Apabila ada orang Islam meninggal dunia, kita hendaklah segera menziarahi keluarganya untuk memberikan simpati atas musibah yang menimpanya. Selain itu, kita juga diwajibkan untuk menguruskan jenazahnya seperti memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengkebumikannya.

Mengurus jenazah merupakan sebahagian daripada etika Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya. Selain hukumnya fardu kifayah, hai itu juga merupakan tanda penghormatan terhadap jenazah.

Takziah

Takziah dilakukan dengan menziarahi keluarga jenazah, meminta mereka agar bersabar dan kuat semangat serta mendoakan jenazah agar diampuni segala dosanya. Orang yang memberikan takziah akan mendapat pahala, berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Tidak seorang mukmin pun yang datang memberikan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah kecuali akan diberi pakaian oleh Allah pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa menghadiri jenazah hingga jenazah itu disolatkan, maka baginya pahala satu qirat dan apabila ia menghadiri hingga jenazah itu dikebumukan, maka baginya pahala dua qirat. “Para sahabat bertanya, berapa dua qirat itu?” Rasulullah s.a.w menjawab : “Seperti dua buah gunung yang besar.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengurusan Jenazah

Apabila diketahui dengan jelas bahawa seseorang telah meninggal dunia, maka segeralah dilakukan hal- hal yang berkaitan dengan proses pengurusan jenazahnya. Hukum pengurusan jenazah ialah fardu kifayah, maksudnya apabila sebahgian orang melaksanakannya, maka dianggap memadai. Akan tetapi jika tidak ada seorang pun yang melakukannya, maka berdosalah seluruh masyarakat di daerah itu.

Memandikan

Jenazah yang wajib dimandikan ialah jenazah orang Islam yang tidak gugur dalam peperangan dengan orang kafir. Semasa memandikan jenazah diwajibkan menyiramkan air ke seluruh tubuhnya satu kali dan disunatkan tiga kali.

Orang yang memandikan jenazah selain harus mengetahui cara memandikan jenazah , harus juga boleh dipercayai agar tidak membuka rahsia termasuk aurat jenazah yang dilihatnya. Dan sebaik- baiknya orang yang mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan jenazah.

Kafan

Kain kafan disunatkan berwarna putih, bersih, kering, wangi dan menutupi seluruh tubuh. Sebaik- baik kain terdiri daripada tiga lapis untuk jenazah lelaki dan lima lapis untuk perempuan. Kain kafan yang digunakan hendaklah yang baik, namun tidak perlu daripada jenis mewah dan mahal.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila salah satu antara kamu mengapankan saudaranya, hendaklah mengapankannya dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Solat Jenazah

Solat Jenazah memiliki syarat- syarat yang sama dengan solat wajib. Cara melakukannya adalah seperti yang berikut : niat, takbir pertama membaca al- Fatihah, takbir kedua membaca selawat nabi, takbir ketiga mendoakan si mati, takbir terakhir, berdoa dan salam. Orang yang akan mengerjakan soalt jenazah disunatkan membuat tiga saf (deret) dan meluruskannya. Dalam solat jenazah, imam disunatkan berdiri setentang dengan kepala jenazah jika jenazahnya lelaki dan setentang dengan perut jika jenazahnya perempuan.

Pengebumian

Setelah disolatkan, jenazah hendaklah segera dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Waktu yang dianggap makruh oleh para ulama untuk pengebumian ialah waktu matahari terbit, matahari berada tegak di atas kepala dan matahari terbenam. Dalamnya lubang kubur lebih kurang dua meter untuk menutupi bau busuk jenazah dan mencegah agar tidak dimakan oleh binatang buas atau burung.

Setelah lubang kubur digali, jenazah diturunkan perlahan- lahan, kemudian dibaringkan mengiring menghadap kiblat. Setelah mengebumikan jenazah, orang Islam yang menghantar jenazah ke tanah perkuburan disunatkan berdoa untuk memohonkan keampunan bagi jenazah kerana ketika itu jenazah sedang menghadapi pertanyaan oleh malaikat.

Ziarah Kubur

Mengunjungi kubur dengan maksud mengambil pengajaran dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat sangat digalakkan. Namun, dilarang berziarah dengan tujuan meminta berkat atau petunjuk. Ziarah umumnya dilakukan untuk mengenang jasa- jasa orang yang sudah meninggal dunia dan mendoakannya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dulu aku melarang ziarah kubur, tapi sekarang ziarahlah kamu kerana ia dapat mengingatkan kepada kematian.” (Riwayat Muslim)

Tahlil

Apabila seseorang meninggal dunia, biasanya diadakan bacaan tahlil beramai- ramai di rumah keluarga jenazah. Majlis ini disebut majlis tahlil. Sebahagian ulama menentang acara ini dan memandangnya sebagai bidaah.

Namun ada juga ulama yang mempertahankannya dan menganggapnya sebagai perbuatan baik. Acara tahlil diamalkan di Malaysia. Pelaksanaannya dilakukan selama tiga hari dan/ atau tujuh hari selepas kematian.

Sakaratul Maut

Apabila melihat orang sedang menghadapi kematian (sakaratul maut), setiap orang Islam disunatkan untuk melakukan perkara berikut :

–          Mengingat kannya mengucapkan La ilaha illa Allah

–          Membaca ayat- ayat al-Quran, terutamanya surah Yaasin.

–          Memejamkan matanya apabila terbuka.

–          Menutupi seluruh tubuhnya dengan kain.

–          Menyegerakan pengurusan jenazahnya.

Susunan MASNI HASSAN

Translate »