TANJONG — Setiap kali sambutan perayaan orang bukan Islam, akan timbul persoalan berhubung isu hukum orang Islam memberi ucapan sempena perayaan Krismas, Deepavali, Tahun Baru Cina, Ponggal, Wesak dan sebagainya.

Masyarakat sering ‘berbahas’ sama ada ucapan itu dibolehkan atau bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam hal ini, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, ucapan sambutan perayaan bukan Islam tidak menjadi kesalahan, asalkan tiada kandungan syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 21 dan 22 Ogos 2019 telah membuat keputusan hukum memberi ucapan itu harus berdasarkan pembentangan hasil kajian yang dijalankan.

Menurut beliau, hukum harus dalam memberi ucapan itu juga dilihat lebih sesuai dengan konteks rakyat Malaysia yang berbilang kaum terutama di negeri berkenaan.

Katanya, dalam hal itu, umat Islam dituntut untuk menonjolkan cerminan Islam sebagai agama yang mesra kepada semua orang, sekali gus menarik hati orang bukan Islam kepada agama syumul itu.

“Namun begitu keharusan ini adalah tertakluk kepada ucapan yang diberikan itu, ia tidak mengandungi syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd Sukki berkata, hukum menziarahi rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan agama mereka juga adalah harus, mengambil kira kriteria seperti majlis itu tidak disertakan upacara bertentangan dengan akidah Islam seperti menyertakan dan membabitkan simbol agama, berhala dan sebagainya.

Beliau berkata, majlis berkenaan juga tidak disertakan dengan perbuatan bertentangan syarak seperti memakai pakaian berwarna tertentu dengan kepercayaan tertentu yang melambangkan kepercayaan terhadap agama selain Islam.

“Selain itu, majlis juga tidak disertakan dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan.

“Majlis tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam seperti ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam dan ucapan yang menghina umat Islam serta makanan haram seperti arak, babi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, bagi hukum terbabit dalam persiapan perayaan orang bukan Islam yang berkaitan dengan agama mereka, ia adalah diharamkan di sisi syarak dan pandangan ulama mazhab.

Namun, katanya, membantu mereka dalam perayaan kebudayaan memerlukan pemerhatian yang lebih terperinci, menilai sejauh mana ia mempunyai unsur kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Jika unsur kepercayaan terbabit mendominasi, maka seharusnya orang Islam hendaklah menjauhi tindakan membantu dan menjayakan persiapan perayaan berkenaan,” katanya.

Bagi hukum menjual barangan khas digunakan orang bukan Islam dalam perayaan agama mereka, ulasnya, ia adalah tertakluk kepada majlis itu tidak disertakan upacara bertentangan akidah Islam seperti menyertakan simbol agama, berhala dan sebagainya.

“Orang Islam boleh menjual barang yang harus dijual kepada orang bukan Islam seperti pakaian dan makanan, selagi mana tidak jelas perkara itu memberi kemaslahatan dalam upacara atau sambutan perayaan keagamaan mereka.

“Jika sudah jelas barang berkenaan digunakan untuk perayaan keagamaan orang bukan Islam, maka umat Islam perlu mengelakkan diri daripada terbabit (seperti pakaian khas atau alat keagamaan bukan Islam),” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan hukum haram bagi umat Islam memakai pakaian sambutan perayaan agama lain yang ada kaitan rapat dengan kepercayaan keagamaan mereka dan juga mendedahkan aurat seperti kostum atau topi Santa Clause, pakaian paderi, pakaian sami, lambang salib dan sebagainya.

“Pada pakaian yang menjadi adat kaum lain yang tiada kaitan dengan ajaran agama mereka secara khusus seperti sari, kurta, samfoo, cheongsam dan sebagainya secara asasnya adalah harus selagi mana tidak terdapat unsur membesarkan agama orang bukan Islam dan memelihara aurat,” katanya.

— BebasNews

Sumber: bebasnews.my

 

Translate »