Menurut Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid (USM), BN gagal (PRU ke-14) kerana gagal menampakkan imej ‘mesra rakyat’, rasuah, kleptokrasi, salah guna kuasa dan terlalu elitis. Nampaknya, pemimpin BN tidak belajar daripada apa yang berlaku pada PRU ke-12 (2008), sebahagian pemimpinnya ditolak kerana ‘sombong dan angkuh’ (Astro Awani, 10 Mei 2018).

Bagi sesetengah penganalisis melihat keputusan PRU ke-12 sebagai petunjuk jelas bahawa situasi gerhana akan muncul dan ia menjadi kenyataan pada PRU ke-14, walaupun ada usaha untuk melakukannya (menumbangkan BN) pada PRU ke-13. Gema PRU ke-13 cukup kuat sehingga ada yang cukup yakin BN akan tumbang sebaik sahaja keputusan tersebut diumumkan. Ia tidak menjadi kenyataan, sebaliknya Pakatan Rakyat terbelah. Misalnya muncul koleksi artikel akademik yang memberikan makna kekalahan besar kepada UMNO dalam The End of UMNO: Essays on Malaysia’s Dominant Party? (edited by Bridget Welsh) dan Zainal Abidin Ahmad, PRU 13, UMNO Tumpas? (2012).

Zainal Abidin Ahmad berpendapat: Tsunami politik pada tahun 2008 berlaku kerana rakyat Malaysia sudah bosan dan jengkel dengan amalan rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa di kalangan pemerintah, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Dari mereka yang bergelar menteri hinggalah kepada ahli biasa UMNO di peringkat bahagian dan cawanan terlibat dalam amalan keji dan hina ini. Pendek kata, rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi budaya dan darah daging UMNO’. (PRU 13, UMNO Tumpas?, hal.165)

Saya petik pandangan Ahmad Lutfi Othman: “Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999, merujuk kepada kemungkinan perubahan besar melibatkan pemerintah peringkat persekutuan ekoran pilihan raya yang menyaksikan semangat dan kekuatan luar biasa pakatan pembangkang pada masa itu dikenali sebagai Barisan Alternatif.”

(Pengantar Penerbit, Ahmad Lutfi Othman, Detik Utopia: Komentar Kritis Isu Pakatan Rakyat dan Politik Malaysia, K.Lumpur: Unit Buku Harakah, 2012, hal.xiii). Ia tidak menjadi kenyataan, bahkan sangat terhalang apabila PRU ke-11 (2004), BN menguasai 198 kerusi daripada 219 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan. BN memperoleh undi popular 63.9 peratus. BA meraih 20 kerusi dan Bebas peroleh satu kerusi.

Tulis Ahmad Lutfi Othman, “Ya sudah tiga kali kita terlepas peluang menukarkan kerajaan persekutuan…. Apakah PRU ke-13 juga kita bakal mengulangi kealpaan dan kesilapan yang sama…”, seolah-olah tidak didengari dengan jelas dan lantang, tidak cukup kerana UMNO/BN masih berkuasa walaupun kuasanya semakin menipis. (Ahmad Lutfi Othman, hal. 72). Ertinya, usaha menukarkan kerajaan persekutuan bukanlah idea baharu, yakni selepas terbentuknya kerajaan perpaduan.

Ia sudah dilakukan secara bersungguh-sungguh sejak munculnya Barisan Alternatif, atau sebelumnya, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat. APU muncul menjelang PRU ke-8 (1990) selepas perpecahan UMNO antara PAS dan Parti Melayu Semangat ‘46. Gagasan Rakyat muncul dalam period yang sama, membentuk kerjasama politik antara parti-parti pembangkang (Semangat ’46, DAP, Parti Rakyat Malaysia, IPF, MSP, Hamim dan Kimma). Gagasan Rakyat berpecah apabila DAP menarik diri dan APU juga berkubur selepas Semangat ’46 dibubarkan. Itulah kegagalan – PRU 10, PRU 11 dan PRU 12 – maka imajinasi PAS yang menetapkan sasaran bakal memerintah Malaysia menjelang tahun 2000 tidak menjadi kenyataan, maka sasaran kedua ialah pada tahun 2010. Sasaran itu juga gagal. (Ibnu Hasyim, PAS Kuasai Malaysia?: 1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan, K.Lumpur: CG Edar, 1993).

Namun setelah mendapat sedikit kemenangan, kemenangan itu menimbulkan fenomena ekstasi politik yang cukup besar, tetapi PAS perlu melihat semula kepada ideologi politiknya, perlu mencari alternatif kerana makna perjuangan “Negara Islam” sudah alami pengherotan yang cukup ketara setelah menukarkannya kepada “Negara Berkebajikan” ketika membentuk Pakatan Harapan.

SITUASI KELAM

BN menang 133 kerusi (PRU ke-13), yang pastinya imej Najib sebagai PM ke-6 dan pemimpin yang sedikit sebanyak cuba dilegasikan dengan Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh ayahandanya, Tun Abdul Razak mengalami situasi kelam, kalaupun tidak gerhana.

Apa yang menarik ialah percubaan memberikan imej yang menarik terhadap Najib kerana pada PRU ke-11 (1999), beliau hampir tewas di Pekan, Pahang, kawasan yang sudah beberapa penggal dimenanginya. Najib hanya menang dengan majoriti 241 undi dan kemenangan kecil itu dikaitkan pula dengan beberapa peti undi yang ‘sampai lewat’, antaranya undi daripada peti undi Orang Asli.

Menjelang pembubaran Dewan Rakyat, bilik penginapan Najib di Port Dickson dipecahmasuk (Avilion Hotel), di mana ketika itu sedang bermulanya suatu perhimpunan pemimpin-pemimpin pengurusan tertinggi KPM, untuk membincangkan pelan strategik KPM  termasuk perancangan mendepani cabaran Abad ke-21.

Bagaimanapun, Najib kekal berada dalam barisan kabinet pimpinan Dr Mahathir tetapi bertukar portfolio sebagai Menteri Pertahanan. Selepas pengunduran Dr Mahathir (2003), Najib kekal dalam kabinet pimpinan Tun Abdullah dan kemudian berjaya menapak sebagai Timbalan Presiden UMNO, dan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah baton kuasa diserahkan kepadanya pada bulan April 2009 akibat ‘tekanan politik –lost in transition’.

Apa yang menariknya mengenai perubahan pucuk pimpinan UMNO terhadap Ketuanan Melayu? Slogan dan perkembangan megalothymia Ketuanan Melayu cukup menarik dibincangkan dari segi konsepnya oleh Firdaus Zainal, mencakupi period sejarah yang cukup panjang dan perubahan orientasi yang akhirnya memisahkan makna realiti menjadi imajinasi sebelum dilihat sebagai mitos.

Fakhrurrazi Rashid menjelaskan bahawa persaingan politik masa kini telah “membuka ruang kepada peralihan dominasi parti politik Melayu. PRU ke-15 memberi mesej bahawa pengundi menganggap UMNO/BN bukan lagi pelindung sejati buat Melayu dan Islam. Kemunculan PN yang memperoleh kerusi Melayu terbanyak berbanding UMNO menunjukkan peralihan kuasa politik Melayu hampir lengkap kepada bentuk baru”. (Fakhrururazi Rashid, “Dilema PAS Bergantung pada parti Melayu”, Malaysiakini, 16 Mei 2023).

Tanya Fakhrurrazi, persoalannya, parti Melayu yang mana satu? Pada beliau, PAS dilihat dapat mengambil alih peranan UMNO jika dilihat daripada reputasi parti itu dalam PRU ke- 15? Apakah reputasi PAS yang cukup cemerlang sejak parti itu memasuki arena pilihan raya mampu kekal atau bertambah cemerlang pada PRU ke-16? Ia sangat bergantung kepada bagaimana komponen parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan sekarang mampu membina kerjasama yang sinergi, dan berjaya ‘menghilangkan’ beberapa keluhan antara mereka demi sebuah pemerintahan yang stabil dan diterima oleh rakyat.

SLOGAN YANG KACAU

Jika ini yang berlaku, bermakna fenomena kebangkitan PAS hanyalah sementara, dan Proklamasi Orang Melayu tidak akan menjadi sesuatu yang boleh memecahkan tembok kerjasama politik yang lebih besar walaupun asasnya, sejarah parti-parti politik itu pernah saling bermusuhan dan berbeza idealisme perjuangannya.

Kata Pakhrurrazi, dilema PAS adalah sama dengan dilema DAP. PAS cukup berdilema untuk mendapat sokongan bukan Melayu, begitu juga DAP untuk mendapat kepercayaan pengundi Melayu. PAS menggunakan slogan PAS for All, tetapi slogan itu dikacaukan dengan hasrat PAS untuk menggunakan Ketuanan Melayu. Ertinya, PAS akan menambahkan dilema dari dalam sokongan pengundi Melayu, yang sebahagiannya melihat PAS cukup terdesak dan sudah hilang misi utama perjuangannya, hanya kerana ingin menyesuaikan kehendak politik Bersatu, yang berusaha menggantikan UMNO dalam memperkatakan Ketuanan Melayu.

Dr Mahathir memang telah membentuk imajinasi politiknya yang tersendiri, yang sebahagian besar orang Melayu sudah menolaknya, bahkan mempersoalkan keikhlasannya bila berkata, orang Melayu semakin miskin selepas dirinya tidak lagi berkuasa. Rakyat tidak boleh diperbodohkan, rakyat boleh melihat sendiri secara jelas.

Sepanjang 22 tahun Dr Mahathir berkuasa, peratusan pemilikan kuasa ekonomi Melayu tidak melonjak bahkan semakin mengecil kesan daripada dasar-dasar politik dan ekonomi yang dilaksanakan selepas tahun 1990. Kita mungkin boleh membaca analisis yang menarik, analisis yang dibuat oleh Dr Muhammed Abdul Khalid, Antara Du Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia, Bangi: Dubook Press Sdn. Bhd., cetakah keempat, 2018.

Bagi Firdaus: “Orang Melayu sering diasak kaum lain dalam mempertahankan Megalothymia Politik Ketuanan Melayu mereka. Namun, setiap kali isu Ketuanan Melayu mereka dicabar pemimpin politik Melayu seakan hilang taringnya untuk berhadapan dengan pihak yang menentang politik Ketuanan Melayu. UMNO hanya menyelesaikannya pada peringkat dalaman bersama parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan. Bantahan dan demontrasi secara radikal bagi mempertahankan politik Ketuanan Melayu kebiasaannya digerakkan aktivis NGO dan pertubuhan Melayu bukan dari parti politik Melayu kerana menjaga kepentingan rakan parti komponen lain seperti MCA dan MIC.

“Namun, senario berbeza sekiranya penentangan terhadap politik Ketuanan Melayu dikemukakan oleh pihak DAP dan pembangkang yang lain. Konflik perkauman akan sengaja diperbesar-besarkan bagi menarik sokongan orang Melayu.” (Megalothymia, hal. 332).

Sayang seribu kali sayang, tekanan UMNO terhadap Ketuanan Melayu juga sedikit lemah apabila salah seorang pemimpin DAP menulis dan mencadangkan agar dilaksanakan reformasi perkhidmatan awam, agar tidak didominasi oleh orang Melayu. Inilah yang dinamakan oleh Firdaus Zainal sebagai “pertembungan dua nilai utama – nilai induk (core values atu conscience) dan nilai teras (core pillars) antara etnik Melayu dan Cina.

“Nilai-nilai yang dipegang etnik Melayu yang bertolak ansur dan tolong menolong berbeza dengan nilai etnik Cina yang menangkap kecinaan yang tegar, sikap kepuakan yang kental dan sikap prgamatis untuk menjadi sebuah komuniti etnik yang unggul.

“Secara umumnya, kedua-dua nilai induk dan nilai teras ini menjadi perlakuan dan tindakan manusia. Nilai induk merupakan nilai dalaman yang mengemudikan pemikiran dan perlakuan manusia. Nilai induk etnik Melayu adalah budi-Islam yang menekankan nilai tolak ansur dan tolong menolong dalam mencapai keamanan.

“Nilai induk budi merujuk kepada alam jiwa (roh) yang muncul daripada gagasan budi daya atau budaya. Kebudayaan yang difahami sebagai segala bentuk warisan ciptaan etnik Melayu adalah hasil gabungan antara budi yang merupakan alam jiwa dan daya yang merupakan gerak laku secara fizikal.

“Budi bermatlamat mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam hubungan sesama manusia. Budi bersifat kekal dan anjal serta berubah mengikut persekitaran. Budi adalah pasak dalam diri etnik Melayu yang mempengaruhi tindakan mereka ketika berinteraksi dan berasal daripada fikiran dan perasaan untuk melakukan sesuatu yang baik dalam kehidupan.” (Megalothymia, hal. 332-333).

HIPOKRASI! HIPOKRASI!

Sebab itulah Orang Melayu dilihat sebagai sering beralah (tolak-ansur) dalam hal-hal yang melibatkan politik Ketuanan Melayu. Selain itu, sikap pemimpin politik Melayu yang bermuka-muka atau dilabelkan sebagai pseudomegalothymia Ketuanan Melayu adalah satu strategi ‘baling batu sembunyi tangan’ pemimpin Melayu dalam mempertahankan politik Ketuanan Melayu.” (Megalothymia, hal. 336). Hipokrasi! Hipokrasi.\!

Sayang, dan cukup ironi apabila buku yang cukup menarik dan penuh pandangan ilmiah itu tidak diberikan ‘jalan keluar’ perihal Ketuanan Melayu oleh Firdaus Zainal. Bagaimanapun, saya melihat mungkin Firdaus ada cadangan lain, yakni untuk menulis sebuah lagi buku bagi melihat kemungkinan-kemungkinan lebih baik terhadap Ketuanan Melayu, setelah buku Megalothymia berjaya memasarkan makna dan bentuk Ketuanan Melayu berdasarkan proses sejarah dan lanskap politik Melayu-Islam serta reaksi balas politik bukan Melayu.

Saya kutip satu pendapat lama, yang dikemukakan oleh Johari Ismail ketika membicarakan tentang kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, bahawa “Krisis yang dihadapi oleh Orang Melayu masa kini adalah lebih kepada soal mencari role model yang benar-benar ikhlas serta gigih untuk memberikan pedoman ke arah Islam sebenarnya yang pasti dapat menebus maruah serta martabat agama, bangsa dan negara.

Dengan lain perkataan, cabaran paling asas yang sedang dihadapi massa Melayu di negara ini adalah dalam merubah mind-set mereka terhadap agama Islam dari yang bersikap jumud kepada yang lebih menitikberatkan perkara-perkara yang lebih asas, seperti pembentukan nilai-nilai positif.

“Di dalam konteks ini, usaha secara meluas perlu dijalankan bagi pembentukan personaliti Melayu cemerlang, gemilang lagi terbilang yang mampu menongkah arus globalisasi secara lebih meyakinkan dan dengan cara yang tersendiri tanpa perlu mengorbankan hakikat jati diri Melayu tulen.” (Johari Ismail, Agenda Melayu…Perjuangan Yang Tergendala, Batu Caves, Selangor: Crescent News (KL) Sdn. Bhd., 2005, hal.117-118). Nampaknya. memangnya Agenda Melayu semakin gagal dan hanya muncul bila kuasa tidak lagi di tangan orang Melayu.

Betempiklah pemimpin Melayu, tetapi apakah sendunya akan segera lenyap dengan pekikan itu? Kata bijak pandai, setelah apa yang digenggam ‘hilang’ atau terlucut, menangis air mata darah sekalipun, kehilangan itu sangat pedih dan tidak mungkin dapat dimiliki kembali. Itulah lojiknya, tetapi orang Islam percaya, jika Allah SWT membantu, semuanya akan terjadi.

Tetapi, kenapa pemimpin-pemimpin Melayu-Islam seolah-olah lupa dan tidak tergerak hati mereka untuk berusaha agar Allah SWT tidak ‘menghilangkan apa yang sudah dimiliki’, bukan saling bermusuhan kerana permusuhan itulah sebenarnya asas ‘kehilangan’ dan ‘lucutnya kuasa politik’. Seruan ke arah penyatuan dan perpaduan orang Melayu hanya sekadar retorik, kadangkala muncul percanggahan kiprah dan haluan. Bahkan, kadangkala menampakkan radikalisme politik dan pemikiran yang bercanggah dengan Islam itu sendiri, walaupun yang melaungkannya itu adalah sebuah parti politik yang berideologikan Islam.

Islam bukanlah politik tetapi Politik Islam itulah yang cukup membahayakan Islam itu sendiri, disebabkan agama dipolitikkan sehingga membentuk sekterianisme yang cukup ketara bercanggah. Benar, politik adalah sebahagian daripada Islam, tetapi politik Islam yang dibenarkan ialah politik yang bukan berasaskan kebencian dan mengancam orang lain dengan kaedah rayuan ketakutan (fear of appeal atau demogougery) sehingga muncul keadaan negara kronik ketakutan (chronic state of fear).

SILOGISM POLITIK

Kronik ketakutan sedang berlaku di Malaysia. Kronik ketakutan muncul apabila Presiden PAS berkata, ada usaha untuk menyekat kemunculan semula pemerintahan Islam di Malaysia, yang merupakan suatu silogism politik yang cukup membingungkan hanya kerana DAP adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan. Apakah pendekatan melaga-lagakan itu (batu api) merupakan suatu tindakan yang bijak dan menepati konsep politik mulia atau makna politik Islam?

Bolehkah kita berpendirian bahawa dalam masyarakat majmuk, semuanya perlu didominasi oleh Islam manakala hak dan keperluan bukan Islam diketepikan? Apakah ini jalan politik yang dipilih oleh PAS setelah PAS for All hilang dari radar selepas memperolehi kerusi terbanyak dalam Perikatan Nasional, dan menjadi bongkak untuk berkongsi kuasa dengan bukan Islam?

Apa pun hujahnya, PAS sangat ketara dengan asasbiyah dan sekterianisme. PAS telah mencipta ruang firqah, bukan sahaja dalam kalangan penganut Islam bahkan juga dengan bukan Islam walhal, ada ruang yang wajib diberikan kepada bukan Islam dalam kehidupan bernegara, sebagaimana ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika membentuk konstruk sosial di Madinah.

Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengejek bukan Islam dan menghina bukan Islam, kecualilah jika mereka benar-benar memerangi Islam. Ia bukan sebuah gambaran atau imajinasi politik, sebagaimana PAS melihat bahawa kemunculan dan kebangkitan bukan Islam sebagai penghalang kembalinya pemerintahan Islam. Jika itulah yang ditakuti, maka adalah perlu bagi setiap pemimpin parti politik yang berasaskan Melayu-Islam bersatu, bukan saling menuding jari dan bermusuhan.

Jika Islam pada awalnya mampu menghapuskan fahaman kabilah, kenapa politik Islam masa kini semakin menuju kepada fahaman kabilah? Apakah dengan PAS bersetuju menandatangani Proklamasi Orang Melayu bukan bermakna menghidupkan kembali faham kabilah hanya kerana bersimpati dengan Dr Mahathir yang sudah beberapa kali ‘mengkhianati Orang Melayu’?

Dr Mahathir sebenarnya sedang mencari ‘finishing line’; agar imejnya kembali kepada ‘ultra Malays’ selepas ‘hilang dalam perjalanan politiknya’ dan tersedar ditolak habis oleh pengundi yang pernah mendokongnya.

Fikirkanlah kenapa pada PRU ke-15 beliau boleh hilang deposit walhal pada PRU ke-14, beliau adalah seorang yang cukup dihormati dan dipercayai mampu ‘membaiki kerosakan’. Akhirnya, nilai dan imejnya sendiri yang merosak dan membentuk ilustrasi buruk, hilang sokongan dan dokongan.

Dr Mahathir ‘silap perkiraan’, PRU ke-15 menunjukkan gelombang pengundi muda yang besar, dan mereka inilah yang menjadi penentu situasi politik tidak lagi perlu kepada slogan- slogan yang kedengaran hebat dan menarik, mereka perlukan apa yang dapat sesebuah parti itu lakukan jika menang.

Mereka merupakan 40 peratus pengundi, dan mereka bukanlah generasi yang percaya dengan slogan dan janji manis, yang mereka percaya ialah apakah ada ruang untuk mereka untuk hidup lebih baik, ada pekerjaan dan dasar atau program yang memadai dalam sebuah negara yang kaya dan berlimpah ruah sumber alam ini.

KAMARUN KH

Translate »