Penyatuan antara parti yang mewakili Melayu terbesar menjadi harapan besar masyarakat Malaysia yang berhasrat membangunkan kekuatan dan kestabilan negara. Telah sekian lama harapan tersebut disuarakan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan kerana adanya halangan-halangan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak ingin menyaksikan penyatuan kembali dua parti melayu Islam yang terbesar (PAS dan UMNO) di Malaysia.

Islam sejak kemunculannya telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah, kaum dan bangsa sehingga muncul sebagai sebuah kuasa yang amat besar pengaruhnya dalam peradaban manusia.

Banyak pihak mengaku bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya, dan kerana itulah empayar Islam mampu bertahan sehingga berjaya dilumpuhkan oleh kuasa yang baru muncul lebih 14 abad lamanya.

Untuk tujuan ini juga sewajarnya kita hayati beberapa hadis peninggalan Baginda kepada umatnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang mukmin itu dalam sayang menyanyangi, kasih mengasihi,santun menyantuni tidak ubah seperti satu anggota dari tubuh yang apabila menderita satu anggota dari tubuh itu akan menderita pula seluruh tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan demam.”

Hadis yang lain pula bermaksud: “Orang mukmin itu mencintai saudaranya sebagai mana ia cinta kepada diri sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana hubungan persaudaraan inilah ia perlu diberi pertolongan segera atau menghulurkan bantuan yang di perlukan, sebabnya kesempurnaan persaudaraan itu hanya boleh menjelma secara baik dan harmonis apabila masing-masing berjalan seiring untuk menuju satu maksud dan tujuan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan dua orang saudara adalah seperti dua tangan yang satu membersihkan yang lain. (Riwayat Ad-Dailami)

Hari ini kuasa umat Islam menjadi semakin lemah walaupun dari aspek kuantiti penganutnya menduduki tangga kedua terbesar. Jumlah penganut Islam yang semakin bertambah menjadikannya bukan sahaja dijadikan sasaran propaganda malah turut dijadikan serangan dalam bentuk kekerasan dan sekatan.

Situasi ini sebenarnya masih belum menyedarkan sepenuhnya umat Islam di Malaysia khususnya orang-orang, dan kerana itulah demi politik mereka sanggup mendustai matlamat utama memperkuatkan benteng umat Islam.

Kelemahan hubungan terdahulu bukanlah merupakan sesuatu yang fatal. Kalaupun masih boleh dianggap “serik” ia bukan bermakna sampai “tidak mahu mengakui saudara sebangsa dan seagama.”

Masih ada dalam jiwa, masih tersisa dalam semangat dan masih tertanam dalam minda, penyatuan antara dua parti politik itu adalah suatu kemenangan terbesar yang pernah berlaku.

Kesilapan dan kekurangan lalu masih boleh diperbetulkan sebagai mana al-Quran sendiri mengajar agar manusia sentiasa bermuhasabah diri, mencari kekuatan baru dan menghirup udara segar yang lebih nyaman dan bersih.

Dengan mengetepikan dendam, bahasa-bahasa yang menyakitkan hati penyatuan dan perpaduan akan terbina dan diumpamakan seperti sepasang suami isteri yang kembali hidup bersama setelah melalui tempoh perpisahan yang lama, masing-masing hidup dengan bayang-bayang resah dan saling menyalahkan.

Sebagai manusia kita amat mudah terdedah dengan kesilapan dan setiap kesilapan itulah telah menenggelamkan hasrat murni. Nilai-nilai positif menjadi sesuatu yang tidak nikmati lagi kerana trauma benci atas “emosi serik” mula menusuk hati dan perasaan.

Walhal, inilah yang perlu kita hindari kerana ia mendekatkan kita kepada sikap bermusuhan dan sikap sedemikian amat dibenci oleh Allah SWT.

Jika sesama Islam saling menunjukkan persengketaan yang tidak dapat disatukan kembali, tentunya bukan Islam akan memandang “hanya manis dibibir, tetapi tidak pada tindakan”, maka amat mudah dipersenda-sendakan.

Kalau sesama Islam tidak boleh berada dalam mood dan jalur kuasa yang kuat, maka bukan Islam bukan sahaja memandang rendah kepada kita.

Maka dengan bersatunya sesama Islam, maka dilema dengan bukan Islam akan dapat dihindari. Apabila kedudukan kita semakin kuat, maka kita akan dihormati. Kekuatan Islam memberikan jaminan bahawa bukan Islam boleh hidup selesa, tetapi, dalam keadaan orang Islam lemah, orang Islam dihina dan dibelenggu dengan pelbagai sekatan.

Kita mungkin dapat memahami bagaimana tersiksa penduduk Palestin, bukan sahaja tidak mempunyai kebebasan memilih cara hidup sendiri, malah pergerakan mereka terus-menerus diawasi, malah cuba dihapuskan secara perlahan-lahan.

Allah SWT mengingatkan kita: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” Surah Al-Qasas: 56

Sekiranya umat Islam mempunyai cita-cita yang sebenar hendak mengembangkan agama Islam di negara ini, hendaklah ditumpukan kepada persaudaraan Islam ini.

Janganlah berharap bahawa Islam satu hari nanti akan dapat mencapai maksudnya dalam tanah air kita ini jika kita gagal untuk menyatukan dua parti Melayu Islam terbesar ini.

Melayu-Islam perlu kembali bersatu bagi menghadapi cabaran yang menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya.

Melayu dan Islam adalah dua ‘ramuan sakti’ yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat kerana bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai.

Melayu-Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.

Kita juga perlu ingat, Allah SWT pernah memberikan amaran bahawa dalam keadaan umat Islam asyik bersengketa, mereka yang lebih kecil bilangannya akan dilihat semakin kuat dan berkuasa.

Kita sudah mempunyai petanda tersebut, walaupun ada setengah daripada kita ia bukanlah suatu isyarat yang jelas. Tatkala kita mendapat isyarat dengan jelas, sebenarnya ketika itu kita sudah pun terlewat

Catatan : Ibnu Majid

Translate »