Tularnya beberapa klip video berkaitan rakaman percakapan ‘tawar menawar’ beberapa orang ADUN di Sabah membuatkan ramai rakyat Malaysia berfikir, marah dan merasa jijik serta kesal. Rakyat kesal kerana semasa ADUN-ADUN itu dipilih atau diberikan kepercayaan oleh para pengundi konstituensi masing-masing (pilihan raya) adalah untuk berkhidmat kepada mereka dan membangunkan konstituensi yang diwakili menjadi lebih maju (membangun dan mensejahterakan rakyat).
Jika benar dakwaan itu berlaku, politik dilihat cukup bersifat mencari kekayaan peribadi, dengan berselindung di sebalik projek untuk kepentingan rakyat atau ekonomi negeri. Sebelumnya, rakyat Malaysia tersimbah dengan pelbagai skandal mega, membabitkan politikus berkuasa. Antaranya IMDB, Jana Wibawa, pembelian aset di luar negara (kediaman pelajar oleh MARA), pelaburan besar dalam platform pemasaran dalam talian (Fashion Valet), pengambilan pekerja asing Bangladesh (Bestinet), pembekalan internet ke sekolah-sekolah (BestariNet), projek pendaftaran, pengambilan dan penyediaan biometrik pekerja asing (NIISe, Sistem Imigresyen Bersepadu Nasional), dan sebagainya.
Turut menarik perhatian awam ialah skandal yang membabitkan anak lelaki Menteri Besar Perlis, mendapat bayaran lebih RM 19,000 dan bayaran perbelanjaan lawatan ke luar negara yang tidak dilakukan kepada bekas MB Perlis, Datuk Seri Azlan Man hampir RM 450 ribu. Selain skandal berupa rasuah, saah guna kuasa dan penggubahan wang hara, turut terpalit kisah politkkus ialah ujaran kebencian dengan memfitnah, menghasut dan adu domba, yang sama sekali beertentangan dengan Islam.
Lebih malang lagi, bila ada politikus seperti membenarkan tindakan memfitnah dengan berkata: Dalam politik, fitnah dibenarkan. Ini jelas menunjukkan tokoh politik berkenaan lupa kepada amaran Islam bahawa fitnah merupakan dosa besar, dosa yang boleh meruntuhkan imej Islam sendiri. Fitnah juga boleh menjadi situasi kehidupan masyarakat huru-hara dan sistem pemerintahan boleh terancam. Politikus yang berkelulusan undang-undang dan mempunyai kelayakan dalam bidang tersebut agak terkeliru kerana dalam pentas sejarah Islam, akibat fitnah yang berleluasa telah menyebabkan terbunuhnya khalifah Uthman bin Affan.
Dalam kes fitnah pemimpin politik, banyak kita boleh mengikuti perihal mencari keadilan yang sudah dan sedang berlaku, namun tindakan memfitnah tidak pernah berhenti walaupun pelakunya dikenakan hukuman denda, sehingga ada yang menganjurkan kutipan derma untuk membayar ganti rugi. Ada juga yang dibawa ke mahkamah semula kerana tidak mampu atau enggan membayarnya, dengan dakwaan ingkar perintah mahkamah dan dipertimbangkan untuk diisytiharkan muflis.
MB Kedah yang pada suatu ketika dianggap ‘celupar’ turut berhadapan dengan pelbagai dakwaan ‘fitnah’, dan kadangkala kerana ghairah politik secara tidak langsung membongkar budaya partnyanya. Misalnya, dalam suatu kempen pilihan raya beliau dengan bangganya mendedahkan bahawa pengundi bukan Melayu secara sukarela pulang ke kampung untuk mengundi sedangkan pengundi Melayu, sangat mengharapkan ‘duit poket’ atau sagu hati. Tanpanya, mereka mungkin tidak akan pulang mengundi. Janji-janji tersebut menyebabkan ‘pengundi luar’ menagihnya, tetapi parti yang dipimpinnya tidak mampu. Itu menunjukkan bahawa amalan ‘membeli undi’ memang berlaku.
Membeli undi, selain memberikan wang saku ia turut membabitkan pemberian pelbagai janji jika parti memperoleh kemenangan. Sebuah video daripada seorang wakil rakyat turut mengesahkan bahawa janji tersebut memang berlaku. Wakil rakyat berkenaan meminta pengundi luar bersabar, walaupun dirinya sudah menang kerana ‘tidak mampu membuat bayaran’. Tetapi, pengundi perlu bersabar kerana telah hantar permohonan peruntukan kepada kerajaan pusat untuk tujuan tersebut. Ertinya, rasuah pengundi memang berlaku, dan ini terbukti apabila PRK Kuala Terengganu terpaksa diadakan semula selepas PRN ke-15.
Terbaharu, MP Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad dijatuhkan hukuman denda sebanyak lebih tiga suku juta (RM 300,000 kepada Lim Kit Siang, RM 250,000 kepada Lim Guan Eng, RM 200,000 kepada Teresa Kok, dan RM 25,000 sebagai kos kepada setiap plaintif). Muhyiddin turut diarahkan membayar ganti rugi RM 1.35 juta kepada Lim Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah. Kesemua kes-kes itu membawa kepada tafsiran hipokrasi politik dan amalan demokrasi dalam politik cenderung memfitnah, menghasut, ujaran kebencian dan lebih membimbangkan ialah pembunuhan karakter (character assassination): versi matlamat menghalalkan cara (rasuah, salah guna kuasa, nepotisme, anarkisme, kronisme, pecah amanah, paradoksialisme dan parakiolisme).
Kini (pendedahan video ADUN Sabah), pelbagai senario telah berjaya disorot. Ia dilihat sebagai satu daripada ‘gertak politik’ yang sedang dimainkan. Sabah, adalah sebuah negeri yang menjadi sorotan dalam tempoh setahun ini. Sabah akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri pada tahun 2025, yang menurut Ketua Menteri, Hajiji Noor akan diadakan sebelum Oktober 2025.
Pada PRN 2020 (26 September 2020), Sabah turut hadir dengan pelbagai kontroversi perebutan kuasa, yakni Ketua Menteri ketika itu, Shafie Afdal terpaksa meminta kebenaran membubarkan DUN, usaha menjatuhkannya dapat dikesan selepas bekas Ketua Menteri, Musa Aman dibebaskan. Musa Aman dibebaskan pada 6 Jun 2020 terhadap kesemua 46 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Pembebasan ini membawa kepada kemungkinan bahawa majoriti wakil rakyat yang menyokong Shafie Afdal akan berubah, dan usaha ke arah itu giat dilaksanakan.
Perancangan itu dikaitkan dengan sikap dan pendirian Bersatu yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (selepas tumbangkan Pakatan Harapan pada 24 Februari 2020, Langkah Sheraton) dengan harapan dapat memperluaskan kedudukannya di Sabah ekoran ‘exodus’ wakil rakyat BN sama ada menyertai Warisan, Bersatu ataupun sebagai wakil rakyat bebas. Pada ketika itu, kuasa BN di Sabah dilihat seperti lumpuh. Ia dikatakan kesan domino yang berlaku apabila BN hilang kuasa pemerintahan di peringkat pusat buat pertama kalinya sejak merdeka. BN semakin tertimpa ‘kesan domino’ kerana selepas itu berlaku penolakan belasan wakil rakyatnya sebagai calon bebas dan mengacukan permohonan menyertai gabungan parti yang memerintah, terutama Bersatu.
Akhirnya mencetuskan polemik dalam PH, menambah sokongan menerusi ‘pintu belakang’ yang ditolak oleh DAP dan PKR. Kelompok ‘katak politik’ dalam Bersatu inilah kemudiannya merencana ‘grand desgin’, mengambil peluang tekanan terhadap janji peralihan kuasa – dari enam bulan hingga ke dua tahun – dengan tindakan yang tidak dijangka, bergandingan dengan parti-parti pembangkang (BN dan PAS yang menubuhkan Muafakat Nasional pada bulan September 2019) menganjurkan sebuah perhimpunan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Di akhir pertemuan itulah menjadi titik ‘pemusnah’ yang parah dalam budaya politik Malaysia, kemenangan PH yang dipilih oleh rakyat berjaya dinafikan melalui sebuah komplotan.
Namun, kemenangan yang memihak kepada Bersatu (PRN Sabah 2020) akhirnya terburai apabila pemimpin-pemimpin mereka dan disokong oleh wakil-wakil rakyat yang lain berkeras untuk tidak lagi berada dalam gabungan PN, sebaliknya menubuhkan pakatan tersendiri, iaitu GRS (Gabungan Rakyat Sabah ditubuhkan 12 September 2020, didaftarkan pada 26 Februari 2022 dan diluluskan pada 11 Mac 2022). Kesannya, Bersatu mula ‘hilang pengaruh’, lalu mengambil tindakan mempersoalkan kedudukan wakil-wakil rakyat berkenaan, dan sebagai tindakannya, melucut atau mengenakan tindakan disiplin yang keras.
Akibat kecelaruan dalam kepimpinan Bersatu dan masalah dalam parti, kepimpinan GRS pula mula diserang bagi menjejaskan imej dan peluang kepimpinan gabungan tersebut untuk mengekalkan kuasa pada PRN akan datang. Ada yang mendakwa itu merupakan perancangan strategi politik UMNO untuk menawan semula Sabah setelah Musa Aman gagal mempertahankan sokongan majoriti ADUN Sabah selepas PRU ke-14 (2018).
Dalam ‘projek’ tersebut, muncul isu rasuah dan salah guna kuasa. Ada perbincangan untuk membolehkan aktor politik tertentu diberikan rasuah jutaan ringgit dan didedahkan sejumlah wang telah diberikan sebagai pendahuluan, agar ‘kegagalan’ meraih kontrak dipertimbangkan semula.
Setakat ini, beberapa siri pendedahan sudah diketahui, namun, belum ada sebarang pendakwaan dibuat, termasuk mengaitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari. Menurut SPRM, seramai 15 individu telah dirakamkan percakapan mereka termasuk ‘whistle blower’ yang mohon diberikan perlindungan keselamatan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Hipokrasi sang politikus itu menjadi resah yang cukup besar sehingga di akhir usia Profesor Tan Sri Mohamad Kamal Hassan merungut pedih dalam Corruption and Hypocricy in Malay Muslim Politics (2021) dengan mendesak agar seluruh perjalanan politik Melayu-Muslim dirombak dan kembali ke acuan ‘moral-etika’, bukan meneruskan politik yang hidup dan berkembang dalam acuan bobrok dan hilang rasa malu serta rasa takut kepada Allah SWT.
Dalam “Prakata” buku terakhir itu, Prof M Kamal Hassan (26 Okrober 1942 – 23 Februari 2023) menulis: “…fenomena korupsi politik dan kemunafikan dalam tingkah laku dan budaya politik Melayu, saya percaya ianya adalah simptom suatu krisis dalaman para pemimpin dan pengikut parti-parti politik iaitu keruntuhan moral yang disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk impak daripada modenisasi yang materialistik; pragmatisme parti-parti politik; sifat egoistik dan materialistik pemimpin-pemimpin utama politik; ketiadaan pendidikan moral-etika yang baik dalam parti-parti politik; kebimbangan terhadap peningkatan dominasi politik masyarakat bukan Islam; dan impak daripada sistem politik demokrasi yang sekular.” (edisi terjemahan bahasa Melayu, Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika, 2022, hal. xix).
Dalam gesaan untuk menyelesaikan perihal ‘rasuah dan kemunafikan’ itu, Prof Dr Kamal Hasan memberikan cadangan tegas: Pemimpin politik Melayu yang terlibat dengan korupsi dan kemunafikan perlu diberi kesedaran bahawa korupsi politik dan kemunafikan dalam banyak negeri orang Islam adalah kemungkaran yang dibenci oleh Allah SWT. Dalam jangka masa panjang, mudah-mudahan fenomena ini akan berkurangan apabila masyarakat awam sudah tidak boleh terima lagi kelangsungan kebobrokan itu dan apabila sudah muncul gerakan-gerakan massa atau golongan-golongan terpelajar yang dapat menggembling tenaga besar-besaran ke arah menukar situasi buruk itu.
“Dari perspektif agama Islam, sudah pasti penggunaan cara-cara yang tidak bermoral atau beretika untuk mencapau tujuan-tujuan walau bagaimana baik sekalipun, akan mengundang kemurkaan Allah SWT kalau tidak di dunia sudah pasti di Akhirat. Oleh kerana itu, konsepsi-konsepsi konvensional dan sekular tentang kuasa, kejayaan, keuntungan, kegagalan, kehormatan, harga diri atau kesetiaan, dan sebagainya yang difahami dan diamalkan oleh ahli-ahli politik Muslim, perlu diperbetulkan oleh cendekiawan dan ilmuan Muslim yang berpegang teguh dengan pandangan alam Tauhid.” (Korupsi dan Kemunafikan…, hal.38)
Seorang ilmuan yang lain, Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, bekas pensyarah sejarah Universiti Sains Malaysia melanjutkan pendekaran atau acuan ‘moral-etika’ Prof M Kamal Hasan dalam bukunya, Pemikiran Tasawuf Dalam Politik Islam [seterusnya dirujuk sebagai Pemikiran Tasawuf] dengan menawarkan hujah-hujah sejarah yang sewajarnya menjadi pedoman dalam membangunkan tingkah laku dan budaya politik yang mendekati makna Islam dan kesyumulannya, agar teladan terbaik dalam sistem dan kepimpinan, pembangunan rohani, kemajuan fizikal dan persekitaran hidup tidak disimbahi dengan ‘cat merah’ dan contengan grafiti sehingga tidak lagi dapat dibezakan antara politik sekular dan politik Islam, kerana semakin galak pelaku politik (politikus atau political actor) membudayakan sekularisme secara langsung mahupun tidak langsung dalam tindakan politik dan kepentingan diri.
Jadi, sebenarnya kedua-dua buku ini cukup penting untuk diteliti, dibaca dan diambil pengetahuan yang cuba disampaikan oleh kededua pengarang, yang sudah membina legasinya dalam pengembangan pemikiran masyarakat yang berkerangkakan nilai-nilai dan kerangka Islam. Saya akan cuba membuat ulasan ringkas mengenai buku Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Tasawuf yang diterbitkan menjelang akhir suku ketiga 2023 (Ogos/September) dengan kerjasama antara Pelita Dhihin dan Kafilah Buku, di bawah Dana Penerbitan Inisiatif Belanjawan 2023.
Dr Abdul Rahman merupakan seorang penulis yang cukup profilik dan diiktiraf sebagai pakar sejarah pemikiran. Beliau telah menghasilkan lebih tiga puluh buah buku. Antaranya: Sejarah dan Kebudayaan Asia Tenggara Tradisional; Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia; Gerakan Islah di Perlis; Pemikiran Islam Klasik; Ensiklopedia Sejarah Turki (3 jilid); Pemikiran Islam di Malaysia; Pemikiran Umat Islam di Nusantara; Wacana Falsafah Barat; Sejarah Arab Saudi; Polemik Salafi-Wahabi: Merungkai Kekusutan; dan Tanggungjawab Dakwah Dalam Pemerintahan Islam: Teori dan Aplikasinya Dalam Sejarah.
Dalam Bab 1 “Muqaddimah” (Pemikiran Tasawuf), Dr Abdul Rahman menulis: Apabila seorang sarjana yang non-partisan dan neutral [Tan Sri Prof Emeritus Dr M Kamal Hassan] tiba-tiba meluncurkan sebuah karya yang sarat dengan sentimen dan kritikan terhadap iklim politik Melayu Islam masa kini, ia bukan sahaja menunjukkan keprihatanannya terhadap masalah semasa, tetapi lebih dari itu, ia menunjukkan betapa bobroknya situasi kini sehingga menjentik hatinya untuk menulis tentang sesuatu yang di luar kebiasaan dan minatnya selama ini. (Pemikiran Tasawuf, hal.1).
Tulis Dr Abdul Rahman lagi: Sama seperti Prof M Kamal Hassan dan Sayid Abul Hassan Ali al-Nadwi, buku saya ini [Pemikiran Tasawuf] juga membahaskan masalah umat Islam, khususnya tentang politik Islam, menurut perspektif tauhid, iman dan akhlak. Atau lebih khusus disebut tauhid dan tasawuf akhlak, atau tasawuf Sunni. Pendeknya, apa-apa yang dibahas oleh Prof M Kamal Hassan tentang tazkiyat al-nafs, amrad al-qalb, tathir al-qalb dan seumpamanya sebagai kaedah penyelesaian menurut Paradigma Kepimpinan Teosentrik, semuanya ini merupakan ajaran dan pemikiran tasawuf akhlak belaka.
“Dengan menggunakan perspektif tasawuf akhlak dan tasawuf Sunni, buku ini cuba membahas tentang konsep dan amalan politik Islam alternatif di samping perspektif syar’i (siyasah shar’iyyah) yang selama ini diterima pakai dan diamalkan.” (Pemikiran Tasawuf , hal. 5).
Pengakuan ini mengingatkan saya kepada perspektif yang digunakan oleh Imam al-Ghazali apabila beliau menulis al-Tibr al-Masbuk fi Nashihat al-Muluk (cukup lumayan edisi terjemahan dalam bahasa Indonesia, dan dalam perbincangan ini, saya guna terjemahan bahasa Melayu oleh Yusra Hulaimi, Nasihat Buat Pemerintah, cetakan kedua, Februari 2024) hampir seribu tahun silam, sebagai nasihat seorang ulama ulung kepada seorang pemerintah setelah diminta oleh Sultan Malik Syah dengan melafazkan peringatan berikut:
“Ketahuilah wahai sultan sekalian alam, Raja Timur dan Barat, bahawa Allah telah mengurniakanmu nikmat yang sangat jelas dan melimpah-ruah, dan bahawa wajib bagimu untuk bersyukur dengannya, dan menjadi tanggungjawabmu untuk mengagihkannya. Barang siapa yang tidak bersyukur kepada nikmat-nikmat Allah – yang agung kemuliaan-Nya dan suci nama-nama-Nya – maka nikmat-nikmat tersebut akan terputus keberlangsungannya dan dia akan menanggung malu yang perit pada Hari Kiamat kelak.
“Ada pun setiap nikmat itu akan ternafikan daripada seseorang apabila tibanya maut. Maka tidak adalah baginya sebarang nilai di sisi seorang yang berakal dan hati yang murni, kerana sekalipun umur dipanjangkan, ia tidak langsung bermanfaat ketika tibanya penghujung hayat seseorang. Sedangkan Nabi Nuh – ‘alayhi al-salam – telah hidup selama seribu tahun.
“Dan semenjak kewafatannya, lima ribu tahun telah berlalu. Meskipun begitu, seakan-akan baginda tidak pernah wujud di atas muka Bumi ini. Satu-satunya nikmat yang bernilai ialah nikmat yang kekal, yang berlangsung siang dan malam, dan ianya ialah nikmat iman yang menjadi punca kebahagiaan yang abadi (al-sa’adah al-mu-mu’abbadah) dan kenikmatan yang berkekelan (al-ni’mat al-mukhalladah). (Nasihat Buat Pemerintah, 2024, hal. 2-3)
Kenapa Nasihat Buat Pemerintah memulakan pendekatan dari dalam diri seseorang berbanding teori politik sekular yang lebih menekankan persoalan kuasa: mendapat, mengagih, menggunakan dan mengekalkan kuasa, yang banyak kita pelajari dalam perihal pentadbiran politik (negara) dengan memahami terlebih dahulu ‘tiga tunjang utama’ – doktrin pengasingan kuasa – iaitu legislatif (perundangan), judisiari (kehakiman) dan eksekutif (pemerintah atau kerajaan). Sayangnya, dalam teori pengasingan kuasa ini tidak dimasukkan dengan perspektif yang lebih besar, iaitu bagaimana memperlakukan rakyat sebaik-baiknya (dengan wajar). Inilah perbezaan yang jelas dalam makna politik Islam dan sekular.
Dalam perspektif Islam, persoalan yang menjadi tunjang kuasa ialah kemaslahatan rakyat, yang menurut Imam al-Ghazali adalah sangat penting dan wajib. Sebab itulah karya-karya para ulama Islam cukup banyak membangkitkan persoalan peribadi seseorang sebelum dirinya layak diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin, dan kepimpinan itu sendiri diikatkan dengan perihal amanah. Amanah itu sendiri membawa erti kasih sayang, prihatin, berbudi pekerti luhur, telus, tanggungjawab dan mendahului orang ramai daripada diri sendiri, keluarga dan sahabat handai.
Kesemuanya mampu diraih dan diaplikasikan dengan berkesan menerusi kemantapan iman. Iman pula hadir dalam bentuk tingkah laku, pemikiran dan membuat keputusan. Dan, tentunya pada Imam al-Ghazali, sebelum memberikan nasihat tentang bagaimana cara memimpin dengan baik, berkesan dan adil, apa yang menjadi prasyarat terkuat ialah bagaimana memantapkan iman dalam diri seseorang, yakni mereka yang bakal memimpin dan dilantik sebagai pemimpin (sama ada ditunjuk melalui proses pewarisan ataupun, dipilih berdasarkan suara majoriti oleh sebuah jawatankuasa atau proses pilihan raya).
Kemungkaran yang berlaku dalam politik Melayu Islam di Malaysia cukup banyak disorot, termasuk dalam kalangan para pemimpin parti politik mahupun persekitaran politik yang semakin ‘tidak sihat’ akibat krisis nilai dan krisis iman. Dalam konteks kejatuhan kuasa politik Melayu misalnya, cukup menarik seandainya kita dapat meneliti tulisan Firdaus Zainal, Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa (2024) setelah terlalu lama dihinggapi dengan ‘mitos’ majoriti. Orang Melayu terus kekal bermimpi, kuasa politik mereka tidak ‘hilang’ selagi orang Melayu kekal merupakan majoriti rakyat di Tanah Melayu. Namun sedarlah, majoriti Arab-Palestin sudah lama tergugat setela tertubuhnya negara haram Israel,
Dalam politik masa kini, ada istilah “deep state”, yang juga memungkinkan berlakunya peralihan majoriti penduduk, walaupun Orang Melayu secara kuantitatifnya masih besar. Orang Melayu sudah berpecah. Walaupun pelbagai diagnosis perpecahan telah dibuat, dikaji, dibengkelkan, perpecahannya menjadi semakin besar. Kalau sebelumnya perpecahan disebabkan ideologi politik – nasionalisme dan Islamisme – kini memasuki era yang lebih banyak simpang siur dan selekoh tajam: Megalythomia Melayu lawan Isothymia bukan Melayu; Islam lawan bukan Islam; Islam terancam dan parokialisme’ konsrvartisme- neokonservatisme-politik baharu-realiti politik.
Namun, dalam ‘ayunan keyakinan’ itulah politik orang Melayu semakin hilang keupayaan, masih belum cukup langkah bertindak menghindari perpecahan sehingga muncul slogan “Melayu-Islam terancam”, menjadi bahan santapan menu politik yang cukup retorik. Walaupun banyak sorotonnya memerihalkan tentang kejatuhan UMNO/BN, ia cukup menarik bila kita sama-sama memikirkan apa yang akan berlaku ‘jalan politik Melayu’ sekarang dan masa depan, bukan sekadar saling mengingatkan tanpa ada aksi dan tindakan untuk membina kembali kekuatan di atas puing-puing yang telah runtuh itu.
Apakah politik dan kuasa politik Melayu akan kekal ‘hancur’ sebagaimana hancurnya Empayar Melayu Melaka yang cukup terkenal pada abad ke-15 sebelum berjaya dikeronyok oleh Portugis, Belanda dan paling memilukan ialah Inggeris. Orang Melayu kehilangan ‘kuasa politik’ selama 446 tahun sebelum bersatu semula memperjuangkan ‘kemerdekaan’ dan merdeka pada 31 Ogos 1957.
Dalam tempoh penguasaan penjajahan, kuasa politik Melayu hanya muncul selepas Perang Dunia II, mereka bersatu menentang Malayan Union, dan sebelumnya, umpama enau, pucuknya nampak menjulang langit tetapi akarnya tertelan tanah’, kerana tanah yang dimiliki dikuasai oleh penjajah. Kapitalis (penjajah) yang hadir mengeksploitasikan sumber alam dan setiap potensi yang ada, tanpa memberikan peluang dan ruang kepada ‘tuan asal’ Tanah Melayu.
Isolasi itulah yang membengkakkan nuansa politik Malaysia, sehingga kini, setiap kali ada dasar yang condong ke arah pemerkasaan Bumiputera dan masyarakat Islam, akan segera dipintas dengan fahaman dan retorik demokrasi, prinsip kebebasan dan hak asasi, yang semakin membentuk ‘ideologi politik’ dan ditafsirkan menggunakan kerangka masyarakat majmuk, yang tidak dinafikan oleh Perlembagaan Malaysia..
Kontrak sosial semakin dilupakan, dan dilihat tidak lagi relevan oleh generasi baharu yang lahir dalam keadaan negara yang mencapai proses pembangunan yang besar dan memuncak, semuanya perlu dirombak atas alasan ‘setiap warganegara perlu dilayan sama rata’ dan tidak lagi dengan cara pemisahan Bumiputera-bukan Bumiputera, Islam-bukan Islam. Semuanya perlu dikerangkakan dalam prinsip kebersamaan. (Firdaus Zainal, Isothymia Politik Cina: Perjuangan Orang Cina Menuntut Kesaksamaan, 2023; Azmi Arifin (editor), Isu-Isu dan Naratif Baharu Pensejarahan Politik Malaysia, 2024; dan Junaidi Awang Besar, Zaini Othman dan Novel Lyndon (penyunting), Pilihan Raya Negeri ke-15: Terhad atau Sejagat, 2024).
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments