Dalam beberapa kajian mengenai sifat dan gaya kepimpinan, para pengkaji dalam pelbagai disiplin ilmu bersependapat bahawa seorang yang menampakkan keangkuhan dan kesombongan peribadi tidak boleh diterima baik oleh secara majoriti oleh masyarakat kebanyakan.

Seseorang pemimpin yang angkuh dan sombong sentiasa mempamerkan peribadi yang bertentangan dengan norma umum kerana menganggap semua orang lain adalah salah manakala diri sendiri sahaja yang betul.

Orang yang berada di bawah tidak boleh mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pemimpin kerana menganggap dialah yang mempunyai kuasa mutlak membuat keputusan walaupun keputusan tersebut pernah dipersoalkan terhadap orang lain.

Dalam mempertahankan keputusan yang dibuat, pemimpin yang angkuh dan sombong akan memberikan penjelasan, keputusan yang dibuat itu bukanlah isu yang besar kerana ia bukan melibatkan kepentingan umum.

Lumrahnya, seseorang pemimpin yang berperwatakan angkuh dan sombong tidak bersedia menerima nasihat atau pandangan yang diberikan. Kalaupun ada yang memberikan pandangan, pandangan itu dianggap sebagai satu penjelasan yang bodoh dan penuh kenakalan. Pandangan bodoh dan nakal wajib disergah dan ditolak kerana dianggap tidak relevan.

Penolakan ataupun kecaman kepada pemberi nasihat itu menggambarkan emosinya yang tidak stabil dan tertekan. Maka, dalam situasi itu, orang yang memberikan nasihat bukan sahaja diketepikan, ada ketikanya dituduh sebagai tidak menghormati prerogative dan eksklusiviti seseorang pemimpin.

Perkara ini berlaku kerana seorang pemimpin yang angkuh dan sombong tetap merasakan apa yang dilakukan olehnya sebagai betul dan benar manakala orang yang menegur atau menasihati itu salah dan tidak betul berdasarkan hukum akalnya.

Orang yang merasakan dirinya betul dan orang lain salah adalah yang paling dibenci oleh Allah SWT, kerana ia amat bertentangan dengan hukum moral dan peraturan memimpin.

Seorang pemimpin, sama ada ia merupakan warisan, dilantik atau dipilih tidak boleh membebaskan dirinya daripada hukum moral dan norma kumpulan orang yang dipimpinnya, kerana dalam Islam tidak ada konsep pemimpin berkuasa mutlak. Pemimpin adalah golongan yang diamanahkan untuk membawa kebaikan kepada golongan yang dipimpin, dan kerana itulah ia tidak boleh bebas daripada ikatan adat, agama dan peraturan berorganisasi.

Seorang pemimpin yang menghormati kuasa atas kepentingan rakyat sentiasa memandu rakyat untuk hidup dalam suasana aman, harmoni dan persekitaran yang selamat. Ia bukan di sebaliknya, hanya mencari jalan selamat untuk diri sendiri manakala rakyat yang ramai dibiarkan berada dalam kesulitan, kesempitan dan kesengsaraan.

Bersandarkan nilai agama, seorang pemimpin adalah sebagai pentadbir. Seorang pentadbir mestilah sanggup melaksanakan tanggungjawabnya dengan rasa tanggungjawab dan mempraktikkan makna amanah.

Ibn Kathir, seorang ulama besar menyatakan seseorang pemimpin yang berkuasa, dari peringkat yang paling bawah hinggalah yang paling atas, mestilah melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan amanah. Ini bermakna, seorang pemimpin yang baik bersedia menerima dan mendengar nasihat.

Seperti dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Semasa dipilih menggantikan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, beliau memberikan pesanan yang amat besar ertinya dalam usahanya untuk memimpin umat Islam. Bagi Khalifah Umar al-Khattab, seandainya apa yang dilakukan sepanjang kepimpinannya membawa kepada kemaslahatan ummah, ia wajib ditaati tetapi apabila dilaksanakan secara buruk, rakyat berhak untuk menghukumnya dengan pedang.

Itu adalah janji pertama yang dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab. Bagaimanapun, ramai pemimpin Islam ketika ini tidak bersedia untuk menerima hukuman daripada orang yang dipimpinnya, sebaliknya terus mempertahankan kesombongan diri dengan tidak memberikan pengakuan yang jujur kerana mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Adakalanya, pemimpin tersebut sanggup mereka-rekakan alasan untuk membenarkan tindakannya, walaupun alasan itu bukanlah sesuatu yang boleh meredakan rakyat kebanyakan.

Akibatnya pemimpin berkenaan semakin tidak dipercayai. Apabila tindakannya semakin kurang disenangi, sokongan semakin menggelongsong, maka dipersalahkan orang yang kerana mengamalkan kaedah politik keji untuk menjatuhkan imej dan membunuh peribadinya. Dalam masa yang sama, rakyat terus menyaksikan pemimpin tersebut semakin ghairah melakukan tindakan semberono kerana semakin terdesak, masa semakin singkat dan dihadapan sedang menanti satu pertarungan yang lebih besar, pertarungan untuk berkuasa.

Fungsi dan kepentingan nasihat adalah penting dalam sesuatu kaedah pentadbiran. Islam mengajar kaedah yang baik dalam usaha memberikan nasihat kepada pemimpin. Islam menasihatkan, nasihat kepada pemimpin hendaklah dilaksanakan secara berhemah, dan bukannya melempiaskan rasa terkilan itu dengan cara biadab, turun ke jalan raya memberontak dan melancarkan serangan kepada pemimpin.

Secara umumnya pemilihan seseorang pemimpin rakyat berlaku dalam dua situasi. Pertama, rakyat memilih pemimpin berdasarkan peribadi dan ciri kepimpinan yang ada dalam dirinya. Kedua, rakyat dipaksa secara halus memilih pemimpin berdasarkan percubaan mempamerkan kehebatan, kekayaan, kepintaran dan lakonan hebat seseorang kerana dialah yang paling baik dan bijaksana.

Pemimpin yang dipilih berdasarkan kategori pertama akan menjunjung tanggangjawab kerana ia adalah amanah yang wajib dilaksanakan dan bersedia menerima nasihat daripada orang bawahannya. Pemimpin yang berlakon hebat dan bijaksana, tidak boleh menerima kritikan dan nasihat daripada orang bawahannya. Setiap kritik dan nasihat dinilai mempunyai hubungan yang rapat dengan kaedah memburuk-burukkan peribadinya.

Pemimpin yang dipilih berdasarkan situasi kedua tidak boleh menerima kekalahan. Kekalahan dinilai sebagai sabotaj ataupun percubaan mengkhianati dan adanya tangan-tangan ghaib mengganggu kelancaran proses pemilihan. Ini kerana pemimpin itu secara terang-terangan berusaha mengangkat bakulnya sendiri walaupun apa yang diisi dalam bakul itu adalah sampah dan bahan yang tidak berguna bagi menampakkan dirinya hebat, cekap dan mempunyai keupayaan yang besar.

Pemimpin yang meminta-minta untuk dipilih dan suka menonjolkan diri pada awalnya akan mudah berubah peribadi dan sikapnya selepas memperoleh kuasa. Kebiasaannya pemimpin sedemikian mudah hilang janjinya, rakyat yang memilihnya dianggap tidak lagi penting. Rakyat wajib mematuhinya walaupun apa yang dilakukan itu salah dan tidak wajar.

Jika ada peraturan yang tidak sesuai, yang boleh digunakan oleh rakyat sebagai sarana ia akan segera dipinda. Jika ada legasi sebelumnya yang boleh dijadikan perbandingan dan menunjukkan garis perbezaan yang jauh panggang dari api, maka ikon itu akan dilenyapkan secepat mungkin. Petandanya sudah pun berlaku, belum pun memperoleh kuasa yang besar, bercadang untuk tukarkan kesemuanya, termasuk bendera negara, undang-undang dan dasar.

Pemimpin sedemikian mudah bertukar, daripada seorang yang merendah diri kepada seorang yang sombong dan angkuh. Daripada seorang yang mudah dan mesra menjadi seorang yang gilakan penghormatan dan pujian. Tidak boleh menerima berita yang tidak menggembirakan.

Orang di sekelilingnya menjadi semakin tidak jujur, setiap kali bertemu akan menyembunyikan keburukan, kerana keburukan itu didakwa sebagai rekaan dan boleh menyebabkan penyampainya disingkir atau dihina. Suasana itu terus berjalan dalam kebohongan dan kepura-puraan.

Realitinya, pemimpin semakin banyak menipu manakala orang yang berada di sekelilingnya terus mempertahankan penipuan itu, kerana kebohongan akan dilihat seolah-olah benar dan betul apabila terlalu kerap diulang-ulangkan.

Dalam hal ini, Rasullullah SAW bersabda: “Tiada seorang hamba yang dijadikan Allah sebagai pemimpin rakyat itu mati (dan) saat mati dia menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkannya syurga.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pemimpin bersifat seperti ini sebenarnya berada di bawah pengaruh material keduniaan bersulamkan kekuasaan yang ada di tangannya. Pengaruh itu menyerap masuk ke dalam diri untuk dimanfaatkan secara boros dan tidak terbatas. Justeru Allah SWT berfirman yang bermaksud: Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan yang Maha Pengasih (Al- Quran), kami biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya, syaitan- syaitan itu benar- benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. ( Az- Zukhruf: 36:37).

Kecenderungan, amalan itu menjadi daya kekuatan untuk digunakan demi kepentingan peribadi sahaja. Soal semangat serta roh spiritual diketepikan secara mudah dan penuh kedangkalan.

Sifat buruk ini membiak membentuk akar yang menjalar kepada cabang pemusnah lain. Keangkuhan pemimpin itu dijelmakan dalam bentuk harga diri dan kepercayaan diri. Akan tetapi, kedua-dua sifat itu akhirnya berubah menjadi kebanggaan yang menyokongnya membina kumin-kumin kuasa membentuk dan menzahirkan siapa sebenar pemimpin berkenaan. Pemimpin sedemikian sentiasa menunjukkan idealism dan jiwa yang besar di hadapan orang, tetapi dia sebenarnya pasif dan cenderung menghidupan amalan menyeleweng,  tidak amanah, pentingkan diri, lupa tanggungjawab dan membolot harta.

Dalam memerihalkan pemimpin yang bersifat sombong, suka mempamerkan kemewahan, ada orang yang sanggup menaja kemewahan sama ada dalam menyediakan kenderaan, kediaman dan tempat perjumpaan. Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Catatan: Ibnu Majid

Translate »