Dalam usaha menguruskan negara, al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram. Berkonsepkan kepada itulah al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah ialah menambah baik urusan manusia dengan memacu jalan yang lurus bagi meneruskan kehidupan selaras dengan prinsip menegakkan kebenaran dan menghapus kemungkaran.

Dengan menggunakan rangka falsafah politik itu, sekurang-kurangnya dapatlah kita menilai apakah realiti politik yang berlaku di Malaysia setelah beberapa kaedah dilaksanakan oleh parti politik semakinmenipis dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral. Keparahan menghormati adat itu menjangkitkan pula kepada pertanyaan sudah hilangkah seni berpolitik ataupun etika berpolitik di Malaysia?

Bentuk politik beradab ialah kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara. Antara makna adab adalah menghormati tatasusila, berbudi bahasa dan merendah diri. Jikamelakukan tingkah yang bertentangan dengan pengertian adab itu maka ia dipanggil biadab.

Kamus Dewan (edisi ketiga, 1997) pada halaman 152 mentakrifkan biadab itu sebagai: (i) tiada budi bahasa, tidak beradat; dan (ii) tidak bertamadun, belum maju. Maka dalam konteks ini, bolehlah dikatakan mereka yang biadab itu tidak berbudi bahasa ataupun tidak beradat. Sesetengah parti politik yang mendakwa perjuangannya adalah untuk  membangun bersama Islam tetapitidak dapat ditemui apakah sesungguhnya perjuangan mereka. Yang jelas ialah setiap tindak-tanduknya telah menghasilkan perilakupolitik yang amat tidak beretika.

Resah rakyat tidak dipedulikan. Keinginan rakyat tidak diberikan perhatian yang serius bahkan bagi “menyuntik sedikit kelegaan” elit politik menggunakan pautan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Qur’an bagi menggambarkan bahawa retorik politiknya menurut jalan yang lurus dan tepat. Realitinya tidak sedemikian, kerana rentetan sejarah dan petikan ayat- ayat al-Qur’an dan hadith tidak dikembangkan dalam kerangka Tindakan yang komprehensif.

Konsep membangun bersama Islam yang dilaung-laungkan oleh sesetengah ahli politik yang berjenama Islambelum terangkum dengan jelas apakah kaedah yang dilakukan demi meningkatkan kehidupan rakyat manakala setiap masa menyatakan bahawa pendekatan yang dibawa telah menghasilkan persekitaran kehidupan yang baik dan penuh keimanan. Apakah muslihatnya bila membuat dakwaan sedemikian, sedangkan secara drastiknya tidak ada kemajuan dan petunjuk positif boleh dibanggakan.

Mungkin sebahagian daripada kita boleh meneliti apakah benar kesejahteraan hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan sedangkan kadar pengangguran semakin meningkat, jumlah pengidah HIV/AIDS kian meningkat manakala lain-lain jenayah (curi, pecah rumah, menipu, merogol, mengugut dan pergaduhan) tidak juga berkurangan. Tetapi, pemimpin yang mendakwa dirinya telah mampu menyuburkan semangat keislaman dan keimanan semakin sehari semakin membusung dengan nilai-nilai kehidupan yang terkeluar daripada peraturan adab.

Sebagai ulamak fiqh, Iman al-Ghazali memberikan ketegasan bahawa kekuasaan dan kekuatan yang ada dalam diri seseorang pemimpin hendaklah digunakan bagi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Tetapi apa yang berlaku ialah pemimpin yang mendabik sebagai orang yang beriman dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT itu tidak pernah memikirkan dengan tepat dan jelas bagaimana rakyat yang memberikan harapan dan kuasa kepadanya perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya secara lebih berkesan.

Dalam memperkatakan kepentingan akhlak, al-Ghazali yang dinilai telah memberikan sumbangan terbaik bagi menghidupkan falsafah etika, termasuk etika berpolitik, mencipta suasana hidup baik bersama dan untuk orang lain sebagai hakikat perjuangan dan amalan ahli politik budiman. Seseorang ahli politik yang budiman sentiasa berkata dengan jujur, santun, mempunyai integriti, menghargai orang lain, memiliki keprihatinan untuk kesejahteraan umum dan tidak memperlekehkan orang lain.

Bagi al-Ghazali, nilai yang hendak dicapai menerusi politik adalah kesantunan dan keutamaan moral. Suasana tersebut boleh dicapai menerusi pengakuan timbal balik dan hubungan yang ramah di antara pelaku. Maknanya, tidak menghormati adab dan adat yang sudah sekian lama dilembagakan adalah sama dengan tindakan menjauhkan diri daripada tabiat ahli politik bermoral.

Hal itulah yang menjadi bahan pemikiran politik al-Ghazali apabila beliau menggariskan asas berpolitik mestilah dilaksanakan secara terbuka dengan menolak keinginan mempertahankan peribadi seseorang. Seseorang pemimpin perlu memahami bahawa kekuatannya tidak akan bertahan lama, kecualilah pemimpin itu mampu melaksanakan kebaikan kepada pengikutnya, dan tidak menggunakan pengikutnya bagi menyelesaikan kemelut peribadinya.

Mengekalkan keamanan negara menjadi prinsip perjuangan dan meletakkan tindakan memenuhi kebajikan rakyat sebagai praktis yang besar, bukannya hanya sekadar menabur janji dan apabila gagal menyalahkan orang lain. Apabila memberikan penerangan dan menyampaikan maklumat kepada rakyat tidak menyembunyikan fakta atau berselindung di sebalik perubahan angka.

Apabila memperlihatkan bingkai ubudiyah, yakni pengabdian manusia seruannya lebih menumpukan kepada rasa ketaatan yang lebih besar kepada pemimpin sehingga membentuk situasi bahawa pemimpin itu adalah penentu segala-galanya, rakyat tidak perlu mempersoalkan apakah yang dilakukan itu benar-benar bercirikan kehendak Islam atau di sebaliknya.

Manakah yang hendak kita pilih: Politik beradab ataupun politik biadab? Kalau politik beradab pilihan pertama, maka beruntunglah rakyat dan negara kerana semuanya bersatu hati, semangat dan tujuan mensejahterakan seluruh yang ada. Kalau politik biadab menjadi pilihan, maka tunggulah saat kehancurannya, menang jadi arang dan kalah jadi abu. Arang akan hanya berguna sebagai bahan bakar, untuk dijadikan tiang penegak rumah tidak sekuat ketika masih dalam bentuk asalnya, kayu atau sebelumnya pokok.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »