Abu Bakar Muhammad ibn Yahya al-Sai’gh at-Tujibi as-Sarakusti, yang dikenali sebagai Ibnu Bajjah atau Avempace, Avenpace, juga Aben pace, berasal dari keluarga al-Tujib. Bagaimanapun, nama singkatnya yang popular adalah Ibnu Bajjah atau Ibnu Saligh.

Riwayat hidupnya sebagai ‘pencari, pengumpul, pengamal, dan penyebar’ ilmu hanya sedikit yang dapat diketahui secara lengkap. Beliau dikatakan anak kepada seorang tukang emas yang mahir dan dilahirkan di Saragosa, Sepanyol, menjelang akhir abad ke-5 H / ke-11 Masihi.

Semasa belianya, Ibnu Bajjah meneruskan pengajiannya di Saragosa, kerana ketika beliau melangkah ke Granada, beliau telah menjadi sarjana bahasa dan sastera Arab yang ulung serta menguasai 12 cabang ilmu pengetahuan.

Ibnu Bajjah menjadi terkenal sebagai salah seorang ahli falsafah Muslim Arab terbesar dari Sepanyol. Bahkan, Ibnu Khaldun mengakui bahawa ilmu beliau setanding dengan Ibnu Rusy di Barat, serta al-Farabi dan Ibnu Sina di Timur.

Menurut Ibnu Khaldun lagi, beliau tercatat juga sebagai salah seorang penyair dan beliau juga adalah orang yang bersama dengan Ibnu Thufayl yang melontarkan kritikan terhadap pendapat-pendapat Ptolemaios.

Keilmuan yang terpercik daripada kejernihan fikirannya terus memuncak apabila beliau menetapkan suatu sistem yang didasarkan semata-mata hanya pada siklus eksentrik dengan berdasarkan pada kosmologi Aristotles. Malah, Al-Biruni atau Alpetragius adalah salah seorang muridnya yang kemudiannya terkenal dengan teori “gerak spiral”.

Pada tahun 503 H / 1110 M, ketika Saragosa jatuh ke tangan Almoravid, Ibnu Bajjah ketika itu berusia 20 tahun, telah memegang jawatan sebagai Wazir kepada Gabenor Berber, Abu Bakr bin Ibrahim as-Sahrawi, yang lebih dikenali dengan nama Ibnu Tifalwit. Beberapa sumber lain juga ada menyebutkan bahawa beliau memegang jawatan Wazir bagi Kesultanan Furcia.

Kehidupan beliau begitu tragis apabila beliau dimasukkan ke dalam penjara selama beberapa bulan kerana dituduh sebagai pengkhianat. Pada waktu pembebasannya, beliau tidak kembali lagi ke Saragosa, tetapi ke Valencia dan ketika itu dikatakan bahawa Ibnu Tifalwit telah meninggal dunia pada tahun 510 H/ 1117 M.

Tidak beberapa lama kemudian, orang-orang Kristian telah menyerang dan berjaya menakluki Saragosa pada bulan Ramadan 512 H / Disember 1118 M. Setelah itu Ibnu Bajjah bersiap untuk kembali ke Sepanyol Barat (Seville). Bagaimanapun, menurut Ibnu Khaqan, Ibnu Bajjah ditangkap dan dimasukkan lagi ke dalam penjara oleh Almoravid Ibrahim bin Yusuf bin Tashutin.

Setelah bebas atas bantuan kakak Ibnu Rusyd, beliau kembali ke Seville. Dari Kota ini beliau merantau ke Fez dan meninggal dunia di sana pada bulan Ramadan 533 H / Mei 1139 M.

Sejarah mengenai catatan lengkap kehidupannya masih dapat diperoleh dalam buku Ibnu Khalikan, Biographical Dictionary, jilid 111 terbitan 1842 M. Begitu juga dalam biografi karangan Ibnu Abi Ushaybiah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh De Gayangs.

Menyentuh mengenai hasil karyanya, Ibnu al-Imam menyatakan bahawa penulisan Ibnu Bajjah amat terperinci, malah mencakupi psikik Aristotles, asas-asas fikiran al-Farabi dalam ilmu logik, serta karya penulisannya merangkumi bidang politik yang berjudul The Conduct of The Solitary (Arab: Tadbir al-Mutawahhid) dan Epistle on The Conjuction.

Dalam ilmu falsafah pula, Ibnu Bajjah menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal melalui perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.

Menurutnya lagi, ada perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah mempelajari ilmu-ilmu lain untuk membantunya memahami hal-hal yang berkaitan dengan metafizik.

Ilmu sains dan fizik misalnya digunakan oleh Ibnu Bajjah untuk menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibnu Bajjah, benda tidak mungkin wujud tanpa rupa, tetapi rupa tanpa benda mungkin wujud.

Minatnya yang mendalam mengenai soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan metafizik, jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra, dan sebagainya.

Catatan : Ibnu Hudzaifah

Translate »