ISLAM, dengan penuh hikmah dan berhemah mengatur bagaimana seharusnya hubungan antara rakyat dengan penguasa atau pemerintah dapat berlangsung dalam suasana yang harmoni. Islam memuliakan penguasa memandangkan berat beban, tanggungjawab dan tugas yang dipikulnya. Justeru itu, tidak boleh bagi sesiapa pun meremehkan penguasa atau sewenang-wenang pula menghina serta mencelanya.
Bagaimanapun, amat menyedihkan kita kerana ajaran yang mulia ini sudah mula dilupakan oleh sebahagian umat Islam. Sesungguhnya dalam hal ini Rasulullah s.a.w amat keras melarang sikap suka merendah-rendahkan penguasa. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Barang siapa yang memuliakan penguasa, Allah akan memuliakannya. Barang siapa yang menghina penguasa, Allah akan menghina akan dia. (Hadis Riwayat Baihaqi)
Iman Ibnu Abi Ashim dalam Kitabnya As-Sunnah, daripada Muawiyah bin Abi Sufyan, dia berkata: Ketika Abu Zar keluar menuju Robadzah, dia bertemu dengan sekelompok penduduk dari Iraq. Mereka berkata: Wahai Abu Zar, kami sudah tahu apa yang dilakukan penguasa terhadapmu. Duduklah dan tancapkanlah bendera pemberontakan, maka orang-orang akan datang kepadamu. Abu Zar menjawab: Tenang tenang, wahai saudara seislam. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, Akan ada sepeninggalanku iaitu para penguasa. Hormatilah mereka. Barang siapa yang mencari kejahatannya, sesungguhnya dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya hingga dia mengembalikan dinding yang dirosakkan itu sebagaimana sedia kala.
Semoga Allah s.w.t merahmati Sahl bin Abdullah at-Tustari r.a yang telah berkata, Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka menghormati penguasa dan ulama. Apabila mereka mengagungkan kedua-dua golongan ini, Allah s.w.t akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka, dan apabila mereka merendahkannya bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri. (Tafsir al-Qurtubi 5/260). Ziyad bin Kusaib al-Adawi pula pernah menceritakan, Semasa aku bersama Abu Bakrah duduk di bawah mimbar, ketika Ibnu Amir yang sedang berkhutbah dan berpakaian nipis, salah seorang daripada jemaah berkata: Lihatlah pemimpin kita, dia berpakaian orang fasik, lalu Abu Bakrah berkata: Diam sajalah! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, Sesiapa yang menghina penguasa di muka bumi ini, Allah akan menghinakannya. (Hadis Sahih)
Larangan tersebut bukan sahaja dari segi mencela atau menghina mereka, malahan dalam perkara yang dapat mengawal kerosakan yang boleh mengancam kestabilan dan keamanan. Sesuatu kerosakan itu bermula daripada celaan kecil dan berakhir dengan suatu kekacauan dan pemberontakan.
Amar makruf dan nahi mungkar; meskipun ianya adalah asas agama tetapi perlu dimulakan dengan dakwah (menyeru dan mengajak) kepada kebaikan sebagai persediaan tapak permulaan untuk menanam benih-benih semaian amal kebaikan, dan bukan terus memulakan dengan larangan dan suruhan sesuka hati. Oleh hal yang demikian itu, dalam ayat lain, Allah mengingatkan bahawa dakwah yang hendak dilakukan oleh setiap Muslim itu mestilah berbentuk hikmah (menarik dan mempesonakan).
Apa yang amat dikesali, ada di antara orang di kalangan kita yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut atau mentaaati peraturan ini, malahan membiarkan diri mereka diseret dalam pelbagai perlakuan yang tidak sewajarnya dilakukan seperti tunjuk perasaan jalanan yang ingin menunjukkan kekuatan. Bagaimana sekiranya orang ramai pula ingin menunjukkan kekuatan seperti yang pernah berlaku, apabila dua golongan ingin menunjukkan kekuatan dan kehebatan masing-masing sebagaimana tragedi 13 Mei 1969 dahulu. Tidakkah mereka mengambil pengajaran daripada antara rentetan peristiwa yang mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian hidup?
Sama ada daripada pihak pembangkang atau pemerintah, mahupun orang ramai, umat Islam tidak seharusnya mengulangi kesilapan itu. Islam membenarkan sesiapa sahaja untuk membangkang tetapi tidak diizinkan menjadi pemberontak atau peruntuh keharmonian masyarakat. Tunjuk perasaan adalah budaya asing yang terkeluar daripada landasan moral, juga agama, dan akan membawa kita ke lembah kebinasaan dan kehancuran.
Islam telah berkali-kali menyuruh manusia supaya mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi oleh nafsu itu adalah satu perbuatan yang didorong oleh syaitan.
Islam amat menitikberatkan cara dan pendekatan amar makruf dan nahi mungkar. Segala-galanya perlu dengan penuh hemah dan beradab sopan. Mengenai adab dengan pemerintah atau penguasa, antara lain Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bagaimana caranya untuk melarang, menasihati, dan menegur mereka. Ia harus dilakukan dengan sopan, halus, dan tidak di hadapan khalayak.
Imam Bukhari dan Muslim r.a telah meriwayatkan bahawa Usamah bin Zaid pernah ditanya: Tidakkah engkau menemui Uthman untuk menasihatinya? Beliau menjawab: Apakah kamu fikir saya tidak menasihatinya kecuali harus memberitahu kamu? Sesungguhnya aku telah menasihatnya dengan bertemu empat mata dan tidak ingin membuka rahsia tersebut. (Bukhari 6/330, Al-Fath13/48, Muslim 4/2290). Apa yang dapat difahamkan bahawa Usamah tidak mahu membuka pintu pengingkaran kepada pemerintah secara terang-terangan kerana takut atau bimbang akan akibatnya yang lebih berbahaya lagi. (Fathul Bari 13/52)
Salah satu propaganda Yahudi yang membunuh Othman Bin Affan selalu berwasiat kepada pengikutnya: Mulailah dengan mencela para penguasa kamu dan nampakkan ia hal itu satu amar makruf nahi mungkar, maka hati manusia akan condong kepada kamu, baru kemudian ajak mereka untuk memberontak.
Oleh hal demikian itu, sudah sewajarnya kita mengutamakanlah cara yang selamat, awasi daripada kekasaran dan keterbukaan untuk menasihati penguasa, jangan terpedaya dengan tindakan yang tidak dibenarkan oleh agama mahupun moral di sisi masyarakat sekalipun mungkin niatnya baik dan ikhlas kerana cara tersebut adalah menyimpang daripada jalan Ahli Sunnah yang menganjurkan kita agar sentiasa bersabar dan bertenang apabila mendapati ada sesuatu yang tidak disenangi daripada pemerintah. Ini sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, Sesiapa yang terlihat sesuatu yang dibencinya daripada pemerintah, maka hendaklah dia bersabar kerana sesiapa yang meninggalkan jemaah barang sejengkal, maka dia mati dalam keadaan jahiliah. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Hasan Basri r.a juga pernah mengingatkan bahawa sesuatu kezaliman daripada pemerintah itu adalah sebahagian daripada kemurkaan Allah s.w.t, sedangkan kemurkaan Allah s.w.t itu tidak sekali-kali harus ditentang dengan pedang, tetapi hendaklah dihadapi dengan takwa, tolaklah dengan doa taubat dan menjauhkan dosa. (Adab, al-Hasan al-Basri, hal. 119)
Kata para ulama, ketaatan kepada pemerintah itu adalah di antara fardhu atau tunjang di dalam kehidupan dan wajib dilaksanakan sekalipun mereka berlaku zalim kerana kezaliman itu akan kembali kepada diri pelakunya sendiri dan orang lain tidak akan menanggung kesalahan orang lain. Jadi, biarlah mereka sendiri yang menanggungnya.
Memberontak itu hukumnya haram. Oleh hal yang demikian itu, berdoalah untuk kebaikan semua terutama pemerintah kerana apabila baik dan terpujinya pemerintah, maka akan baiklah rakyatnya.
Kata ulama lagi, tidak halal bagi seseorang yang beriman itu untuk memberontak menentang pemerintah sekalipun mereka itu zalim. Tidak pernah wujud dalam agama dan sunnah mengenai apa yang dinamakan memberontak kepada pemerintah kerana hal tersebut akan mendatangkan bahaya yang lebih besar, sedangkan agama menganjurkan umatnya supaya memilih jalan yang lebih selamat dan menjauhi daripada bahaya semaksimum mungkin. Oleh hal yang demikian itu, amatlah dikesali masih ada di kalangan orang Islam yang memilih jalan salah. Sewajarnya mereka insaf dan cepat bertaubat sebelum terlambat kerana sikap orang Islam yang sebenar-benarnya itu tidak rela dirinya terus berada dalam kesalahan dan dosa sehingga akan bertemu Tuhannya dengan hati yang suci lagi sejahtera.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments