Firdaus Zainal berusaha mencari susur galur Ketuanan Melayu berdasarkan fakta sejarah dan akhirnya memberikan kita satu gambaran bahawa slogan itu menjadi sesuatu yang cukup berimaginasi sehingga ‘ketakutan kepada ancaman’ kecenderungan politik bukan Melayu membawa kepada ‘padah’, kalaupun tidak seperti senandung sinis: Balik Pulau, Bayan Lepas; Sini Terpulau, Sana Terlepas. Sungai Gelugor, Pantai Jerejak; Sana menganggur, Sini Terbeliak.
SLOGAN ATAU DOKTRIN
Ketuanan Melayu akhirnya dianggap sebagai mitos, dan pesan akhir Laksamana Hang Tuah, Takkan Melayu Hilang Di Dunia mungkin menjadi hal yang cukup sendu, sendu yang tidak akan tamat disebabkan oleh perilaku politik Orang Melayu sendiri, baik sebagai pemimpin, mahupun pengikut. Sebelumnya, Khalid Salleh pernah melihat perubahan-perubahan semangat dan hakisan iltizam politik akan menyebabkan Melayu Hilang di Dunia (2011), yang turut menjadi rujukan Firdaus mengenai korpus Ketuanan Melayu
Ketika membicarakan perjalanan politik UMNO, Firdaus melihat ada kebenarannya teori kitaran peradaban yang dibahaskan oleh Ibnu Khaldun (1332-1406) mengenai hasrat, impian, gagasan dan perilaku kepimpinan politik Orang Melayu, pada akhirnya, seperti juga proses penuaan (ageing), sesebuah peradaban akan runtuh atau hancur. Tanda-tanda kehancuran UMNO, sudah kelihatan dengan jelas, dari sebuah pertubuhan yang dominan bertukar kepada sebuah pertubuhan yang terpaksa ‘menagih simpati’ parti-parti lain untuk terus kekal berada dalam koridor kuasa.
Tetapi, UMNO tetap melihat dirinya ‘masih besar’ seperti dinasour walhal terpaksa mencari ruang (juga tongkat) agar tidak hilang ditelan kerakusan kuasa parti-parti lain. Kini muncul istilah UMNO sebagai penumpang, dan sebelumnya melihat parti-parti yang mahu bekerjasama seperti ‘penumpang’ dalam sebuah kapal yang diterajui oleh UMNO. Seperti pernah diungkapkan oleh Dr Mahathir pada suatu ketika, ketika UMNO kuat ramai yang berminat menjalin kerjasama atau bernaung di bawahnya. Jika UMNO tidak kuat, ramai pula yang lari dan meninggalkan BN. Itu telah dibuktikan selepas UMNO/BN hilang kuasa pasca PRU ke-14, sehingga ada pihak yang cukup ghairah menanti untuk mentalqinkan UMNO/BN.
UMNO, secara garis kasarnya sudah menunjukkan kelemahannya yang ketara selepas parti itu beralih orientasi, mengetepikan persoalan kesetiaan dan perjuangan Ketuanan Melayu, akhirnya membuka kepada perebutan kuasa (pengekalan kuasa). UMNO sudah membentuk budaya politik warlord dan juga broker kuasa. Lihat sahaja pada PAU 2023, UMNO tidak membenarkan dua jawatan tertinggi ditandingi, atas alasan tidak ingin berpecah.
Sebenarnya, UMNO tidak pernah berpecah disebabkan pertandingan. UMNO berpecah kerana adanya sekatan dan kelibat power broker yang mahukan mereka yang berbeza pendirian dikeluarkan atau dinafikan haknya sebagai ahli parti. Digunakan pelbagai alasan, seperti melanggara disiplin parti mahupun menentang keputusan presiden. Walhal yang ditentang ialah keputusan secara unilateral, atau berbeza dengan apa yang dipersetujui oleh keputusan Majlis Tertinggi atau akar umbi. Perpecahan 1988 kerana Team B disekat keahliannya selepas Team A berjaya mendaftarkan semula UMNO menjadi UMNO (Baharu).
Semangat penyatuan awal menentang Malayan Union berubah setelah UMNO merasakan kedudukannya cukup dominan dan mampu menggerakkan proses menuntut kemerdekaan. Sebelum itu, pada tahun 1874, “masyarakat Melayu adalah sebuah masyarakat feudal yang ditadbir oleh Sultan yang memerintah secara autokratik , yang dilindungi dengan daulat. Bagi orang Melayu, kerajaan adalah milik Sultan dan pembesar.” (Hegemoni UMNO, hal.29 ). Namun, UMNO terjerat dengan prasyarat yang diletakkan oleh penjajah, maka UMNO terpaksa berkongsi ‘hasrat dan keinginan’ dalam sebuah pemuafakatan politik dengan bukan Melayu. Hal itulah yang menyebabkan Dato’ Onn, pengasas UMNO meninggalkan UMNO dan menubuhkan sebuah parti lain yang bersifat multietnik.
Akhirnya terbentuknya Perikatan, dan Inggeris mengenakan syarat kedua, ia perlu dibuktikan pemuafakatan tersebut. Tahun 1955, berlakulah pilihan raya bandaran sebagai petunjuk adanya kesepakatan tiga kaum – Melayu, Cina dan India – di mana oleh sebab Orang Melayu tidak menguasai ekonomi, UMNO memerlukan bantuan kewangan daripada MCA yang dibentuk bercirikan warlords.
Menurut Firdaus, kesedaran politik Orang Melayu mengenai Ketuanan Melayu – perjuangan kesedaran bangsa – wujud sejak zaman Munshi Abdullah dan menjadi semakin meruncing sekitar Abad ke-20 di mana berlakunya Tragedi 13 Mei 1969:
“…menguatkan lagi gesaan agar penyatuan Melayu bagi mempertahankan Ketuanan Melayu dapat dilihat melalui penentangan kaum Melayu terhadap kolonialisme yang mencabar kedudukan istimewa mereka dari dua sudut iaitu makro yang merujuk kepada usaha penyatuan bangsa Melayu sebagai satu indentiti merentasi sempadan wilayah negara termasuk Indonesia, Malaysia dan Filipina.
“Pada tahun 2000, atas satu pertubuhan dikenali sebagai Dunia Melayu Dunia Islam telah ditubuhkan hasil daripada Konvensyen Dunia Melayu Islam pertama. Ia dianggotai oleh kaum Melayu Islam dari Malaysia dan Asia Tenggara, kaum Melayu dari negara yang mempunyai penduduk Melayu yang ramai seperti Afrika Selatan, Sri Lanka, Australia dan Madagaskar.
“Selain itu, keanggotaannya turut diperluaskan termasuk Islam dari China, India, Jepun, Rusia, Amerika Utara, Eropah, Arab Saudi, Iran, Pakistan, Bosnia, Hersegovina serta Iraq bersama-sama masyarakat yang mempunyai hubungan dagang dengan Melaka sejak Abad ke-15 seperti Britain, Belanda dan Sepanyol. Ia mungkin dilihat sebagai satu usaha menyatukan rumpun Melayu yang telah bertebaran di seluruh dunia. \
“Manakala dari sudut mikro. perjuangan bangsa mempertahankan Ketuanan Melayu dapat dilihat daripada perspektif sejarah politik pasca kolonialisme di Malaysia bermula daripada usaha golongan kiri yang menuntut agar “Melayu” menjadi tema utama pembentukan negara dan UMNO.
Di Malaysia, megalothymia politik Ketuanan Melayu juga tidak terkecuali daripada menjadi asas perjuangan Orang Melayu. Dalam diri Orang Melayu, terdapat satu semangat (thymos) yang merasakan diri mereka adalah satu bangsa yang unggul yang bersusur galur daripada Kesultanan Melayu Melaka.
“Orang Melayu tidak memperjuangkan kesaksamaan dengan kaum lain seperti yang diperjuangkan kaum Cina menerusi parti politik seperti DAP, Gerakan, MCA dan pertubuhan Cina kerana mereka adalah pemilik Tanah Melayu dan mempunyai keistimewaan tertentu yang tiada pada kaum lain.
“Sebaiknya megalothymia yang wujud dalam diri mereka secara semula jadi menjadikan mereka berjuang dan mempertahankan Ketuanan Melayu daripada dicabar kaum lain. Megalothymia Ketuanan Melayu ini menjadikan Orang Melayu sanggup bermati-matian untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah bangsa yang unggul. Melalui catatan sejarah, kita dapat melihat bagaimana megalothymia ini diterjemahkan melalui semangat juang pahlawan-pahlawan Melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, Abdul Rahman Limbong dan lain-lain-lain,
“Semangat juang pahlawan Melayu ini yang sanggup bermatian mempertahankan Kedaulatan dan Ketuanan Melayu adalah thymos yang disebut Socrates sebagai satu semangat yang menjadi “penjaga kota” tidak gentar untuk berdepan dengan marabahaya bagi melindungi seseorang menganggap diri mereka lebih unggul daripada orang lain. Malah sebahagian mereka menganggap martabat lawan mereka lebih rendah daripada manusia.” (Megalothymia, hal. 39-41).
Macam-Macam Ada: Demi Maruah, Jangan Misai Sampai Mencecah Tanah!!!Demi Jihad, Dikafirkan UMNO hanya kerana doktrin politik ‘tidak perlu ‘masuk kafir, berkawan dengan orang kafir secara automatiknya dah ‘jadi kafir’. Bukankah itu keterlaluan? Apa maksudnya Islam sebagai rahmatalil ‘alamin, jika hanya berkawan atau bergaul dengan bukan Islam ‘boleh jadi kafir’?
Kafir, asal dari istilah kufur. Kufur maknanya “tidak percaya dan tidak beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Antionimnya, kaffah: kembali kepada al-Qur’an dan hadits (al-Baqarah, ayat ke-208); dan seluruhnya tanpa kecuali. (Baca: “ Islam Secara Kaffah Dalam Dua Tafsir al- Qur’an” dalam https://Islam.nu.or.id/tafsir/pengertian-islam-secara-kafah-dalam-dua-tafsir- al-quran-MoYec).
KEPENTINGAN POLITIK
Apakah dengan ‘berkawan’ memenuhi peranan dalam bab muamalat itu menyebabkan seseorang itu ‘jatuh kafir’? Syirikkah? Tidak berimankah? Inilah dilema politik Melayu-Islam yang selama ini menjadi ‘ratib PAS’ dan kini, sudah dibakul sampahkan dan diterbalikkan atas kepentingan politik serta keinginan ‘meraih kuasa’.
Menurut Firdaus, ‘Orang Melayu mungkin dianggap tidak celik politik sebelum era kolonialisme” sebab itulah ‘ketidakcelikan politik Orang Melayu di luar bandar mungkin boleh dilihat kepada ketakutan Orang Melayu untuk mengundi Independent of Malaya Party (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar….perkataan IMP jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris membawa maksud peri dan mambang. (Megalothymia, hal.82).
Kesedaran politik mulai subur sekitar tahun 1930-an, setelah tercetusnya gerakan nasionalisme Melayu yang dilihat memberikan kelebihan kepada kolonial dalam mengeksploitasi ekonomi tanah jajahan dengan kerja keras kaum pendatang, yang kemudiannya menimbulkan keinginan sebahagian daripada mereka untuk tidak lagi dipandang sebagai berstatus imigran. Organisasi politik Melayu muncul sebagai “menzahirkan rasa tidak puas hati” dan tercabar sebagai “kaum asal di Tanah Melayu”.
Pada suatu ketika, kedudukan Orang Melayu ‘sangat terancam’ apabila populasi bukan Melayu hampir sama (misalnya pada tahun 1949). Orang Melayu merupakan 49.5 peratus manakala bukan Melayu sekitar 49.3 peratus daripada 4.908 juta orang penduduk di Tanah Melayu (Cina 38.5 peratus dan India 10.8 peratus). Jika disatukan dengan Singapura (941,000 orang), ia akan menjadi sesuatu yang cukup menakutkan (Melayu 12.4 peratus, Cina 77.5 peratus dan India 7.5 peratus). Ini bermakna, Melayu (Tanah Melayu dan Singapura) sekitar 2.545 juta berbanding bukan Melayu seramai 3.217 juta orang orang.
Ia kemudiannya memunculkan istilah bandar Cina, merujuk kepada bandar-bandar yang mempunyai penduduk etnik Cina sebagai majoriti. Singapura dan Pulau Pinang dilihat seperti ‘dua saudara kembar’ dan kerana itulah stigma Pulau Pinang akan bertukar menjadi Singapura kedua cukup banyak diperkatakan. Ia membawa maksud, parti politik Melayu wajib berusaha untuk mengubah situasi tersebut, hingga kini UMNO tidak berjaya.
Ia menjadi lebih parah apabila BN ‘lenyap’ daripada kuasa politik di Pulau Pinang pada PRU ke-12 dan menjadi semakin terbeban apabila kedudukannya di kawasan parlimen majoriti Melayu bertukar kepada PH, yakni PKR yang merupakan parti multietnik dan seperti elergik untuk menyebut Ketuanan Melayu. Selepas PRU ke-15, UMNO cukup lemah dan kawasan- kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO telah runtuh (misalnya Kepala Batas, Gua Musang, dan Putrajaya).
Daripada 178 kerusi yang ditandingi (PRU ke-15), BN hanya mampu menang 30 kerusi (UMNO menang 26 kerusi). Ia merupakan prestasi terburuk dalam sejarah politik UMNO/BN. Ia lebih buruk daripada PRU ke-14 (BN memenangi 74 kerusi parlimen) yang dilihat menyamai kemenangan Perikatan Nasional. Pemilikian kerusi oleh UMNO turut dilihat semakin kerdil berbanding dengan apa yang dimiliki oleh PAS (49 kerusi parlimen). Keputusan PRU ke-15 menjadikan prestasi PAS menjadi lebih kuat dan gagah daripada UMNO yang pada suatu ketika dilihat sebagai ‘gergasi politik’. Kekuatan UMNO dan Bersatu dilihat seimbang, di mana Bersatu meraih 25 kerusi manakala UMNO 26.
Ada pelbagai tafsiran yang boleh dibuat untuk mencari salah atau punca kelemahan UMNO dalam tiga siri PRU yang berlaku selepas kemenangan besar pada PRU ke-11 (2004). PaAda PRU ke-11, BN menguasai kerusi yang cukup menggerunkan parti-parti lawan, termasuk PAS sendiri sehingga lanskap politik di Kelantan dilihat boleh berubah. Lantaran kemenangan besar UMNO/BN di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mencetuskan perang politik yang cukup hangat antara PAS dan UMNO.
Ia menjadi semakin hangat apabila Tun Abdullah dilihat ‘lost in transition’ dan pada PRU ke- 12 (2008), ia benar-benar menunjukkan ‘menguruskan kejayaan’ menjadi begitu sukar, BN hanya mampu menang 140 kerusi, hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, hilang kuasa di empat buah negeri (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor), gagal di Kelantan, dan akhirnya didesak untuk menyerahkan baton kuasa.
SEMAKIN MENGUNCUP
Keadaan menjadi lebih parah pada PRU ke-13, di bawah teraju Najib Tun Razak. Pada kebiasaannya, seseorang yang menduduki jawatan PM akan mencapai keputusan cemerlang pada PRU pertama pimpinannya, tetapi ia tidak berlaku semasa Najib. BN menjadi semakin menguncup dan hanya mampu menang 133 kerusi Dewan Rakyat, biarpun kembali kekal berkuasa di Kedah dan Perak (kerajaan PH tumbang kerana adanya ‘pembelotan’ – dua orang ADUN PKR dan satu ADUN DAP- pada Februari 2009, yakni selepas berkuasa selama 11 bulan, yang kemudiannya BN berjaya mengekalkan kedudukan.
Kemerosotan pengaruh UMNO/BN menjadi lebih ‘menakutkan’ selepas PRU ke-14 dengan kebangkitan peranan bekas PM ke-4, pemecatan Muhyiddin dan Shafie Afdal, kemunculan pakatan baharu (Pakatan Harapan), dan isu-isu yang cukup dilihat tiadanya ‘urustadbir yang baik dalam kerajaan’ dan juga politik.
Antaranya ialah skandal 1MDB, penggunaan perunding asing dalam aktiviti perhubungan awam dan promosi, kegilaan membentuk indeks dan pelaporan projek yang berdasarkan ukuran tertentu, elitisme sebahagian pemimpin UMNO menyebabkan alami kekalahan teruk dan terlucut kuasa.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments