Seperti ‘pucuk dicita ulam mendatang’ dengan kuasa British itulah akhirnya negara haram Israel dirintis, dan British pula menaungi perancangan membawa masuk imigran Yahudi dari seluruh dunia ke Palestin. British turut melatih kumpulan-kumpulan samseng dan gangster Yahudi, dengan membenarkan penubuhan pasukan separa tentera (Haganah, Irgun dan sebagainya), yang kemudiannya mengkhianati British, mendesak mandat tersebut ditamatkan segera.

Kemuncaknya, serangan dan pembunuhan ke atas askar British serta pengeboman Hotel King David di Jerusalem, dilakukan oleh kumpulan pengganas Irgun. Ia merupakan hotel lima bintang (mempunyai 237 bilik, dan didirikan di atas tanah seluas 4.5 ekar atau 18,000 meter persegi) dan ahli The Leading Hotels of the World. Kejadian itu berlaku pada 1946 setelah beroperasi selama 15 tahun (sejak 1931). Seramai 91 orang terbunuh dan lebih 45 orang cedera.

Israel juga turut menekan Amerika Syarikat untuk mempercepatkan proses penubuhan negara haram Israel selepas Perang Dunia II, di mana Britain menyerahkan proses tersebut. Britain menolak kerana negara itu berhadapan dengan masalah, telah mengeluarkan belanja yang besar untuk mentadbir wilayah-wilayah yang diserahkan dalam mandat terbabit selain berhadapan dengan kemunculan gerakan kesedaran kebangsaan (nasionalisme) di beberapa koloninya di Asia dan Afrika, seperti India dan Tanah Melayu serta pengembangan ideologi komunis.

Sebagai tekanan untuk mempercepatkan proses tersebut, Israel melakukan pelbagai serangan dan mengancam Amerika Syarikat. Tindakannya termasuk mengebom aset, kapal milik Amerika Syarikat. Namun, Amerika Syarikat yang terpaksa membayar harga mahal, akhirnya menjadi peneraju utama membentuk negara haram Israel.

Tularnya video itu, Ahed Tamimi mendapat perhatian seluruh dunia. Penangkapannya berpunca daripada pembabitannya dalam satu tunjuk perasaan di Nabi Saleh pada 15 Disember 2017 dan dalam tunjuk perasaan itu, tentera Israel (IDF) menggunakan gas pemedih mata dan peluru hidup bersalut getah sebagai langkah penyuraian.

Salah satu peluru bersalut getah ditembak dari jarak dekat dan terkena sepupunya, Mohammad Tamimi, yang ketika itu berusia 15 tahun. Mohammad mengalami luka parah, dan memerlukan rawatan pembedahan kerana berlaku pendarahan dalam kepala. Muhammad mungkin akan mengalami lumpuh.

Namun, dalam keadaan kesakitan yang amat parah, tentera IDF tidak mempunyai apa-apa rasa simpati dan rasa bersalah, menembak anak-anak Palestin semahunya, walaupun mereka hanya melemparkan batu sebagai simbol melawan dan menentang pendudukan haram Israel. Di Nabi Saleh, situasi sedemikian bukanlah sesuatu yang asing sejak Israel menduduki Tebing Barat (1967), walaupun desa berkenaan masih berada dalam wilayah Palestin berdasarkan pembahagian kawasan oleh PBB pada tahun 1947.

Palestin diberikan sejumlah 44 peratus keluasan tanah, manakala negara haram Israel mendapat 55 peratus. Bakinya, 1 peratus ditadbirkan sebagai wilayah antarabangsa, iaitu di Jerusalem, yang menjadi kawasan rebutan antara tiga penganut agama wahyu – Yahudi, Kristian dan Islam –yang kemudiannya dituntut oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) sebagai ‘tanah suci’. (Nur Mashalha, Palestin: A Four Thousand Year History, London: ZED Books, 2018; Rashid Khalidi, The Hundred Years’ War on Palestine: History of Settler Colonialism and Resistance, 1917-2017, New York: Picador 2020; dan Tom Segev, Israel: The War, and The Year That Transformed The Middle East, New York: Metropolitan Books, 1967)

Sekarang, keluasan tanah yang dimiliki oleh penduduk Palestin menjadi semakin mengecil, dan setiap ketika ada sahaja usaha penjarahan oleh peneroka Yahudi yang disokong oleh IDF dan dasar penjajahan Tel Aviv berlaku.

Demonstrasi dan perlawanan yang berlaku sejak sebelum tertubuhnya negara haram Israel berakar pada permasalahan ‘rampasan’ dan ‘penguasaan tanah’ di mana setelah tanah-tanah dirampas, rumah-rumah diruntuhkan dan diduduki, dituduh pula bahawa orang-orang Palestin ‘merusuh’ apabila mereka menuntut hak yang telah dirampas.

Israel memainkan propaganda, bahawa orang-orang Palestin sepatutnya ‘berterima kasih’ kerana membenarkan mereka pulang ‘mengambil barang-barang mereka yang tertinggal’ di dalam ‘rumah atau tanah yang dirampas’. Sejak Perang Enam Hari (Jun 1967), Israel dilaporkan memiliki keluasan 77 peratus daripada keseluruhan tanah di Palestin.

Tentunya, keluasan itu bertambah lagi ekoran konflik Gaza yang bermula 7 Oktober 2023 dan hingga kini masih belum tamat. Kaedah membumiratakan dan menghentak kerak tanah terus digunakan, kerana Israel merasakan itulah cara terbaik untuk menghapus keturunan Arab-Palestin, sebagaimana diimpikan oleh Ben Gurion sejak tahun 1937.

Apa pun proses untuk mendapatkan balik tanah atau rumah yang dirampas itu, menjadi semakin sulit dan tidak ada harapan langsung. Israel tidak menerima apa-apa bukti, termasuk geran tanah yang mencacatkan nama pemiliknya.

Israel akan melakukan apa sahaja tindakan demi ‘pembersihan etnik Arab-Palestin’ daripada tanah air mereka sendiri. (Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine, London: Oneworld Publications, 2007; Ilan Pappe, The Biggest Prison on Earth: A History of the Occupied Territories, London: Oneworld Publications, 2017; dan Noam Chomsky dan Ilan Pappe, Perihal Palestin, edisi terjemahan dari On Palestine (2014) oleh Maryam Zakiah, P.Jaya: Hashim Sani Centre for Palestine Studies – Biblio Press. 2024).

Jerusalem yang tumbuh sebagai pusat ‘rebutan’ dianggap sebagai ‘tanah suci’ bagi tiga agama wahyu. Perseteruan itu mula menjadi yang tidak berpenghujung apabila Islam mula dilihat sebagai kuasa baharu yang muncul di Arab Saudi.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW (8 Jun 632), pada zaman pemerintahan khalifah ar-Rasyidin, muncul usaha memperluaskan penaklukan atas tujuan dakwah. Pada tahun 636, tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid berjaya mengalahkan tentera Rom Byzantium dalam Perang Yarmouk.

Kemudian pada tahun 637/638, Khalifah Umar al-Khattab memasuki Jerusalem dan menguasainya. Ia kemudian menjadi asas peperangan antara tentera Islam dan tentera Salib apabila seruan ‘perang suci’ oleh Pop Urbanus II dimulakan pada tahun 1095.

Ia berlaku bukan kerana kebimbangan bahawa penganut Kristian dan Yahudi dihalang daripada menziarahi ‘tanah suci’ tetapi kerana kemunculan oportunis Eropah yang mahu mengembangkan pengaruh dan merasakan dengan penaklukan wilayah-wilayah baharu, mereka muncul sebagai wira dan juga sebagaipemerintah. Dengan melihatnya sebagai “dunia baharu, new world”, beberapa orang oportunis bakal dilantik menjadi dan diberi kuasa sebagai pemerintah.

Namun alasan yang mereka gunakan ialah untuk menghalang Islam terus menguasai Jerusalem berdasarkan permohonan perlindungan daripada utusan Maharaja Byzantium, Alexius I Comnenus pada bulan Mac 1095, hanya seumpama sebuah sandiwara.

Pop Urbanus II pula berhadapan dengan perpecahan dalam kalangan gereja-gereja di Eropah. Akibat perpecahan itu, sebahagian penguasa gereja di Eropah Timur tidak lagi menghormati dan merujuk kepada keputusan penguasa gereja Roman Katholik. Dengan adanya permohonan tersebut, Pop Urbanus II mula merasakan bahawa dengan melakukan seruan Perang Salib ke atas Islam, ia mampu menyatukan semula kuasa-kuasa gereja dan memperbaiki kedudukan kuasa Roman Katholik.

Ia tidak menjadi kenyataan, beberapa kurun selepasnya, muncul pelbagai pertentang dan konflik dalam kuasa gereja. Katholik semakin tercabar, mazhab Lutherian semakin diterima oleh Eropah Timur. Selepas itu, muncul konflik berdarah yang besar, dan terbentuk satu lagi pecahan mazhab dalam agama Kristian, yang dikenali sebagai Protestan Di Perancis, berlaku peperangan selama 30 tahun (1562-1598), Perang Rakyat Jelaya di Jerman (1524-1525), Perang Kappel di Konfederasi Swizz lama (1529-1931), Perang Schmalkaldis (1546-1547) di Kekaisaran Romawi Cuci; Perang Lapan Puluh Tahun (1568-1648; dan Perang Tiga Kerajaan (1639-1651 membabitkan England, Ireland dan Skotland. (rujuk https://p2k.stekom.ac.id/ensiklopedia/Perang_agama_Eropa_)

Pop Urbanus II mendapat akal yang ‘cerdik’ bagi menggalakkan penyertaan masyarakat Eropah untuk melakukan peperangan melawan kekuasaan Islam. Dari situlah munculnya doktrin ‘tebus dosa’ di mana mereka yang menyertai ‘perang suci’ itu akan dihapuskan dosa-dosa silamnya, manakala sepanjang pembabitan dalam perang, harta dan keluarga akan dijamin oleh pihak gereja.

Seruan itu mendapat sambutan luar biasa, dan penyertaan perang datang daripada pelbagai penjuru Eropah serta pelbagai lapisan sosial (ahli agama, bangsawan dan rakyat kebanyakan).

Selain itu, dalam kalangan para bangsawan dan perwira perang, mereka juga menginginkan kawasan-kawasan baharu untuk dijadikan koloni. Segelintirnya pula mengharapkan dengan ‘penaklukan’ akan menjadikan mereka sebagai pemimpin (penguasa) kalaupun tidak dilantik sebagai raja di wilayah-wilayah yang akan ditakluki.

Dalam pemikiran sebahagian daripada penakluk, setiap orang yang mereka temui di ‘dunia baru’ dianggap ‘tidak bertamadun’ dan meberikan gelaran yang jelek dan buruk, seperti Red Indian dan Moors. Penjelajahan berlaku di setiap penjuru, dari benua Amerika di barat hingga ke timur (India, Alam Melayu, China dan Kepualaun Pasifik) serta benua Afrika.

Oleh kerana pusat tamadun manusia yang terbesar dan paling awal (Mesopotamia) berada di jalur Timur Tengah, maka jalur itu pula menjadi minat setelah mendapati ia adalah kawasan yang strategik, yang boleh digunakan sebagai permulaan meneroka kawasan-kawasan yang lebih luas, yang bersempadan dengan Eropah.(Hussain Othman, Salib dan Penjajahan Dunia Islam, Batu Pahat: Penerbit UTHM, 2018; Thomas Asbridge, The Crusades: The War for the Holy Land, London: Simon and Schuster, 2010; dan Daniel J Boorstein, The Discoverers: A History of Mans Search to Know His World and Himself, New York: Random House, 1983).

Setelah kerajaan-kerajaan sebelumnya (kerajaan Israel kuno) berjaya ditumpaskan oleh pelbagai kuasa besar yang muncul. sebahagian besar penganut Yahudi mengambil keputusan berhijrah setelah diancam dihalau keluar daripada Jerusalem. Islam mula menguasai Jerusalem atau Baitul Muqaddis pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Namun setiap penganut Yahudi yang tinggal di Jerusalem diberikan kebebasan untuk terus mengamalkan agama mereka.

Disebabkan rasa dengki dan tamak, penguasa Byzantium memohon perkenan kuasa gereja untuk membantu dengan alasan, kuasa Islam tidak berlaku adil kepada penganut Yahudi dan Kristian. Cadangan itu kemudian disambut oleh Pop Urbanus II, lalu mengerahkan seluruh penganut Kristian untuk menawan Jerusalem.

Setiap orang yang berjuang untuk mendapat balik Jerusalem akan diampunkan dosanya, dan sepanjang perjuangan berlangsung, ahli keluarga mereka akan dilindungi. (Steven Runciman, A History of Crusades, 3 Jilid, (1951, 1952 dan 1954); Dan Jones, Crusades: The Epic History of the Wars for the Holy Lands (2019); Thomas F Madden, The Concise History of the Crusades (third edition, 2014); dan Amin Maalouf, The Crusades Through Arab Eyes (English translation, 1984))

Karen Armstrong, bekas seorang biarawati British yang kemudiannya menceburi bidang akademik menulis dengan baik perihal Jerusalem dalam bukunya, Jerusalem: One City, Three Faiths (1996), yang kemudiannya menjadi sebahagian asas pengetahuan dalam penulisan kewartawanan Trias Kuncohyono, Jerusalem: Kesucian, Konflik dan Pengadilan Akhir (Jakarta: Penebit Buku Kompas. 2008).

Rakaman kewartawanan Trias adalah berkaitan dengan pengalamannya menjadi wartawan medan dan cuba memahami dengan lebih dekat mengenai konflik Palestin – Israel, termasuk ketika serangan Israel ke atas Gaza akibat tidak puas hati dengan kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin 2006, yang disaksikan dan disahkan oleh pemerhati antarabangsa sebagai ‘yang terbaik dan demokratik’.

Israel dan Amerika Syarikat mengharapkan kemenangan Fatah, dan apabila Hamas memenangi 74 daripada 132  kerusi yang dipertandingkan, manakala Fatah hanya mampu meraih 45 kerusi. Keputusan ini menjadikan Palestin terbahagi dua: Tebing Barat dikuasai oleh Fatah, yang kemudiannya membentuk pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) manakala Gaza, dikuasai oleh Hamas, yang dianggap oleh Israel dan Amerika Syarikat sebagai ‘pengganas’.

Awalnya mereka bersetuju membentuk kerajaan bersama, tetapi PA terus ditekan sehingga menyebabkan pemimpin Hamas mengambil keputusan menubuhkan ‘kerajaan sendiri’ di Gaza. Sejak itu, berlaku perseturuan antara Hamas dan Fatah. Ia merupakan sesuatu amat disenangi oleh Israel, kelompok penjajah yang tidak pernah rasa bersalah melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’.

Untuk laporan kewartawanan dalam konflik di Gaza (2007/2008), Trias Kuncohyono menulis Jalur Gaza: Tanah Terjanji, Itifada dan Pemberishan Etnis (Jakarta: Penerbit Buku Kompas, 2009). Dua buah buku itu boleh dianggap memadai jika ingin mengetahui sedikit sebanyak (sepintas lalu) kenapa konflik Palestin-Israel berlaku dan hingga kini belum ada penyelesaian, masing-masing memancing permainan seumpama permainan ‘sorok menyorok’ dengan pelbagai dimensi propaganda.

Sebelum akhir 2023, Gaza sekali lagi menjadi sasaran kebrutalan IDF bila melakukan serangan balas Hamas. Hamas dikatakan memulakan serangan tetapi tidak pernah dilihat bahawa serangan itu berlaku disebabkan oleh sikap dan tindakan Israel sendiri. Israel telah mengawal dan menyekat pergerakan penduduk Gaza, selain melakukan catuan bekalan elektrik dan mengehadkan saluran air bersih.

Israel telah lama ‘mengurung’ penduduk Gaza, dan para penentang kali ini merupakan generasi kedua dan ketiga, generasi yang lahir dan dibesarkan di kem-kem pelarian setelah rumah-rumah asal dirampas dan tanah keluarga dijarah.

Serangan tersebut merupakan reaksi terhadap tekanan-tekanan yang dilakukan oleh IDF dan rejim ganas yang dipimpin oleh Benjamin Neetanyahu. Mereka melawan kerana terlalu banyak ketidakadilan dan kesengsaraan yang berlaku.

Mereka wajib melakukannya demi membebaskan diri daripada cengkaman dan kezaliman. Kekejaman dan kezaliman bukan sahaja berlaku ke atas penganut Islam, juga berlaku ke atas penganut Kristian, yakni keturunan Arab-Palestin. (Gary M Burge, Whose Land? Whose Promise?, Michigan, USA: Pilgrim Press, 2004 dan Sofwan al Banna Choiruzzab, Yang Kamu Belum Tahu Soal Palestina: Dari Progrom, Zionisme, Nakba, Apartheid. Genosida, hingga HAMAS dan Senjakala Penjajahan, Jogjakarta: Pro-U Media, 2024).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »