Saya terpaku sebentar ketika ternampak sebuah buku kecil, tapi cukup menarik. Buku itu telah mencuri ‘sudut pandang’, sebaik sahaja memasuki ruang kedai tersebut.

Minda saya semakin kuat meneka. Akhirnya tekaan itu terjawab dengan sendirinya apabila membeleknya sebagaimana mana saya lakukan ketika memilih buku. Saya mulakan bacaan awal bukan kepada ‘blurb’ yang ditulis di kulit belakang itu.

Saya cuba elakkan pembacaan awal dengan cara begitu. Bukan saya tidak percaya kepada ‘blurb’ yang ditulis, saya banyak kecewa atas beberapa kekurangan yang mungkin dilihat sebagai ‘blind spot’.

Pertama, blurb ditulis dengan seringkas mungkin. Akibatnya kadangkala tidak kesampaian maksud atau dengan kata lain, tidak menggambarkan keseluruhan cerita. Ada kekaburan yang berlaku, sama ada sengaja atau tidak, disedari atau tidak.

Kedua, blurb juga dilihat sebagai satu hipotesis atau idea besar pengarang. Jika yang menulis ‘blurb’ itu pengarangnya sendiri, ia mungkin mendekati apa yang hendak disampaikan. Tetapi, jika ‘blurb’ itu ditulis oleh orang lain, ia mungkin tidak mencapai maksud sebagaimana yang dinaratifkan oleh pengarang sebenar pada keseluruhan buku berkenaan.

Ketiga, jika penulis ‘blurb’ itu dalam kalangan pasukan kreatif, ia kadangkala ditulis dalam bahasa yang cukup kreatif, puitis dan penuh sinis. Ia merupakan suatu budaya orang kreatif, kerana pemahaman seninya cukup tinggi dan kadangkala tidak kesampaian maksudnya kepada orang biasa, yang bukan memahami makna dan seni dalam persekitaran kreativiti.

Keempat, blurb hanya gambaran sebuah ‘idea yang besar’ tetapi tidak bermakna naratif itu adalah besar dan meluas konteksnya. Ia mungkin sebuah cerita kecil, tetapi boleh memerihalkan suatu pengetahuan yang besar peranannya dalam akal budi seseorang.

Atas sebab itulah saya lebih gemar membuat ‘bacaan kilat’ atau speed reading apabila merasakan sesebuah buku itu menarik. Saya akan membuka buku yang dibalut, dengan meminta izin daripada customer service atau kakitangan kedai yang mundar-mandir.

Kecuali buku-buku yang hendak saya beli itu sudah ada penilaian mahupun ulasan yang dibuat, yang pernah saya baca sama ada dalam ruang online ataupun media offline. Atau buku-buku dalam kategori ‘cukup menarik’ dan ‘cukup berpengaruh’ yang diterbit semula atau diterjemahkan ke bahasa Melayu, yang mungkin mencapai tahap ‘evergreen’.

Antara buku yang saya cukup kagum ialah Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali sehingga mempengaruhi saya untuk membeli beberapa versi terjemahan dan juga cetakan yang dibuat secara eceran. Ia bukan sesuatu yang dilihat membazir bagi sesetengah orang.

Saya ada beberapa versi terjemahan bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia. Saya juga sedang menunggu bilakah keseluruhan Ihya Ulumuddin dapat dicetak setelah selesai terjemahannya ke bahasa Melayu oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), yang khabarnya sudah dimulakan dengan dana daripada kerajaan Selangor.

Insha Allah, jika memang rezeki saya ‘ada’ untuk membacanya, ada kesempatan saya akan memperolehnya.

Bagi saya, saya boleh menjadikannya sebagai satu perbandingan dan membantu pemahaman saya yang tidak ketahuan bahasa Arab untuk memahami lebih dekat dan lebih menepati maksud yang hendak disampaikan.

Tentunya, setiap penterjemah ada kelebihan dan kekurangannya. Ia ditulis berdasarkan pemahamannya terhadap sesuatu istilah yang digunakan selain kemahiran bahasa sumber dan kejelasan mencari istilah dalam bahasa sasaran.

Sekarang, media offline tidak banyak ruangan ulasan buku, yang ada ialah ruangan mempromosi buku. Mungkin penulis yang menulis ulasan ringkas itu memperoleh buku percuma daripada penerbit atau ada hubungan peribadi sama ada dengan penerbit atau penulis buku.

Apa yang saya akan perhatikan terlebih dahulu ialah ‘fragmen’ atau ‘kata pengantar’ sebelum menyelak halaman-halaman seterusnya. Di situlah akhirnya saya membuat keputusan sama ada ‘membeli’ atau ‘tidak membeli’.

Tekaan awal saya itu benar, buku kecil itu bukan sebuah novel, ia adalah buku motivasi yang membincangkan persoalan krisis rumah tangga. Ia cukup menarik dengan maklumat penting untuk dipertimbangkan tatkala berlakunya krisis rumah tangga.

Ada tiga persoalan besar yang cuba diketengahkan.

Persoalan pertama bagaimana rasa kecewa akibat ‘masalah rumah tangga’ itu boleh bertahan.

Persoalan kedua, apakah sebelum membuat sesuatu tuntutan bercerai itu sesuatu yang dilihat tepat atau boleh membangkitkan semangat membaiki diri dan mendapatkan kebahagiaan sebagai peluang kedua, ketiga ataupun seterusnya.

Persoalan ketiga, jika berlaku penceraian atau mampu bertahan dalam persekitaran kemelut itu, apakah persiapan, persediaan untuk menghadapai agar tidak berlaku situasi ‘dipatuk ular yang sama dalam lubang yang sama’, dan terus menjeruk rasa atas perkahwinan yang bermasalah atas pertimbangan-pertimbangan lain, seperti masalah anak dan kutukan budaya atau sosial.

Buku itu ditulis secara bergabung oleh dua orang penulis yang menggelarkan dirinya sebagai @silebahjingga, diberikan judul Seperti Menikah, Bercerai Adalah Cara Manusia Untuk Bahagia: Waktu Terbaik Untuk Diam dan Bertahan Serta Pergi dan Melepaskan.

Tiada keterangan yang jelas nama sebenar mengenai dua orang pengarang yang menulisnya, tetapi pada halaman paling akhir (sebelum kulit belakang), tercatat bahawa buku yang diterbitkan oleh Vice Versa Books dari Yogyakarta itu pengarangnya: @silebahjingga adalah nama pena dua orang penulis muda yang concern (prihatin/cakna) untuk menulis di bidang hubungan dengan berbagai macam turunan temanya.” (hal.118).

Tiada catatan bilakah buku ini dicetak, hanya diberikan pengenalan sebagai cetakan pertama.

Bagi saya, ia adalah sesuatu yang ada muslihatnya. Ia seperti ingin memberitahu bahawa buku itu sentiasa baharu dan mungkin juga relevan sepanjang masa, seiras dengan proses kehidupan itu sendiri, perlu alami proses yang sama, yang berbeza ialah peristiwa dan pelakunya.

Anggapan saya itu ternyata benar. Ia benar kerana manusia sebagai ‘makhluk sosial’ sejak kewujudannya dikategorikan sebagai ‘haiwan yang sentiasa hidup’, dalam lingkungan persahabatan, tidak bersendirian dan memerlukan ‘orang lain’ sebagai pendampingnya.

Pendamping paling ‘setia’ (intim atau rapat) dan tentunya, ‘paling rapat’ ialah pendamping yang berbeza orientasi fizikal atau fitrahnya. Itulah yang kita kenali sebagai makna pasangan, bukan makna sama-sama padanan fizikal. Kalau sama padanan fizikal dipanggil kembar, atau juga dipanggil klon.

Untuk melihat secara menyeluruh, mencerewetkan perbincangan ini menjadi lapan rencana, namun setiap rencana adalah saling berkaitan setelah dikembangkan secara sengaja untuk menambahkan horizon pemikiran, termasuk dalam perspektif agama.

Kesengajaan itu untuk mengimbasi apa yang pernah dibaca dan mengulangi apa yang pernah dibaca atau didengari (saya percaya kepada teori pengulangan untuk mendapatkan kembali memori dan meneguhkan pemahaman, seperti kita disuruh menghafal, mengulang kaji dan merenung kembali), yakni jika terlupa apa yang dibaca sebelumnya.

Proses pengulangan yang berkali-kali ini yang akan membentuk ingatan yang berkekalan, boleh pula memberikan kita ‘jalan keluar’ jika kita berhadapan dengan situasi yang sama, sekurang-kurangnya dapat melegakan tekanan berfikir dan menebarkan rasa kecerdasan emosi (emotional intelligence).

Bukan tujuan untuk memanjangkan cerita atau melampaui isi kandungan buku yang cukup sederhana dan tipis ini (118 halaman), tetapi, ia cukup padat dan menarik untuk kita fahami makna, yang tersurat dan tersirat, yang tujuannya saling lengkap melengkapi.

Kalaupun ada pandangan yang tidak anda setujui, andaikanlah ia sebagai satu bentuk masukan (pengetahuan),  bukan sebuah kepercayaan.

Itulah sebenarnya makna pengetahuan yang diperoleh menerusi panca indera, harus diupayakan dengan keyakinan, jika kita mahukan ia membentuk sebuah kepercayaan.

Ia perlu dibandingkan dengan apa yang kita peroleh atau diberitahu menerusi Kalam Allah, yakni wahyu yang dikumpulkan dalam sebuah buku yang kita pertahankan kesuciannya hingga kini, al-Qur’an.

Kita cukup marah, bila al-Qur’an dipersendakan, tetapi kenapa cukup susah untuk kita menggali makna dan ketepatan panduan yang diturunkan oleh Allah SWT, mengajar dan mendidik manusia menjadi ‘manusia sempurna’ dan berguna untuk kehidupan ini, secara peribadi dan juga aturan bersosial.

DESTINASI KEHIDUPAN

Secara sengajanya, saya ingin mengembalikan perihal penciptaan manusia menurut pemahaman Islam dan kebahagiaan yang hakiki, yang sepatutnya menjadi destinasi perjalanan hidup manusia.

Pada bahagian (rencana) kedua, saya cuba memahami makna ‘bercerai adalah cara manusia untuk bahagia’ seperti juga harapan terhadap sebuah pernikahan.

Jadi, kalau pendamping seseorang itu bergender sama, ia adalah sebuah tindakan bukan lazim, tidak sesuai dengan fitrah penciptaan-Nya, manusia dijadikan berpasang-pasangan, yakni berbeza orientasi seks dan pembawaan fizikal, termasuk sifat-sifat psikologi.

Daripada perbezaan gender itulah manusia akan membentuk sebuah kehidupan yang dinamakan perkahwinan dan meneruskan hidup dalam satu suasana yang dikenali sebagai ‘home’ atau ‘rumah tangga’, yang tinggal sebumbung atau dalam sebuah rumah, yang dipanggil “house’.

Ada perbezaan yang jelas antara dua istilah itu: Home bersifat psikologi, iaitu kehidupan bersama dan melakukan hal-hal yang saling bertanggungjawab dalam memenuhi keinginan berdasarkan pola dan aturan tertentu, manakala ‘house’ lebih bersifat fizikal, kebendaan dan luaran.

House mungkin indah, besar, gagah, dan dihiasai dengan cat yang berwarna-warni. Home pula bukan dalam bentuk penampilan fizikal atau boleh dilihat daripada kasar mata, ia adalah apa yang muncul dan memberikan makna kepada orang yang berada atau menghuni house itu.

Sebab itulah apabila terbubarnya sesebuah perkahwinan, ia dikenali sebagai ‘broken home’. Rumah yang rosak akibat kejadian di luar kemampuan diri atau kealpaan sendiri, ia dikenali sebagai ‘damage house’, yang memerlukan kos pembaikian dan penyelenggaraan.

Tetapi, jika orang pecah masuk rumah, mengambil apa yang ada dan dilihat berharga, ia dipanggil ‘broken house’, ia membabitkan orang tetapi membabitkan ‘kehilangan’ atau ‘kekesalan’.

Kalau kerosakan itu serius, kita mengambil plan insuran, ia mungkin dapat membantu kos membaikinya.

Sebenarnya, antara ‘broken home’, ‘damage house’, dan ‘broken home’, masing-masing memerlukan penyelenggaraan yang cukup besar, tetapi yang paling sukar ialah untuk membaiki “broken home’, walaupun kita tidak memerlukan sumber kewangan yang cukup besar seperti membaiki ‘damage house’, atau dipanggil juga sebagai ‘renovation’. Kadangkala renovation itu lebih mahal daripada kos asal ketika rumah itu dibina.

Broken home hadir dan menjadi faktor ‘ketidakharmonian keluarga’ adalah disebabkan kegagalan pasangan mengawal dan menguruskan emosi, mencerdaskan tuntutan psikologi dan kadangkala gagal menghindari masuk-masukan maklumat yang cukup bersifat hasutan, fitnah dan tidak benar, juga provokasi dan gosip.

Kesemuanya itu mempengaruhi fikiran, tindakan dan keputusan-keputusan yang kita buat, yang sebahagian besarnya bersifat praduga, culaan daripada keinginan hati dan tidak cukup bukti (persepsi). Juga sebahagian daripada tabiat kita untuk menguji (experimental).

Namun, ada juga ‘broken home’ disebabkan oleh masalah campur tangan ‘orang ketiga’ atau sangat sukar dipisahkan ialah pengalaman budaya, yang sepatutnya menjadi asas kompromi dan toleransi dalam mencari kebahagiaan hidup.

Kita mungkin terlintas kes fail penceraian Puteri Sarah dengan pengarah kondang, Syamsul Yusuf. Asasnya, ada gangguan orang ketiga, dan disahkan Syamsul berkahwin dengan Ira Kazar.

Puteri Sara tidak ingin dimadu, maka meminta agar Syamsul melepaskannya. Ia belum berlaku, tapi ada cerita lain, cerita terbaharu ialah Puteri Sarah dan anak-anak beraya sakan dengan keluarga mertuanya, ertinya, keluarga mertua bukan orang yang suka campur tangan, tetapi ingin melihat kebahagiaan anak menantu.

Cukup menarik situasi itu dan perlu menjadi contoh yang baik, kerana hidup ini sebenarnya bukan terlalu lama.

Nama yang baik dikenang orang. Perilaku yang baik disanjung sebagai sebahagian pola kehidupan yang baik.

Di situlah ‘tujuan’nya, yakni apa yang kita kenali sebagai proses ‘penyesuaian’ dan ‘kenal mengenali’ untuk membentuk persefahaman dan memenuhi tuntutan bersama, bahagia sampai ke akhir hayat, sebagaimana menjadi asas mengapa kita ingin hidup secara berpasang-pasangan atau berkeluarga.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »