Sudah seminggu isu stoking berjaya memanaskan emosi walaupun ada sekelompok umat Islam melihatnya sebagai tidak wajar dikembangkan tahap (tindakan) selanjutnya. Alasannya ialah pihak yang dikatakan terbabit sudah memohon maaf di atas kesilapan yang berlaku: pengasas KK Mart memohon maaf dan menangis di atas ‘tersilap pandang’ manakala pengilangnya di Batu Pahat juga memohon maaf kerana pihak mereka hanya membungkus semula, manakala bekalan stoking diperoleh daripada pengilang di China.

Ekoran kontroversi tersebut, pihak polis menerima 42 laporan (setakat 20 Mac 2024) dan tiga hari selepas itu (22 Mac 2024) mengumumkan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negera. Pihak polis mencadangkan agar KK Mart dan pengilang (pembungkus), Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah.

Kontroversi stoking kali ini menjadi cukup memanaskan emosi rakyat Malaysia berbanding kontroversi pertama yang berlaku sebelum akhir tahun 2018. Ketika Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik dilihat cuba melakukan sedikit perubahan, dicadangkan para pelajar mulai sesi akademik 2019 tidak lagi memilih stoking berwarna putih seperti kebiasaannya.

Pada ketika isu penukaran warna stoking, Mazlee disindir sinis agar ‘tidak hilang arah’. Sindiran itu termasuk pada usaha sekelompok politikus untuk diiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu Bersekutu (Unified Examination Certificate, UEC), yang tidak menggunakan kruikulum kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kelolaan Dong Zong. (Dr Hayati Ismail, Menteri Pendidikan Jangan Hilang Fokus, Utusan Malaysia, 19 Julai 2018)

Oleh kerana akhbar dalam kumpulan Utusan Melayu dikatakan memainkan isu tersebut, maka KPM mengambil keputusan untuk mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah KPM berhenti melanggan akhbar yang diterbitkan ole kumpulan tersebut (Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad) (Memo Pejabat Menteri Pendidikan kepada KSU, YBHG Dato’ Dr Mohd Ghazali bin Abas bertarikh 18 Julai 2018; Malaysiakini, 1 Ogos 2018),

Walaupun Mazlee menafikan arahan tersebut datang daripadanya, tidak ada sebarang kenyataan balas daripada KPM mengenai perkara tersebut dengan alasan yang jelas, Mazlee tetap dipersalahkan  maka Dengan kata lain, Mazlee mengarahkan agar KPM boikot pembelian akhbar di bawah Kumpulan Utusan Melayu.

Para pelajar boleh memakai stoking berwarna hitam, Mazlee memberikan alasan bahawa, beliau menerima aduan daripada ibu bapa bahawa stoking berwarna mudah kotor, sebagai pilihannya ditukarkan ke warna hitam. Jadi, untuk dilihat sepadan, warna kasut juga ditukar kepada hitam, tidak seperti sebelumnya, kasut putih yang telah dipakai oleh para pelajar sejak selepas merdeka lagi.

Itulah perubahan yang dilakukan oleh Mazlee, sehingga kontroversi warna kasut dan stoking menjadi sebahagian legasinya sebagai Menteri Pendidikan selama 20 bulan, selain terpaksa menyerahkan balik jawatan tersebut sebagai mengikuti rasmi Hang Tuah, tidak menentang walaupun terasa ‘hiba dan sedih’, juga kesal seolah-olah apa yang dibuatnya ‘tidak dihargai’.

Namun, masyarakat awam mengkritik perubahan warna stoking dan kasut dengan sinis. Ada yang mengharapak Mazlee tidak kehilangan arah, terutama melaksanakan ribuan inisiatif yang sudah dumulakan pada tahun 2013 untuk menjadikan sistem pendidikan negara berada dalam kelompok sepertiga di atas di peringkat antarabangsa.

Ketika kajian mengenai sistem pendidikan dilaksanakan, melibatkan libat urus yang cukup luas dan hampir kesemua pemegang taruh (stake holders), Tan Sri Muhyiddin merumuskan sebagai komprehensif dan demokratik, membabitkan penyertaan 12 ahli panel penilai bebas Malaysia; 4 ahli panel penilai bebas antarabangsa; 6 buah universiti awam; 9 kali makmal pendidikan (lab/group discussion); 3000 artikel dan blog; 200 memorandum; lebih 20 seminar dan perbincangan anjuran organisasi bebas; dan 9 siri hari terbuka.

Kesemuanya melibatkan 750 orang guru besar dan pengetua; 15,000 orang guru; 22.000 orang murid; dan 300 pegawai Jabatan Pendidikan Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah dalam format kumpulan fokus (focus group). bengkel dan kajian.

Dalam format perbincangan terbuka (meja bulat, dialog nasional. Townhall dan kaji selidik, ia membabitkan 8,000 orang guru, 2,00 ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru; dan 7,000 0rang awam. (Ehibit 1.2Sumber Input Bagi Penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah Hingga Lepas Menengah), hal. 1.5, bab 1: Konteks dan Pendekatan).

Agenda pendidikan adalah lebih besar daripada isu pertukaran warna stoking, itu adalah pendapat umum ketika itu, ketika PH baharu tiga bulan membentuk kerajaan. Isu stoking kali ini dihubungkan dengan persoalan akidah, bukan atas alasan ekonomi sebagaimana dilihat olrh segelintir usahawan kerana tindakan selanjutnya ialah meminta seluruh umat Islam memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

KK Mart mempunyai 881 cawangan di seluruh negara. Ia diasaskan oleh Datuk Seri Dr KK Chai pada tahun 2001 dengan cawangan pertamanya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. KK Mart menjadi sasaran kerana salah sebuah cawangannya didapati ‘menjual stoking’ yang tertera Kalimah Allah. iaitu cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya, Kes itu dikesan pada hari kedua umat Islam berpuasa (2 Ramadhan 1445 bersamaan 13 Mac 2024).

Ekoran tularnya wajah stoking tertera kalimah Allah, keesokannya pengasas KK Mart memohon maaf dan meminta agar tidak diteruskan pemboikotan rangkai kedai serbaneka miliknya.

Namun, isu itu menjadi semakin panas apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang juga ADUN Merlimau lantang mengkritik, kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap Islam.

Dr Akmal yang mendapat sokongan UMNO (kemudiannya, yakni mesyurat Majlis Tertinggi UMNO pada selanjutnya menyatakan bahawa boikot akan diteruskan sehinggalah KK Mart terpaksa menutup operasinya. Atau mencari bentuk perniagaan lain.

Selain itu, Dr Akmal juga mendapat ‘back-up’ daripada Ketua Menteri Melaka, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh dengan berkata kelantangan Ketua Pemuda UMNO itu memiliki asas dan mewakili suara umat Islam di Malaysia yang terguris hati ekoran isu tersebut.

Jelas Abdul Rauf: “Sebenarnya isu kalimah Allah yang diletakkan di stoking ini memang mengguriskan hati rakyat Malaysia yang beragama Islam kerana kita seharusnya menghormati hak agama masing-masing.

“Kelantangan Dr Akmal ini mewakili orang Melayu (dalam) menyuarakan suara hati orang Islam yang terguris dalam kebiadapan syarikat yang mencetak dan menjual (stoking kalimah Allah) yang mana soal politik tidak mengubah pendirian kita tentang agama.” (Malaysiakini, 22 Mac 2024).

Dalam kenyataan oleh Setiausaha Agong UMNO, Datuk Asraf Wajdi Dusuki, Majlis Kerja tertinggi UMNO sebulat suara menyokong penuh pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNOm Dr Muhammad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking tertera kalimah Allah selepas berdepan tekanan daripada parti komponen dalam kerajaan.

“Pemuda mewakili UMNO dan itu pun dibincangkan dalam MKT dan seluruh ahli majlis MKT menyokong penuh pendirian berkenaan berkenaan isu kalimah Allah…Beberapa pemimpin Kabinet tegur UMNO, namun tiada apa yang harus dijelaskan dan yang penting kenyataan UMNO terus pertahan kesucian Islam.

“Bahkan kita meletakkan syarat penting dua perjanjian dalam memulakan rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan. UMNO letakkan syarat, jangan sesekali remehkan apa yang terkait dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Setakat hari ini, pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan hormat pendirian tersebut.” (Malaysia Gazette, 22 Mac 2024).

Sebelum itu, tiga orang menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan melahirkan rasa kecewa terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang lantang bersuara dan menyerus kepada pemboikotan semua rangkaian kedai serbaneka KK Mart. Menteri yang terbabit ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Sei Fook; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing.

Dalam ulasannya mengenai seruan boikot tersebut, Anthony Loke, Setiausaha Agong DAP menyatakan pendirian DAP tidak setuju dengan pendekatan Dr Akmal menegur KK Mart dan mempersoalkan adakah Ketua Pergerakan UMNO akan bertindak dengan tindakan yang sama sekiranya melibatkan syarikat milik orang Islam.

Dalam reaksi balas komen Anthony Loke, Dr Akmal menjelaskan: Saya tak perlu dapatkan persetujuan DAP untuk mempertahankan agama saya dari dihina. Siapa pun kamu, saya tidak pernah takut dan tak pernah gentar. Fullstop!! Kekal boikot.”

Begitu juga dengan dakwaan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, yang pernah muncul dengan kontroversi mengenai seorang pelancong berbangsa Cina dari China yang didakwa meminta tolong kerana kemasukannya ke Malaysia terhalang menerusi KLIA (Jun 2023);  menurunkan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia, Ammar Abd Ghapar (Februari 2024); suatu ketika menyelar usaha menangani penularan COVID-19 dan menyarankan agar mencontohi China (2021); dan didakwa minum arak dan makan babi di pejabat (dinafikan dan fitnah tersebut disifatkannya sebagai memberi kutukan kepada keamanan dan kestabilan sosial, Januari 2024), bahawa UMNO akan dipandang negatif oleh orang ramai dan kerana itu, Dr Akmal patut ditegur,

Dalam reaksi balasnya, Dr Akmal berkata: Boleh tak seseorang beri cerminan pada dia ni? Boleh cermin diri dulu kot. Kalau tiada jawatan pun akan tetap pertahankan agama, bangsa dan tanah air saya.”

Nga Kor Ming mendakwa bahawa desakan memboikot KK Mart oleh Dr Akmal akan memberi pada kepada UMNO dan disindir sinis oleh Dr Akmal, “KK Mart akan lagi diboikot dengan ‘sokongan Nga’ terhadap syarikat itu.

Usaha yang diambil oleh tiga menteri tersebut- dua dari DAP (Anthony Loke dan Nga Kor Ming) dan seorang dari GPS (Gabungan Parti Sarawak, Presiden Sarawak Progressive Democratic Parti (SPDP- menyatakan pandangan tidak bersetuju kepada Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka, nampaknya tidak mencapai hasrat kerana Dr Akmal tidak berganjak dengan seruannya memboikot KK Mart.

Ia menjadi Dr Akmal semakin bersemangat apabila mendapat sokongan pucuk pimpinan UMNO dan beberapa pihak yang melihat tindakan sedemikian wajar kerana ‘menghina Islam tidak akan selesai dengan hanya memohon maaf’. Ada pula dalam kalangan aktivis kemasyarakatan melihat ‘permohonan maaf’ itu hanya sebagai langkah untuk menguji sejaumanakah orang Melayu-Islam kental dengan jatidirinya.

Dalam kebanyakan perkara, bukan Melayu sudah berpuluh kali menghina Islam, orang Melayu dan Raja, tetapi ia terus dibangkitkan semula setelah beberapa ketika menjadi reda dengan hanya memohon maaf. Maaf yang tidak melambangkan kejujuran dan keikhlasan juga rasa kesal yang mendalam untuk tidak mengulanginya, maka itulah orang Melayu perlu menggunakan kekuatan yang ada, termasuk kuasa ekonomi.

Biarpun orang Melayu (Islam) tidak menguasai kek ekonomi yang besar, kuasa beli orang Islam di Malaysia cukup tinggi berbanding bukan Islam. Ini kerana masyarakat Islam menggunakan populasi majoriti dan merupakan pengguna terbesar. Telah beberapa kali seruan seumpama itu dibuat, misalnya Buy Muslim First, kesannya tidaklah berlaku dalam masa yang panjang, hanya bermusim.

Atas sebab itulah seruan boikot kali ini akan berlangsung dalam tempoh yang lama, sehinggalah KK Mart benar-benar ‘gulung tikar’. Seruan itu bukan bersifat perkauman, ia dilakukan untuk memberitahu setiap orang mesti menghormati kepercayaan agama masing-masing, bukan hanya mengutamakan ekonomi semata-mata sehingga hilang adab dan susila.

Dalam masyarakat majmuk, setiap orang perlu jalani kehidupan dengan rasa hormat dan tidak menduga sensitivity kaum, agama dan sistem pemerintahan, yang diakronimkan sebagai 3R – race, religion dan royalty (raja).

(Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »