Orang yang bertakwa memiliki darjat yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Kerana itu, orang yang bertakwa memperoleh berbagai-bagai keistimewaan. Di akhirat nanti, ia dijanjikan tempat kembali yang terbaik iaitu syurga daripadaNya.
Sesungguhnya sesiapa yang merasai dirinya terjamin masuk syurga maka awal-awal lagi ia telah terpesong dari landasan agama yang maha suci. Begitu juga sesiapa yang berputus asa dari RahmatNya ia juga terpesung dari petunjuk agama yang lurus.Ini ditegas oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat” (Surah Al-Hijr ayat 56)
Ingatlah kita diajar supaya menaruh harapan yang tinggi kepadaNya, kita semua dirahmatinya dan dimasukkan kita kedalam syurgaNya dengan semata-mata rahmatnya, bukan bermegah-megah dengan amal dan perbuatan kumpulan dan fahaman kita sendiri.
Sedangkan, anggapan bahawa tidak ada kaitannya antara masuk syurga dan amal perbuatan,didasarkan pada hadis Nabi: “Seseorang diantara kamu tidak akan masuk syurga kerana amalnya. Mereka bertanya, “Termasuk engkau,wahai Rasulullah”? Rasulullah menjawab,”ya”,termasuk saya.”(Hadis Riwayat Thabrani) Maksud hadis ini bahawa seseorang masuk syurga disebabkan kurnia dan kemurahan Allah SWT semata-mata, bukan kerana perbuatannya. Meskipun seseorang itu sudah menjalankan segala perintah dan menjauhi larangan, tetapi amal perbuatannya itu tidak akan sepadan dengan syurga yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Justeru itu janganlah kita berasa yakin bahawa kita ini akan selamat dan masuk syurga Allah SWT.
Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila Allah berkeinginan mengazab makhlukNya yang ada di langit dan di bumi maka pastilah Allah melakukannnya. Dan tidaklah berlaku zalim dengan perbuatanNya. Sedangkan, apabila Dia menberikan rahmatNya maka sebenarnya hal itu semata demi kebaikan bagi mereka yang disebabkan perbuatan mereka.”(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Dalam Islam tidak ada ajaran yang boleh menjamin pengikutnya masuk syurga, manakala mereka yang diluar dari kumpulannya akan masuk neraka. Sebenarnya mereka yang mengaku sedemikian adalah orang yang takbur, rugi dan sesat. . Ingatlah firmanNya yang bermaksud “tidak ada mereka yang merasai aman dari rancangan buruk (balasan’azab) yang diatur oleh Allah kerana sebenarnya tidak ada siapa yang merasai aman dari rancangan buruk (balasan ‘azab) yang diatur oleh Allah swt.itu, melainkan orang-orang yang rugi”.( Surah al- Araf ayat 99) . Apa yang perlu diambil perhatian oleh mereka ini disamping firmanNya tadi, ialah sabda Nabi SAW yang bermaksud ; “tidak masuk syurga mereka yang ada dalam hatinya seberat zarrah dari perasaan takabbur (sombong) dan bangga diri.” (Riwayat Tarmizi).
Dalam satu kisah sahabat (athar) menceritakan bahawa Sayidina Omar antara 10 sahabat yang telah dijanjikan oleh Rasulullah saw dengan syurga pernah mengatakan bahawa manusia yang paling akhir dikeluarkan dari neraka itu ialah dirinya sendiri. Lihat bagaimana tawadhuk dan rendah diri Omar salah seorang khalifah Al-Rasydin itu. Inikan pula kita manusia biasa yang tidak pernah mendapat jaminan dari sesiapapun.
Tetapi hakikatnya mereka sebenarnya amat hina, jahat pada pandangan agama sendiri seperti mana sabda Nabi yang bermaksud ; “Sungguhnya Allah akan menguatkan agama ini (Islam) dengan orang yang jahat.”-(Hadis Riwayat Syaikhan) . Oleh itu umat Islam diminta jangan terperangkap dengan kumpulan jahat ini yang menjual syurga kerana biasanya perbuatan menjaja syurga ini dilakukan oleh dajjal sepertimana yang diberitahu Rasulullah saw itu.
Sejarah islam mencatat bahawa terdapat sepuluh orang sahabat Nabi s.a.w dijamin masuk syurga. Mereka terdiri daripada empat khalifah al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan diikuti Talhah bin Ubaidillah, Al-Zubair bin Al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Said bin Zaid, Abu Ubaidiah al-Jarrah, Abdul Rahman bin Aufs. Demikian juga para sahabat yang terlibat dalam Perang Badar, juga Fatimah Az-Zahra, Hassan bin Ali, Hussin bin Ali, Tsabit bin Qais, Bilal bin Rabah dan kemudian disusul pula para sahabat yang menghadiri Bait Ar-Ridhwan yang berjumlah seribu empat ratus sahabat r.a.
Dalam perjuangan mempertahankan agama Islam, keutamaan mereka adalah berbeza dengan kaum Muslim yang lain dan ketinggian darjat mereka ditentukan oleh siapa di antara mereka yang paling dahulu masuk Islam.
Pengetahuan Nabi s.a.w ke atas keistimewaan sahabat-sahabat yang dijamin syurga ini berasaskan kepada wahyu Ilahi bukan sekadar meneka-neka atau tafsiran nafsu semata-mata.
Apatah lagi kita manusia biasa atau yang memperoleh ilmu laduni sekalipun tidak mampu untuk menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka kerana hak ini dalam pengetahuan Allah S.W.T.
Rasulullah dan para sahabat walaupun sudah dijamin syurga, namun hakikatnya mereka sentiasa menangis siang malam memikirkan persoalan umat. Malah dari segi ibadat ritual, mereka cukup hebat jika hendak dibandingkan dengan kita amat jauh sekali. Malam mereka beribadah, siang mereka berperang.
Sikap takwa dan kerendahan hati mencegah mereka daripada menyatakan bahawa merekalah yang paling benar dan orang lain semuanya salah. Kita dituntut agar mempunyai semacam sikap mengalah dalam batin misalnya mungkin orang itu yang benar.Dari mana kita tahu bahawa orang itu jelas beriman. Tentunya dilihat dari segi lahiriah kerana persoalan batin bukan urusan kita.
Kita tidak dapat membaca isi hati manusia kerana lahirnya ia beriman maka kita harus terima sebagai orang beriman. Justeru gelaran-gelaran yang stigmatik yang kurang baik terhadap orang yang kita tidak setujui, tidak wajar diluahkan.
Susunan: Mohd Hanapiah Husin
Recent Comments