Perkongsian kerjasama yang longgar termeterai pada 14 September 2019, dan dinamakan Muafakat Nasional. Setelah berlakunya Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020, Presiden PAS mengakui bahawa dirinya adalah sebagai perancang untuk menjatuhkan kerajaan PH. Dari sini timbul satu pertanyaan, jika pengakuan itu sesuatu yang sahih, maka dakwaan bahawa Azmin Ali sebagai ‘master mind’ adalah satu dakwaan yang sangat meleset.
Apa yang digambarkan ketika Langkah Sheraton menjadi punca pertelingkahan ialah hadirnya dua watak utama dalam PH (Muhyiddin dari Bersatu dan Azmin Ali dari PKR), yang dianggap pengkhianat manakala pemimpin-pemimpin lain (UMNO, PAS dan sekutunya) adalah mereka yang bersubahat.
Dengan pengakuan Presiden PAS itu maka kehancuran kerajaan PH yang berjaya memerintah selama 22 bulan harus dipersalahkan kepada perancangan dari luar, yakni Presiden PAS yang sangat inginkan PAS menjadi sebahagian daripada komponen yang bakal membentuk kerajaan menerusi langkah jahat, merampas kuasa dan menodai keputusan rakyat.
Dalam perkembangan seterusnya, akibat kecewa dengan prestasi pada PRU ke-14, PAS yang mencantumkan keupayaannya dengan Ikatan telah membentuk Gagasan Sejahtera, namun dibunuhnya selepas hanya menang 18 kerusi dan calon Ikatan tidak dapat menyumbang sebarang kerusi.
Setelah berada dalam kerajaan, PAS dan Bersatu menatijahkan Perikatan Nasional sebagai gabungan baharu yang sah. UMNO walaupun menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional tidak berminat dengan penubuhan gabungan baharu itu. UMNO kekal dengan prinsipnya untuk mempertahankan BN.
Pembabitan PAS menubuhkan gabungan Perikatan Nasional menjadikan Muafakat Nasional berhadapan dengan situasi ‘digantung tidak bertali’. Pada PRN Melaka, ia cukup jelas menunjukkan PAS sebagai pengkhianat apabila bertanding atas lambang Perikatan Nasional tetapi masih bermain dengan kata-kata “jika UMNO menang, PAS juga ikut menang’ kerana Muafakat Nasional.
Namun dalam seruan-seruan yang dikeluarkan untuk mempengaruhi pengundi, PAS cukup munafik dengan mendakwa bahawa ‘malaikat akan menolong pengundi’. Sikap tersebut akhirnya menjerat PAS dan seterusnya memadamkan harapan Perikatan Nasional di Melaka.
PAS gagal melahirkan zuriat kedua dan zuriat pertamanya (dimenang pada PRU ke-13) telah dikebumikan pada PRU ke-14. Jadi dalam PRN Melaka, harapan ‘perkahwinan baharu dengan Bersatu’ tidak menampakkan benihnya disenyawakan dengan baik sehingga lahirnya zuriat kedua.
Keadaan menjadi semakin panas apabila berlakunya PRN Johor. PAS kembali mengendeng BN agar dapat menerimanya, tetapi BN hanya mencadangkan PAS bertanding di empat kerusi memandangkan pada PRU ke-14, PAS hanya menang satu kerusi di DUN Bukit Pasir. PAS mahukan kerusi yang lebih banyak tanpa ‘ukut dibadan sendiri’.
Bagaimanapun setelah Bersatu bersedia memberikan peluang kepada PAS untuk bertanding di 15 kerusi DUN, maka PAS semakin ‘menggila mengeluarkan kenyataan menghina’. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, yang juga MB Kedah memerli UMNO dengan berkata, Singapura maju kerana tidak diperintahkan oleh UMNO. Dakwaan yang cukup semberono dan tidak masuk akal.
Akhirnya, MB Kedah dipersoalkan mengenai kemajuan Kedah yang sedang dipimpin oleh beliau sendiri selain mengingatkan apa yang berlaku di Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak tahun 1990. Kelantan tidak menjadi lebih hebat daripada negeri-negeri lain di Pantai Barat, bahkan terus kekal mempunyai bilang keluarga miskin tegar yang paling ramai.
Kelantan masih terbelenggu dengan masalah bekalan air bersih, jalan raya yang berlubang dan tidak sempurna, sampah di merata-rata selain mempunyai indeks jenayah yang terus meningkat. Ia melambangkan bahawa Kelantan sebenarnya gagal dengan konsep dan penterjemahan Membangun Bersama Islam.
Sebagaimana rakyat Malaysia memahami bahawa PAS sentiasa melaksanakan ‘jalan permusuhan’ termasuk membuli jiran dan mengkhianati makna yang dikategorikan sebagai kemaslahatan.
Dengan Pulau Pinang, MB Kedah melancarkan ugutan, bakal melencongkan air Sungai Muda jika tidak membayar caj mengepam air mentah sebanyak RM 50 juta setahun. MB Kedah seolah-olah ingin menyatakan bahawa Pulau Pinang seharusnya akur dengan Kedah, kerana ada sejarah yang memaksa membolehkannya.
Ia meskipun sudah lama berlalu, MB Kedah mahu mengingatkan ‘jangan sombong’ atau megah seperti ‘kacang lupakan kulit’. Sebab itu cakapnya cukup deras dan kadangkala kedengaran cukup menyakitkan.
Selain menuntut bayaran caj, MB Kedah juga bercadang untuk mengeruhkan kawasan hulu Sungai Muda agar Pulau Pinang mendapat air yang berkeladak. Juga berusaha melencongkan aliran air di bahagian yang bersempadanan dengan Pulau Pinang, dengan harapan Pulau Pinang tidak lagi dapat memenuhi empangan yang dibinanya di Seberang Perai. Ini jelas bertentangan dengan prinsip muamalat: berkongsi, membantu dan menghormati jiran.
Setelah gagal dengan percubaan itu, MB Kedah memainkan pula cadangan pembinaan aeorotropolis di Kulim, yang sebelum itu dicadangkan oleh Mukhriz untuk membina sebuah lapangan terbang.
MB Kedah mula mendakwa bahawa PM X menyekat pembangunan Kedah, walhal menurut kenyataan yang dikeluarkan cadangan tersebut tidak dikemukakan secara jelas (rasmi) kepada kerajaan persekutuan, tetapi didakwa sudah ditolak.
Situasi sebegini telah membuktikan bahawa PAS sentiasa mencari natijah untuk membantai atau menghina parti-parti lain yang tidak sehaluan atau memenuhi ‘nafsu politik’nya. Inilah juga yang berlaku di Sudan apabila Hamdan Dagalo atau Hamedti merasakan dengan penyerapan 10,000 orang anggota RSF akan menyebabkan kuasanya terhakis.
Dagalo bimbang, jika penyerapan ini berlaku dan berjaya dilaksanakan, ia akan memberi kekuatan kuasa kepada Jeneral Abdel Fattah.
Bila hal ini berlaku, proses pilihan raya diadakan secara demokratik, Dagalo menjangkakan kedudukannya menjadi terpinggir. Ini kerana rakyat Sudan semakin sedar bahawa Dagalo adalah talam dua muka dalam peraturan politik Sudan.
Semasa menjadi pendokong al-Basyir, Dagalo diberikan hak melombong emas sehingga menjadikannya sebagai orang yang cukup kaya di Sudan.
Bila memperoleh kekayaan, Dagalo menjadi seorang yang cukup rakus dan tidak puas selagi dirinya tidak mendapat apa yang diinginkan, iaitu menjadi Presiden Sudan.
Sebab itulah Dagalo melancarkan serangan revolusineer bagi menjatuhkan al-Basyir dan berkerjasama dengan Jeneral Abdel Fattah, dengan harapan bakal dilantik sebagai Presiden Mesir.
Namun dalam pilihanraya Sudan 2022, Dagalo tidak dibenarkan bertanding kerana itu adalah sebahagian daripada peraturan yang berkuatkuasa, di mana mereka yang memegang jawatan dalam TMC– Majlis Peralihan Tentera, yang membentuk Majlis Darurat tidak dibenarkan menjadi calon pilihan raya.
Bagi Jeneral Abdel Fattah, bagi menjamin keselamatan rakyat Sudan, negara seharusnya berada di bawah kuasa tentera. Sebaliknya, Dagalo tidak menginginkan kuasa tentera terus kekal sebagai pentadbir Sudan sebagaimana dijanjikan semasa pembentukan TMC.
Bagi Dagalo, semakin lama Sudan diperintah dengan kaedah tersebut, maka semakin tipislah harapannya untuk menjadi Presiden Sudan. Latar belakang Dagalo juga kurang diketahui oleh rakyat Sudan termasuk latar belakang pendidikannya (dikatakan hanya tamat setakat gred tiga). Apa yang jelas ialah Dagalo merupakan etnik nomad (Arab Badawi) dan menjadi komander dalam salah sebuah sayap Janjaweed, yang kemudiannya membentuk RSF.
Pada bulan Oktober 2021, tentera menyerang dan mengambil alih kuasa menyebabkan Dagalo merasakan kedudukanya mula tercabar. Dengan cadangan menyerapkan 10,000 anggota RSF dalam SAF menambahkan kekecewaan buat Dagalo.
Jeneral Burhan juga dilihat sedang berusaha untuk mengembalikan rejim lama dalam pucuk pentadbiran politik Sudan dan ini menyebabkan Dagalo semakin membuak-buak kemarahannya, kerana mempersepsikan bahawa kroni-kroni al-Basyir tidak lagi mempercayainya.
Orang-orang kepercayaan Jeneral Burhan kadangkala mengeluarkan kenyataan yang menyindir dan sinis terhadap Dagalo yang berasal dari Darfur. Ciri-ciri parokial inilah menyebabkan Dagalo dilihat kurang sesuai untuk memimpin Sudan, kerana Sudan memerlukan pemimpin yang berasal dari Khartoum dan Sungai Nil. Dagalo disifatkan sebagai “orang kampong” yang tidak layak memerintah negara.
Sejarah juga mencatatkan bahawa Dagalo adalah seorang yang banyak menjalin kerjasama dengan kumpulan pemberontak di Darfur dan Kordofan Selatan, yang sebelumnya diberikan tanggungjawab untuk dihancurkan oleh al-Basyir. Atas kejayaannya itulah al-Basyir memberikan konsesi melombong emas kepada Dagalo di sekitar Khartoum.
Tetapi, untuk menggulingkan al-Basyir kemudiannya, sebahagian kumpulan pemberontak itu dijadikan ruang kerjasama yang penting oleh Dagalo. Hal ini kemudiannya diketahui dengan jelas oleh Jeneral Abdel Fattah setelah meneliti sebahagian latar belakang anggota RSF yang memberikan Dagalo kekuatan.
Sebenarnya itulah dendam Dagalo, kerana keinginan besarnya terhalang. Tetapi, berselindung di sebalik keengganannya dengan proses penyerapan 10,000 anggota RSF ke dalam Angkatan Tentera.
Dalam perjanjian pembentuk TMC, Jeneral Abdel Fattah berjanji akan menamatkannya dalam tempoh empat tahun. Namun, apabila melihat kepada kegelojohan Dagalo, Jeneral Abdel Fattah menyusun strategi untuk memperkuat kedudukannya dengan berusaha memperkuatkan kedudukan Angkatan Tentera.
Ia menimbulkan lebih banyak ‘sakit hati’ dan sampai ke kemuncaknya apabila perundingan beberapa hari sebelum meletusnya konflik mengenai penyerapan anggota RSF dilihat telah gagal.
Dagalo mula memberikan arahan kepada anggota RSF untuk bertindak menyerang beberapa entity strategic negara, termasuk pusat penyiaran Sudan dan pejabat-pejabat kerajaan. Pada awalnya, Dagolo yang memimpin RSF dilihat mencapai kejayaan.
Kini, Dagalo terpaksa mengakui bahawa jalan untuknya merampas kuasa Jeneral Abdel Fattah al-Burhan masih jauh daripada menjadi kenyataan.
Sehingga kini, menurut laporan pelbagai pihak, sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan lebih 4,500 cedera sejak konflik terbaharu itu berlaku (sejak 15 April 2023).
Menurut anggaran PBB, lebih 800,000 pelarian dan orang yang kembali ke negara asal telah keluar daripada Sudah susulan konflik tersebut.
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Olga Sarrado dalam taklimat media yang diadakan pada 2 Mei 2023 berkata, kira-kira 600,000 daripada jumlah itu (800,000) merupakan pelarian Sudan serta pelarian yang dihoskan oleh Sudan. Selebihnya adalah pelarian dari nergara jiran Sudan Selatan.
Pergerakan rentas sempadan yang paling ketara ialah Chad, Mesir dan Sudan Selatan, yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.
Dari perspektif psikologi, konflik berlaku disebabkan oleh empat sebab: (1) perbezaan kuasa; (2) perebutan sumber; (3) perbezaan ras, budaya dan agama; (4) perbezaan kepentingan antara individu atau kelompok.
Ertinya, penyebab Konflik Sudan ialah perbezaan kuasa yang dimiliki oleh Abdel Fattah dan Dagalo dalam TMC. Abdel Fattah sebagai ketua yang mempunyai kuasa terbesar dan cukup dihormati dalam kalangan Angkatan Tentera manakala Dagalo tidak mendapat keyakinan dan kepercayaan sebahagian besar pemimpin tentera di peringkat tertinggi dan pertengahan. Bahkan, pemimpin-pemimpin tentera sering mengejek Dagalo sebagai ‘orang kampung’ yang tidak layak menjadi ketua negara.
Faktor kedua ialah perbezaan kepentingan antara Angkatan Tentera dan RSF yang dipimpin oleh Dagalo walaupun kededuanya merebut berusaha merebut kuasa. Angkatan Tentera ingin mengekalkan keselamatan penduduk Sudan dan negara, sedangkan Dagalo dilihat berusaha untuk mencari ruang dan peluang menguasai sumber alam dan kekayaan.
Bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran dakwaan bahawa Dagalo ingin menguasai lombong emas yang ada di Sudan masih boleh dipertikaikan walaupun beliau telah berjaya membuktikan punca kekayaan yang dimilikinya ialah selepas mendapat konsesi melombong emas yang diberikan oleh al-Basyir.
Sudan dikatakan berjaya mengeluarkan sekitar 80 tan emas setahun.
Barat juga bimbang sekiranya Sudan kembali ke tangan parti-parti politik yang bersifat Islamis disebabkan sejarahnya cukup kuat dalam membantu Palestin semasa pemerintahan al- Basyir.
Sekiranya kroni-kroni ini memenangi pilihan raya dan memerintah Sudan, situasi geopolitik negara-negara Islam di Timur Tengah dan Afrika Utara dilihat akan berubah.
Ia juga mungkin akan membangkitkan semula isu normalisasi di beberapa buah negara Arab dengan Israel selain memberikan semula ruang kepada Iran setelah terputus ekoran hubungan yang buruk dengan Arab Saudi selama tujuh tahun. Sebelum akhir bulan lalu (terpatnya 22 Mac 2023), Arab Saudi dan Iran menjalin semula hubungan diplomatik yang terjejas menerusi perantaraan China.
Ini memberikan suatu kelebihan kepada Sudan. Sudan akan mendapat kemasukan pelaburan dari Iran dan juga bantuan yang diperlukan sebagaimana sebelumnya, yakni sebelum ditekan oleh Arab Saudi, yang merupakan rakan strategiknya yang cukup erat dan dipercayai.
Pelajaran yang terbesar ialah bagaimana kita melihat makna dan nikmatnya kestabilan politik di sesebuah negara.
Kini, Malaysia sedang berusaha untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana sebahagian besar daripada kita sudah mengalami ’ketidaktentuan politik’, yang mendorong kepada situasi ekonomi dan sosial yang tidak memberangsangkan selepas berlakunya peralihan kuasa pada PRU ke-14 (2008).
Kini, kita mengharapkan Malaysia akan muncul semula sebagai sebuah negara yang lebih stabil, bukannya sebuah negara yang kerdil pencapaian ekonomi dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Dan, itulah sebenarnya harapan SPBYDPA ketika mencadangkan pembentuk kerajaan perpaduan apabila tidak ada mana-mana gabungan yang boleh menubuhkan kerajaan berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU ke-15 (20 Oktober 2022).
Dalam proses menstabilkan sesebuah kerajaan, kita hendaklah tidak mudah terpengaruh dan termakan janji-janji dan permainan politik yang mereka sedang pentaskan. Rakyatlah juga yang akan menanggung bebas apabila salah memilih dan memberikan kepercayaan.
Kerana itu setiap daripada kita jangan hanya bersandarkan kepada apa yang belum pasti, apa yang disogokkan sebagai mesej propaganda yang sengaja dilakukan sejak kerajaan perpaduan mula membentuk sebuah pengharapan, sebuah kerajaan yang stabil.
Kerajaan perpaduan dari segi kepemilikan kuasa, cukup stabil setakat ini.
Tetapi, yang lebih penting ialah sebagai rakyat kita tidak perlu menurut permainan politik yang sedang diatur untuk ‘menjatuhkan kerajaan perpaduan’ kerana yang mengatur dan menyusun strategi tersebut adalah politikus yang sangat oportunis dan ‘gila kuasa’ sedangkan mereka sebenarnya tidak mampu untuk menterjemahkan prinsip perjuangan secara berkesan dan boleh diyakini mampu melakukannya.
Mereka adalah kelompok yang tahu mencari kesalahan tetapi tidak menunjukkan sikap dan nilai politik mulia sebagaimana mereka sendiri percaya. Mereka adalah oportunis yang menyusup seperti musang berbulu ayam.
Diri sendiri sahaja dikatakan baik dan terbaik, walhal itu hanyalah khayalan atau bayangan yang muncul selepas tersedak oleh tingkah sendiri yang tidak menepati makna dan potensi diri. Lebih kuat berperasan. Akibat terlalu berperasaan itu ingin dilawannya ‘steamroller’.
Makna psikologi: a person who uses aggression to control others and get their own way. Kita tahu siapa mereka, kerana mereka itulah yang akan menyebabkan kita ‘terhina’ dan tertinggal landas.
Mereka sedang mencari jalan untuk mendominasi, bercakap dengan lantang, cepat marah dan bertindak agresif, dan gigih berusaha untuk mengawal ‘hati dan perasaan’ kerana mereka sangat ‘memerlukan kuasa’ bagi menjayakan matlamat yang terpendam dan semakin berdendam.
Ilusi membawa kepada delusi. Delusi menjadikan pemikiran kita penuh ketidaktentuan, yang akhirnya membawa kemusnahan dan kebinasaan. Hakikatnya, kita sebagai seorang Islam, diberikan akal fikiran hendaklah berfikir secara mendalam akan persoalan-persoalan yang sangat mempengaruhi kita.
Apakah unsur-unsur yang mempengaruhi itu menepati apa yang kita fahami dan maksud al- Qur’an atau Sunnah Rasululllah SAW, atau hanya sekadar penghias kepada rumusan- rumusan tertentu yang sangat cetek, tergesa-gesa dan tidak lengkap walaupun penulisnya adalah seorang yang dianggap sebagai ulamak, sebenarnya menulis dalam konteks politik kepartian, yang sangat cenderung matlamat menghalalkan cara.
Sebab itu ada prinsip yang terpaksa dikorban, dilentur dan disembunyikan selepas begitu banyak persoalan ditimbulkan. Bijak menyembunyikan ‘sampah dan debu’ di bawah karpet keinginan untuk mendapatkan kuasa.
KAMARUN KH
Recent Comments