Pengenalan

Mengetengahkan kembali metod pendekatan dakwah para Nabi sebelum dan Nabi Muhammad (SAW) sendiri di masa kini sangat perlu dan tepat berikutan kegawatan dunia semasa dan dunia Islam sekarang. Ini kerana para Nabi dan juga Nabi Muhammad sudah mengamalkan metod pendekatan dakwah yang penuh dengan hikmah berpandu wahyu, dan terbukti ia membawa manusia ke arah kebenaran dengan terhapusnya kejahilan dan kezaliman.

Sejarah menunjukkan Islam dapat mengubah manusia jahiliah kepada insan Islami dari sudut ruh, berminda moden, rasional dan saintifik dan sihat tubuh badan dari sudut fizikal. Islam menjadikan umat Arab dan Ajam menjadi manusia ‘rabbani’ (manusia yang seimbang dunia dan akhirah dengan berpandukan ajaran Islam). Dengan cabaran dunia semasa, terutama dari cabaran dari dunia Barat dan dunia terbuka termasuk seruan kepada globalisasi, liberalisme dan pluralisme menjadi mempengaruhi masyarakat umum. Walaupun ada kebaikan dan positif dalam seruan sebegini, tampaknya aspek negatif lebih menyerlah, membawa manusia kembali kepada ketundukan kepada hawa nafsu sendiri, penafian nilai dan norma hidup yang berasaskan agama dan lebih-lebih lagi penafian adanya Pencipta dan agama yang benar.

Namun kita tidak dapat nafikan seruan kembali kepada agama sudah lama sama ada bersekala besar dan kecil. Ini terbukti apabila kita mendapati agama Islam semakin mendapat sambutan besar, umatnya sudah mencapai angka 1.6 bilion dalam 2012. Walaupun begitu, berdasarkan anggaran penduduk dunia sekarang sudah mencapai angka 7.6 bilion pada Disember 2017, bilangan umat Islam dikira minoriti. Ini boleh membawa pengaruh negatif apabila majoriti bukan Islam mempengaruhi minoriti umat Islam.

Beberapa Pendekatan Dakwah

Pelbagai pendekatan dakwah diambil, misalnya dakwah secara damai, dialog dan perbahasan. Ada pula yang mengambil pendekatan keganasan, umpamanya kegiatan subervesif dan terrorisme. Menurut mereka, ada hujah dalam Islam membenarkan peperangan seperti ada “ayat al-sayf” dan sebagainya. Umat Islam sekarang macam terkapai-kapai mencari metod pendekatan dakwah yang mana perlu dipegang dan diaplikasikan dalam dunia sekarang.

Menurut Malik Bennabi, pendekatan yang diambil oleh Hasan al-Banna, pengasas Ikhwan al-Muslimun menepati metod pendekatan dakwah para Nabi. Namun, pengikutnya selepas itu tidak lagi mengikut secara betul pendekatan dakwah Hasan al-Banna, mengakibatkan berlaku pertarungan dan konflik antara pemerintah dan pendakwah. Walaupun begitu, ia tidak sampai kepada konflik besar seperti yang berlaku dalam revolusi Komunis yang membawa kesenggaraan dan pembunuhan ramai masyarakat. Pertarungan dalam negara Islam masih terkawal sejak dulu.

Akhir-akhir ini berlaku pertembungan besar-besar sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah sekarang, lebih-lebih lagi di Syria dan Iraq sekarang. Dengan sebab itu, metod pendekatan dakwah Nabi Muhammad dan Islam itu sendiri perlu diberi penekanan dalam mengembalikan umat Islam dan manusia sejagat ke arah kedamaian dan hidup bersama dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Hidup mereka menjadi lebih baik apabila ada sikap saling tolong menolong sesama sendiri dan ia berlaku dengan semangat penuh dengan kasih sayang.

Beberapa kajian semasa tentang dakwah bermula dari ‘Abd al-Karim Zaydan sebelum 1975 meletakkan metod pendekatan dakwah para Nabi untuk diambil perhatian. Ini jelas dalam bukunya Usul al-da ‘wah (1981; 2010), diikuti oleh Amin Ahsan Islahi dalam Call to Islam and How the Holy Prophets Preached (1982) dan Abdullah Muhammad Zin dalam Islamic Da’wah (Mission) (1991; 1995).

Metod Pendekatan Dakwah Para Nabi

Metod pendekatan dakwah Nabi berasaskan dan berpandukan metod wahyu, iaitu al-Qur’an dan Sunnah. Baginda juga disokong oleh sekumpulan sahabat yang setia dan penuh dedikasi dalam berdakwah. Bagaimana Nabi Muhammad (saw) dapat melaksanakan dakwahnya sehingga berkuasa menguasai separuh dunia? Ini merupakan aspek yang paling penting untuk difahami iaitu tentang sunnah Baginda dalam berdakwah atau metod pendekatan dakwah Baginda. Dalam artikel ini, isu yang dibawa adalah tentang (1) mesej yang dibawa Baginda, (2) Dengan siapa dakwah hendak dimulakan, dan (3) Cara Baginda menyeru orang yang didakwah (juga disebut sebagai mad‘u).

1. Mesej Dakwah Nabi Muhammad (SAW)

Dakwah Nabi Muhammad dapat dibahagikan kepada dua peringkat masa, iaitu peringkat Makkah dan peringkat Madinah. Di Makkah, mesej yang disampaikan Nabi mempunyai tiga elemen utama, iaitu: kepercayaan kepada Tuhan, kepercayaan Nabi dan kepercayaan dalam balasan di Akhirat. Dalam berdakwah, Nabi mengajak manusia untuk menerima kekuasaan Allah yang satu, tanpa ada sebarang sekutu dan juga menerima otoriti Nabi sendiri. Ini tersimpul dalam kalimah dua syahadat. Dakwah Islam bertujuan untuk menjadikan manusia merasa bertanggungjawab kepada Allah dalam setiap perbuatan dan tindakan mereka sama ada kehidupan di dunia atau Akhirat.

Di Makkah Rasulullah mengemukakan dakwah dengan secara bertemu muka dengan individu-individu tertentu termasuk keluarga sendiri yang memimpin masyarakat Makkah. Dalam pertemuan tersebut Baginda membaca ayat-ayat dari al-Qur’an. Baginda mengajak mereka supaya menerima kekuasaan Allah dan menerima Baginda sebagai Rasulullah. Baginda sangat menggalakkan mereka supaya menerima kehidupan akhirat selain kehidupan duniawi yang ada. Tentu sahaja ia melibatkan isu balasan baik dan jahat di akhirat nanti.

Tumpuan dakwah utama Baginda ialah menolak sembahan masyarakat Arab kepada berhala. Baginda memberi amaran kepada mereka bahawa berhala-hala yang disembah menyebabkan mereka dimasukkan dalam api neraka. Mereka bagaimanapun menolak mesej dakwah Baginda untuk menyembah Allah, Tuhan yang esa. Selain daripada Rasulullah, para Sahabat Nabi khususnya Abu Bakr, memainkan peranan yang besar dalam membina kerja berpasukan sehingga mereka digelar sebagai Sahabat. Selain umum kata Sahabat diambil dari kata Arab, “sahiba” bermaksud “berkawan, berapit, bersahabat dengannya.” (Marbawi, 333).

Di Madinah, Baginda mengambil pendekatan dakwah yang berbeza, iaitu menumpukan pembentukan masyarakat Islam berpaksikan undang-undang syariah. Antaranya pengenalan suruhan dan larangan, dan hukuman untuk jenayah. Baginda juga membenarkan usaha jihad dalam mengembangkan Islam. Pelaksanaan syariah dititikberatkan. Baginda juga mengajar bagaimana untuk berurusan dengan orang munafik yang mula timbul di Madinah dan hubungan dengan ahl al-kitab. Kesemuanya mengajar hubungan Islam dengan bukan Islam. Dalam peringkat antarabangsa pula, ia melibatkan hubungan antarabangsa seperti dengan kerajaan-kerajaan dan kuasa besar dunia semasa iaitu Byzantine dan Parsi. Nabi Muhammad menjadikan masjid sebagai pusat pemerintahan dan kegiatan masyarakat. Selain bangunan masjid Madinah atau Masjid Nabawi berfungsi sebagai tempat ibadat, ia juga merupakan tempat pertemuan, rumah tamu, parlimen, dewan persidangan, ruang sidang, kem latihan untuk Da’wah, Dar al- Nadwah dan banyak lagi.

Baginda juga membuat perjanjian Madinah (mithaq al-Madinah) dengan orang- orang Yahudi Madinah. Dengan ada perjanjian tersebut, kebiasaan dan sikap masyarakat Yahudi yang banyak melakukan kezaliman sesama sendiri dan melakukan tipu muslihat dapat dikawal dan dikurangkan. Nabi Muhammad merupakan pemimpin, penimbang-tara dan hakam yang diterima oleh semua pihak di Madinah. Perjanjian juga menyebut bahawa orang-orang Yahudi akan menyokong umat Islam di Madinah, jika mereka diserang dari luar dan sebaliknya.

Dari aspek yang lain, Nabi berusaha supaya persaudaraan (muwakhat) sesama Islam dipereratkan. Untuk mengekalkan impak sosio-ekonomi antara golongan Muhajirin dari Makkah dan sekitarnya, Rasulullah mencuba untuk menyerap mereka ke dalam masyarakat dengan membuat perjanjian persaudaraan sesama agama (intra-agama) antara goloangan Ansar (penolong), iaitu Muslim tempatan dengan golongan Muhajirin (Muslin pendatang) secara individu dan kumpulan. Ini merupakan asas kemasyarkatan yang terbentuk di Madinah. Dari sini Islam berkembang ke seluruh dunia.

2. Golongan Masyarakat Yang Menjadi Sasaran Dakwah Nabi

Secara umum terdapat beberapa golongan dalam masyarakat. Umumnya masyarakat terbahagi kepada dua golongan utama, iaitu golongan elit dan golongan awam. Golongan elit merupakan golongan yang berpengaruh dalam masyarakat. Ia juga disebut sebagai “al-mala’” dalam bahasa Arab. Mereka merupakan kumpulan kecil dalam masyarakat, terdiri pemerintah, tuan tanah dan bangsawan. Walaupun kecil, mereka ini berpengaruh kerana ada harta, kuasa dan kedudukan dalam masyarakat dan mereka juga menentukan jatuh bangun sesuatu masyarakat. Manakala golongan awam merupakan golongan yang terbanyak di dalam masyarakat. Mereka terdiri dari para pedagang, petani, pekerja dan sebagainya. Kebanyakannya mereka adalah rakyat biasa dan tergolong dalam kelas rendah atau bawahan. Mereka mudah dipengaruhi oleh golongan elit dan termakan dengan ancaman mereka.

Para nabi dibangkitkan untuk seluruh masyarakat tanpa memilih bulu. Walaupun begitu dakwah baginda ada permulaan tertentu dan ia terjelma dalam pemilihan sasaran dakwah para Nabi. Sekiranya kita mengkaji secara mendalam sejarah dakwah para Nabi, kita dapati mereka bukan menangani masyarakat secara lewa dan tidak sistematik. Mereka memilih sasaran dakwah secara betul. Perlu dinyatakan di sini, pemilihan tersebut berdasarkan wahyu dari Allah dan terlaksana sejak sejarah Nab-Nabi. Kajian mendapati dalam berdakwah, Baginda memulakan dengan kelas tertentu. Walaupun mereka bebas memilih kelas-kelas masyarakat yang tertentu, para Nabi tetap memilih satu golongan sebagai detik permulaan. Kalau ditanya, adakah para nabi memmilih orang biasa atau golongan elit (al-mala’), iaitu golongan yang berpengaruh dalam masyarakat. Kita menjawab benar.

Kita dapati pembaharuan (reform, islah dan sebagainya) mesti bermula dengan kelas tertentu dalam masyarakat. Permulaan yang buruk menyebabkan mesej menjadi masih berkesan atau sekurang-kurang bermasalah. Dan ini bukan pembaharuan. Sebagai contohnya, Komunisme bermula dengan memberi fokus kepad orang-orang miskin yang disebut proletariat. Mereka akhir menentang golongan borjuasi. Apa yang berlaku seterusnya ia perjuangan antara kelas. Ia mengakibatkan berlaku pembunuhan besar-besaran di Rusia dan China dalam perjuangan antara kelas tersebut. Adakah cara yang dilakukan golongan Komunis betul dan berjaya? Tentunya tidak. Ini kerana kita sudah dapati kejatuhan Komunis di Rusia dan juga China. Sekarang ini mereka melakukan pembaharuan pula. Berbalik kepada metod pendekatan dakwah para Nabi, sebenarnya mesej para nabi merupakan mesej kepada kepada para pemimpin hari itu. Ia merupakan pendekatan metod dakwah yang berkesan.

Sebagai contoh, Nabi Ibrahim (AS) mula-mula mensasarkan dakwah kepada keluarganya. Ini kerana keluarga Nabi Ibrahim mencapai kedudukan istimewa dalam masyarakat. Apabila keluarga baginda mendapat bimbingan agama, tentu sahaja masyarakat akan mencontohinya. Kemudian Nabi Ibrahim juga berbicara kepada raja. Ini jelas dalam Surah al-Baqarah, ayat 258, Allah berfirman: “Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujjah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? …”. Musa diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan mesej kepada Firaun pada zamannya dalam Surah al-Nazi’at, ayat 17-19, Allah berfirman: “(Lalu diperintahkan kepadanya): “Pergilah kepada Fir’aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); “Serta katakanlah kepadanya: ‘Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? ‘Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)?’” Nabi Isa pula berbicara kepada orang- orang yang berilmu di kalangan para paderi Yahudi (rabbi) dan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat.

Dengan cara yang sama, Allah memerintah Nabi Muhammad (SAW) untuk memberi amaran kepada keluarganya, orang Quraisy, kerana mereka memegang kuasa agama dan politik. Ini jelas dalam al-Quran, Surah al-Shu‘ara’, ayat 214: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” Rasulullah juga menyeru dan berdakwah kepada pelbagai raja melalui mesej ringkas, bertulis dan mempersembahkan Islam kepada mereka semasa di Madinah, antaranya: “Percayalah dan selamatkan, atau anda akan bertanggungjawab atas kesalah-pahaman anda sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah pengaruh anda dan mencari hidayah melalui anda.” Sebaik sahaja dakwah para Nabi ini memenangi hati golongan elit, ia menjadi penyebab kepada kejayaan mesej para nabi sehingga dapat mengubah pasang surut dakwah dan kesemua menjadi sumbangan ke arah kejayaan di kalangan para Nabi.

3. Bagaimana Cara Para Nabi Menyeru Orang yang Menjadi Sasaran Dakwah?

Sememangnya masyarakat pada mulanya tetap tidak responsif terhadap mesej para nabi, bahkan mereka pula menentangnya dengan kuat. Ini adalah fakta dalam sejarah dakwah para Nabi. Atas sebab tersebut perlu mereka memulakan atau menyeru dengan seruan baik kepada manusia seluruhnya tanpa mengguna istilah yang tertentu yang Nampak negatif. Ini jelas apabila para Nabi tidak menyeru dengan kata-kata seperti “O kamu kafir atau musyrik! Percaya kepada Tuhan”. Sudah tentu para Nabi ini menyeru mereka dengan cara yang berbeza. Cara mereka berurusan dengan orang menjadi sasaran ialah dengan seruan yang baik, contohnya, “Wahai manusia, wahai ahli Kitab, wahai orang-orang yang beriman.” Sebagai contohnya, Nabi Ibrahim menyeru bapanya, bangsa dan raja yang memerintah tanpa menunjukkan bahawa mereka adalah orang-orang kafir. Hanya selepas tempoh yang panjang Allah mengisytiharkan ketidak-percayaan mereka seperti terkandung dalam Surah al-An’am, ayat 4: “Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan- keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).” Nabi Muhammad juga tidak pernah memanggil umatnya sehinggalah sampai peringkat akhir sebelum hijrah dengan perkataan orang kafir seperti terkandung dalam Surah al-Kafirun, ayat 1: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!.” Itupun selepas Allah mewahyukan ayat ini dan selepas jelas mereka enggan beriman, malah berusaha membunuh Nabi sendiri. Seruan akhir ini juga bagi membina jati diri seorang Muslim dan pengisytiharan tersebut juga menanda dakwah Nabi peringkat pertama sudah berakhir dan memasuki peringkat kedua, iaitu peringkat ‘ismah’ atau imuniti (peringkat kelepasan dari tanggungjawab selepas sempurna dakwah) dan hijrah. Malah kepada orang munafik, Nabi masih memanggil mereka dengan seruan “Wahai orang-orang yang beriman.”

4. Dakwah Para Nabi Kepada kebenaran Melalui Tiga Peringkat Utama untuk Mencapai Kejayaan

Kejayaan dakwah para Nabi juga melalui berbagai peringkat sebelum mendapat kejayaan. Hal ini jelas dalam pendekatan metod Nabi Muhammad sendiri dan juga para Nabi sebelum baginda.

Kejayaan tercapai apabila setiap peringkat yang dilalui mencapai tahap kesempurnaan. Sekiranya tidak, dakwah tidak akan berjaya. Dengan kata lain, setiap peringkat perlu dilalui terlebih dahulu. Para Nabi sememangnya mengambil-kira semua peringkat tersebut dalam metod dakwah untuk mencapai kejayaan.

Menurut Islahi (1982) peringkat-peringkat itu terbahagi kepada tiga peringkat utama, iaitu (1) peringkat dakwah kepada kebenaran (a call to the truth) (2) peringkat kekebalan atau pengecualian dari tindakan dan kritikan, dan hijrah (immunity and migration) dan (3) perjuangan bersenjata (armed struggle).

 

i) Peringkat Dakwah kepada Kebenaran

Para Nabi memulakan dakwah terhadap mereka yang elit dan berkuasa (al- mala’). Bagaimanapun, kebanyakan golongan elit menolak dakwah para Nabi pada peringkat ini atas faktor-faktor tertentu seperti kesombongan mereka, hasrat untuk berkuasa dan menjadi terkenal, dan keadaan mereka yang hidup dalam kejahilan. Mereka yang menerima dakwah para Nabi mendapat halangan dari mereka yang berkuasa. Contohnya, apabila ada di kalangan orang muda menerima kebenaran Islam, mereka mula dicuba dengan pelbagai cara bagi menghalang mereka dari mengikut dakwah para Nabi.

Halangan ini termasuklah (i) Ibu bapa melahirkan kebencian kepada mereka. Mereka diberi pilhan sama ada mentaati ibu bapa dan ketaatan kepada Tuhan, Nabi dan ajaran agama. (ii) Mereka menghadapi kesukaran hidup apabila sumber ekonomi disekat. Pilihan diberi untuk hidup senang atau mencintai Tuhan dan menderita dalam ketaatan tersebut. (iii) Seterusnya mereka menghadapi penindasan politik dari pihak berkuas (Lihat umpamanya, surah al- Baqarah, ayat 214). Penindasan politik itu mereka hadapi dengan keberanian moral. (iv) Mereka menawarkan kompromi dan perundingan. Kedua-dua pihak berunding untuk berkompromi, iaitu untuk mengakhiri perjuangan dakwah. Secara umumnya kompromi tidak harus berlaku dalam perkara prinsip agama (Lihat umpamnya, Surah Yunus, ayat 104-105; Surah Hud, ayat 112-115). Kompromi hanya boleh juga diterima sekiranya kezaliman dapat ditentang secara berhikmah. (v) Mereka juga diberi tawaran dengan apa saja yang keinginan manusia dalam kehidupan dunia seperti kekayaan yang banyak, kedudukan tertinggi dan wanita. (vi) Sekiranya mereka masih lagi tidak mengendahkan tawaran-tawaran di atas, penindasan dengan kekerasan mula dilakukan. Ini adalah babak akhir untuk menghancurkan, membunuh para nabi dan membasmi mesej dakwah dengan satu tamparan kuat untuk memghapus dakwah agama tersebut. Ia dilakukan dengan penuh kelicikan. Sebagai contohnya, Nabi Ibrahim (AS) dibakar, Nabi Isa (AS) dihukum salib dan cubaan membunuh Nabi Muhammad (SAW) sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

(vii) Akhirnya adalah mustahil untuk pendokong dakwah untuk hidup dalam masyarakat yang penuh dengan kebencian dan perancangan jahat sedemikian. Peringkat dakwah ini berakhir dengan para Nabi mengisytiharkan imuniti dari bertanggungjawab dengan kesalahan mereka dan terpaksa berhijrah ke tempat yang lebih kondusif untuk dakwah.

ii) Imuniti dan Hijrah

Untuk berhijrah bukan perkara mudah tanpa ada perancangan tertentu. Lebih- lebih lagi hanya Allah yang mengizinkan dan menentukan masa dan tempat melalui wahyu yang disampaikan kepada Nabi selepas peringkat pertama dakwah kepada kebenaran sudah sempurna, tetapi penentangan sampai ke peringkat tiada kompromi lagi. Allah memberi imuniti kepada Nabi dengan tidak lagi mencela atau menyalahkan Nabi sekiranya Allah ingin membinasakan kaum tersebut.

Berikutan itu Allah membenarkan Nabi untuk berhijrah ke tempat yang ditentukan. Sekiranya dikaji lebih mendalam, ada terdapat beberapa prinsip utama untuk berhijrah, antaranya:-

  • Hijrah tidak perlu untuk setiap pendakwah tetapi diizinkan sekiranya ada keperluan dan mengikut keadaan.
  • Halangan biasa tanpa merbahayakan nyawa tidak boleh menjadi alasan untuk berhijrah.
  • Berhijrah dengan tujuan yang benar, iaitu berhijrah dari kebatilan kepada kebenaran, dan bukannya kerana takut kepada penindasan atau penentangan semata-mata.

Selain itu terdapat objektif yang besar di sebalik hijrah, antaranya ialah:-

  • Untuk membersihkan hati para da’i dalam menerima kebenaran. Mereka yang benar-benar ikhlas yang akan meneruskan usaha dakwah.
  • Untuk melatih para pengikut kebenaran dengan suasana kebebasan yang sepenuhnya. Dengan ini mereka dapat mempersiapkan diri dengan segala kekuatan yang ada dan juga membentuk budaya yang baik dan kepemimpinan yang bertanggungjawab.
  • Untuk memenuhi tuntutan fahaman akal dan mental
  • Untuk menjadi usaha terakhir dalam membuka minda dan hati penentang untuk menerima Islam. Orang-orang yang berhijrah (muhajirun) sanggup meninggalkan status sosial, rumah, anak-anak, kampung halaman dan sebagainya demi ketaatan kepada Tuhan.

Sememangnya apabila prinsip dan objektif hijrah difahami dan diamalkan dalam gerakan dakwah, natijahnya ialah kebatilan akan terhapus dengan segera atau secara beransur-ansur dan keduanya, mesej kebenaran akan tersebar dan berkembang dengan penuh kekuatan

Perlu difahami ini adalah peringkat kedua dalam metod pendekatan dakwah para Nabi. Ia tidak perlu dilakukan apabila peringkat pertama sudah sempurna dan masyarakat sudah menerima Islam.

iii) Perjuangan Bersenjata

Selepas berlaku hijrah dan kekuasaan Islam diterima masyarakat, para Nabi menyusun masyarakat menurut undang-undang Islam sebagaimana yang berlaku di Madinah. Akibat dari rasa cemburu dengan kejayaan nabi dan umat Islam, ancaman keselamatan berlaku dari golongan Quraysh di Madinah. Islam akhirnya membenarkan perjuangan bersenjata dalam mempertahankan agama dan tanah air. Peringkat ini hanya datang apabila tamat peringkat dakwah kepada kepada kebenaran dan hijrah berakhir.

Terdapat beberapa syarat untuk sebelum perjuangan bersenjata atau jihad dibenarkan Islam, antaranya ialah:-

  • Mesej kebenaran mestilah secara konsistent dan berkesan telah disebarkan dan dilaksanakan kepada orang-orang yang diisytiharkan perang terhadapnya.
  • Perang ini digerakkan oleh orang-orang yang berada di jalan kebenaran (people of truth, ahl al-haqq).
  • Jihad mesti dilaksanakan di bawah kepimpinan yang berkuasa dan berwibawa (termasuk nabi dan khalifah) dan arahan mereka dipatuhi sepenuhnya.
  • Jihad ini bertujuan pencapaian kuasa dan mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri dan melancarkan peperangan.

Kesimpulan

Ketiga-tiga peringkat ini perlu dihayati oleh pendakwah (da‘i), pendokong gerakan Islam dan individual yang mencebori bidang dakwah. Antara kesilapan sekarang ialah pemilihan sasaran dakwah (mad‘u) yang salah dan kurang tepat sehingga dakwah menjadi tidak efektif di samping penghayatan kepada metod pendekatan Dakwah tidak sepenuhnya. Ini membawa kepada kegagalan dakwah di Malaysia dan seluruh dunia.

Rujukan

Abdullah Muhammad Zin (1995). Islamic Da’wah (Mission): The Defination,

Conception & Foundation. Cetakan pertama 1991. Kuala Lumpur: Pustaka Antara

Islahi, Amin Ahsan (1982). Call to Islam and How the Holy Prophets Preached. Cetakan pertama 1978. Safat, Kuwait: Islamic Book Publishers

Zaydan, ‘Abd al-Karim. (1981). Usul al-da‘wah. cetakan ketiga 1975. n.p: Maktabah al-Manar al-Islamiyyah; (2010). Usul al-da‘wah. Beirut: Resalah Publishers

Translate »