Istilah talak, khulu’ dan fasakh dalam fekah munakahat atau perkahwinan telah memperuntukkan hak mendapat keadilan suami isteri di dalam perkahwinan.

Talak dalam makna syarak memberi pengertian menghurai atau merombak perkahwinan dengan lafaz talak oleh suami terhadap isterinya.

Dalam melafazkan talak oleh suami terhadap isteri, wajib bagi suami melakukannya secara adil. Dan haram menggunakannya hak mentalakkan isteri secara zalim.

Melafazkan talak bagi suami terhadap isteri menjadi wajib, apakala lelaki itu yakin  dengan ikatan perkahwinan itu si suami melanggar kewajipan syarak sebagai suami. Misalnya, menyebabkan si isteri menaggung penderitaan di dalam ikatan perkahwinan itu.

Talak terbahagi kepada talak raji’e dan talak bain. Talak yang boleh dipulihkan semula ikatan perkahwinan dan yang tidak boleh rujuk lagi kecuali selepas bekas isteri menjalani perkahwinan mereka tanpa ijab qabul yang baru.

Apabila tiga kali lafaz atau lafaz talak tiga, ia menjadi talak bain. Tidak ada jalan rujuk, kecuali melakukan pernikahan semula jika ditakdirkan si isteri bercerai dalam pernikahan dengan suami lain.

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, dikuatkuasakan mana-mana suami yang melafazkan talak tiga sekaligus, hukumnya sebagai talak bain. Motifnya sebagai pengajaran kepada kaum suami yang gemar mempermainkan talak.

Disamping itu Saidina Umar juga mengutuk keras perbuatan muhallil atau bercina buta supaya bekas isteri tidak menjadi mangsa permainan gila talak bekas suami mereka.

Ijtihad Umar ini harus difahami bahawa kaum suami tidak boleh secara sewenang-wenangnya menggunakan hak talak, yang merupakan hak istimewa kaum lelaki.

Sebelum Umar menguatkuasakan lafaz talak tiga sekaligus menjadi talak bain, baik di zaman Rasulullah s.a.w. mahupun di zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, talak dikira melalui tiga kali penceraian. Yang dikira bukan semata-mata lafaz, tetapi perbuatan tiga kali bercerai.

Dalam ijtihad Umar yang menjadikan lafaz talak tiga menjadi talak bain tersimpan hikmah bahawa laum suami diharamkan mempermainkan isteri mereka sesuka nafsu.

Jika suami diperuntukan hak talak, untuk kaum perempuan yang menjadi isteri pula diperuntukan hak khulu’.

Khuluk’ adalah hak yang diperuntukan oleh syarak kepada isteri untuk bercerai dengan suami mereka, apabila menjadi isteri seseorang perempuan itu tidak dapat menanggung kewajipan yang diperuntukkan syarak sebagi isteri.

Khulu’ dikenal sebagai tebus talak. Isteri menawarkan pampasan untuk mendapat talak dari suaminya.

Dalam Hadith Rasulullah s.a.w., ada dua rujukan tentang khulu’ atau tebus talak ini. Satu kes diriwayatkan oleh Bukhari yang menerangkan tentang perempuan bernama Umaimah yang berkahwin dengan Rasulullah s.a.w atas alasan yang munasabah. Rasulullah s.a.w teleh melepaskan Umaimah.

Kes kedua diriwayatkan oleh Bukhari, Ibn Majah dan Nasai. Kes ini melibatkan perempuan bernama Jamilah, isteri Thabit bin Qais yang menemui Rasulullah s.a.w. menuntut diceraikan. Oleh Rasulullah s.a.w., Tsabit diminta menceraikan Jamilah dengan tebus talak berupa kebun milik Jamilah.

Setengah ulama berpendapat, tebus talak melalui peruntukan khulu’ ini seharusnya tidak melebihi emas kahwin. Ketentuan ini menunjukkan para ulama fekah cuba mempastikan di dalam peruntukan khulu’ ini, isteri yang meminta diceraikan; tidak menjadi mangsa suami yang menuntut tebus talak yang tidak berupaya ditunaikan oleh isteri.

Khulu’ ini seharusnya disedari oleh para suami mahu pun isteri. Kesedaran adanya peruntukan khulu’ sebagai hak isteri, menyebabkan para suami tidak sewenang-wenangnya meringankan tanggungjawab sebagai suami yang oleh syarak dianggap sebagai amanah Allah.

Para suami yang mengkhianati amanah Allah sebagai suami, bererti memberi peluang kepada para isteri mendapat hak melalui peruntukan khulu’ ini.

Begitu juga si isteri yang sedar akan hak mereka melalui khulu’ ini. Mereka bolah mengunakan hak untuk berpisah dengan suami mereka yang melalaikan anmanah Allah sebagai suami.

Pendapat yang menyatakan isteri yang menuntut talak dari suaminya tidak akan berbau syurga, yang berasal dari hadith, harus diletakkan pada tempatnya. Iaitu mana-mana isteri yang menuntut cerai secara maksiat. Curang dan seorang tanpa alasan yang wajar dalam menuntut cerai serta mempergunakan peruntukan khulu’ secara zalim – di luar maksud syarak dalam peruntukan khulu’ itu.

Selain daripad talak buat suami dan khulu’ buat isteri, terdapat pula hak kedua belah pihak bercerai dengan menggunakan kuasa hakim. Peruntukan ini dinamakan fasakh.

Di dalam peruntukan fasak, baik suami atau pun isteri boleh mengemukakan tuntutan bercerai kepada keputusan hakim.

Fasakah sebenarnya penceraian  suami isteri melalui keputusan hakim atau kadi. Umpamanya si suami mendapati ada unsur penipuan pihak isteri dalam perkahwinan dengannya, jika si suami itu mengguna hak talaknya, sudah pasti dibantah oleh isteri. Atau ia dikira zalim terhadap isteri sebelum ada timbangtara. Jadi ia membawa hal itu ke pihak hakim atau kadi.

Umpamanya si isteri bersuamikan penagih dadah yang menyebabkan kehidupannya menderita, si isteri boleh menuntut difasakhkan melalui hakim atau kadi.

Haram bagi hakim atau kadi, menurut syarak, apabila tidak memasakhkan si isteri dari suaminya setelah tuntutan si isteri sempurna syaratnya.

Ini disebabkan Islam mewajibkan perceraian apabila perkahwinan itu mendatangkan penderitaan kepada satu pihak. Perkahwinan dianggap zalim apabila mendatangkan kebahagian kepada satu pihak sahaja, tetapi menderita kepada pihak lain.

Setengah pendapat mengatakan fasakh adalah hak si isteri membatalkan perkahwinan kerana adanya kecacatan baik material, fizikal atau psikologikal di pihak suami.

Jika diteliti kuasa talak di tangan suami, maka adalah benar peruntukan fasakh ini lebih memihak kepada isteri untuk mendapatkan haknya melalui hakim atau kadi.

Selalunya, peruntukan fasakh ini, yang memberikan pembelaan terhadap para isteri untuk mendapatkan haknya melalui dakwaan nusyuz atau isteri menderhaka.

Ada terdapat isteri yang berkali-kali dipukul atau didera suami, kemudian melarikan diri. Si suami yang licik akan mengadu tentang isterinya lari dari rumah. Sedangkan isteri yang jahil tidak melaporkan penderaan suami ke atasnya ke pihak kadi.

Akibatnya, apabila si isteri menuntut fasakh, si suami menghalangnya dengan dakwaan nusyuz dengan laporan yang dilakukan secara licik dan zalim.

Dalam kes begini, pihak kadi harus menyelidiki aduan nusyuz oleh suami dengan seadil-adilnya. Setiap aduan nusyuz oleh suami, harus dipanggil pihak isteri untuk diselidiki sebagai imbangan kepada laporan zalim.

Ramai kaum wanita takut ke pejabat kadi. Ada yang tenggelam punca oleh emosi keperempuananya. Akibatnya kaum perempuan ramai menjadi mangsa kezaliman suami kerana kejahilannya sendiri.

Kita seharusnya mendakwahkan hak-hak yang diperuntukan syarak kepada kaum wanita supaya mereka tidak menjadi mangsa sikap lelaki yang menggunakan pernyataan agama bahawa ‘kaum lelaki lebih berkuasa daripada perempuan’ secara yang zalim, maksiat serta menafikan hak kaum wanita yang adil dalam Islam.

Oleh : M.Jusoff Taib

Translate »