AL-QURAN dan al-Sunnah telah menetapkan beberapa ciri-ciri penting sebagai asas untuk kita memilih pemimpin yang baik dan yang layak dicontohi.

Antara lain contoh kepimpinan yang paling baik disisi agama Islam ialah kepimpinan para rasul, nabi dan khulafa al-Rasyidin. Inilah yang dikatakan pemimpin yang meletakkan akhlak, amanah, takwa serta keimanan sebagai asas penting dalam menentukan corak kepimpinan. Namun hakikatnya hari ini pemimpin dipilih bukan berasaskan kepada keimanan dan ketakwaan tetapi berasaskan kepada janji-janji kebendaan seperti harta, pangkat, wang dan lain-lain lagi.

Inilah jenis pimpinan yang banyak sekali dan lebih malang, rakyat dikaburi matanya dan tidak dapat membezakan antara pemimpin yang baik dan pemimpin yang boleh membawa kepada perpecahan.

Ingatlah bahawa Nabi s.a.w. ada memperingatkan dalam satu sabdanya yang bermaksud, Barang siapa yang memilih seseorang pemimpin, sedang ia mengetahui bahawa ada orang lain yang lebih wajar dipilihnya, maka ia telah mengkhianati Allah, rasul dan amanat kaum Muslimin.

Dan Rasulullah s.a.w. juga telah mengisyaratkan siapa yang seharusnya dipilih dan sabdanya, Sebagaimana keadaan kamu, demikian pula ditetapkan pemimpin atau penguasa atas kamu.

Kalimat-kalimat ini sebenarnya mengandungi maksud yang mendalam dan ia bererti bahawa seseorang penguasa atau pemimpin adalah cerminan kepada keadaan masyarakatnya. Pemimpin atau penguasa yang baik adalah yang dapat menyahut hasrat dan aspirasi masyarakatnya.

Manakala masyarakat yang baik pula adalah yang berusaha mewujudkan pemimpin yang dapat menyalurkan aspirasi dan kehendak mereka. Justeru, apabila seseorang pemimpin telah melakukan penyelewengan maka kita tidak seharusnya tergesa-gesa menyalahkannya namun kita hendaklah terlebih dahulu menyalahkan diri kita atau masyarakat itu sendiri. Bukankah pemimpin atau penguasa itu adalah cerminan dari keadaan masyarakat itu sendiri?

Untuk membetulkan kepincangan dalam kepimpinan bangsa sekarang ini, kita harus mendidik rakyat ke arah menghormati nilai-nilai akhlak yang tinggi dan mengenal pasti nilai-nilai itu dalam diri pemimpin dan bakal pemimpin. Dan yang menjadikan persoalan sekarang ialah rakyat tidak dididik ke arah itu dan rakyat dididik oleh budaya politik, untuk meninggikan nilai-nilai duniawi seperti wang, kuasa dan pangkat.

Dan hari ini jelas bahawa seorang pemimpin itu dipilih berasaskan kepada kekuatan puak atau adu domba puak yang juga mempunyai kepentingan yang sama dengan pemimpin yang disokongnya. Mereka tidak lagi berasaskan kepada sifat amanah serta kekuatan yang jitu untuk menjadi pemimpin.

Menjadi pemimpin bukanlah bermakna kekuasaan yang ada dalam genggaman tangannya itu merupakan milik peribadi namun ia adalah milik masyarakat yang harus dijaga dan dipelihara.

Justeru, dalam Islam kekuasaan itu bukanlah nikmat tetapi suatu amanat suci dari Allah. Dan lebih dari itu pemimpin yang baik ialah seumpama lilin yang membiarkan diri mereka terbakar supaya manusia lain mendapat cahaya, semata-mata kerana setia kepada amanah dari Allah.

Sebenarnya, dalam konteks hubungan akhlak dan pemimpin ia seumpama jasad dan roh. Kerana kepimpinan dalam Islam tidak mungkin merupakan kepimpinan yang tidak berakhlak, kerana ia dihubungkan dengan pencarian keredhaan Allah dan menjauhkan diri dari kemurkaan Allah. Dalam al-Quran telah dijelaskan bahawa hanya pemimpin yang benar-benar bertakwa dan beriman yang dapat menegahnya dari melakukan sesuatu perkara yang merugikan bangsa.

Realitinya jelas sekali dalam zaman yang serba canggih ini akibat kehilangan akhlaklah menjadikan mereka lalai dan bertuhankan nafsu syahwat sehingga tidak dapat mengawal nafsu seks, kuasa, harta dan status. Iktibar dari kisah Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz yang dilantik sebagai khalifah tetapi merasai gelisah dan tidak bahagia atau tenteram boleh dijadikan panduan buat kita umat Islam.

Suatu hari Umar telah memanggil Salim bin Abdullah, Raja bin Khayadh dan Muhammad bin Ka’ab al-Kurazi. Kata khalifah ”sesungguhnya menjadi khalifah ini satu kesulitan dan membebankan. Dalam keadaan begini sulit apa yang harus aku lakukan?” Salah seorang dari tiga sahabat itu menjawab, ”jika engkau hendak diselamatkan dari hukum Tuhan ketika engkau memegang kekuasaan, maka lihatlah orang Muslim yang lebih tua darimu sebagai ayahmu; pemudanya sebagai saudara karibmu; anak-anaknya sebagai anak-anakmu, dan seluruh kawasan negeri sebagai rumahmu dan seluruh penduduknya sebagai keluargamu. Kunjungilah bapamu, hormati saudaramu dan sayangi anak-anakmu”.

Sebenarnya kegelisahan yang dialami Umar kerana ia memikirkan betapa kekuasaan itu adalah amanat dan bukan nikmat dari Tuhan. Dan kekuasaan itu adalah pengabdian yang harus dipertanggungjawab kelak di depan manusia dan Tuhan. Dan ia harus digunakan dengan kesedaran pengabdian bukan kesedaran sekadar kekuasaan yang dimiliki. Malah kerusi ketua yang menjadi rebutan sesetengah pemimpin sebenarnya apa yang sedang mereka berebut itu adalah untuk menjadi pelayan kepada rakyat yang wajib dipertanggungjawabkan.

Dalam memilih dan menentukan pilihan pemimpin, kita kadang-kadang berdepan dengan situasi yang sulit untuk memilih yang mana satu yang baik. Al-Quran dalam hal ini telah menjelaskan bahawa jika kita berhadapan antara kehendak peribadi dan kehendak Allah dan Rasul-Nya maka firman Allah yang bermaksud: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Dalam cita-cita menjadi pemimpin yang baik mereka seharusnya memiliki sifat-sifat yang terpuji seperti menunjuk contoh teladan yang baik, bersikap sabar dalam menjalankan tugas dan mempunyai sifat-sifat luhur yang telah membudaya dalam dirinya itu.

Saidina Ali k.w. melukiskan kewajipan seorang pemimpin, katanya: ”Sesungguhnya tidak ada kewajipan para pemimpin atas iman, kecuali apa yang telah diamanatkan kepadanya dari Allah. Yakni, membawa peringatan, memberi nasihat yang baik, membangkitkan sunnah, menjatuhkan hukum kepada yang bersalah dan memberi hak kepada yang berhak”.

Akhir sekali dalam hal memilih pemimpin Rasulullah s.a.w. telah mengajar umatnya supaya mengambil jalan bermusyawarah terlebih dahulu sebelum membuat pilihan. Semangat yang tinggi dalam menghidupkan musyawarah yang ditunjukkan oleh Umar Ibn Al-Khattab terutama dalam menentukan pemimpin wajar dicontohi oleh kita. Menjelang akhir hayatnya Umar dikatakan tidak mahu menunjuki siapa penggantinya. Dan sebagai alternatif ia memberi cadangan dan mengajukan nama enam orang sahabat yang terkenal seperti Uthman Ibn Affan, Ali b. Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awam, Saad Ibn Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Aus. Mereka disarankan agar bermusyawarah untuk menentukan siapa yang bakal memimpin menggantikan Umar kelak. Ini semua dilakukan untuk membuang kecenderungan jahiliah yang memilih pemimpin berdasarkan fanatisme kaum dan keturunan. Demikianlah kebijaksanaan Umar yang menekankan peri pentingnya prinsip musyawarah.

Oleh: Ummu Khadeejah Abdullah

Translate »