Di dalam satu penulisannya di media sosial, mantan menteri hal ehwal agama, Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, sekali lagi menegur perbuatan seorang pempengaruh yang memuat-naik kontennya semasa mengerjakan umrah. Dengan tajuk UMRAH ADALAH IBADAH, BUKAN PELANCONGAN “KEROHANIAN”, Datuk Dr. Zulkifli menegaskan bahawa apabila seorang Muslim di hadapan Baitullah, dia sewajarnya fikirkan tentang doa meminta keampunan daripada Allah SWT. Sibukkan diri dengan ibadah, dan bukan sibuk memikirkan peluang untuk mencipta konten.
Dalam era digital dan media sosial hari ini, lahir suatu golongan yang dikenali sebagai pempengaruh, atau ‘Influencer’. Pempengaruh menggunakan kuasa yang tidak pernah terjadi sebelum ini ke atas masyarakat, membentuk arah pemikiran, tingkah-laku pengguna dan juga norma harian. Tidak dinafikan, ramai pempengaruh menawarkan kandungan dan pandangan yang bernilai, pengaruh meluas yang dipegang sesetengah mereka ini, selalunya membawa akibat negatif kepada masyarakat pada umumnya. Daripada menunjukkan gaya hidup yang tidak realistik, hingga kepada mempromosikan materialisme, hedonisme, dan liberalisme, pempengaruh boleh memberi kesan negatif kepada nilai dan tingkah laku masyarakat secara mudarat.
Kesan Budaya Pempengaruh yang terlampau
Salah satu kesan negatif yang paling ketara daripada pengaruh ialah promosi standard kecantikan yang tidak realistik. Dengan imej yang dipilih susun dengan teliti dan penampilan yang sempurna, influencer sering memaparkan versi ideal diri mereka yang tidak boleh dicapai oleh orang biasa. Budaya ini termasuk menggayakan pakaian yang terlalu terdedah, atau terlampau pelik dari sudut fesyen setempat.
Seseorang yang berpakaian pelik atau berlebih-lebihan dalam berpakaian boleh menimbulkan rasa angkuh dan bangga diri. Rasulullah SAW melarang kita daripada memakai pakaian yang niat semata-mata untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda:
“Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah SWT akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” – (Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)
Pakaian syuhrah ialah pakaian kemasyhuran untuk tujuan dikenali dalam kalangan manusia sama ada pakaian tersebut bernilai dan mahal harganya sehingga orang yang memakainya tampak gah dengan dunia dan perhiasannya, lalu menimbulkan rasa keangkuhan dan bermegah-megah terhadap manusia lain. Begitu juga, seseorang yang mengenakan pakaian yang buruk agar dirinya kelihatan kewarakan serta zuhudnya dan boleh menimbulkan sifat riak. Oleh itu, larangan hadis tersebut terhadap apa- apa pakaian pelik dan ganjil sama ada mahal atau murah, namun ia boleh menarik perhatian manusia hingga timbul rasa angkuh pada diri pemakai.
Selain mengenakan imej atau tingkah-laku yang pelik supaya menjadi viral, sesetengah pempengaruh memupuk budaya penggunaan yang berlebihan dan pembaziran. Melalui kandungan yang ditaja dan sokongan produk, pempengaruh menggalakkan pengikut membeli produk yang mungkin tidak mereka perlukan, menyumbang kepada penggunaan berlebihan, yang meninggalkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pembelian produk yang tidak perlu atau berlebihan, bukan hanya dilarang oleh Islam, tetapi juga menjurus kepada pengurusan kewangan peribadi yang tidak bertanggungjawab.
Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Israa’, ayat 26 dan 27, yang bermaksud;
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu Dengan boros Yang melampau. Sesungguhnya orang-orang Yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Tidak kiralah sama ada pembaziran itu melibatkan makanan, duit, tenaga, amalan, atau pun kesihatan tubuh badan. Apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain, yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperolehi ganjaran pahala, serta menguatkan sistem sokongan masyarakat. Melatih diri agar tidak melakukan pembaziran dan melampaui batas merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam.
Hidup orang Islam bukan Konten semata
Seorang pempengaruh atau ‘influencer’ tidak dapat menafikan bahawa jika tujuan utama mereka menggarap konten di media sosial, adalah untuk mencari keuntungan. Sama ada keuntungan yang diperoleh dari monetisasi, produk-produk pempengaruh itu sendiri, atau kerjasama dengan pengeluar produk tertentu untuk mempromosikan produknya.
Namun sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk mengharungi hidup berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, tidak kira dalam ibadah, kehidupan harian, matlamat hidup, maupun kerjaya atau perniagaan. Tetapi media sosial telah melahirkan suatu penyakit baru, di mana pempengaruh jatuh cinta dengan keinginan untuk menjadi terkenal. Cinta terhadap keinginan menjadi femes ini memaksa mereka untuk berburu-buru untuk mencipta konten, hingga tidak mengambil kira halal-haram. Malah ada pempengaruh yang bertujuan untuk dikecam, supaya namanya sering disebut dan diingat oleh masyarakat umum. Hingga perkara ibadah yang sepatutnya melahirkan perasaan tawaduk dan keinsafan, dijadikan sebagai konten semata.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Mahmud Bin Labid, yang bermaksud;
“Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil.” Para Sahabat bertanya: “Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah?”
Nabi SAW bersabda: “Itulah Riya’. Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak:
“Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia, dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” – (Riwayat Musnad Imam Ahmad)
Kesimpulannya, kita semua tetap akan meninggalkan dunia ini, dan hanya Allah SWT yang tahu ajal setiap hambanya. Setiap siaran atau konten kita di media sosial, mungkin akan kekal selama bertahun-tahun selepas kita meninggal dunia. Ianya adalah pilihan buat pempengaruh, dan juga kita semua, untuk sama ada meninggalkan ilmu yang bermanfaat bagi orang lain, atau meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan. Walau apa pun, ia akan menjadi warisan yang menentukan anda, dan anda akan terus diberi ganjaran atau dihukum berdasarkan apa yang anda tinggalkan.
“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.” (Surah Yasin, Ayat 12)
Catatan: Ummu Khadeejah Abdullah
Recent Comments