ertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) memulakan langkah untuk bekerjasama intelektual di peringkat Asia Tenggara dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) dengan Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kassim Kuala II (UIN SUSKA) di Riau, Indonesia.
Kerjasama tersebut ditandatangi oleh Pengerusi OMIW, Datuk Dr Aziz Jamaludin Muhd Tahir manakala UIN SUSKA diwakili oleh rektornya, Prof Haji Ahmad Mujahidin dan berlangsung dalam suasana nostalgik antara murid dan guru.
Dr Aziz merupakan graduan pascasiswazah sulong peringkat kedoktoran UIN SUSKA manakala dua orang lagi dari OMIW juga adalah produk darinya, iaitu Tan Sri Ibrahim Lembut, Timbalan Pengerusi OMIW dan Datuk Seri Yusof Che Teh, Ahli Jawatankuasa.
Seramai lapan orang wakil OMIW yang hadir di upacara tersebut selain Dr Amin dari Institut Agama Negeri Jember, Surabaya manakala UIN SUSKA turut dihadiri oleh Prof Dr Sudirman M Johan (Ketua Senat UIN SUSKA), Prof Dr Alaidin Koto, tiga timbalan rektor dan lebih dua puluh orang dekan dari 51 buah fakulti semuanya.
Dalam ucapan sambutan kerjasama tersebut, Prof Haji Ahmad Mujahidin melahirkan rasa syukur di atas kesanggupan OMIW bekerjasama dengan UIN SUSKA dalam lapangan perkongsian intelektual untuk membina dan mengukuhkan budaya hidup umat Islam antara kedua-dua negara yang sedang mengalami hakisan akidah dan terobosan pemikiran daripada pelbagai idea.
Katanya, SUSKA mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dimanfaatkan dalam bentuk kajian, wacana intelek mahupun penerbitan secara tradisi dan penyebaran dalam media sosial yang menjadi kegemaran masyarakat masakini.
Menurut Dr Aziz Jamaludin, sebagai graduan pascasiswazah sulong dan sebahagian dari jawatankuasa OMIW yang sudah saling kenal mengenal para intelektual UIN SUSKA secara peribadi, sudah tiba masanya hubungan tersebut diteruskan dalam bentuk kerjasama rasmi melalui penandatanganan MoU pada hari ini.
“Secara institusinya ia lebih bersifat formal dan boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk membantu OMIW mengembangkan aktiviti keintelektualan termasuk membangunkan sebuah pusat rujukan yang berwibawa pada masa hadapan,’ tegas Dr Aziz Jamaludin.
OMIW sebagai sebuah pertubuhan yang baru bermula (ditubuhkan 2016), menurut Dr Aziz, ‘walaupun baru setahun jagung telah berjaya melaksanakan aktivitinya dengan kerjasama institusi-institusi di Malaysia dan sebahagian daripada tenaga pakarnya dari UIN SUSKA, terutama Prof Dr Sudirman dan Prof Dr Alaidin.
“Sementara itu, aktiviti-aktiviti OMIW mendapat sambutan hangat misalnya Kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dianjurkan bersama dengan kerajaan Terengganu pada tahun 2017 mendapat kehadiran lebih tiga ribu penyertaan daripada seluruh pemimpin masyarakat di negeri berkenaan dan disempurnakan oleh Sultan Terengganu.”
“Aktiviti lainnya ialah pertemuan meja bulat dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), makmal Kalam Jadid dengan kerjasama Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI) dan beberapa siri wacana buku Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia tulisan penaung OMIW, Tan Sri Dr Alies Anor Abdul dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia serta Seminar Usuludin di Universiti Kebangsaan Malaysia,” tambah Dr Aziz.
Semasa ditemui selepas menandatangani MoU tersebut, rektor UIN SUSKA menjelaskan kerjasama sedemikian adalah penting kepada tenaga akademik untuk mengembangkan kepakarannya di luar kampus manakala kesediaan OMIW untuk membina jambatan pengembangan sedemikian amat bermakna untuk membentengi umat Islam agar terus dapat bertahan dengan bingkai Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan seluruh nusantara.
Bagi Aziz, akibat perkembangan semasa, umat Islam bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia bahkan seluruh nusantara sedang digoncangkan oleh pelbagai aliran pemikiran sehingga ada yang hanya Islam pada nama tetapi budaya hidupnya semakin menjauhi budaya Islam.
Perkembangan tersebut, menurut Aziz perlu ditangani secara intelektual dan bukannya menggunakan kaedah ‘serang menyerang’ di manaka kaedah sedemikian akan menyebabkan lebih banyak konflik muncul dan mengakibatkan ramai melihat Islam bukan lagi satu cara hidup yang harmoni.
Atas keperluan itulah kerjasama perlu dilaksanakan untuk menggembeling tenaga pakar dan mencari satu solusi terbaik bagi menanangi permasalahan ummat pada masa kini kerana efek globalisasi dan serangan pemikiran semakin sehari semakin besar dan rumit.
Recent Comments