Gelombang Hijau yang diharapkan melanda Johor akhirnya bertukar menjadi sungai mengalir lesu selepas percubaan Perikatan Nasional gagal untuk merangkul kemenangan pada dua PRK yang diadakan serentak Sabtu lalu (9 September 2023): Bersatu terkulai di Pulai, PAS terbenam di Simpang Jeram.
Gandingan PH-BN berjaya mengekalkan penguasaan mereka menerusi Amanah. Namun, beberapa analisis yang kurang tepat memberikan gambaran seolah-olah UMNO/BN telah kehilangan pengaruh di dua konstituensi itu, yang tidak sepatutnya dibuat berdasarkan bilangan pengundi yang mengundi calon Amanah.
Ini kerana, tiada calon UMNO yang bertanding. UMNO menggerakkan jentera parti untuk membantu memenangkan calon Amanah, atas faktor kerjasama dan kesepakatan kerajaan perpaduan. Ia juga berbeza dengan keputusan PRU ke-15 dan juga PRN Johor sebelumnya, UMNO/BN adalah entiti politik yang berbeza, belum bekerjasama dan saling bertentangan ketika itu.
Jadi, jumlah undi yang diperoleh ketika itu, tidak sewajarnya dicampurkan dengan undi yang diperoleh calon Amanah, dan kemudian dimasukkan sebagai gabungan bersama, untuk dibandingkan dengan keputusan terbaharu. Sebagaimana sebahagian daripada kita faham, banyak faktor yang sudah berubah, banyak sentimen yang sudah bertukar.
Keputusan terakhir tetap menjadi model yang menarik, hubungan kerjasama yang baik boleh memberikan kejayaan selain corak kempen yang matang dan tidak menyerang secara semberono. Itulah kelebihan yang menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan Amanah dan berjaya mempertahankan legasi Allahyarham Salahudin Ayub di Pulai dan Simpang Jeram.
Ia juga memberikan pengajaran terbaik untuk PN bermuhasabah. Politik kebencian yang mereka tonjolkan sepanjang kempen tersebut ‘memakan diri’ dan lebih malang lagi, aura kepimpinan Muhyiddin seolah-olah sedang menuju ke penghujungnya, di negeri yang dianggap kubunya sendiri.
Atas kekalahan tersebut, ada desakan agar Muhyiddin dan Hadi Awang meletakkan jawatan sebagai peneraju dua parti yang membentuk kerjasama dalam satu gabungan selepas Langkah Sheraton. Desakan itu dibuat itu, walaupun kedengaran tidak begitu lantang, tetapi cukup menggambarkan kededuanya semakin berhadapan dangan defisit keyakinan, selain memulangkan paku buah keras.
Ketika PRN di enam negeri. Muhyiddin dan Hadi mengesyorkan peletakan jawatan PMX dan Presiden UMNO di atas kemenangan besar PN (menguasai 146 daripada 245 kerusi DUN), maka tidak sebab desakan yang sama tidak boleh dibuat ke atas dua aktor pencetus ‘politik kebencian’ itu.
Peluru kebencian yang ditembak akhirnya terkena ke organ sendiri. Pengundi Pulai dan Simpang Jeram memilih untuk menerima pendekatan politik matang dan bukan politik kebencian.
Pada mulanya, PN dilihat cukup kemas membuka gelanggang, tetapi akhirnya hilang kekuatan apabila langkahnya semakin dilihat sumbang, dan banyak sekali bola yang dihantar jatuh di luar gelanggang. PH-BN tidak banyak mengeluarkan tenaga untuk melakukan ‘smash’, kerana bola yang dihantar turut ditolak oleh angin yang muncul tanpa disedari, dalam keadaan jentera kempen PN masih syok sendiri.
Itulah sedikit sebanyak gambaran dengan apa yang berlaku sepanjang dua minggu berkempen di dua PRK yang diadakan serentak ekoran meninggalnya Datuk Seri Salahudin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai 2023, ketika kempen PRN enam negeri sedang rancak berlangsung.
Datuk Salahudin memenangi kerusi DUN Simpang Jeram pada PRU ke-14 (2018) setelah keluar daripada PAS dan kekal menyandang kerusi itu pada PRN Johor yang diadakan pada 20 Mac 2021.
Pada PRU ke-14, beliau ikut bertanding di Parlimen Pulai, dan menang dengan majoriti 28, 924 undi dan kembali mempertahankannya pada PRU ke-15 dengan majoriti sebanyak 33,174 undi.
Sebelumnya, beliau pernah bertanding di Kubang Kerian, Kelantan atas tiket PAS dan menang selama dua penggal (PRU ke-11 dan ke-12). Ketika PAS Kedah bergelora, Salahudin dijoloki sebagai Kofi Anan PAS diberikan tanggungjawab untuk meredakan krisis.
Begitu juga ketika PAS alami kejutan dalam akibat ‘unity government’ yang dicadangkan oleh Presiden PAS sehingga menyebabkan Murysidul Am PAS mengeluarkan kenyataan, parti itu perlu ‘membuang buah busuk’ dan mengkaji semula pembabitan bukan anak Kelantan bertanding di Kelantan.
Baik ketika bersama PAS mahupun Amanah, Salahudin menjadi watak penting yang banyak membantu Mohamad Sabu dalam menguruskan parti. Salahudin juga dilihat cukup berjaya mendekati ‘hati dan perasaan’ pengundi di Pulai dan Simpang Jeram, bahkan aura kelibat dirinya dikatakan turut membantu kemenangan calon Amanah pada PRK Pulai, Suhaizan Kaiat.
Suhaizan pada suatu ketika terkenal dengan idealisme politik untuk berjuang mengatasi masalah yang dihadapi oleh peneroka melalui PAS, tetapi sayangnya, pernah kalah sebanyak enam kali dalam percubaannya.
Menurut rekod, beliau mula menjadi calon PAS dalam PRU ke-11 (2004) di Parlimen Parit Sulong, Simpang Renggam (2013), DUN Kempas (2008 dan 2013) DUN Kukup (2018) dan DUN Pulau Sebatang (2022).
Percubaan kali ketujuh membawa kejayaan apabila 48,283 pengundi memilihnya. Suhaizan berjaya mengalahkan Zulkifli Jaafar (PN-Bersatu) dan calon Bebas, Samsudin Mohd Fauzi dengan majoriti 18,641 undi. Zulkifli pula dilihat kurang menyengat ketika berkempen, yang hanya mengharapkan jentera parti Bersatu. Seolah-olah tidak muncul kerjasama yang memadai untuk memenangkan calon PN. Itulah yang telah memerangkap Muhyiddin.
Dalam kebimbangan itulah Muhyiddin membuat kesilapan yang besar, menjatuhkan fatwa ‘haram’ dengan harapan menyekat undi kepada Suhaizan. Kesilapan itulah yang menjadi faktor kenapa calon Bersatu dan Suhaizan menang selesa.
Antara tahun 2018-2022, Suhaizan dilantik sebagai Yang di Pertua DUN Johor, dan seterusnya dididik oleh Salahudin Ayub sebagai Setiausaha Politik. Beliau adalah Naib Pengerusi Amanah Johor.
Berbeza dengan calon PH-BN yang bertanding di DUN Simpang Jeram, iaitu Ir Nazri Abdul Rahman, yang merupakan Timbalan Ketua Amanah Bakri, belum pernah bertanding sebelum ini.
Nazri berjaya mengalahkan seorang pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan dengan majoriti 3,514 undi. Dr Mazri ialah Ahli JAwatankuasa PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.
Walau bagaimanapun, ketokohan Dr Mohd Mazri tidak dapat menyaingi aura politik Ir Nazri yang pernah bertugas sebagai Ketua Kejuruteraan Majlis Perbandaran Muar dan berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Tun Hussein Onn (UTM).
Dr Mazri, adalah bekas calon PAS yang tewas dalam PRU ke-14 (2018) di Parlimen Pulai. Beliau pernah bertugas sebagai Pakar Perunding Vaskular dan Bedah Endovaskular di Hospital Pakar KPJ, Johor.
Mungkin kerana hubungan langsungnya dengan masyarakat hanya berkisar dalam situasi yang lebih tertutup berbanding kerjaya Ir Nazri yang lebih terbuka menjadi sedikit sebanyak penyumbang kepada pungutan undi yang diraih.
Kekalahan Dr Mazri ini merupakan kekalahan kedua bagi seorang pakar bedah, yang pada awalnya disoroti boleh menang kerana pengaruh aura Presiden Bersatu, di mana Simpang Jeram bersempadanan dengan Parlimen Pagoh, kubu kuat Muhyiddin.
Namun, aura itu tidak menjadi kerana Muhyiddin juga merupakan tokoh yang suam-suam kuku sejak telah meletakkan jawatan sebagai PM ke-8 ekoran penarikan balik sokongan wakil rakyat BN selepas terkangkang dengan Proklamasi Darurat sebaik sahaja memasuki bulan Ogos 2021.
Reputasi Muhyiddin turut terjejas apabila beliau dikaitkan dengan aktiviti sakau projek Jana Wibawa yang membabitkan salah guna kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram beratus juta ringgit. Walaupun empat pertuduhan ke atasnya telah digugurkan, ia kemudian dibuat rayuan oleh SPRM dan masih berbaki tiga lagi kes.
Muhyiddin juga dikatakan ada kaitannya dengan sambungan lesen monopoli beras oleh Bernas, yang disambung selama 10 tahun lagi setelah tamat pada tahun 2021.
Jadi, dalam kempen dua PRK ini, isu kenaikan harga beras cukup banyak diperkatakan, tetapi senjata itu tidak berjaya meraih simpati pengundi di Pulai dan Simpang Renggam sehingga boleh memenangkan calon yang mewakili PN (PAS dan Bersatu).
Sebelumnya, oleh kerana persefahaman antara PAS dan Bersatu kurang memberansangkan, masing-masing menumpukan kawasan yang ditandingi oleh calon parti, Muhyiddin terpaksa meminta Presiden PAS untuk membantu berkempen di Pulai.
Akibat rasa tersepit itulah Muhyiddin akhirnya membuat kenyataan yang turut menyebabkan calon Bersatu kalah, di mana Zulkifli tidak cukup kuat untuk memperlekehkan imej bekas penyandang dan sedikit sebanyak telah turun kepada Suhaizan.
Kegelisahan itulah membawa kepada munculnya fatwa ‘haram mengundi Suhaizan’ yang dikaitkan dengan tipikal budaya fatwa PAS yang sudah lama menjadi imej pemimpinnya sejak tahun 1960-an.
Ada yang mengatakan, sejak Muhyiddin mula bekerjasama dengan PAS, budaya politiknya semakin terpengaruh dengan perangai Presiden PAS, suka membuat tuduhan dan dakwaan terhadap musuh-musuh politiknya secara melulu dan semberono, dan kadangkala beremosi.
Perwatakan Muhyiddin yang susah nak senyum, akhirnya dilihat ikut tersesat dengan haluan PAS, walhal sebelumnya pernah menggelar PAS sebagai Parti Ajaran Sesat.
Beberapa orang pemerhati menyatakan Muhyiddin sebenarnya sedang alami karma politiknya sendiri, kerana beliau bukanlah tokoh yang boleh dibuat kawan, hanya mahu menang seorang-seorang.
Ketika dalam UMNO, Muhyiddin kerap kali mengambil sikap wait and see, sebagai langkah selamat dan memerhatinya untuk menonjolkan diri jika ada ruang. Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang mana Muhyiddin adalah timbalan, menyifatkannya sebagai ‘kurang rajin’.
Tetapi, akibat krisis dalaman yang bergolak di Johor, akhirnya Muhyiddin memegang jawatan sebagai MB menggantikan Abdul Ajib Ahmad (1947-2011) pada tahun 1986. Ajib kemudiannya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir Mohamad.
Muhyiddin menjawat jawatan sebagai MB Johor selama dua penggal, dan sepanjang tempoh tersebut, timbul pelbagai kontroversi sehingga dalam dua PRK terbaharu itu muncul kenyataan ‘hanya tanah kubur’ yang dijual olehnya.
Dalam keghairahan untuk menang di Simpang Jeram, Presiden PAS turut membuat kenyataan yang dilihat cukup merugikan parti itu apabila berkata hanya Allah dan ahli keluarga penjayah sahaja yang boleh mengampun kesalahan penjenayah.
Kenyataan tersebut seolah-olah berusaha memperlekehkan fungsi dan peranan Lembaga Pengampunan yang diinstitusikan oleh negara. Akibatnya, Presiden PAS akhirnya disoalsiasat oleh polis, dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara. Haji Hadi dicadangkan dibicarakan menggunakan Akta Hasutan.
Selain itu, akibat terdesak Presiden PAS memberitahu bahawa 30 peratus orang muda (21 tahun) yang mengundi PH dalam PRU ke-15 merupakan generasi yang hanya mengaji dengan telefon bimbit dan platform media sosial, tidak mengaji agama dan membaca al-Qur’an.
Kenyataan itu dilihat sebagai satu bentuk penghinaan kepada anak-anak muda Johor, yang semuanya sedar bahawa Johor adalah satu-satunya negeri yang ibu bapa cukup prihatian pendidikan Islam kepada anak-anak mereka.
Selain bersekolah di peringkat akademik, para pelajar Johor turut mengikut pelajaran agama sama ada di sebelah petang atau sebelah pagi, jika sesi persekolahan akademiknya di sebelah petang.
Sekolah-sekolah agama di Johor, terutama di peringkat asas adalah lebih banyak berbanding dengan negeri Terengganu, iaitu negeri yang dikuasa oleh PAS sepenuhnya pada PRN yang lalu.
Ia seolah-olah ditujukan kepada anak-anak muda Johor sebagai kelompok yang menolak politik yang cuba dibawa oleh PAS, akhirnya, mereka jugalah yang mebenamkan calon PAS di Simpang Jeram, sehingga dilihat seperti dihantuk dengan kenyataan Presiden PAS sendiri.
Calon PAS hanya mampu meraih 10,33 undi berbanding calon Amanah peroleh 13,844 undi, dalam keadaan 59 peratus keluar mengundi. Jumlah keseluruhan pengundi dalam DUN Simpang Jeram ialah 40,379 pemilih.
Walaupun lebih tinggi daripada peratusan keluar mengundi di Pulai (45 peratus), faktor penolakan pengundi turut menjadikan PAS kehausan di Simpang Jeram, dan terpaksa melihat air yang mengalir lesu di atas batu, yang menjadi selokan jeram dalam maksud dan kenyataan lazim.
PAS perlu mengakui hakikat, bahawa parti itu sebenarnya tidak mempunyai sentuhan ajaib di Johor, walaupun Dr Mahathir berkata, Johor bakal ditawan oleh aura Sanusi Mohd Noor, MB Kelantan yang celupar dan cukup kalut itu.
Sanusi, dikaitkan dengan pembohongan sebuah klip video yang tular. Beliau dikatakan mendapat sambutan hangat ketika hadir berkempen di Johor, sedangkan klip video itu disunting dari satu program yang membabitkan pendakwah tersohor dari Riau, Ustaz Abdul Somad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sanusi turut menafikan bahawa video yang tular itu adalah sambutan yang diterimanya ketika berkempen di Johor sepanjang dua PRK terbaharu tersebut.
Penafian itu memberikan gambaran bahawa PAS akan melakukan apa sahaja demi meraih kemenangan, sama ada dengan cara salah ataupun menipu. Ia mendedahkan nilai dan sifat budaya politik sebuah parti yang mendakwa ‘memperjuangkan Islam’.
Dalam menangis akibat kekalahan yang dialami, PN sekadar berusaha menghiburkan hati mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan itu telah berjaya mendekatkan jurang, yang sebenarnya jurang yang wujud adalah terlalu jauh. Apa maksud berjaya dirapatkan?
Secara mutlaknya, PAS kekal mempunyai satu kerusi di DUN Johor, setelah calonnya menang di Maharani pada PRN lebih setahun lalu.
Sebelumnya (PRU ke-14), PAS menang di DUN Bukit Pasir, tetapi pada PRN lalu, calonnya tewas setelah menyingkirkan penyandangnya.
Bekas wakil rakyat PAS di DUN Bukit Pasir, Najib Leb akhirnya menyertai Amanah pada 3 September 2023 hampir seminggu sebelum PRK diadakan. Ini memberikan sedikit sebanyak kesan kepada pengundi untuk tidak mengundi calon PAS di Simpang Jeram, yang dilihat cukup dekat kejiranannya.
DUN Bukit Pasir terletak dalam Parlimen Pagoh, manakala DUN Simpang Jeram dalam Parlimen Muar, bersempadanan dengan Parlimen Pagoh. Tentunya, mobiliti pengundi di dua DUN itu cukup dekat dan saling kenal mengenali sebahagian besarnya.
Apatah lagi Muhyiddin adalah anak kelahiran Muar, dari pasangan guru agama yang cukup tersohor di Muar.
Bersatun juga tidak berjaya menambahkan wakil rakyat di Dewan Rakyat, dan ini bermakna parti itu gagal untuk menolak kuasa majoriti dua pertiga PH-BN di peringkat pusat.
PH-BN terus menguasai Dewan Rakyat, walaupun Muhyiddin membangkitkan sentiment menakut-nakutkan pengundi bahawa akan diadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh kerajaan, yang akan memberikan keuntungan kepada DAP.
DAP dikatakan akan mempunyai kawasan majoriti pengundi bukan Melayu yang lebih banyak ekoran persempadanan kawasan pilihan raya nanti, kerana sebahagian besar kawasan yang akan dipecahkan ialah membabitkan kawasan bandar. Kawasan bandar penduduk majoritinya ialah bukan Melayu.
Dalam keadaan itulah Muhyiddin cuba membakar semangat benci orang Melayu kepada kepimpinan kerajaan perpaduan, dan jika Bersatu menang di Pulai, ia akan menghalanginya. Ini kerana, untuk tujuan tersebut, ia memerlukan kelulusan (sokongan) dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Hal ini tidak mudah boleh diperbodohkan oleh Muhyiddin, kerana pengundi semakin sedar bahawa tugas dan tindakan persempadanan kawasan pilihan raya adalah dibawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bukannya kerajaan perpaduan.
Bahkan, sehingga kini masih belum ada cadangan yang dimaksudkan itu dibincang. Bayangan ketakutan yang dimomokkan itu turut menyebabkan pengundi Pulai semakin menolak Muhyiddin.
Dua keputusan PRK serentak itu jelas membuktikan bahawa ‘bangsa Johor’ semakin menolak Muhyiddin dan Bersatu sehingga terkulai di Pulai dan tidak boleh menerima pendekatan politik PAS, akhirnya menyebabkan impian menawan Simpang Jeram dibenamkan oleh pengundi.
Apa pun penyebab, ia tidak lagi boleh menukarkan keputusan tersebut, kecualilah menunggu untuk diadakan pilihan raya lagi, yang mungkin akan berhadapan dengan kehendak dan perubahan cita rasa pengundi yang semakin bertambah dan berbeza.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments