Serangan bom ke atas dua outlet KK Mart dalam sebulan ini, jelas menggambarkan betapa sesetengah golongan daripada kita tidak dapat mengawal kemarahan kerana isu menpermainkan kalimah Allah. Namun sejarah mencatatkan bahawa provokasi dan berbagai cara buruk seperti itu tidak akan pernah memberi ketenangan serta rasa aman di antara semua pihak. Persoalannya juga, apakah perbuatan ini dibenarkan oleh agama Islam? Dan yang terutama sekali, apakah isu sebenar yang wujud di dalam masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di Malaysia?

Kita selalu membaca sejarah Rasulullah SAW yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan, pembesar satu kaum yang bukan Islam dan terhadap orang tua serta orang kafir yang berhajat. Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah dengan orang yahudi, hingga baju besi Baginda SAW ditinggalkan tergadai dengan orang yahudi sehingga Baginda wafat. Dan juga bagaimana Nabi melayan orang tua, dan mereka yang memusuhinya, dan bagaimana penghormatan yang diberi kepada jenazah seorang yahudi yang sedang dibawa di hadapannya. Lalu sahabat bertanya kepada Baginda, tidakkah jenazah itu seorang Yahudi? Jawab Baginda, bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah?

Sejarah kehidupan keagamaan membuktikan betapa fenomena kekerasan telah banyak mengorbankan orang-orang yang tidak berdosa di tangan golongan pelampau atau ekstremis. Hakikatnya kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu sunah Ilahiah, yang merupakan manifestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama, diwajibkan untuk berdialog dengan agama-agama lain selain Islam untuk saling kenal mengenali sebagai memenuhi tuntutan kehidupan.

Hakikatnya agama mana sekalipun menolak unsur-unsur keganasan dan kekerasan yang boleh mendatangkan keburukan bukan sahaja kepada manusia, malah seluruh makhluk di muka bumi ini.

Tidak ada satu kebaikan pun yang diperoleh hasil daripada tindakan kekerasan. Apa sahaja yang muncul hasil daripada tindakan kekerasan akan mengembangkan sikap egoisme yang akhirnya menghancurkan diri manusia itu sendiri. Sebaliknya sikap lembut dan antikekerasan akan menjernihkan hati nurani siapa sahaja.

Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan. Agama tidak akan aman sama sekali daripada pelampau dan penindasan segolongan daripada masyarakatnya.

Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan amar makruf ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan serta kebebasan individu lain.

Fenomena kekerasan ini tidak hanya terbatas pada kurun waktu tertentu. Bahkan pada masa kini, iaitu ketika meluasnya slogan Malaysia Madani, tetap masih belum selesai keraguan dan rasa tidak percaya antara kaum dan agama dalam negara kita.

Perlu diingatkan bahawa toleransi hidup beragama merupakan hal yang sangat ditekankan Islam sejak awal kehidupan lagi. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud;

“Untuk kamu agamamu, dan untukku agamaku.”

Apabila disebut perdamaian, ia masih merupakan suatu persoalan yang sangat ilusif. Perbezaan, baik politik maupun bukan politik akan terus ada dan tidak mungkin dihilangkan antara individu, antara kumpulan ataupun antara Muslim dengan Muslim yang lain.

Jika setiap manusia menolak untuk bersikap toleransi dan terbuka dalam menghadapi perbezaan dan memaksakan apa yang menjadi kehendaknya, maka kedamaian tidak mungkin wujud di dunia ini. Demikianlah dengan konflik serta keganasan yang berlaku di merata-rata tempat di dunia ini.

Firman Allah dalam surah Al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud;

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berlaku adil.”

Seseorang yang tidak memiliki rasa toleransi, maka ia bukan manusia dalam pengertian dan ekspresi yang sebenar. Saat seseorang memuncak kemarahannya pada hal-hal yang dibenci, maka hal itu merupakan bukti nyata daripada kelemahan yang ada dalam dirinya. Memang banyak orang yang tidak mahu mengakui prinsip toleransi sebagai sesuatu yang abadi. Pada keadaan yang sangat mendesak dan tersepit, keinginan untuk membalas dendam menjadi sangat kuat. Dan perasaan marah yang disertai reaksi negatif demikian hendaknya dilepas dengan sebebas-bebasnya.

Selain daripada itu, Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, telah menubuhkan unit pemantauan isu menghina Islam oleh JAKIM. Tetapi setelah sekian lama pun, unit ini seperti mati segan, hidup tak mahu. Sepatutnya jakim lebih proaktif dalam menangani masalah keharmonian antara agama, dengan peruntukkan besar setiap tahun diberi oleh kerajaan. Jelas jika dilihat didalam pelan transformasi Al-Falah JAKIM antara lain memberi fokus ke arahnya dialog harmoni antara penganut agama dan tamadun. Namun dalam hal ini nampaknya seperti JAKIM tidak bersungguh-sungguh mencari solusi kepada masalah agama yang sering timbul dalam masyarakat kita.

Sekali lagi dinyatakan semula, perlu wujudkan dialog antara agama dengan segera, memandangkan situasi masyarakat Malaysia sekarang dalam masalah memahami agama antara satu sama lain. Namun hakikatnya JAKIM membisu seribu kata. Berapa banyakkah dialog antara agama telah dianjurkan oleh JAKIM, dan sejauh mana kesan impak dari pelaksanaan program itu kepada umat Islam dan bukan Islam?

Dan yang menyedihkan lagi agensi-agensi Islam seperti IKIM maupun YADIM dan juga NGO Islam lain-lain, seolah-olah gagal menawarkan sebarang naratif Islam yang boleh memandu visi dan imaginasi ummah dalam kemelut semasa ini.

Di dunia ini, kesatuan hanya akan dapat dicapai dengan belajar untuk bersatu, dan bukan belajar untuk berbeza ataupun memaksakan kesatuan tanpa mengakui adanya perbezaan. Untuk menghapuskan semua perbezaan yang ada, tentu merupakan hal yang tidak mungkin dilakukan. Rahsia pencapaian kedamaian dalam kehidupan adalah bertoleransi terhadap adanya pergaduhan atas kedamaian itu sendiri.

Perlu adanya usaha untuk memperbaiki hubungan antara agama dan kaum di dalam negara kita yang majmuk. Dan usaha ini perlu didorong oleh keikhlasan dari semua penganut agama di dalam negara, tanpa menuding jari atau tanggapan prasangka yang tidak membawa sebarang manfaat.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »