Institut penyelidikan air Malaysia, NAHRIM, telah membuat kajian dan unjuran bagi keterjaminan air dalam negara. Mengikut kajian, dijangkakan bahawa kemarau yang sangat melampau akan bermula, pada tahun 2025 hingga 2030. Jika kemarau panjang ini berlaku, maka ia akan memberi kesan yang sangat besar ke atas sumber air mentah, dengan penyusutan paras air sungai dan empangan, sekaligus mengurangkan bekalan air mentah untuk kegunaan.

Kemarau sebegini sudah tentu akan menjejaskan sektor pertanian, dan impak awal yang akan berlaku adalah krisis bekalan beras. Krisis ini bukan sahaja melanda dalam negara, malah menjejaskan negara-negara pengeluar beras terbesar dunia seperti India, Thailand dan Indonesia.

Hadis berkenaan ketiadaan makanan ketika munculnya Dajjal, diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunannya daripada Abu Umamah, maksudnya:

 “Sesungguhnya sebelum keluarnya Dajjal terdapat 3 tahun yang sukar. Manusia akan ditimpa dengan kelaparan yang dahsyat. Allah memerintahkan langit pada tahun yang pertama untuk menahan 1/3 dari hujan dan Allah memerintahkan bumi untuk menahan 1/3 dari tumbuh-tumbuhan lalu Allah memerintahkan langit pada tahun yang kedua untuk menahan 2/3 dari air hujan dan menyuruh bumi untuk menahan 2/3 dari tumbuhan.

Rasa takut adalah keresahan yang menyangkut masa depan. Ia lahir adalah akibat dugaan akan terjadinya sesuatu keburukan. Rasa takut itu macam-macan boleh jadi juga ketika menghadapi suatu situasi yang pasti terjadi seperti penuaan dan kematian. Bahkan situasi menakutkan yang belum tentu terjadi boleh juga menjadi sebab ketakutan. Demikian juga rasa takut dari ramalan bencana yang akan menimpa umat pada akhir zaman yang berdasarkan hadis-hadis nabi seharusnya ia dihadapi dengan menanamkan dalam jiwa bahawa hal itu pasti terjadi bukan hanya terhadap diri tetapi juga semua yang hidup.

Seorang yang tinggal di pergunungan pernah ditanya; “Apakah anda takut mati?” Ia balik bertanya : “Apa yang saya temui setelah kematian?” “Tuhan.” jawab si penanya tadi. “Jika yang saya temui adalah Tuhan maka saya tidak perlu takut kerana saya yakin Dia maha Baik dan saya pun terasa dekat kepadaNya.”

Apa pun kematian akibat bencana adalah risiko kehidupan. Bahkan mestinya kematian disambut dengan baik kerana hanya itu jalan mencapai kesempurnaan perjalanan hidup manusia dan disana ada syurga yang kenikmatannya jauh lebih besar daripada kenikmatan apapun yang dialami oleh sesiapa pun dalam kehidupan dunia ini.

Imam al-Qurthubi dalam al-Tazkirah menyebutkan bahawa perkara yang perlu diingatkan ialah apa sahaja yang disampaikan oleh baginda Nabi SAW adalah benar. Namun menetapkan bilakah berlakunya kiamat memerlukan kepada riwayat yang sahih. Tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat.

Riwayat hanya menyebut bahawa Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat namun tidak ada yang tahu Jumaat yang manakah akan berlakunya kiamat. Begitu juga dengan tanda-tanda kiamat, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah tanda-tanda itu akan muncul.

Jihad Seorang Muslim

Orang-orang yang beriman, sentiasa disuruh untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku dalam hidup. Bilakah akan berlakunya tahun-tahun kelaparan tersebut, hanya Allah yang Maha mengetahui. Apa yang pasti, pada saat itu tiba Nabi SAW memberitahu bahawa makanan orang beriman ketika itu adalah zikir. Nabi SAW mengajarkan kepada umat membuat persiapan untuk menghadapi Dajjal dengan cara menghafal dan menghayati 10 ayat awal daripada surah al-Kahfi.

Bagi menghadapi kekurangan bekalan makanan, persiapan seperti tanaman beras komuniti, penyimpanan bekalan makanan secara berperingkat dan sebagainya, perlu juga dimulakan dari hari ini. Umat Islam diharamkan untuk bersifat fatalistik, kerana orang Islam wajib optimistik, dan bersangka baik dengan Allah SWT. Secara zahirnya, kita perlu berjihad dan bersiap sedia dengan apa daya sekali pun, di samping mengisikan jiwa dengan zikrullah, yang telah diajar oleh Nabi SAW.

Anggapalah lah semua ini sebagai satu ibrah atau iktibar, satu pelajaran yang boleh diambil melalui hal atau peristiwa yang terjadi. Semoga ia dapat dijadikan bahan pertimbangan dalam menentukan kebijakan, atau langkah-langkah ke masa hadapan dalam kehidupan ini.

Semua apa yang terjadi di langit dan bumi, tidak terlepas dari pengetahuan Allah SWT, dan orang-orang yang bertaqwa perlu mencari hikmah disebaliknya. Semoga Allah Azza-Wa Jal melindungi kita semua.

Catatan: Ibnu Majidv

Translate »