Siapakah ulama? Apakah sifat-sifat seorang ulama dan bagaimana hendak mengenalinya. Paling mencelarukan apabila ada orang mempersoalkan apakah ulama itu satu penganugerahan atau kurniaan, apakah ulama itu satu profesional, dan apabila seorang itu lulus pusat-pusat pengajian tinggi Islam, ia dikurniakan syahadah ulama atau syahadah menurut bidang-bidang pengajian yang diperolehi? Apakah ada atas dunia ini badan-badan yang boleh memberi tauliah ulama kepada orang yang diakui alim?
Sebenarnya soalan-soalan ini tidak mendapat jawapan yang kemas dan tepat selain daripada bayangan dan gambaran semata-mata. Namun demikian secara umumnya kita dapat memahami dan mengenali siapa ulama sebenar melalui ciri-ciri yang dikemukakan dan tugas yang dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas bahu mereka.
Menurut Dr. Ismail Lutfi Rektor Kolej Islam Yala, bukanlah semua orang yang mengetahui itu ulama, bukanlah semua orang yang boleh mengajar itu ulama, bukanlah semua orang yang memiliki sijil agama itu ulama, bukanlah semua orang yang berjubah itu ulama dan bukanlah semua yang mengerti bahasa Arab itu ulama dan sebagainya.
Ulama menurut beliau ialah orang yang mengerti ajaran al-Quran dan hadis serta beramal dengannya dan benar-benar takut kepada-Nya selaras dengan gelaran ulama sebagai pewaris Nabi. Sifat takut inilah yang menjauhkan mereka daripada melakukan kerja-kerja mungkar dan mendampingkan mereka dengan amalan makruf.
Perkara mungkar bukan hanya zina, minum arak dan sebagainya, tetapi adalah segala dosa dan kejahatan termasuk semua yang haram dan makruh. Makruf pula bukan semata-mata menunaikan ibadah khusus, memperbanyakkan zikir dan sebagainya, tetapi adalah menyempurnakan segala kebaikan dan kebajikan, termasuk perkara-perkara wajib dan sunat.
Hati ulama sentiasa bersih dan suci. Mereka merupakan golongan yang beramal dengan apa yang diketahuinya. Perkara dosa walau sekecil mana sekalipun ditinggalkan dan yang pahala diamalkan.
Sebuah hadis bermaksud, tidaklah seorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak berhasad dengki kepada orang yang lebih daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya dan tidak mencari upahan kebendaan dengan ilmunya.
Sesuatu yang paling penting bagi ciri-ciri ulama itu ialah menyampaikan tanda-tanda kebesaran Allah kepada manusia, mentarbiahkan mereka dan mengajar mereka al-Quran dan as-Sunnah. Orang ramai aman dan tenang ketika berhadapan dengannya.
Ciri-ciri ulama su’ pula adalah sebaliknya, iaitu tidak ada sifat takut kepada Allah, tidak beramal dengan ilmunya dan cuai dengan kewajipan yang dipertanggungjawab ke atasnya sebagai ulama. Mungkin pada zahir hebat keilmuannya, tetapi hatinya penuh dengan sifat-sifat cela dan cacat (mazmumah), seperti hasad, marah, benci, sangka buruk, bohong, curang dan sebagainya.
Banyak hadis yang berkenaan. Antaranya, sejahat-jahat manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang alim yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya. Hadis yang lain, dan sesungguhnya kamu adalah ulama jahat yang membolot upahan sedangkan kerja-kerja kamu cuaikan.
Ulama yang sebenar mempunyai kedudukan dan martabat yang tinggi. Firman Allah (al-Mujadalah 11) yang bermaksud Allah meninggikan orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.
Abu Ad-Dardak berkata bahawa aku mendengar Rasulullah bersabda: “Kelebihan orang alim ke atas orang beribadah tanpa ilmu seperti kelebihan bulan purnama ke atas bintang-bintang”.
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi ada bersabda: “Sesungguhnya contoh ulama di bumi samalah seperti bintang-bintang di langit yang dijadikan sebagai pedoman atau kompas memandu manusia ketika gelap gelita di darat dan di laut. Apabila lenyaplah bintang-bintang itu hampir menjadi sesat bagi orang yang mahu mendapatkan petunjuk”.
Said bin Jabir pernah ditanya orang “Apakah tanda-tanda kebinasaan manusia?” Jawabnya apabila ulama mereka sudah binasa. Ertinya sudah terhapus di kalangan mereka kebenaran, kejujuran, keikhlasan, kepatuhan dan sebagainya.
Datuk Shahir Abdullah, bekas Ketua Pengarah Jakim, menjelaskan ulama sebagai ahli ilmu mestilah mempunyai ciri-ciri antara lainnya dapat menguasai bahasa Arab dan dapat memahami kitab-kitab agama yang muktabar.
Mungkin ciri-ciri ini dikemukakan adalah kerana di Malaysia sekarang ini terlalu ramai yang mendakwa dirinya sebagai ulama. Mengutip bahan-bahan agama daripada gelanggang politik pun sudah merasai layak untuk berfatwa. Dan orang ramai pula begitu mudah memberi pengiktirafan kepada orang yang mendakwa dirinya sebagai ulama.
Tetapi sekiranya syarat menguasai bahasa Arab diketengahkan, maka ramailah ahli ilmuwan agama yang terkeluar daripada lingkungan ulama. Mungkin antaranya ialah sebilangan pegawai tinggi agama yang tidak berkelulusan daripada pusat-pusat pengajian daripada negara-negara Arab.
Shahir juga mencadangkan supaya mewujudkan satu badan piawaian bagi maksud mengenali golongan ulama dan menggabungkan mereka di bawah satu pertubuhan seperti badan profesion perubatan, kejuruteraan, perundangan dan sebagainya. Tidak ada seorang yang dapat menggunakan gelaran ulama melainkan berada dalam badan ini atau tanpa persetujuan dan kelulusan badan yang berkenaan.
Cadangan seumpama ini juga rasanya kurang munasabah, kerana penggabungan tidak mungkin dapat dilaksanakan, kerana ulama tidak pernah bersatu sesama mereka dalam memahami hal-hal pentadbiran keduniaan yang ijtihad sifatnya. Lebih-lebih lagi gelaran ulama bukan seperti gelaran datuk atau tan sri yang boleh dilantik dan boleh dilucut pada bila-bila masa.
Mungkin Shahir mengemukakan cadangan tersebut semata-mata untuk membuka pintu perbincangan dalam rangka mengenali dan mengecam ulama sebenar. Beliau sebagai orang nombor satu dalam pentadbiran agama di negara Malaysia ini memerlukan bantuan peserta seminar dalam menentukan ciri-ciri tersebut.
Lebih-lebih lagi di akhir-akhir ini pendorong yang dapat mempengaruhi orang ramai supaya mengenali seseorang itu sebagai ulama tidaklah sepayah mana.
Samalah seperti mempengaruhi orang ramai memanggilnya dengan nama datuk, walaupun datuk yang diperolehnya itu adalah datuk Mindanao yang tidak diiktiraf oleh mana-mana kerajaan tetapi apabila semua surat-menyurat, kad nama dan sebagainya meletak di pangkalnya dengan nama datuk, maka gelaran datuk itu akan terpahat di bibir orang ramai.
Begitu juga dengan gelaran ulama. Apabila seseorang itu pandai berpidato, fasih pula menyebut ayat-ayat al-Quran dan hadis, dan tahu mengguna istilah-istilah agama. Kemudian ditabur pula poster-poster dengan gambarnya sekali yang menyatakan ulama yang berkenaan akan berceramah pada masa dan tempat tertentu, apabila tiba masa yang ditetapkan, pengerusi pula memuji dan mengangkat namanya kononnya sebagai ulama besar, maka ulamalah dia.
Persatuan ulama pula menerima siapa saja yang ingin menjadi ahlinya dengan syarat membayar yuran tahunan dan patuh kepada peraturan persatuannya tanpa mengambil kira golongan agamawankah dia atau tidak.
Kemusnahan ulama dan penjejasan kemuliaannya adalah disebabkan oleh dua keadaan. Pertama pengikut-pengikutnya yang fanatik dan asabiyah secara membabi buta kepadanya. Pengikut-pengikut ini terus saja membela kesilapan atau kegelinciran ulama mereka di samping menyalahkan pihak yang lain dengan segala macam kata-kata yang tidak punya neraca iman.
Kumpulan penentang yang tidak sealiran dengannya pula cuba membesar-besarkan kesalahannya yang sedikit, kemudian digembar-gemburkan di sana sini dengan cara yang cukup jelek.
Itulah punca bala dan fitnah yang tidak putus-putus sejak berzaman, seperti fitnah ar-Rawabidh, fitnah al-Khawarij dan sebagainya.
Perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku kepada Malaysia, kerana bilangan ulama sebenar masih ramai dan mereka terus-menerus berperanan bersama pemerintah dalam arus perdana dalam usaha pengukuhan bangsa, pemantapan negara dan penyebaran agama. Sejarah telah membuktikan bahawa ulama tidak pernah beroleh kejayaan dalam persengketaan mereka dengan pihak pemerintah. Hasilnya kerugian dan penyesalan semata-mata.
Oleh: Dusuki Ahmad
Recent Comments