Kecacatan yang dialami oleh Zulkifli Muhammad tidak sedikitpun menghalang dan melemahkan semangat beliau bagi menghadapi pelbagai ranjau dalam perjuangan politik. Malah beliau sangat dihormati sebagai seorang pemidato yang hebat di parlimen, dan keistimewaan tersebut diakui sendiri oleh kawan dan lawan beliau.

Beliau juga diingati sebagai seorang ahli politik yang bersikap tegas berkaitan ajaran yang bertentangan dengan Islam khususnya berkaitan aspek akidah, malah tidak pernah segan untuk menegur dasar kerajaan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam seperti desakan beliau agar kerajaan Malaysia menarik semula pengiktirafan terhadap negara Israel yang telah menindas umat Islam di Palestin.

Perjuangan Zulkifli Muhammad untuk memperkasakan umat Islam tidak hanya terhad kepada umat Islam di Malaysia sahaja, tetap juga di seluruh dunia Islam. Meskipun beliau merupakan bekas pemimpin PAS, namun pemikiran beliau tidak hanya diperjuangkan oleh ulama dan pemimpin PAS sahaja, malah turut diperjuangkan oleh pemimpin kerajaan, termasuklah pemimpin UMNO sehingga ke hari ini.

Hal ini menunjukkan bahawa pemikiran beliau bukan sahaja relevan dengan cabaran semasa, malah pemikiran beliau juga bersifat sejagat yang sesuai dengan ajaran Islam sebenar.

Perjuangan Zulkifli Muhammad dalam bidang politik tidak lama setelah beliau meninggal dunia dalam usia 36 tahun. Pada 7 Mei 1964, Zulkifli Muhammad dan isterinya Aishah binti Kamaruddin terbunuh dalam sebuah kemalangan di Jalan Kuantan-Kuala Lumpur. Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala isterinya meninggal dunia di tempat kejadian (The Straits Times, 7 May 1964). Dua orang anak perempuan beliau iaitu Rohana dan Noraini pula didapati pengsan dan dihantar ke Hospital Besar Kuantan, Pahang kerana mengalami kecederaan yang serius.

Pemikiran Zulkifli Muhammad untuk memperkasakan umat Islam dilihat merentasi zaman kerana pemikiran beliau bukan sahaja relevan dengan cabaran semasa ketika itu, tetapi juga selari dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam selepas kematian beliau sehinggalah ke hari ini.

Latar Belakang dan Perjuangan Zulkifli Muhammad

Beliau dilahirkan pada 22 Mac 1927 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada sepuluh orang adik-beradik. Ketika berumur dua bulan, beliau telah diserang penyakit polio yang menyebabkan tangan dan kakinya menjadi lemah, dan kecacatan tersebut diwarisinya sehingga ke akhir hayatnya.

Bapanya iaitu Muhammad bin Arsyad merupakan seorang kerani di Hospital Kuala Kangsar, manakala ibunya iaitu Arbayah binti Muhammad pula merupakan seorang suri rumah yang pernah memegang jawatan penting dalam Pergerakan Kaum Ibu UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Perak.

Pada tahun 1935, keluarga Zulkifli Muhammad telah berpindah ke Parit, Perak kerana mengikuti bapanya yang berpindah ke Hospital Parit, Perak (Mohammad Redzuan Othman, 1988: 108). Zulkifli Muhammad mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Parit, Perak ketika berumur lima tahun dan meneruskan persekolahan sehingga Darjah Lima (SP 19/14/5, Mengenang Zulkifli Muhammad).

Zulkifli Muhammad kemudian menyambung pengajian di Madrasah Aziziyyah, Parit, Perak, sehingga tahun 1937 (Mokhtar Petah, 1983: 7). Beliau hanya sempat belajar selama setahun di madrasah tersebut setelah madrasah tersebut tidak dapat menyediakan kelas pengajian yang lebih tinggi untuknya. Kecacatan yang dialaminya juga menyebabkan keluarganya agak keberatan untuk membenarkan beliau meneruskan pengajian di madrasah lain, sekaligus menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan membeli getah bersama seorang rakan kongsi bagi mengisi masa lapang.

Ketika tercetusnya Perang Dunia Kedua, keluarga Zulkifli Muhammad berpindah semula ke Kuala Kangsar, Perak. Beliau kemudian meneruskan pengajian di Madrasah Idrisiyyah, Kuala Kangsar, Perak dari tahun 1943 hingga 1945. Pada tahun 1947, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di kelas pengajian tinggi agama di Maahad al-Ihya‟ al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak.

Disebabkan pihak madrasah membatalkan hasratnya untuk membuka kelas tersebut. Haji Ismail bin Hamzah, Mufti Perak ketika itu mencadangkan beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir.

Penglibatan Awal Dalam Politik

Penglibatan awal Zulkifli Muhammad dalam bidang politik bermula sebelum beliau melanjutkan pelajaran di Mesir lagi. Beliau pernah terlibat dalam perjuangan UMNO di bawah pimpinan Onn bin Jaafar bagi menentang penubuhan Malayan Union pada tahun 1946. Sekembalinya ke Tanah Melayu pada tahun 1951, beliau telah menjadi anggota UMNO kerana ketika itu hanya UMNO saja menjadi satu-satunya parti yang bergerak aktif di Kuala Kangsar, Perak. Pada tahun 1954, beliau pernah ditawarkan jawatan Setiausaha Agong UMNO. Beliau telah menolak jawatan tersebut kerana merasakan tenaganya lebih diperlukan dalam kegiatan lain.

Walaupun telah kembali ke Tanah Melayu, keinginan Zulkifli Muhammad untuk melanjutkan pelajaran tidak pernah padam. Pada bulan Ogos 1954, beliau pernah memohon untuk melanjutkan pelajaran di Wolsey Hall, Oxford, England secara jarak jauh dalam bidang undang-undang. Pada bulan Oktober 1954, beliau juga pernah memohon untuk melanjutkan pelajaran di University of London dalam bidang yang sama.

Zulkifli Muhammad menyertai PAS (Parti Islam Se-Malaya) pada tahun 1955 setelah mendapati bahawa UMNO bergabung dengan MCA (Malayan Chinese Association) dan MIC (Malayan Indian Congress) untuk membentuk Parti Perikatan.

Sebagai seorang lepasan Mesir yang mempunyai pengetahuan agama yang luas, Zulkifli Muhammad juga mempunyai pandangan yang jelas berkenaan kedudukan politik dalam Islam. Menurut Zulkifli Muhammad, “Islam tidak akan dapat dipisahkan dari politik, dan politik tidak ada kalau tidak ada Islam”. Tambah beliau lagi, sesiapa yang mengkaji Islam mereka akan mendapati di dalamnya wujud unsur keadilan, kesejahteraan, kebahagiaan, kebijaksanaan dan pemeliharaan kepentingan umat manusia yang Islam dan bukan Islam.

Sepanjang terlibat dalam bidang politik, Zulkifli Muhammad, turut memperjuangkan kebajikan umat Islam di Timur Tengah yang ditindas oleh penjajah Barat. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Hasan al-Banna (1906-1949) dan Ikhwān Muslimīn menyebabkan beliau menjadi pengasas dan Presiden Egyptian Relief Fund Committee. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi membantu rakyat Mesir yang menjadi mangsa Perang Arab-Israel yang tercetus pada tahun 1956.

Dasar bersimpati terhadap Mesir juga diteruskan oleh ulama dan pemimpin di Malaysia ketika tercetusnya Perang Arab-Israel pada tahun 1967.

(Sumber kajian Muhammad Redzuan Othman, Jabatan Sejarah, Fakulti Sejarah dan Sains Sosial, Universiti Malaya)

Catatan: Ibnu Fattah

Translate »