Ada yang melihat, dengan termansuhnya 16 perkara dalam EJSK seakan-akan memberi ‘nafas baharu’ kepada PAS. PAS dapat ‘peluru baharu’, boleh digunakan menyerang Kerajaan Perpaduan. Peluru itu boleh dikatakan cenderung boleh ‘dipercayai’. Namun, saya tidak yakin ‘peluru’ itu akan mengena.
Kekeliruan yang cuba ditimbulkan membuat saya lebih banyak berfikir dan mencari (cuba) kejelasan makna bagi membuktikan apa yang disebarkan itu ‘tidak benar’; pencitraan bernuansakan demagogi.
Yasraf Amir Piliang yang terkenal dalam bidang ‘cultural studies’ dan pakar semiotika Indonesia melihat bahawa dengan mudahnya ketidakpercayaan boleh menyebabkan munculnya apa yang dinamakan kebenaran hampa, kebenaran yang kosong atau palsu.
Kesannya (kebenaran hampa) cukup membingungkan kerana pemegang kuasa yang peranannya untuk membangun legitimasi kuasa dengan penuh kepercayaan telah mengosongkan makna kepercayaan menerusi tindak-tanduk manipulasi, putarbelit dan simulasi. Ia ditunjukkan pada kehampaan yang muncul di antara ‘yang diberi amanah (pemerintah) dan yang memberi amanah atau mandate (pengundi/rakyat).
Akhirnya, demokrasi bertukar menjadi ‘hedonikrasi’ (hedonicracy) di mana dorongan kesenangan mengetepikan norma, etika dan memutarbalikkan makna kepercayaan itu sendiri. (Yasraf Amir Piliang, Hantu-Hantu Politik dan Matinya Sosial, Solo: Penerbit Tiga Serangkai, 2003).
Pencitraan sedemikian cukup kerap dilakukan. Saya pernah menulisnya dalam konteks penggunaan falasi, untuk menjadikan sogokan mesej propaganda agar diyakini ‘benar’. Seperti prinsip propaganda yang dipraktikkan pada zaman Hitler: sesuatu yang bohong akan dianggap benar apabila berterusan diulang-ulang biarpun kesimpulannya bersifat ‘jump to bandwagon’. Ia mempunyai kesan kilauan (glittering) dalam minda sekumpulan orang. Orang itu kemudian memanjang-manjangkan apa yang diterimanya.
Sejak terbentuknya ‘Kerajaan Perpaduan’, politikus (penggubal undang-undang) dari kem tersebut tidak pernah lekang melakukan pembingkaian minda (mind framing) agar rakyat sealiran dengan pemahaman politik mereka, dan akan dapat melonjakkan keinginan menjatuhkan kerajaan.
Banyak istilah yang telah mereka cipta dan didengungkan. Dari ‘kerajaan penuh muslihat dan perangkap’ ke ‘kerajaan di luar tabi’e’ dan ‘tidak mempertahan atau memperjuangkan ketuanan Melayu dan Islam’. Kesemua garis propaganda itu tidak menjadi kenyataan, walaupun setiap kali PRK dikatakan akan berlaku ‘pertukaran kerajaan’. Tektik sebegitu juga pernah dilakukan oleh PKR selepas PRU ke-13 (2013). Misalnya mendakwa hasil PRU tidak bersih, kotor dan penuh dengan pelbagai manipulasi, termasuk ‘black-out’ semasa proses pengiraan undi.
Paling mengecewakan ialah kempen sepanjang PRN di enam buah negeri, walupun selepasnya masih tidak mampu menukarkan ‘kerajaan pusat’. PRN bukan penentuan untuk membentuk kerajaan pusat, ia adalah untuk membentuk kerajaan negeri. Keputusan secara amnya kekal dengan statusquo dan dari perspektif pengaruh, ada perubahan yang berlaku berdasarkan sokongan kepada parti dan undi popular. Tetapi, undi popular bukan penentu. Penentu sebenar ialah berapakah jumlah kerusi yang diperoleh bagi sesebuah negeri, walaupun pada penjumlahan keseluruhannya, ada pihak yang peroleh kerusi lebih banyak.
Tidak cukup dengan itu, diperlemahkan pula pencapaian BN dalam PRN. Walaupun BN kalah, peratus kekalahann (kerusi), Bersatu adalah paling teruk dan tidak mampu menguasai mana-mana negeri termasuk Selangor yang sangat didambakan.
Benar, PAS memperoleh keputusan cemerlang, tetapi kecemerlangan itu tidak menggambarkan PAS memimpin PN. PN masih dipimpin oleh Muhyiddin, Presiden Bersatu, dan tidak menukarkan PMX. Kedudukan semakin kuat dan kukuh (sokongan wakil rakyat) setelah enam wakil rakyat Bersatu secara terbuka menyokong Anwar Ibrahim.
Bersatu terpaksa membungkam ‘marah’. Hanya sekadar menggantung keahlian mereka yang terbabit. Belum ada keberanian untuk memecat mereka (wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terbuka kepada Kerajaan Perpaduan), kerana dengan pemecatan tersebut, akan menyebabkan lebih ramai lagi berbuat demikian.
Secara zahirnya, Bersatu sudah berpecah walaupun beberapa penafian dibuat. Dalam budaya politik Malaysia, sesuatu penafian itu kadangkala benar-benar terjadi selepas beberapa ketika.
PN terus bermain dengan demagogi, termasuk menyatakan bahawa sekumpulan wakil rakyat BN akan menyokong mereka. Zahirnya, hingga kini belum muncul secara sahih siapakah wakil rakyat BN yang menyokong, belum ada kesahihan bahawa PN sudah ‘cukup nombor’.
Di manakah ‘cukup nombor’, enam orang dalam rumah sudah lari. Ia seumpamanya lagu rakyat, 10 Budak Hitam. Budak-budak hitam itu bertukar peranan, menyanyi pula lagu Bangau oh Bangau. Bangau pula menyanyi lagu Enjit-enjit Semut. Akhirnya, sama-sama membaca puisi Latif Mohidin, Songsang.
Kesudahnya, berteriak ‘marah-marah macam Tok Awang Merdeka’ dan terdiam bila dapat sebungkus nasi berlauk atau nasi kerabu. (Imlan Adabi, Pemikiran Songsang Ada Di mana-mana, Malaysiakini, 16 Februari 2024)
Budaya politik ‘tebuk atap’, pembohongan ‘cukup nombor’ dan sebagainya sedikit sepi selepas PN terpaksa bermalu-maluan dengan ‘perpindahan’ enam wakil rakyatnya. Keenam-enam mereka mengakui, mereka menukarkan sokongan kerana ‘ingin berbakti kepada pengundi’ dan bukan dipaksa atau diugut. Hanya MP Labuan digantung keahlian, tetapi Bersatu enggan memecatnya walaupun dicabar.
Luka batin itu terpaksa ditanggung. Luka batin itulah yang akan membawa lebih banyak reaksi yang mungkin tidak dapat menemui ubatnya. Lihatlah, apa yang mereka berikan apabila pemimpin didakwa rasuah, salah guna kuasa dan menggubah wang haram dalam skandal Jana Wibawa.
Kalau Bersatu tercemar dengan Jana Wibawa, maka PAS terasa bahananya setelah gagal mempertahankan EJSK (Enakmen No.14) yang digubal dan diluluskan oleh mereka sendiri. EJSK diwartakan pada 31 Disember 2020 dan berkuatkuasa pada 1 November 2021. EJSK mendapat persetujuan di Raja pada 14 Julai 2020 dan dibentang serta dibahaskan di DUN Kelantan pada 14 hingga 16 Oktober 2019, yakni selepas PRU ke-14.
Jadi, pindaan terakhir adalah untuk memasukkan denda atau hukuman yang lebih tinggi, sebagaimana dibenarkan. Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan denda tidak lebih RM 5,000, penjara maksimum tiga tahun dan enam kali sebatan.
EJSK ini merupakan pindaan atau penambahbaikan daripada EJSK (II) (Hukum Hudud) yang diluluskan pada tahun 1993 dan dipinda kali pertama pada tahun 2015. Pindaan kali kedua (2019) dibuat bagi membolehkan ia dapat dilaksanakan kerana EJSK yang dikenali sebagai ‘hukum hudud’ tidak dapat dilaksanakan secara teknikalnya.
Sebelum itu, Haji Hadi pernah tergeser dengan RUU 355. Ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 April 2017 menggunakan Rang Undang-Undang Persendirian. Ia disokong oleh Takiyudin Hasan untuk dibahaskan. Tujuannya ialah untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (pindaan 2016) (RUU 355).
Sebelumnya, pada 26 Mei 2016, Hadi membentangkan RUU 355 untuk pertama kali. Namun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan dibentangkan semula dalam versi yang disemak pada November 2016. Pada pembentangan itu, Hadi mencadangkan agar denda RM 100,000, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan, yakni menyamai hukuman yang terdapat dalam Kanun Kesiksaan.
Ini dapat menjawab mengenai salah satu isu yang diperkatakan mengenai EJSK, iaitu perbezaan hukuman berbanding Kanun Kesiksaan. Had hukuman maksimum sebanyak itulah (RM 5,000, 3 tahun penjara dan sebatan enam kali) yang ditetapkan dalam Akta 355, jadi EJSK tidak boleh melampauinya, walaupun hanya di Kelantan.
Had hukuman telah diselaraskan dengan had yang dibenar atau diperuntukkan dalam Akta 355 di peringkat persekutuan. Itulah sebabnya, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah akan diteruskan sebagaimana dinyatakan oleh PMX apabila beliau dikaitkan dengan pembatalan 16 perkara dalam EJSK itu.
Bagaimanapun, RUU 355 tidak menjadi kenyataan. Tiada pindaan terhadap Akta 355 berlaku selepas PRU ke-14. Ia hanya tinggal sebagai dokumen dalam hansard Dewan Rakyat yang boleh dibaca oleh mereka yang berminat.
Pada pembentangan itu, Hadi berkata: Janganlah dengar (dakwaan) pindaan (Akta) 355 adalah pintu belakang untuk (pelaksanaan) hudud di Malaysia. Hudud sukar untuk dilakukan. Kenapa RUU 355 perlu dipinda? Ia adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Kita ingin menegaskan usul ini hanya terpakai kepada orang Islam di negara ini. Ia tidak terpakai kepada bukan Islam.” (Berita Harian, 6 April 2017).
Himpunan RUU 355 diadakan pada 18 Februari 2017. Dilaporkan sekitar 30,00 orang hadir. PRU ke-14 diadakan pada 9 Mei 2018 selepas Dewan Rakyat dibubarkan pada 7 April 2018. Hadi bentangkan RUU 355 menggunakan Rang Undang-Undang Persendirian pada 6 April 2017.
Daripada perspektif ini sudah menampakkan ada kelemahan awal mengenai EJSK yang dikatakan ‘hukum hudud’ sejak ia digubal. Kita tahu, hukum hudud mendapat serangan yang cukup hebat daripada Dr Mahathir, penasihat empat buah negeri yang dilantik oleh PAS, pada masa beliau adalah PM 4. Hadi sendiri pun mengakui bahawa hukum hudud sukar dilaksanakan di Malaysia. Jadi, PAS sendiri melihat ‘kebenaran’ tersebut, dan hanya menggunakan istilah itu sebagai ‘kempen politik’ untuk menata kembali imaginasi awam ketika ini.
Namun, dalam kontroversi kali ini, belum kedengaran kritikan atau ulasan daripada bekas PM 7 yang sudah berdampingan dengan PAS. [Maaf, kalau saya terlepas membaca, bukan ‘silap baca, setakat 17 Februari 2024). Seharusnya, Kerajaan Kelantan mengakui kelemahan tersebut. Bukan terus menerus melancarkan strategi yang cuba ‘memaksa pendapat awam’ mempercayai bahawa mereka betul dan tidak membuat kesilapan.
Ini kerana pemimpin PAS telah gagal dalam semangatnya untuk meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang diperjuangkan sebelum PRU ke-14 (2018), yakni RUU 355. Itulah sebabnya, EJSK hanya mampu meletakkan hukuman sesuatu kesalahan tidak melebihi RM 5,000, bersesuaian dengan had yang dibenarkan.
Pun begitu, akibat gagal membawa usul meminda atau memperkasakan Mahkamah Syariah pada masa pemimpin PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia, maka mereka perlu menterbalikkan kegagalan atau kealpaan itu dengan menampilkan elemen propaganda, iaitu demagogi. Pelakunya, dipanggil demagog.
Demagogi merupakan istilah yang berasal daripada dua perkataan Greek, iaitu ‘demos’ (rakyat, masyarakat) dan “agogos,” (pemimpin, pempengaruh). Demagog: pemimpin politik yang cuba mendapatkan sokongan orang ramai melalui ucapan dan hujahnya yang penuh emosi tetapi tidak munasabah atau tidak rasional. Demagogi bermaksud: kaedah atau amalan penguasaan politik dengan membangkitkan atau mengapi-apikan perasaan rakyat secara yang tidak rasional; (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.330).
Jadi, kata kunci yang penting dalam kaedah demagogi ialah (1) mendapatkan sokongan orang ramai melalui ucapan; (2) hujah atau alasan-alasannya tidak munasabah atau tidak rasional; (3) dilakukan secara berterusan dengan tujuan ‘mengapi-apikan perasaan’; (4) menafi atau memindahkan ‘kebenaran’ kepada pasca-kebenaran (post-truth), yakni ‘kebenaran’ yang lahir daripada persepsi. Persepsi hadir dalam situasi setengah masak, iaitu antara realiti dan kepalsuan (kebohongan).
Kata kunci keempat ini merupakan sesuatu yang cukup berbahaya dan meninggalkan kesan yang meluas sehingga isu sebenar berubah kepada limpahan kognitif (surplus cognitive). Istilah limpahan kognitif muncul kesan daripada peluasan teknologi komunikasi, iaitu impak internet kepada masyarakat, sebagai ‘kolaborasi bentuk baharu’ (new form of collaboration) dan effusions of people pooling their spare times and talent. (Clay Shirky, Cognitive Surplus: Creativity and Generosity in a Connected Age, 2010).
Ini dapat kita lihat bagaimana persepsi buruk (serangan balas) terhadap Nik Elin dan anak perempuannya dikerangkakan oleh media sosial. Berdasarkan sebaran yang dibuat, Nik Elin telah menerima ugutan hingga ke tahap boleh sampai kepada sesuatu yang tragik, iaitu dibunuh.
Mereka menggunakan agama, kerana agama sangat berkesan untuk menimbulkan pelbagai kemungkaran atau kemusnahan. (Luca Ozano, The Masks of the Political God: Religion and Political Parties in Contemporary Democracies, Maryland, USA: Rowman & Littlefield Publishing Group, 2020; dan Charles Kimball, Ketika Agama Jadi Bencana, terjemahan daripada When Religion Becomes Evil (2002) oleh Nurhadi, Bandung: Penerbit Mizan, 2003)
Nik Ellin didakwa ‘menghina Islam’ dan ‘menolak syariah’. Biarpun dinafikan, penafian tersebut tidak dilihat sebagai alasan yang boleh diterima, hanya sekadar mencipta alasan di atas tindakannya sebagai pempetisyen.
Menariknya, alasan-alasan yang mewajar tuduhan terhadap Nik Elin cukup banyak sehingga pendedahannya ‘mengajar suami yang mualaf’ disamaertikan sebagai mengimamkan sembahyang, yang tidak dibenarkan oleh syariah jika makmunnya adalah lelaki.
Nik Elin menjelaskan, dia berbuat demikian (mengajar atau membimbing suami), tidak berada di hadapan suami (ada jarak), yakni sedikit di belakang ketika solat berjemaah. Hal sedemikian pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW.
Akibat pencitraan sebegitu (imam berjemaah, suami sebagai makmun) menyebabkan ada yang menyamakan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Aminah Wadud. Oleh kerana Amina Wadud adalah seorang sarjana wanita (pernah mengajar di UIAM dalam Kajian al-Qur’an – pembantu professor – menjadi imam di Oxford, England dan salah seorang pengasas Sisters in Islam) yang dilabelkan sebagai liberal, maka Nik Elin juga adalah seorang yang mendokongnya.
Apatah lagi bila Nik Elin secara spesifiknya tidak bertudung sebagaimana lazimnya wanita Muslim ketika ini. Selain itu, turut viral ialah pandangan dan pendirian Nik Elin mengenai aurat seorang wanita.
Mungkin kita boleh terima jika Nik Elin tersilap dalam tafsirannya mengenai aurat seorang perempuan sebagaimana difahami oleh kebanyakan umat Islam. Tetapi, untuk mengatakan beliau ‘menolak Islam’ dan ‘meletakkan syariah dalam bahaya’ ia adalah sesuatu yang boleh kita putuskan sebagai cetek dan dangkal.
Namun kedangkalan dan kecetekan itulah diganda-gandakan sehingga menampakkan apa yang dilakukan (petisyen) seolah-olah benar, walhal yang terkumpul dalam minda yang mendengarnya adalah citra imaginatif.
Dan, tentunya penyebarluasan dan penekanan berganda itu membawa kepada surplus cognitive kerana ia dilakukan secara berterusan oleh orang perseorangan atau institusi (pertubuhan, parti politik, kelompok dan sebagainya). Inilah yang kita dapat tonton dalam pelbagai platform media sosial sejak kes itu tidak menyebelahi Kerajaan Kelantan yang diterajui oleh PAS.
Pendapat atau persepsi awam boleh dibentuk dan dicapai menerusi pelbagai cara. Ia merupakan harapan yang ditawarkan oleh orang politik yang membentuk imaginasi awam, seperti menaikkan semangat melawan musuh atau khayalan yang nyata dan ia peroleh kemenjadiannya bila agama digunakan dan dicetuskan oleh mereka yang dianggap sebagai agamawan (ustaz, ustazah, tok guru dan ulama)..
Demagogi berleluasa digunakan dalam kempen politik dan juga penyebaran agama bagi menimbulkan suasana takut atau rasa tidak selamat. Ia digunakan oleh ramai, dan kesannya cukup besar sehingga ramai juga orang yang terkorban akibat demagog mempamerkan dirinya sebagai tokoh yang sangat dipercayai, jujur dan boleh diharapkan. Plato, dalam Apology merungkaikan bagaimana Socrates dihukum mati akibat lawannya (pemuka politik) bermain dengan demagogi.
Pemuka-pemuka politik sebenarnya berusaha untuk melenyapkan Socrates kerana cemburu dengan ‘kebenaran’ yang dibincangkannya dalam pelbagai dialog dan wacana sehingga pemuka-pemuka politik merasakan kedudukannya terancam.
Begitu juga dengan apa yang berlaku ke atas Hypatia (350/370 -415M), seorang intelektual wanita (juga ahli astronomi) yang cukup terpengaruh dengan Plato. Hypatia adalah seorang yang cukup produktif menyebarkan pengetahuannya, tetapi disebabkan rasa cemburu dalam kalangan elit politik, beliau akhirnya dibunuh beramai-ramai dengan menggunakan alasan agama.
Jika kita mengkaji sejarah Perang Salib, kita akan menemui banyak cara yang digunakan untuk membangkitkan kesedaran penganut Kristian menyumbangkan tenaga dan keringat melawan Tentera Islam berdasarkan doktrin Perang Suci. (Thomas S Asbridge, The Crusades: The War for the Holy Land, 2010; dan Steven Runciman, A History of The Crusades , Jilid 1(1951) dan, Jonathan Riley-Smith, Crusades: A History, 2014)
Sebenarnya, seruan ‘tebus dosa’ itu sengaja diadakan oleh Pop Gregory dan kemudian disambung oleh Pop Urban II setelah kuasa gereja semakin lemah dan penganut Kristian mula berpecah, tidak lagi sebumbung dengan Gereja Katholik Rom.
Telah muncul penentangan kuasa gereja di bahagian timur yang berpusat di Jerman. Di Jerman juga muncul gerakan penentangan, yang kemudian membentuk mazhab Protestant, hanya kerana berlakunya penjualan surat menebus dosa oleh pihak gereja Katholik.
Pada zaman moden, kita menemukan demagog yang cukup kejam dan oportunis, iaitu Adolf Hitler yang mencetuskan Perang Dunia II dengan dokrtin Bangsa Pilihan. Hitler menggunakan kesedaran dan kebangkitan kebanggaan kaum yang dalam istilah politik dipanggil ethnonationalist, keunggulan dan kesempurnaan bangsa Aryan.
Tujuannya adalah jelas untuk mengetepikan penguasaan kelompok Yahudi yang ada di Jerman dan seterusnya di Eropah. Yahudi dilihat sebagai kelompok yang rakus, ganas dan tamak. Dengan kaedah membangkitkan rasa benci yang berlebihan, bangsa Arya akan bangkit dan mula mengusir Yahudi.
Dengan menggunakan doktrin yang sama, Yahudi membangkitkan zionisme dengan cita-cita utama ialah menubuhkan sebuah negara, iaitu Israel. Caranya ialah dengan menajamkan konsep diaspora Yahudi, dan melaung-laungkan keinginan untuk pulang ke Tanah Yang Dijanjikan. Selain itu, disebarkan pelbagai kekejaman Hitler dengan dakwaan holocaust dan genosid.
****
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments