Fitnah bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada individu atas kepalsuan fakta yang disebarkan, bahkan akan menyebabkan organisasi tidak lagi mendapat kepercayaan dan bakal menghancurkan peluang orang lain yang jujur dan bekerja dengan dedikasi. Bagi orang yang difitnah, ia akan mendapat aib yang besar dan akhirnya berlakunya permusuhan. Reputasinya bukan sahaja terjejas, moralnya terhakis pesonanya.
Disebabkan kesan buruk itulah Allah SWT menegaskan sebanyak 34 kali dalam al-Qur’an. Walaupun perkataan fitnah membawa erti yang berbeza-beza, Allah SWT memberikan ingatan kepada manusia bahawa berpunca daripada fitnahlah akan menyebabkan umat Islam berpecah belah, lunturnya keimanan seseorang dan boleh menyebabkan malapetaka yang lebih besar.Allah SWT turut memerintah agar fitnah itu bukan sahaja wajib dihindar, bahkan diperang berdasarkan kemudaratannya kepada agama: Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi.”(surah al-Baqarah:193).
Dalam hal ini Allah juga berfirman yang bermaksud: “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (surah an-Nur : 15)
Dalam ayat yang lain Allah juga berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian”) (Surah an-nur : 19)
Fitnah yang berleluasa akan menyebabkan manusia akhirnya diselubungi kesesatan dan sanggup pula menjual agama bagi meraih kesenangan kebendaan
Dalam pengertian seterusnya, Syed Hassan Ali Nadwi yang menjadi terkenal dengan buku tulisan mengenai sebab-sebab kemunduran umat Islam (Maza Khasiral Alam be Inhitat al- Muslim, yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam), al-Dajjal atau antichrist (bagi penganut Kristian) adalah perkataan Arab yang “menyediakan petunjuk kepada kefahaman tentang sifat-sifat, ciri dan watak sebuah konsep yang wajahnya mewakili kejahatan, kerosakan, kemurtadan dan permusuhan terhadap Tuhan.”
Sesuatu yang boleh dipanggil al-Dajjal ialah apabila “wajah luarannya jarang sekali mempunyai apa-apa kaitan dengan apa-apa jua isi yang terkandung di dalam; sama ada permulaan atau penghujungnya, objektif yang menjadi tujuan, kaedah yang digunakan bagi menghasilkannya atau ideal dan konsep indah yang diketengahkan; dan perilaku pendokongnya adalah berlawanan sama sekali dengan apa-apa yang dinyatakan.”
Mereka yang meminjam atau berlagak seperti al-Dajjal sentiasa berusaha membenarkan pendirian dan menolak semua pertimbangan nilai orang lain walaupun skala nilai tersebut adalah sesuatu yang boleh mempertahankan perpaduan dalam sesebuah organisasi. Disebabkan oleh dendam kesumat dan hati yang kecewa, tuduhan demi tuduhan dibuat sehingga imej yang disebarkan itu seolah-olah hampir benar.
Dalam mengatasi masalah sedemikianlah Syed Abul Hasan Nadwi memperpanjangkan tradisi dan amalan yang dilakukan oleh Rasullullah SAW dengan mengupas dengan baiknya kisah mengenai tujuh pemuda yang berselindung di sebuah gua. Kisah yang sama dikatakan bermual ketika tujuh pemuda itu terpaksa melarikan diri daripada hukuman pihak berkuasa kerana menjadi pengikut Nabi Isa a.s. Kemudian, kisah itu diulangi semula dalam al-Qur’an dan dinamakan surah al-Kahfi.
Surah al-Kahfi menjadi kisah pertentangan dua ideologi atau konsep yang tidak pernah berkesuduhan. Konsep pertama ialah mengenai ideologi kebendaan, yang berasaskan kehidupan materialistic dan lahiriah manakala ideologi kedua ialah kewujudan reality yang berada di luar tanggapan manusia, yakni rahmat Allah SWT. Dalam pertentangan itulah manusia lebih terpesona dengan ideologi kebendaan atau lahiriah sehingga sanggup menyebarkan pelbagai fitnah dan membodek. Orang yang menyebarkan fitnah itu tidak pernah bersyukur dengan apa yang diterima sebagai pemberian rezeki, bahkan disebabkan dendam kesumat, dia sanggup pula “memasukkan pasir dalam periuk nasinya sendiri.”
Jika pembodek disifatkan sebagai parasit dalam sesebuah organisasi, maka pemfitnah akan mempercepatkan proses kemusnahannya. Hakikat kemusnahan dan memecahbelahkan perpaduan merupakan matlamat al-Dajjal, kerana al-Dajjal bukan hanya hadir sebagai bangsa, ia hadir juga dalam diri manusia.
Fitnah dan bodek adalah dua kecenderungan terbesar al-Dajjal kerana dua tindakan itulah yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara beretika, berorganisasi, bermasyarakat dan bernegara. Hakikat berpolitik menjadi semakin kritikal dan kaedah mendapat kuasa semakin tidak terarah, kerana apa sahaja situasi mungkin boleh berlaku. Setiap orang semacam terasuk dan terhasut. Dalam keghairahan itulah macam-macam ada: fitnah, bodek, surat layang, video palsu, karikatur dan kata-kata kesat sehingga mengakibatkan maki hamun, pergaduhan dan pertumpahan darah.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments