Abu Bakar al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di Kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak.
Abu Bakar al-Baqir atau dikenali juga Syeikh Abu Bakar al-Baqir berketurunan Jawa. Datuknya berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang pada 1850-an. Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, Perak, untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol.
Kehidupan mereka adalah dari bercucuk tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said.
Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.
Beliau belajar di Sekolah Melayu selama lima tahun. Di samping itu, beliau juga dididik membaca al-Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya yang sesuai diterima oleh anak-anak sebayanya.
Setelah menamatkan Sekolah Melayu, beliau belajar di sebuah pondok di Gunung Semanggol, iaitu Madrasah ar-Rahmaniah. Pondok itu dinamakan demikian adalah sempena nama pengasasnya, Haji Abdul Rahman bin Mahmud, seorang alim yang pernah belajar di Al-Azhar, Mesir dan Masjid Haram di Mekah. Syeikh Abu Bakar al-Baqir belajar di pondok itu selama enam tahun, iaitu dari tahun 1919 hingga 1924.
Selepas itu beliau berpindah ke Madrasah Dairatul-Maarif al-Wataniah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Di Kepala Batas, beliau diajar oleh guru yang berkebolehan, termasuklah Tok Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Haji Abdullah Pak Him), seorang tokoh ulama yang terkenal di sebelah utara Semenanjung. Beliau belajar di situ selama enam tahun.
Ketika gurunya, Haji Abdullah bin Ibrahim berpindah mengajar ke Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Syeikh Abu Bakar juga berpindah ke sana, berada di sana selama tiga tahun (1931-1933), separuh masa pertama sebagai pelajar, dan pada separuh masa yang kedua sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan.
Beliau kembali ke Gunung Semanggol atas panggilan bekas gurunya dan bakal mentuanya, Haji Abdul Rahman, untuk sama-sama berusaha menubuhkan sebuah sekolah Islam di Gunung Semanggol sebagai ganti pondok Ar-Rahmaniah.
Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abdul Rahman dan tokoh-tokoh Muslim tempatan, maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Maahad Al-Ehya al-Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abdul Rahman.
Pada tahun 1935, beliau dinikahkan dengan Fatimah Abdul Rahman. Beliau terus menyertai isterinya ini, dengan mendapat kurnia empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan, hinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada 13 Julai 1974. Putera-puteri beliau itu ialah Sahar Mursyid Abu Bakar, Miskiah Fadilah Abu Bakar, Naqibah Nu´ma Abu Bakar, dan Anidah Rusda Abu Bakar.
Dari segi pembaharuan Islam, beliau menunjukkan pembaharuan yang mirip dengan Syeikh Juned Tola. Beliau membangunkan bidang pendidikan, politik, ekonomi, dan kerja kebajikan. Beliau tidak begitu mengambil berat tentang fahaman bermazhab. Sepertimana Syeikh Juned Tola, meskipun beliau menganut fahaman pembaharuan dalam bidang akidah dan syariah, namun gerakan “islah”nya tidak berkonfrontasi dengan pihak Syafiiyah. Beliau menekankan pembaharuan itu dalam bidang pendidikan.
Pembangunan pendidikan rasmi telah beliau penuhi dengan menubuhkan Maahad al-Ihya al-Syarif. Dalam hal ini beliau mendapat kerjasama daripada kaum muslimin tempatan, khasnya daripada Haji Abdul Rahman Mahmud, Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abd. Manaf, Penghulu Kampung Gunung Semanggol. Selain itu, beliau juga mengajar di kelas pengajian yang diadakan di masjid dan surau di sekitar Gunung Semanggol.
Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka telah dibentuk suatu badan yang bernama Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA). Sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran MATA beliau telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar pendidikan yang bertaraf nasional.
Dalam suatu persidangan yang diadakan di Maahad al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang pada 15 November 1947 telah dibentuk pula Lembaga Pendidikan Rakyat, atau singkatannya LEPIR, yang pengelolaannya diserahkan kepada Ustaz Abdul Rabb al-Tamimi.
Antara matlamat yang hendak diperjuangkan oleh LEPIR ialah menyamakan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat dalam Malaya, dan untuk mencapai ini sebuah Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Haji Zubir Ahmad, yang kemudiannya digantikan oleh Ustaz Abdul Rabb al-Tamimi.
Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal 25 September 1969).
Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2000 orang para alim ulama dan cendekiawan Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.
Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi.
Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti ini telah mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.
Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka beliau dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Beliau juga dituduh sebagai parti “merah” (komunis). Dato´ Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa ´pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi´. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.
Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12.00 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abdul Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan pada Oktober 1952.
Ekoran daripada penahanan itu, HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Bagaimanapun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Syeikh Abu Bakar al-Baqir meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Bagaimanapun, jasanya tetap tinggal. Maahad al-Ihya al-Syarif terus berdiri dengan kukuh. Dari segi kewangan, meskipun sangat sederhana, namun tidak mengecewakan. Sekolah ini kebun-kebun getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi seluas 12 ekar. Beliau juga mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak.
Walau bagaimanapun, fungsi sekolah itu sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak pemergian Syeikh Abu Bakar al-Baqir.
Catatan: Ibnu Fayyad
Recent Comments