “All hell will break loose” di Timur Tengah, jika Hamas tidak membebaskan tawanan Israel. Maksud beliau, kawasan Timur Tengah akan terjerumus dalam kancah peperangan dan kemusnahan. Tetapi sebaliknya, selama 2 hari Los Angeles disambar api yang seolah-olah mencerminkan situasi kezaliman di Gaza, Palestin.
Namun bukanlah sifat atau akhlak orang Islam untuk mentertawakan dan merasa puas hati ke atas musibah yang menimpa, tetapi hendaklah seorang mukmin menghalusi pengajaran di sebalik kejadiannya. Kebakaran hutan di Los Angeles mengingatkan kita tentang kerapuhan hidup dan betapa peritnya perasaan kehilangan. Sedikit sebanyak ia sepatutnya melahirkan perasaan empati, khususnya di kalangan rakyat Amerika, terhadap orang lain yang mengalami kesusahan dan penindasan tanpa henti seperti penduduk Gaza.
Jika seseorang itu beriman, maka beliau akan melihat peristiwa ini sebagai peringatan daripada Allah SWT. Mesej yang terkandung dalam setiap tragedi, di mana sahaja ia berlaku, menyeru umat manusia untuk berdiri teguh bersama-sama, meringankan kesakitan orang lain, dan merenung secara mendalam kesan keputusan dan tindakan kita terhadap sesama manusia dan ke atas bumi Allah pada umumnya.
Allah telah menetapkan dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, maka Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali (kepada kebenaran).” – (Surah Ar-Rum, 30:41)
Seperti yang sedia maklum, Amerika Syarikat setiap tahun mengalirkan berbilion-bilion dolar untuk menyokong Israel. Dana ini digunakan untuk membiayai ketenteraan negara haram itu, menjalankan serangan ke atas Gaza dan Lubnan sepanjang tahun 2024. Kini, jumlah kerosakan dan kerugian ekonomi yang dikaitkan dengan kebakaran hutan di Los Angeles, dianggarkan antara 135 hingga 150 billion dollar, menurut angka terkini. Los Angeles juga terkenal di seluruh dunia kerana studio-studio Hollywood, yang terletak di dalam kawasannya. Namun tidak ramai yang tahu bahawa sejak tahun 70-an, bukit-bukit di atas Hollywood telah menjadi tuan rumah kepada industri pornografi yang berkembang pesat. Majoriti filem seks Amerika dirakam di sana, menjadikan Lembah San Fernando kaya dengan meraih 4 billion dollar setahun, ketika zaman kegemilangannya pada era 90-an.
Los Angeles juga mempunyai sejarah panjang dalam penerimaan dan perjuangan gerakan LGBT, termasuk perarakan LGBT pertama di dunia pada tahun 1970. Kota Los Angeles meraikan Bulan Warisan LGBT setiap Jun hingga ke hari ini. Pada malam Rabu lalu, kebakaran telah meletus di Runyon Canyon di Hollywood Hills, betul-betul di atas Hollywood Boulevard dan Hollywood Barat, yang mempunyai populasi LGBT yang sangat besar.
Peristiwa kebakaran ini juga telah menunjukkan kegagalan pentadbiran Los Angeles. Dilaporkan bahawa pihak penguasa telah menolak bajet tahunan bagi cadangan untuk mengisi takungan air. Manakala Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, telah memotong belanjawan sebanyak 17.6 juta dollar ke atas jabatan bomba. Akibatnya, pili bomba di sekitar kebakaran itu tidak mempunyai air yang cukup.
Ahli fiqh dan pemikir agung Islam, Imam Ghazali Rahimahullah menghuraikan tragedi dan bencana alam dengan sangat jelas. Beliau menyatakan bahawa setiap muslim percaya bahawa Allah yang menghendaki perkara yang ada, dan perkara yang berlaku. Tidak akan terjadi di dunia, sama ada nyata atau ghaib, sedikit atau banyak, kecil atau besar, baik atau jahat, kelebihan atau kekurangan, iman atau kufur, pengetahuan atau kejahilan, kejayaan atau kerugian, bertambah atau berkurang, ketaatan atau pemberontakan, kecuali dengan kehendak-Nya. Apa yang Allah kehendaki akan berlaku, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya, tidak berlaku. Dialah yang Mencipta, Yang Membawa Kembali, Yang Melakukan apa yang Dia kehendaki.
Sebagai orang Islam kita percaya bahawa Allah Maha Bijaksana dan segala yang Allah lakukan adalah betul, adil dan saksama. Kita mesti tunduk dan berserah kepada KehendakNya. Al-Quran tidak memberikan kita semua perincian tentang Kehendak Allah, tetapi ia telah menerangi kita dengan petunjuk yang berguna dan mencukupi untuk kita. Kadangkala Allah menghukum sebahagian manusia kerana pelanggaran hukum-hakamNya, sama ada yang fizikal atau yang moral. Apabila azab itu turun, maka semua orang akan dibinasakan, sama ada yang berdosa atau tidak. Al-Quran memberitahu kita bahawa banyak negara dan masyarakat telah musnah kerana gaya hidup mereka yang penuh dengan dosa.
Melalui kalimah ‘kun’, Allah SWT menegaskan kekuasaannya tidak dapat ditandingi. Sebagaimana tercatat dalam surat Yasin ayat 82, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.” – (Surah Yasin, ayat 82)
Kalimah ‘Kun’ menggambarkan segala suatu yang memang sudah dikehendaki oleh Allah SWT maka akan benar-benar terjadi tanpa terkecuali. Ia menjadi bukti kepada kekuasaan Allah SWT, yang meliputi segala hal di alam semesta. Allah SWT juga memberi amaran di dalam Al-Quran kepada manusia yang melihat kerosakan, tetapi tidak menghalang atau membetulkan mereka yang bersalah. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.” (Surah Hud, ayat 116)
Orang mukmin menghadapi derita dan tragedi dengan doa, taubat dan amal soleh. Manakala orang yang tidak beriman menghadapinya dengan keraguan dan kekeliruan. Mereka akan menyalahkan Allah SWT dan menyalahkan-Nya. Semoga Allah menetapkan kita di jalan yang benar.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments