Sebenarnya, Nassuruddin tidak mempunyai idea bagaimana untuk membangunkan Kelantan lebih baik setelah PAS tidak berjaya melakukannya sepanjang 33 tahun. Nassuruddin bukanlah golongan professional dan kompeten dalam pentadbiran kerajaan, walaupun berpengalaman sebagai salah seorang EXCO semasa kepimpinan Datuk Ahmad Yaacob.

Beliau lebih menyerlah sebagai panglima perang dan kerana itulah dianugerahkan darjah kebesaran sebagai Dato’ Panglima Perang, yang lebih hebat daripada Tan Sri Annuar Musa, hanya sekadar Datuk Seri Panglima. Tetapi dari segi professional, Annuar Musa lebih hebat kerana memakai istilah Town Planner semasa menjawat jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kabinet Keluarga Malaysia. Suatu panggilan di atas kepakarannya sebagai perancang bandar, ilmu yang dipelajarinya ketika di UiTM dan Kolej Universiti London.

Kini, Annuar merupakan ahli PAS, setelah beberapa bulan dipecat keahlian UMNO ekoran percanggahan pendiriannya dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. Beliau turut berkempen untuk memenangkan PAS, termasuk membawa sekumpulan ahli UMNO keluar parti menjelang PRN. Pada PRN lalu, Annuar disindir kerana tidak dipilih sebagai calon mewakili PN walaupun cukup bersungguh-sungguh berkempen memburuk-burukkan UMNO, yang menaikkannya sebagai politikus.

Lima tahun akan datang akan menjadi ukuran terhadap kekesanan kepimpinan PAS, terutama Sanusi (Kedah) dan Nassuruddin (Kelantan), yang sama-sama digelar panglima (atau wira) perang. Nassuruddin dianggap kelompok ulama, yang pada awalnya menjadi gandingan dua kumpulan – agamawan dan teknokrat – untuk memimpin Kelantan, yang kemudiannya ternyata tidak berlaku sebagaimana diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, dua hari sebelum hari mengundi (PRN), iaitu 10 Ogos 2023.

Dr Fadzhil Dato’ Hasan tidak boleh dikategorikan sebagai teknorat walaupun sebelumnya pernah bertanggungjawab mengenai dasar dan pembangunan teknologi dalam barisan EXCO Kelantan. Beliau merupakan pakar syariah (undang-undang Islam) yang bertugas sebagai pensyarah di UIAM selama lebih 15 tahun. Di luar bidang akademik, Dr Fadzli pernah menjadi penasihat syariah Standard Charted Bank.

Ini bererti, beliau bukanlah seorang yang menepati takrif sebagai teknokrat, bahkan tidak berpengalaman (memadai) sebagai usahawan. Mungkin kerana kelulusannya lebih tinggi daripada Mohd Amar, yang juga bekas pensyarah UIAM maka Takiyuddin menggelarnya ‘teknokrat’. Menurut pengertian, teknokrat ialah mempunyai kepakaran dalam bidang teknikal (atau sains).

Kamus Dewan (edisi keempat, 2007, hal.1630) mentakrifkan teknokrat (technocrat): pakar teknikal (ahli sains dan lain-lain), orang yang mahir dalam bidang teknologi dan lain-lain yang mempunyai kuasa politik. Manakala, Oxford English-Malay Compact Advanced Learner’s Dictionary (2007, hal.1532) mentakrifkan teknokrat sebagai: pakar dalam sains, kejuruteraan dan sebagainya terutama sekali yang sukakan teknokrasi; teknokrat. Apakah bidang syariah itu dikategorikan sebagai bidang teknik atau sains?

Apa yang kita faham, syariah itu merupakan kembangan kepada kaedah perundangan Islam yang berasal daripada feqh (atau fiqh) dan mereka yang pakar dalam bidang tersebut dikenali sebagai fuqaha (istilah Inggeris ialah jurist).  Mereka, pada zamannya, merupakan hukama (penghubung) antara rakyat dan pemerintah, kerana merekalah yang akan menentukan ‘salah’ atau ‘benar’ terhadap sesuatu perbuatan, kata-kata dan mengeluarkan sesuatu fatwa.

Bagaimanapun, disebabkan persoalan feqh yang keterlaluan (terlalu mendalam) ia telah mendorong kepada perpecahan umat Islam dan membentuk aliran pemikiran (mazhab) yang berbeza. Akibatnya, ada di antaranya mengkafirkan sesama Islam sebagaimana di huraikan oleh Imam al-Ghazali dalam beberapa buah kitab. Antaranya, Ihya Ulumuddin, Bidayatul Hidayah, al-Munqidz min al-Dhalal, al-Qistas al-Mustaqim fi Taqwim Ahli al-Ta’lim dan Faysal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zandaqah.

Jadi, jika diikutkan maknanya, kepakaran dalam ilmu-ilmu agama, bukan boleh dikategorikan sebagai pakar teknik (atau teknikal), masih bersifat bukan teknikal. Teknokrat adalah orang yang pakar dalam bidang teknikal (atau sains dan kejuruteraan) yang mempunyai kuasa, maka penggunaan istilah bagi menggambarkan gabungan agamawan dan teknokrat di Kelantan tidak menepati maknanya.

Ia berbeza dengan Terengganu, yang mana mungkin PAS terilham daripada kejayaan besar pakar sains (aeroangkasa) iaitu MB Terengganu yang berjaya menyapu bersih kemenangan pada PRN kali ini. Kita juga melihat, gaya kempen yang dilaksanakan oleh MB Terengganu cukup berbeza dengan dua orang panglima perang PAS itu.

Sanusi, dalam satu sembang dengan KJ, cukup sukar untuk memudahkan pemahaman khalayak mengenai kebijaksanaan pendirian Presiden PAS dalam sesuatu perkara, sebaliknya lebih mencari alasan sebagai ‘seorang yang mempunyai ilmu’ dan ‘menghasilkan lebih 140 buah buku’ (mempertahankan pendirian Presiden PAS) sebagai satu hal yang wajar dipertahankan, biarpun bercanggah dengan ketentuan Islam.

Itu bermakna Sanusi sudah bersebati dengan tarbiyah PAS sehingga sanggup menghina saudaranya sendiri yang aktif dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), yang pernah diasaskan oleh Anwar Ibrahim, yang menjadi ‘lawan’ politiknya. Seolah-olah saudaranya ‘sesat’ kerana tidak menyertai PAS dan berbeza fahaman politik. Tarbiyah, dalam maksud yang lain ialah indoktrinasi, yang termasuk dalam makna pembasuhan minda (brainwashing). Bukan menjadi semakin bersih, tetapi semakin dogmatik dan jumud. Akhirnya, memunculkan ketaatan (wala’) dan personality cult kepada seseorang pemimpin,

Secara mudah, brainwashing bermaksud: memaksa seseorang menolak kepercayaan atau idea lama dan menerima yang baru dengan menggunakan tekanan. (Oxford Compact English-Malay Advanced Learner’s Dictionary, hal. 157). Tekanan itu mungkin dalam bentuk kejutan atau perkara yang boleh menimbulkan situasi (rasa) tidak selamat (unsecure), terancam dan terganggu (seperti tiada harapan masa depan).

Benar, seseorang boleh berijtihad dan ijtihadnya itu bukan secara individu, terutama yang berkaitan dengan permasalahan masyarakat, hal-hal yang bersifat ranting, termasuk persoalan politik. Tidak ada arahan (perintah Allah SWT dan bukti hadis Rasulullah SAW) yang jelas: ‘undi PAS masuk syurga’ atau PAS adalah Parti Islam.

Memang ada hukum yang mewajibkan setiap muslim mengambil bahagian atau menyertai politik untuk membolehkan sesebuah pemerintahan boleh ditegakkan, tetapi tidak dijelaskan secara tepat mengenai PAS. Ini kerana PAS adalah wahana (platform) yang dicipta oleh manusia, berasaskan ijtihad beberapa orang pada awalnya. Inilah sejarah dan pemilihan ideologi politik yang membawa kepada penubuhan PAS pada tahun 1951. (Safie Ibrahim, The Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology, Pasir Puteh, Kelantan: Nuawi bin Ismail, 1981).

Menurut Muhammad Asad, “ijtihad bukanlah ‘duluan hukum’ yang mengikat ke atas masyarakat untuk selama-lamanya: pandangan yang tidak dijustifikasi dengan baik oleh shari’ah mahupun fikiran sihat.

….semua penemuan yang diperoleh melalui ijtihad, oleh bagaimana hebat pun seseorang, tanpa kecuali dikekang oleh persekitaran dan keadaan pengetahuan orang itu: dan pengetahuan, terutamanya dalam hal menyangkut soal sosial, bergantung tidak begitu banyak atas kemuliaan karakter seorang manusia sebagaimana atas keseluruhan dari pengalaman sejarah yang tersedia kepadanya.

Tidak syak bahawa pengalaman sejarah yang tersedia kepada kita adalah, tanpa sebarang kelebihan pada pihak kita, jauh lebih luas daripada yang tersedia kepada para Sahabat tiga belas abad yang lampau. ….Kita tidak sesekali melupakan yang risalah Islam bersifat abadi dan harus kerana itu sentiasa kekal terbuka kepada pencarian intelek manusia.

Kebesaran al-Qur’an dan contoh kehidupan Nabi (SAW) terletak dalam kenyataan bahawa semakin berkembang maju pengetahuan kita tentang dunia, makin lebih baik kita memahami hikmah dari Syariat Islam.

Justeru, hak kita bagi ijtihad yang bebas berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah tidak hanya sekadar dibenarkan, malah wajib; dan terutamanya dalam perkara yang shari’ah sama ada sepenuhnya berdiam atau menyuguhkan kita tidak lebih dari prinsip-prinsip umum.” (Muhammad Asad, Prinsip Pemerintahan dan Kerajaan Dalam Islam, edisi terjemahan oleh Ahmad Yunus Mohd Noor dan Ahmad Nabil Amir, Bangi: Penerbit UKM, 2019, hal., 35-36).

PAS hanya tertubuh pada tahun 1951, tidak muncul pada zaman Rasululllah SAW, khalifah ar-Rasyidin dan juga pada zaman kegemilangan empayar-empayar Muslim. Maknanya, PAS adalah kreativiti manusia dalam menterjemahkan politik Islam, dan ia adalah alat untuk menuju ke arah itu (mendapatkan kuasa dan memerintah). PAS adalah parti politik yang dihasilkan oleh manusia, bukan diturunkan oleh Allah SWT sebagai wadah penentuan politik yang tidak boleh dipertikaikan.

Seorang sarjana ilmu politik Singapura yang membuat penelitian selama empat tahun mengenai politik etnik di Malaysia sekitar tahun 1980-an, Hussin Mutalib menulis, “politik identiti Melayu sangat bercirikan penekanan dan ketegangan, yang muncul dari dialektika antara Islam dan etnik Melayu.” Tetapi, yang jelasnya, “Islam cenderung condong bergerak ke etnik Melayu”. (Hussin Mutalib, Islam dan Etnisitas: Perspektif Politik Melayu, edisi terjemahan bahasa Indonesia, Jakarta: PT Pustaka LP3ES, 1996, hal.256).

Itulah resah yang membawa kepada konflik hala tuju dalam PAS dan pendirian yang sangat paradoks. Apabila berada dalam Pakatan Rakyat, PAS mengeluarkan seruan agar ‘menyokong DAP sampai kiamat’ tetapi pada PRN lalu, kembali kepada fatwa bahawa mengundi UMNO sama dengan mengundi DAP, dianggap sebagai sebuah parti yang ‘menghalang atau menentang Islam’, maka ia adalah suatu tindakan yang haram dan boleh membawa ke neraka.

Namun, ironinya, PAS tidak pula mengeluarkan fatwa haram kepada Gerakan, sebuah parti yang didominasi oleh bukan Melayu dan bukan Islam. Lojik berbeza dan tafsiran politik yang bersifat tidak konsisten, percanggahan asas atau premis.

Sebab itulah antara PAS dan UMNO, sampai bila-bila pun akan terus bersengketa mengenai Melayu-Islam kerana masing-masing berusaha meraih sokongan orang Melayu. PAS mendakwa, UMNO yang mengambil konteks “ketuanan Melayu” sebagai perjuangan yang bersifat asabiyyah (perkauman) manakala UMNO mendakwa PAS adalah sebuah parti yang ‘menunggang agama’.

Ini kerana, secara perundangan, orang Melayu terikat dengan agama Islam. Orang Melayu merupakan pendudu majoriti di Malaysia, dan kerana itulah masing-masing berusaha membakar sentimen sehingga dilihat masing-masing terbakar.

Setelah sekian lama UMNO berjaya mendominasi pemerintahan, PAS merasakan satu keperluan untuk membuat perubahan pendekatannya pada akhir tahun 1980-an. Sebelumnya, PAS mengeluarkan doktrin bahawa Islam melarang pemeluknya bekerjasama dengan bukan Islam dalam pembentukan pemerintahan.

Tetapi, disebabkan hanya bersandarkan sokongan orang Melayu (muslim) tidak memadai, PAS mula memperlihatkan tidak konsistennya pendekatan bila merintis kerjasama dengan parti-parti politik multietnik dan bukan Melayu.

Ia dirintis menerusi kerjasama CCC – Chinese Consultative Committee. Setelah UMNO berpecah (1988), PAS menjalin kerjasama dengan Semangat ’46 dan Semangat ’46 merintis pembentukan barisan pembangkang bagi mencabar dominasi UMNO.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak menghasilkan kejayaan yang ketara, kecuali antara PAS dan Semangat ’46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah, yang berjaya menguasai Kelantan pada PRU ke- (1990).

Titik itulah merupakan permulaan kedua penguasaan PAS di Kelantan, yang kekal sehingga PRN yang lalu. Ertinya, PAS menguasai Kelantan dalam tempoh yang cukup lama, lebih 50 tahun (period pertama selama 18 tahun dari 1959-1977 dan period kedua memasuki tahun ke-34 dari 1990 hingga kini).

Perubahan lain ialah PAS mula menyedari keperluan untuk membawa masuk calon wanita dalam pilihan raya, yang pada awalnya, para pemimpin PAS membuat kenyataan tegas bahawa wanita tidak boleh memegang kuasa (maksudnya menjadi pemimpin) dengan pelbagai alasan (biologi) dan kelemahan psikologi.

Setelah dipersoalkan dengan pendirian tersebut, juga disebabkan demografi pengundi wanita dalam sesetengah kawasan melebihi pengundi lelaki, PAS mula memberikan laluan kepada wanita (muslimat) sebagai calon.

Namun, dalam kepimpinan pusat, peranan wanita dihadkan dan paling tinggi jawatannnya ialah sebagai Ketua Muslimat. Ertinya, kepimpinan politik PAS masih didominasi oleh lelaki dan peluang wanita untuk melangkaui ke jawatan lebih tinggi tidak terbuka. Tetapi, kerana PAS berjaya melaksanakan proses indoktrinasi, ia tidak menunjukkan ada bantahan dalam kalangan muslimat.

Ia berbeza dengan UMNO, walaupun belum pernah ada sejarah dipimpin oleh wanita, ruang dan peluang untuk mereka ke kemuncak kepimpinan terbuka. Cuma setakat ini belum ada kesanggupan wanita untuk menyaingi jawatan tertinggi, terhenti setakat Ketua Pergerakan Wanita dan pernah suatu ketika, ada ura-ura untuk bersaing bagi jawatan Naib Presiden.

Dalam hal pemerkasaan wanita, UMNO lebih terkedepan berbanding PAS. Belum pernah ada seorang wanita diberikan jawatan dalam kepimpinan kerajaan negeri, yakni jawatan EXCO sedangkan dalam pentadbiran UMNO telah muncul beberapa nama wanita.

Persoalan ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa PAS kurang berminat memperkasakan kepimpinan wanita berbanding UMNO, yang tentunya pada suatu ketika boleh memunculkan situasi kurang senang dalam kalangan muslimat PAS.

Secara praktisnya, wanita boleh memimpin sebagaimana dari segi perundangan dibenarkan misalnya Pakistan. Pakistan yang menggunakan perlembagaan Islam telah membolehkan Benazir Bhutto dipilih sebagai PM Pakistan (1988-1990). Begitu juga dengan Bangladesh.

Jadi, ia telah membawa makna bahawa tafsiran politik PAS bahawa wanita tidak layak memimpin adalah sebuah doktrin yang menghina wanita, pada suatu ketika sehingga ada di antaranya menyatakan: adalah fitrah dan tanggungjawab lelaki untuk menyara nafkah keluarga dan tidaklah adil dan tidaklah perlu wanita bekerja di luar rumah.

Wanita diharapkan akan terus kekal dalam tradisi budaya, iaitu sentiasa berada di rumah sedangkan tidak ada bukti bahawa Islam melarang wanita berkerjaya atau bekerja di luar rumah.

Begitu juga dengan persoalan ‘ketuanan Melayu’. PAS pada akhirnya tidak lagi menekankan persoalan Islam secara mutlak, semakin beralih kepada untuk mengembalikan ketuanan Melayu-Islam setelah UMNO mula melupakan perjuangan asalnya. PAS melihat gelombang ‘kemarahan orang Melayu’ sebagai sesuatu yang boleh menguntungkan, maka bersedia memperkatakan persoalan Melayu secara terbuka, setelah bekerjasama dengan Bersatu, parti serpihan UMNO yang tebal dengan DNA UMNO.

Sedikit sebanyak kerjasama itu telah membawa kejayaan kepada PAS sehingga mencipta sejarah, buat kali pertama menguasai lebih 49 kerusi parlimen sejak PRU diadakan. Setakat ini, PAS merupakan parti yang mempunyai kerusi Dewan Rakyat terbesar, mengatasi DAP dan PKR. Bersatu masih belum berjaya mengatasi kekuasaan UMNO walaupun UMNO dalam keadaan yang terburuk. Ertinya, kekuatan pembangkang di Dewan Rakyat banyak bergantung kepada PAS, bukan Bersatu.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di DUN. Selepas semuanya selesai, PAS mempunyai jumlah kerusi terbanyak. Misalnya, dalam PRN 6 negeri, PAS menang 111 kerusi berbanding Bersatu 34 dan Gerakan 1, menjadikan PN menguasai 146 daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan. Ini menjadikan PAS menguasai empat buah negeri – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis – tetapi Bersatu tidak memilikinya.

Walaupun PH-BN hanya mampu menang 99 kerusi dalam PRN baru-baru ini, PH-BN masih kekal berkuasa di buah negeri – 3 PH (Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor) dan empat oleh BN (Pahang, Perak, Johor dan Melaka).

Sarawak dikuasai oleh GPS (gabungan yang bekerjasama dengan BN) dan Sabah oleh GRS (Gabungan yang bekerjasama PH-BN). Ini bermakna, GRS turut menolak kepimpinan Bersatu walaupun asalnya, dikuasai oleh Bersatu selepas PRN Sabah (26 September 2020). Kini, Bersatu dilihat semakin tidak bermaya di Sabah.

Mutakhir, Hamzah Zainudin, Setiausaha Agong Bersatu, yang juga Ketua Pembangkang PN sedang berhadapan dengan persoalan undang-undang yang memungkinkan dirinya tidak lagi dipercayai oleh Bersatu. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaporkan sudah membekukan akaun peribadi bekas Menteri Dalam Negeri, yang juga merupakan ‘katak’ yang mahukan UMNO/BN lenyap sebagai sebuah parti politik.

Pelbagai usaha dilakukan oleh Hamzah untuk ‘membunuh UMNO’ walhal rakyat mula muak dengan tindakannya yang dilihat seperti ‘membakar kelambu’ ekoran kekalahan UMNO/BN pada PRU ke-14 (2018).

Apa pun yang sedang diberikan tekanan oleh PN, hasratnya untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan masih belum berlaku setelah memasuki sembilan bulan. Awalnya, ketika PN memutuskan kekal sebagai pembangkang, Presiden PAS berjanji akan ‘membubarkan PN’ sekiranya Anwar tidak berjaya digantikan. Ia kemudian dimomokkan pula bahawa kerajaan perpaduan akan dapat dijatuhkan sekiranya PN meraih kemenangan besar pada PRN lalu.

Setelah keputusan PRN diumumkan, PN yang menguasai empat negeri dengan jumlah kerusi 208 di seluruh 550 kerusi, ia belum mampu menyuguhkan tekanan ‘menjatuhkan PH-BN’ kerana kedudukannya adalah kurang 46.9 peratus daripada lawannya.

Ini bermakna, PN masih gagal dan terus bermimpi di siang hari. Kerajaan perpaduan masih ada 390 kerusi DUN (2 masih kosong: DUN Simpang Jeram, Johor ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahudin Ayub; dan 1 DUN Pelangai, Pahang akat kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun). Apakah angka 208 itu lebih besar daripada 390 atau 74 kerusi Parlimen lebih berkuasa daripada 147 (1 kosong, Parlimen Pulai) yang dimiliki kerajaan perpaduan?

PN yang menyedari kesukaran paling besar ialah Akta Antilompat Parti, tetapi, cuba membodohkan rakyat termasuk penyokong tegar PAS seolah-olah ia bukanlah satu penghalang yang menggagalkan hasratnya. Setakat ini, belum ada mana-mana MP daripada PH-BN, GPS dan GRS yang sanggup bersengkongkol untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan. Bagi MP dalam PH-BN, tidak siapa yang sanggup mengosongkan kerusi untuk diadakan PRK, kerana belum tentu dirinya akan mencetak kemenangan.

Selain itu, keputusan mahkamah ke atas Zuraida Kamarudin memberikan pengajaran yang cukup besar, bila mana menjadi katak, boleh dikenakan denda sebanyak RM 10 juta. BN juga mempunyai sekatan sedemikian, dendanya mencecah RM 100 juta.

Jadi, apakah PN mampu menyediakan wang yang banyak untuk membantu ‘sasaran wakil rakyat’ untuk melompat seperti katak atau wakil rakyat yang meletakkan jawatan itu dipanggil pengkhianat? Dilema itulah sebenarnya menyebabkan PN terus gagal, lantas mencari ruang untuk menipu rakyat dengan pelbagai tema kempen, termasuk menghasut kerjasama antara UMNO-DAP, kes-kes rasuah yang membabitkan TPM 1 (yang masih belum ada keputusan bersalah), selain menuduh PM X gagal dan menyekat kebebasan media.

Apa yang kita perlu ialah kebebasan media yang bertanggungjawab, beretika dan tidak ada unsur-unsur menghasut, yang boleh menimbulkan kegentaran awam atau konflik perkauman.

Media disekat kerana menyebarkan komen yang tidak sepatutnya dibuat, termasuk mengenai larangan mengenai 3R – Royalty (Raja dan Institusi Raja), Religion (Agama Islam dan Institusi Islam) dan Race (Orang Melayu dan Bumiputera) – yang menjadi teras bernegara dan tiang utama Perlembagaan Malaysia, yang telah dijamin oleh DAP tidak akan menyentuhnya secara tidak dibenarkan.

Biarpun Dr Mahathir cuba menghidupkannya dalam Proklamasi Orang Melayu, pendirian beliau itu dilihat sesuatu yang tidak memberikan apa-apa kelebihan disebabkan oleh pengalamannya sebagai PM ke-4 (selepas 1990, berakhirnya DEB) dan PM ke-7 tidak menampakkan kesungguhan untuk meletakkan agenda ‘Ketuanan Melayu’ di landasan yang betul. Sebaliknya, hanya bermain dengan psikik untuk menampal kelemahan itu dengan dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia sehingga muncul crony-capitalism.

Jadi, melihat kepada perspektif politik tersebut, yang sepatutnya menekan ‘butang berundur’ ialah Dr Mahathir (kubur kata mari, rumah kata pergi), Presiden PAS (Haji Hadi kerana gagal dalam projek menumbangkan kerajaan perpaduan), Pengerusi PN (Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin di atas kes-kes yang membabitkan salah guna kuasa, penggubahan wang haram dan rasuah, walaupun empat daripada tujuh kes dibebaskan atas alasan teknikal. Masih ada tiga kes yang membabitkan RM 195 juta manakal proses rayuan kes yang digugurkan sedang berjalan).

Muhyiddin juga telah gagal menempatkan kuasa untuk membolehkan Bersatu berkuasa di Selangor, walaupun PN mampu menafikan kuasa dua pertiga PH-BN. Muhyiddin juga wajib dipersoalkan percaturannya telah gagal yakni, mencetak kegagalan yang cukup besar terhadap Bersatu bila hanya menang 40 dan kalah 41 kerusi yang ditandingi di PRN kali ini.

Akibat percaturannya yang silap, PN hanya menang 5 kerusi, yakni meletakkan tanggungjawab ke atas Peja (Faizal Azumu, Timbalan Presiden Bersatu, yang juga bekas MB Perak (PKR) dan pernah terpalit dengan ijazah palsu kerana tidak tamat belajar di Edith Cowan University). Peja dicap sebagai ‘pengkhianat’ dan seseorang yang tidak memahami budaya politik Negeri Sembilan, dan ‘orang asing’ yang sudah pun direjam oleh Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun (PRU ke-15).

Jadi, secara jelasnya bukan Anwar perlu meletakkan jawatan. Mereka yang perlu menekan butang berundur ialah Muhyiddin (Bersatu), Haji Hadi (Presiden PAS), Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang).

Ketiga-tiga pemimpin itu wajib menjauhkan diri daripada Dr Mahathir, kerana dalam masa yang sama beliau berusaha untuk mengkhianati PAS dan Bersatu (dendam yang tidak ditunjukkan secara terbuka), kerana ramai yang tahu, Dr Mahathir akan ‘membakar kelambu’ kerana banyak lagi agenda peribadinya yang ‘belum selesai’.

MONOSIN SOBRI

Translate »