Naluri beragama merupakan fitrah manusia sejak Allah SWT menciptakan Adam AS sebagai makhluk yang bertauhid. Setiap manusia pasti terlahir dalam keadaan memiliki agama tersebut.

Sementara Islam merupakan agama penutup yang selalu berada dalam penjagaan Allah SWT dari segala bentuk penyimpangan. Dia juga menjadikannya sebagai penyempurnaan bagi agama-agama yang sudah ada sebelumnya.

Beragama adalah sebuah keniscayaan yang akan membawa seseorang menuju tujuan utamannya, iaitu kebahagiaan abadi. Namun tidak serta-merta bahawa setiap agama yang muncul pasti benar dan dapat menjadi pedoman hidup. Hanya ada satu titik kebenaran yang harus kita cari dan telusuri, sehingga kita tidak terikat pada dogma semata-mata.

Demikian pula orang yang beragama, dia akan menemukan agamanya berdasarkan informasi dari orang tua atau pengasuhnya. Seseorang tidak akan lagi beragama secara buta hanya berdasarkan pengajaran orang tuanya. Pernahkah mereka mengetahui hakikat agama yang sebenarnya. Untuk itu, kita harus melakukan penelusuran dan pencarian satu titik kebenaran melalui sejarah, ajaran dan latar belakang lahirnya agama masing-masing. Terutama sekali, kita harus tahu bagaimana sejarah munculnya agama yang dipeluk, hingga dapat lebih meyakini agama dan lebih giat menjalankan setiap ajaran agama.

“Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim, mereka membela diri. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barangsiapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya dari Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang zalim. Tetapi orang-orang yang membela diri setelah dizalimi, tidak ada alasan untuk menyalahkan mereka.

Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di bumi, tanpa (mengendahkan) kebenaran. Mereka itu mendapat seksa yang pedih. Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.” – (QS. Asy-Syura [42] ayat 39-43)

Betapa kompleksnya menjadi seorang muslim. Melalui ayat ini Allah mengajar bahawa sesuatu harus dilakukan sesuai dengan keadaan atau suasananya. Ada prinsip kalau ketegasan memang diperlukan, maka seseorang muslim harus tegas. Tetapi kalau pendekatan kemanusiaan yang harus dilakukan maka seseorang muslim harus berusaha melakukan pendekatan kemanusiaan.

Memetik kata-kata Professor Wan Mohammad Nor Wan Daud, dalam peperangan antara golongan saling bermusuhan, antara haq dan batil, perkara paling penting yang disasarkan ialah pandangan alam. Menumpukan pada kata-kata dasar dan kunci dan tokoh-tokoh utama.

Jika umat Islam dapat dikelirukan tentang makna sebenar sekitar nama Allah, istilah-istilah Islam seperti Iman, Kafir, Jihad, tentang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, ulama serta awliya, tentang ilmu, kebenaran, keadilan, kebahagiaan, sejarah dan peradaban Islam, maka musuh-musuh agama ini telah meraih kemenangan sangat asasi.

Hakikat-hakikat utama ini ditafsirkan sama ada dengan menyempitkan, atau melebarkan maknanya di luar batasan yang sah, demi mengikut dorongan golongan-golongan yang kini mempengaruhi dunia. Ini terjadi sehingga sebahagian pemimpin umat melarang menggunakan beberapa kata-kata kunci seperti kafir, jihad, munafiq, syurga, neraka dan sebagainya. Dengan cara ini, al-Quran dan semua kitab-kitab agama tidak lagi boleh digunakan mengikut istilah-istilah asalnya. Inilah salah satu cara bagaimana kitab-kitab wahyu para anbiya’ terdahulu dipinda dan diubah-suai mengikut kehendak zaman.

Akhirnya agama yang benar menjadi songsang, dan menjadi alat para penguasa yang menjauhkan manusia dari Tuhan yang Esa dan ajaran sebenar para Nabi.

Tiada Al Quran akan lenyap. Tiada hijab akan ditanggalkan. Tiada kumandang azan akan diam. Tiada jihad akan berhenti, dan Kafilah Islam akan terus bergerak. Siapa ikut di dalamnya ia akan sampai, dan siapa yang meninggalkannya ia akan hancur. Allah pasti akan menyampaikannya kepada kesempurnaan.

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir membencinya.” – (Al-Quran surah as-Saff ayat 8)

Nabi SAW mengajar kita, bahawa sesungguhnya sikap ekstrem dalam beragama akan membawa kehancuran. Pemikiran ekstrem akan membawa kehancuran bagi pelakunya sendiri. Yang nyata, ia akan membawa kehancuran dunia dan kehancuran agama. Dan yang jelas, sikap ekstrim ini akan memberi kesan kepada penghancuran masyarakat, menebarkan ketakutan, dan kesan buruk terhadap dakwah.

Pemikiran ekstrem ini sebenarnya tidak eksklusif kepada umat Islam sahaja, dan juga bukan hanya dalam kalangan orang Melayu. Ia wujud di dalam mana-mana aliran pemikiran, maupun keturunan bangsa. Tidak adil atau wajar untuk berpendapat seperti yang dicanang oleh media popular barat, bahawa terrorisme dan ekstremisme adalah hanya untuk orang Islam semata. Lihat juga ekstremisme puak Hindutva di India, puak komunis zaman Mao Ze Dong, dan ekstremis Zionis yang sedang membunuh sesuka hati di Palestin.

Salah satu faktor munculnya pemikiran ekstrem, lahir daripada mereka yang menjadi pemimpin. Ia perlu mengatasi dulu penyakit dan akar permasalahanya. Terutama menahan diri dari menjatuhkan hukuman kepada pihak lain secara tidak benar, dan menghilangkan segala praktik kezaliman yang menimpa rakyat. Kerana hal itu yang akan menenangkan psikologi masyarakat. Kelompok Khawarij pada masa Khalifah Umar abd Aziz berhenti memberontak kerana sikap adilnya selama ia berkuasa.

Kerajaan yang ada pada hari ini sudah lebih dari bersifat toleransi terhadap agama-agama lain. Tuduhan bahawa kerajaan tidak berlaku adil terhadap agama lain selain dari Islam ada satu tuduhan yang melulu dan ekstrem. Pihak-pihak yang menuduh sebegitu, harus meletakkan cermin di hadapan wajah mereka dahulu, dan hentikan permainan sentimen demi mengukir nama dalam lanskap politik tanahair.

Catatan: Ummu Khadeejah Abdullah

Translate »