Orang-orang Palestin dianggap sebagai ‘pengganas’ dan menurut doktrin politik yang ditanam ke dalam pemikiran penduduk Yahudi (sejak kanak-kanak dan penekanan kurikulum pendidikan), sebagaimana diungkapkan oleh Josef Weitz. Weitz adalah ketua perancangan pemukiman, seringkali memberikan arahan mengusir keluarga-keluarga Palestin dari tanah yang “dibeli” oleh orang Yahudi pada zaman Mandat British (digubal pada pertengahan 1919 sehingga 22 Julai 1922 dan mula dikuatkuasakan pada 29 September 1923)
Britain mendapat mandat itu dalam Persidangan San Remo pada bulan April 1920, iaitu selepas konsesi Perancis pada Perjanjian Clemenceau-Llyod George 1918 mengenai ‘pentadbiran antarabangsa’ di Palestin. Ia merupakan lanjutan daripada Perjanjian Skyes-Picot Transjordan dan menjadi semakin kuat apabila Kerajaan Arab di Damsyik (Syria) digulingkan dalam Perang Perancis-Syria.
Mandat itu berakhir pada 25 Mei 1946 dan British menyerahkan kuasa itu kepada Amerika Syarikat sehingga negara haram Israel ditubuhkan pada 14 Mei 1947. Secara rasminya, Mandat British dimansuhkan sehari selepas negara haram Israel diisytiharkan sebagai sebuah negara berdaulat oleh PBB.
Sekitar tahun 1940-an, Weitz menyebut perjuangan itu sebagai “tugas suci”, walaupun kaedah pembelian tanah senatiasa diselubungi ugutan, ancaman dan tanpa kehadiran pembeli:
“Di antara kita sendiri harus jelas bahawa di negeri ini tidak ada ruang bagi kedua bangsa [Yahudi dan Palestin] untuk bersama-sama. Dengan adanya orang Arab, kita tidak akan mencapai tujuan menjadi bangsa merdeka di negara kecil ini.
“Satu-satunya solusi [penyelesaian] adalah Palestin, setidaknya Palestin Barat (iaitu seluruh kawasan di barat Jordan, berbeza dengan Palestin Timur yang mengacu [membentuk] Trasnjordan) tanpa orang Arab. …dan tidak ada cara lain kecuali memindahkan orang Arab dari sini ke negara-negara tetangga, memindahkan mereka semua. Tidak ada satu pun desa [kampung], tidak ada satu pun suku, yang boleh dilewatkan [dikecualikan atau patut diabaikan].” (Gadis Palestina, hal. 113).
Rencana tersebut selaras dengan apa yang ditulis (sepucuk surat) oleh David Ben-Gurion (1886-1973, pengasas negara haram Israel, yang kemudiannya dilantik sebagai PM Israel pertama, 17 Mei 1948-7 Disember 1953 dan dipilih semula 3 November 1955-26 Jun 1963) pada tahun 1937:
“Kita harus mengusir orang Arab dan merebut tempat mereka dan, jika kita harus menggunakan kekerasan [termasuk membunuh, menyeksa dan mengusir kejam dengan membakar rumah-rumah, mencabut segala tanaman dan meracuni sumber air] dalam menjamin hak kita [hak merampas dan hak menjarah] sendiri untuk bermukim di tempat-tempat itu, maka kita mempunyai kekuatan untuk melakukannya.” (Gadis Palestina, hal.114).
Setelah penyiasatan oleh pihak tentera di awal tahanan, dengan tekanan dan taktik licik, Ahed akhirnya didapati ‘bersalah’ dan dihukum penjara selama lapan bulan. Ahed dibebaskan pada 29 Julai 2018 dengan jaminan 5,000 sekhel (sekitar RM 1500).
Begitu juga dengan ibunya, yang ditahan kerana memuat naik video (video pertengkaran dan video kesakitan Muhammad Tamimi. Video yang dikeluarkan oleh pihak IDF ialah video yang menunjukkan Ahed menengking dan menampar salah seorang askar IDF di halaman rumah mereka).
Sehari selepas Ahed dicekup, Nour (sepupu Ahed) dan Nariman turut dipenjarakan, ketika hadir melawat Ahed. Mereka ditangkap dan dipenjara ketika datang melawat Ahed keesokannya. Nariman dipenjarakan kerana tuduhan menyebarkan footage atau rakaman video ke media sosial berkenaan Mohammad Tamimi, sepupu Ahed yang ditembak dari jarak dekat oleh IDF sehingga menyebabkan cedera parah.
Video-video itu telah membangkitkan kemarahan antarabangsa, dan memburukkan imej Israel sehingga banyak pihak mengecam dan mendesak pembebasan semua remaja dan kanak-kanak yang dipenjarakan. Mereka mula mengatakan Israel melakukan penahanan secara salah, dan melanggar peraturan antarabangsa yang turut diratifikasikan.
Israel mula ditekan oleh pelbagai aktivis antarabangsa, pihak tentera mengeluarkan video merakamkan Ahed yang tersenyum sebagai ‘bukti palsu’ menerima layanan baik tatkala disiasat dan dipenjarakan. IDF juga mengeluarkan kenyataan penafian dan kadangkala menyerang dengan menuduh, keluarga Bassem Tamimi cuba mengeksploitasikan anak perempuan mereka bagi mendapat simpati orang ramai dan masyarakat antarabangsa.
Masyarakat antarabangsa sebenar sudah lama maklum, bahawa bentuk perjuangan yang disusun dan diselaraskan oleh Bassem Tamimi di Nabi Saleh adalah ‘bukan kekerasan’. Namun, dalam setiap demonstrasi yang berlaku, para pemuda dan kanak-kanak yang mengambil bahagian hanya ‘membaling batu’ kerana itulah senjata yang mereka ada.
Oleh kerana ‘membaling batu’ dilihat sebagai senjata seperti senapang dan bom tangan, maka tentera Israel akan bertindak melampaui batas hukum, bukan sahaja menggunakan gas pemedih mata, bahkan turut menggunakan peluru hidup bersalutkan getah. Mohammad Tamimi ditembak dengan menggunakan peluru hidup bersalutkan getah.
Tidak sekadar itu, IDF akan menceroboh perkampungan Nabi Saleh untuk menangkap siapa sahaja yang mereka inginkan, tanpa bukti yang cukup dan jelas. Inilah yang berlaku ke atas Ahed, dan beberapa kali kepada ayahnya, Bassem Tamimi.
Apabila ada peneroka haram Yahudi membuat kacau, anak-akan Palestinlah yang menjadi mangsa. Peneroka haram mendapat perlindungan penuh oleh rejim dan juga anggota tentera negara penjajah.
Dalam hampir semua kes, peneroka haram dibebaskan jika merusuh, sebaliknya, anak-anak Palestin yang mempertahankan haknya dihantar ke penjara dan diseksa bahkan ditembak oleh penembak tepat.
Desakan turut meningkat agar Israel mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah diputuskan dalam Konvensyen Geneva Keempat. Antaranya, tidak boleh memindahkan mana-mana tahanan ke Israel, kerana kejadian dan penangkapan berlaku di wilayah Palestin; tidak boleh menangkap kanak-kanak dan remaja di bawah umur pada waktu malam atas alasan menganggu psikologi dan kesihatan; dan setiap tahanan wajib diberitahu asas penahanannya; dan diberikan peluang untuk mendapat peguam.
Bagi Israel, semua peraturan-peraturan tersebut tidak boleh diguna pakai. Sebabnya Palestin bukanlah sebuah wilayah yang berdaulat (negara). Palestin adalah wilayah yang diduduki dan dikawal oleh Israel, maka Israel mempunyai hak menentukan apa bentuk hukum, sistem perundangan dan sebagainya dalam menangani tahanan Palestin.
Sebab itulah hingga kini Israel tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, dan bila ada percubaan untuk melakukan, Amerika Syarikat berusaha menekan negara-negara yang berbuat demikian, selain menggunakan kuasa veto dalam mesyuarat PBB.
Jika remaja Israel benar-benar melakukan kesalahan, Israel tidak akan menggunakan undang-undang tentera untuk menanganinya. Sebaliknya dibicarakan berdasarkan undang-undang sivl dan pelbagai bentuk ‘natural justice’ disediakan. Proses penyiasatan digunakan untuk untuk mencari bukti, tetapi mencari kaedah bagaimana melepas diri daripada tuduhan tersebut.
Ada ribuan kes pencerobohan peneroka haram Yahudi, remaja dan sebagainya tidak dibicarakan, sebaliknya dilepaskan seolah-olah mereka adalah mangsa ‘keganasan Palestin’. Seolah-olah mereka kebal melakukan apa sahaja, termasuk membunuh. IDF sentiasa melindungi mereka. Begitu juga gambaran tentang Israel, walaupun terbukti melakukan kezaliman (genosid), ia terus dilindungi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.
Sehingga kini, usaha untuk membentuk Palestin sebagai sebuah negara terus ‘tertangguh’, kerana Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya menolak, biarpun telah mencapai sokongan lebih daripada tiga suku keahlian PBB. Berpuluh kali Amerika Syarikat menggunakan kuas veto itu untuk menepis dakwaan terhadap Israel.
Secara langsungnya, Amerika Syarikat telah dianggap sebagai negara yang sangat bermasalah, negara yang berat sebelah dan ‘pariah’. Imej itu menjadi semakin menebal apabila Amerika Syarikat setiap tahun menghulurkan dana dan bantuan kepada Israel. Jika ada pun kecaman atau nasihat bagi Israel, ia hanyalah sebagai ucapan yang keluar daripada halkum burung kakak tua.
Ertinya, Perjanjian Oslo yang ditanda tangani oleh Israel dan PLO (mewakili Palestin) pada 13 September 1993, tidak diakui oleh Israel dan Amerika Syarikat sendiri, walaupun yang menjadi perantara penting ialah Bill Clinton. Ia hanyalah sebuah permainan politik yang terancang untuk mengawal dan menjinakkan PLO, yang dipimpin oleh Yasser Arafat agar tidak lagi melancarkan serangan atau tindakan melawan Israel.
Ada yang menggambarkan Perjanjian Oslo menyamai nasib Jerman yang terpaksa menanda tangani Perjanjian Versailles (28 Jun 1919), setelah kalah dalam Perang Dunia I. Jerman menuduh, perjanjian itu sangat berat sebelah dan tindakan yang dilakukan oleh kelompok Yahudi untuk mengucilkan negara serta penduduknya.
Jerman berhadapan dengan tekanan hutang, perbelanjaan perang yang dilakukan dan diwajibkan membayar kepada orang atau institusi kewangan milik Yahudi, selain pampasan perang berjumlah USD $ 32 bilion. (Sabaruddin Hussein, Konspirasi Yahudi: Peperangan dan Penaklukan, Batu Caves, Selangor: PTS Islamika Sd. Bhd., 2011, hal. 25-27)
Selepas Perjanjian Oslo, dibentuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Palestin dibahagikan kepada tiga zon:
Zon A, diperintah oleh PA, meliputi Gaza dan 4 peratus Tebing Barat, termasuk Jenin, Nablus, Ramala dan Betlehem;
Zon B, di bawah pentadbiran PA, tetapi IDF bertanggungjawab mengenai kawalan keselamatan, meliputi 25 peratus Tebing Barat; dan
Zon C, dibawah pentadbiran Israel sepenuhnya, meliputi 75 peratus kawasan Tebing Barat) tetapi semuanya dikawal oleh Israel. PA pula tidak boleh menghalang sebarang tindakan.
Kawalan itu boleh menyebabkan Israel mengenakan pelbagai sekatan ke atas Tebing Barat dan Gaza. Jika bermasalah, Israel menggunakan kuasanya untuk tidak menyalurkan (menahan) hasil kutipan cukai yang akan dipulangkan kepada PA.
Ia bukan sekadar amaran, dan dijadikan strategi untuk melumpuhkan pentadbiran PA serta menggagalkan sebarang rencana untuk membangunkan Palestin. Inilah yang berlaku selepas Hamas memenangi Pilihan Raya Palestin pada tahun 2006.
Kekalahan itu (Perang Dunia I) menjadi titik kejatuhan terbesar ke atas Islam, setelah runtuhnya Empayar Utsmaniah. Wilayah-wilayah yang dikuasai Utsmaniah, termasuk al-Syam (Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin). Kejatuhan Empayar Utsmaniah juga menyebabkan negara-negara Arab semakin berpecah dan menoleh kepada kuasa-kuasa penjajah, Britain dan Perancis. Britain diberikan tanggungjawab mentadbir Palestin manakala Perancis menjaga Aljeria dan sekitarnya.
Arab Saudi mengisytiharkan kemerdekaan pada 22 September 1932 selepas berjaya memadamkan pemberontakan dan berjaya menyatukan wilayah Hijaz dan Najd. Saat itu dengan rasminya terbentuk Kerajaan Arab Saudi (al-Mamlakah al-Arabiyah al-Sa’udiyah).
Sejak itu, penguasa Arab Saudi digelar “Malik’ atau “Raja” pada nama mereka. Setahun kemudian (1933) minyak telah ditemui dan ia menjadi permulaan kekayaan baharu Arab Saudi.
Oleh kerana sumber minyaknya yang besar dan menghasilkan pendapatan yang tidak pernah dinikmati sebelumnya, Arab Saudi semakin bergantung kepada kepakaran barat, yang akhirnya semakin mengarah orientasi dan cara hidup barat. (Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Arab Saudi, P.Jaya: Hijaz Records Publishing, 2021 dan Eugene Rogan, A History of the Modern Arab / Sejarah Arab-Islam Sejak Era Kejatuhan Khalifah Utsmani Hingga Sekarang, terjemahan Fahmi Yamani, Jakarta: Penerbit Qaf, 2024)
Seperti ‘pucuk dicita ulam mendatang’ dengan kuasa British itulah akhirnya negara haram Israel dirintis, dan British pula menaungi perancangan membawa masuk imigran Yahudi dari seluruh dunia ke Palestin. British turut melatih kumpulan-kumpulan samseng dan gangster Yahudi, dengan membenarkan penubuhan pasukan separa tentera (Haganah, Irgun dan sebagainya), yang kemudiannya mengkhianati British, mendesak mandat tersebut ditamatkan segera.
Kemuncaknya, serangan dan pembunuhan ke atas askar British serta pengeboman Hotel King David di Jerusalem, dilakukan oleh kumpulan pengganas Irgun. Ia merupakan hotel lima bintang (mempunyai 237 bilik, dan didirikan di atas tanah seluas 4.5 ekar atau 18,000 meter persegi) dan ahli The Leading Hotels of the World. Kejadian itu berlaku pada 1946 setelah beroperasi selama 15 tahun (sejak 1931). Seramai 91 orang terbunuh dan lebih 45 orang cedera.
Israel juga turut menekan Amerika Syarikat untuk mempercepatkan proses penubuhan negara haram Israel selepas Perang Dunia II, di mana Britain menyerahkan proses tersebut. Britain menolak kerana negara itu berhadapan dengan masalah, telah mengeluarkan belanja yang besar untuk mentadbir wilayah-wilayah yang diserahkan dalam mandat terbabit selain berhadapan dengan kemunculan gerakan kesedaran kebangsaan (nasionalisme) di beberapa koloninya di Asia dan Afrika, seperti India dan Tanah Melayu serta pengembangan ideologi komunis.
Sebagai tekanan untuk mempercepatkan proses tersebut, Israel melakukan pelbagai serangan dan mengancam Amerika Syarikat. Tindakannya termasuk mengebom aset, kapal milik Amerika Syarikat. Namun, Amerika Syarikat yang terpaksa membayar harga mahal, akhirnya menjadi peneraju utama membentuk negara haram Israel.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments