Tradisi mengajar bahawa manusia dicipta sebagai imej Tuhan. Maka apabila manusia menghina nama Tuhannya bukankah dia telah menanggalkan pakaian kehormatan dirinya yang Tuhan sendiri anugerahi? Bukankah itu perbuatan menghina diri sendiri yang ekstrim?

Hikmah tradisi menegaskan manusia dicipta sebagai haiwan berakal lagi rasional. Maka apabila manusia menghina nama Tuhannya bukankah dia telah menghina akalnya sendiri dan juga keinsanannya?

Kepercepercayaan agama tradisi memperingatkan kita bahawa Tuhan telah mengajar nama-namaNya yang baik lagi indah kepada nenek moyang terawal manusia yang menyampaikannya pula kepada keturunan mereka. Maka apabila manusia menghina nama Tuhannya bukankah dia telah menghina nenek moyangnya sendiri?

Manusia mana yang tidak naik marah meradang apabila namanya dihina dan imej rupanya dipijak-pijak? Bukankah perbuatan spontan manusia mempertahankan nama baik dan kehormatan dirinya bila dihina itu bukti nyata Tuhan memurkai penghinaan? Tetapi penghinaan perlu dijawab dengan rahmah kepenyayangan, bukan dengan penghinaan balasan!

Osman Bakar

21 Ramadan 1445/ 1 April 2024

Translate »