Apakah kriteria dan ciri-ciri yang sepatut ada pada seorang pemimpin?
Soalan ini timbul dalam suatu majlis ceramah politik baru-baru ini. Terus saja saya bertanya balik. Apakah benda yang hendak dipimpin itu? Agamakah, ekonomikah atau politik?
Jika saudara mahu pimpinan agama carilah yang berilmu dalam bidang agama. Jika saudara mahu pimpinan ekonomi berjumpalah orang yang arif dan faham selok-belok ekonomi. Jika saudara mahu pimpinan dalam bidang politik maka undilah orang yang tahu mentadbir urusan masyarakat yang berkait langsung dengan hal ehwal politik.
Bidang politik adalah luas meliputi semua aspek kebajikan rakyat, termasuk keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, pelajaran, kemudahan beribadah dan sebagainya. Kerana itulah bukan semua orang layak menjadi pemimpin politik walaupun dia seorang ulama tersohor dalam pimpinan agama atau terkenal dalam dunia perniagaan.
Dalam hal ini Nabi pernah memberi amaran yang bermaksud memilih atau memberi amanah sesuatu tugas kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah waktu kehancurannya.
Kemudiannya penyoal yang berkenaan membaca ayat al-Quran daripada surah al-Qasas 26 yang memberi maksud: Sesungguhnya orang yang paling baik untuk diambil bekerja itu ialah orang yang mempunyai kekuatan dan amanah. Dia mentafsirkan maksud kekuatan dan amanah itu ialah ulama atau tok guru yang melibatkan diri dalam politik. Sebagai ulama katanya, sudah tentu dia mempunyai kebolehan dan kepandaian dalam serba perkara dan kerja buatnya sentiasa di bawah lindungan dan jagaan Allah jua.
Kata-kata ini sebenarnya jelas menampakkan keserabutan yang melingkari pemikiran sebahagian besar masyarakat dan kejahilan mereka untuk membezakan di antara ulama dengan umara. Seolah-olah ulama atau tok guru sahaja yang layak menjadi pemimpin dalam semua perkara dan berkemampuan menguruskan urusan umat dalam apa jua bidang.
Apa yang pasti pandangan simplistik sedemikian lebih terdorong kepada propaganda-propaganda yang dilakukan oleh segelintir orang parti yang berkepentingan dengan mengambil kesempatan daripada kejahilan umat terhadap agama untuk kepentingan mendapatkan kuasa politik.
Dalam dunia ini adalah sukar untuk mendapatkan seorang manusia yang sempurna dalam semua hal. Apatah lagi dalam isu memilih pemimpin yang melibatkan orang ramai. Manusia dikurniakan Allah dengan kekuatan dan kudrat berbeza-beza. Malah kekuatan seseorang itu juga tidak serupa menurut bidang-bidang yang berlainan.
Kekuatan dalam bidang kepimpinan perang tidak sama dengan bidang kepimpinan ekonomi, politik dan sebagainya. Kepimpinan perang memerlukan orang yang fizikalnya kuat dan perkasa tubuh badannya di samping memiliki sifat berani dan cekal hatinya.
Kekuatan dalam bidang ekonomi pula memerlukan kepimpinan yang arif dan faham selok-belok urusan pentadbiran ekonomi yang mencakupi hal-hal yang berkaitan dengan mentadbir pendapatan, perbelanjaan, perdagangan dan pembangunan serta pertumbuhan negara bagi memastikan seluruh rakyat mampu menjalani urusan harian dengan baik dan selesa. Tidak ada yang hidup melarat, tidak ada yang kelaparan dan tidak ada yang terpaksa selamanya bergantung kepada orang lain atau negara lain.
Yang pasti tidak mudah untuk mendapatkan seseorang yang sempurna dalam semua hal apatah lagi dalam aspek keimanan dan amanah. Manusia bukannya malaikat yang dijadikan Allah dengan tahap iman yang tidak ada turun naiknya. Selagi mana dia adalah manusia, maka secara fitrahnya iman seseorang itu sentiasa berubah-ubah.
Ada ketikanya naik dan ada kalanya turun. Yang pasti manusia tidak ada yang sempurna hingga terlepas daripada melakukan dosa.
Dalam konteks ini elok ditelusuri sejarah silam bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pun tidak sewenang-wenangnya menyerahkan tanggungjawab atau amanah kepada sesiapa sahaja dari kalangan sahabat-sahabat beliau. Asas yang digunakan dalam memilih pemimpin bagi jawatan-jawatan dan tanggungjawab tertentu juga berdasarkan kepada kelayakan dan kemampuan seseorang menggalas amanah yang diberikan.
Umpamanya Muaz bin Jabal diutuskan ke Yemen kerana dinilai Rasulullah sebagai seorang yang berkemampuan tinggi dalam diplomasi dan mengurus serta mentadbir masyarakat Yemen. Khalid al-Walid bekas ketua panglima perang Musyrikin Quraisy turut tidak terkecuali untuk dipilih oleh Rasulullah untuk mengetuai angkatan perang Islam berdasarkan wibawa dan kebijaksanaan mencatur strategi perang serta kekuatan fizikalnya. Zaid bin Thabit juga turut ditugaskan penulis wahyu Allah oleh Nabi.
Di tengah-tengah pembahagian tanggungjawab dan amanah tersebut, muncul pula salah seorang sahabat Nabi Abu Zar al-Ghiffari yang terkenal dengan nilai-nilai sufi, warak dan kuat ibadah berbanding sahabat-sahabat lain meminta diberikan salah-satu amanah daripada Rasulullah.
Namun, Rasulullah tidak sekadar menjadikan faktor kewarakan dan kekuatan ibadah sebagai satu-satunya kayu ukur pemberian tanggungjawab kepimpinan.
Menyedari kelemahan Abu Zar dalam urusan pentadbiran dan kepemimpinan, Rasulullah dengan cara yang paling hikmah mengungkapkan kepada Abu Zar dengan sabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat kamu seorang yang lemah. Dan sesungguhnya Aku sayangkan kamu sebagaimana aku menyayangi diriku sendiri.
Ditambah pula dengan peringatan mengenai beratnya amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sabdanya lagi, Sesungguhnya ia (kepimpinan) adalah amanah. Dan sesungguhnya pada hari kiamat kelak ia akan menjadi suatu yang cukup membebankan dan penuh penyesalan. Kecuali bagi yang berhak menerimanya dan melaksanakan amanah itu dengan sebaiknya.
Begitulah sikap Nabi terhadap isu pemilihan kepimpinan yang ditanggap sebagai amanah besar yang tidak sewenang-wenangnya boleh diberikan kepada sesiapa hatta kepada sahabatnya yang terkenal sebagai seorang yang senantiasa menghabiskan masanya di masjid.
Bahkan cara Nabi memujuk Abu Zar dengan penuh hikmah dan pengajaran sudah cukup menggambarkan bagaimana seharusnya sikap dan tindakan kita dalam memilih pemimpin yang tidak seharusnya melarat-larat hingga sanggup maki-memaki, membuat fitnah hingga menelanjangkan segala aib dan keburukan seseorang calon yang berpotensi dipilih sebagai pemimpin.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah sikap sesetengah pihak yang sanggup menjual agama dengan alunan ayat-ayat Allah untuk menjustifikasikan segala tindakan yang dibuat bagi menjatuhkan seseorang dan merebut kuasa memimpin.
Sememangnya dalam isu kepimpinan lebih-lebih lagi dalam sistem politik demokrasi hari ini yang membenarkan parti-parti politik bertanding menonjolkan calon masing-masing untuk dipilih sebagai pemimpin, pasti mencetuskan pelbagai perdebatan dan perselisihan pendapat.
Namun prinsip-prinsip asas dalam memilih pemimpin seharusnya berpandukan kepada formula yang telah digunakan oleh Rasulullah. Apa dia formula tersebut?
Yang paling mudah asasnya ialah melantik pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab sesuai dengan kemampuannya.
Dalam konteks sistem demokrasi hari ini, faktor parti yang akan menentukan sejauh mana pemimpin itu mampu berfungsi dengan baik. Parti politik yang akan menentukan satu kolektif kepimpinan yang wibawa dan mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas dan amanah.
Kalau hanya sekerat dua calon yang menang pilihan raya tetapi sebagai sebuah parti ia kalah kepada parti lain, adalah amat sukar untuk menguruskan dan mentadbir negara dengan baik. Malah dalam banyak keadaan calon yang menang tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik kerana menjadi suara minoriti dan hanya berfungsi sebagai pembangkang dan orang ramai tidak akan mendapat faedah daripadanya.
Sebab itulah pemimpin yang hendak dipilih harus berdasarkan juga kemampuan parti tersebut membela umat Islam dari segenap segi termasuk aspek membangunkan negara dan menjaga kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Sejarah dan prestasi lampau boleh dijadikan sebagai ukuran untuk kita menilai prestasi kerja sesebuah parti bagi melantik seseorang pemimpin.
Justeru sama ada ulama atau tok guru sahaja yang sepatutnya diangkat sebagai pemimpin, seharusnya tidak timbul. Apa yang penting ialah kemampuan dan keahlian berasaskan kemahiran dan kekuatan yang sepatutnya.
Kalau tok guru juga seorang pakar ekonomi maka tak salah untuk memilihnya menguruskan hal ehwal ekonomi.
Begitu juga jika tok guru atau ulama merupakan mereka yang lemah dalam urusan pentadbiran politik dan masyarakat, maka tidak wajar dibebankan juga dengan amanah besar kerana ia hanya akan mengundang lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
Jika tok guru yang berkenaan yang mengejar dan menghambat pimpinan yang berkenaan maka nasihatlah dia sebagaimana Nabi nasihatkan Abu Zar, sebagaimana yang dapat difahami iaitu teruskanlah dan tumpukanlah dalam du-nia tasawufnya, kerana itu memberi manfaat kepada dirinya. Biarlah dunia umara ini diserahkan kepada mereka yang ahlinya.
Oleh: Dato Dusuki Hj Ahmad
Recent Comments