Al-Quran membentangkan kepada kita 1001 cerita yang tentunya sebagai petunjuk dan pedoman untuk dipelajari dan dihayati. Al-Quran menjadi syifa merawat jiwa dan ianya adalah satu tarbiah kepada manusia dalam menjawab segala permasalahan duniawi pada hari ini.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah yang bersiaran pada Isnin, jam 5.15 petang, kali ini menfokuskan mengenai proses pendidikan kepada anak yang wajar disandarkan menerusi kisah Nabi Adam AS ini.

Dalam al-Quran sendiri, sebanyak tujuh surah membicarakan kisah Nabi Adam AS. Masihkah kita mengingati mengenai babak Iblis yang tidak mahu sujud kepada manusia?

Firman Allah yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Melalui kisah yang dibentangkan dalam al-Quran, kisah Nabi Adam AS ini wajar diteladani oleh ibu bapa.

PENDIDIKAN KEIMANAN

Katanya, penjelasan pertama adalah pendidikan melalui keimanan kepada perkara ghaibiyyat. Lihatlah mengapa Allah datangkan malaikat dan Iblis dalam kisah Nabi Adam AS?

Pernahkah kita sendiri memberitahu anak mengenai asal usul kejadian manusia? Hakikat Nabi Adam AS yang dijadikan daripada tanah liat, kemudian ditiupkan roh kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud, “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir.” (Surah Saad, ayat 71 hingga 74)

Selain daripada itu, anak perlu diajar mengenai mengapa manusia pertama itu Nabi Adam AS? Jawapan bagi soalan itu tentulah Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Ilmu Tauhid menjadi asas kepada pendidikan anak.

Ibu bapa perlu mendidik anak sejak dari kecil tentang perlunya mereka mengenali Allah SWT lebih daripada segala-galanya kerana Allah SWT memberikan akal kepada manusia untuk berfikir tentang sesuatu.

SIFAT DIMILIKI MALAIKAT

Pendidikan kedua yang menjadi sandaran melalui kisah Nabi Adam AS ini adalah keimanan kepada malaikat. Hakikatnya, Allah SWT memasukkan kisah malaikat untuk menunjukkan kepada kita tentang bagaimana malaikat yang sentiasa taat itu menjelaskan elok kelakuannya.

Malaikat adalah makhluk yang bukan sekadar baik dan sifar dosa, tetapi mereka juga sangat sensitif. Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.

Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Lihatlah betapa malaikat berani bertanya sekiranya mereka tidak tenang. Malaikat memohon penjelasan daripada Allah SWT untuk mengetahui tentang kelemahannya. Justeru, anak juga perlu diajar untuk sering bertanya sekiranya mereka tidak memahami dan mengetahui tentang sesuatu perkara itu.

PENDIDIKAN KETIGA

Hal seterusnya yang perlu difahami adalah tentang keimanan kepada qada dan qadar melalui kisah Nabi Adam AS. Bagaimana cara kita memandang sesuatu musibah yang berlaku. Kisah Nabi Adam AS mendidik jiwa agar tidak meletakkan setiap kesalahan kepada Allah SWT.

Jika diperhatikan, kita fahami Nabi Adam AS mempunyai kesilapan, iaitu memakan buah khuldi (larangan dalam syurga), Iblis pun mempunyai kesilapan kerana enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Mereka diperintahkan turun ke dunia.

Bagaimana Iblis menerima takdir dan musibah tersebut? Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-A’araf, ayat 16)

Iblis menerima takdir tanpa memandang cara betul dan akhirnya bertindak menyesatkan manusia sedangkan Nabi Adam AS dicampakkan Allah ke muka bumi, menerima takdir sebagai penyebab mentaati perintah Allah SWT.

Begitulah hakikat cerita dan kisah Nabi Adam yang perlu diambil pengajaran untuk mendidik anak pada hari ini. Pendidikan betul akan menghasilkan natijah betul dan tepat, tetapi sebaliknya jika memandang sesuatu perkara itu dalam keadaan negatif, maka hal tersebut akan memberikan keputusan mendukacitakan. Justeru, manusia perlu berperwatakan seperti malaikat dan menjauhkan diri daripada berperwatakan iblis.

Generasi Rabbani pemangkin ummah masa depan! InshaAllah.

Penulis adalah penyampai dan penerbit Radio IKIMfm.
Tarikh terbitan: 19 Ogos 2015

Translate »