Dalam bukuBilik-Bilik Cinta Muhammad: Kisah Sehari-hari Rumah Tangga Rasulullah SAW, Dr Nizar Abazhanmengisahkan sebegini: “Cinta adalah rahsia kebahagiaan hidup rumah tangga. Rumah tanpa cinta, bagaikan tubuh tanpa roh.Ketika penghuni sebuah rumah kehilangan cinta, hidup mereka berada di hujung tanduk.

“Di atas fondasi [semangat atau membina nilai] cinta inilah rumah Rasulullah berdiri.Cinta yang memenuhi hati seluruh isterinya tanpa terkecuali.Bukan hanya cinta sebagai seorang Nabi, tetapi sebagai seorang suami yang sangat berkesan.Suami yang ketika di rumah memberi keteduhan, dan ketika pergi meninggalkan rindu dan sedih di hati.

“Hal itulah yang menyebabkan setiap ‘ibu kaum mukmin’ itu bersaing untuk memperoleh redha Rasulullah, merebut hatinya, dan menjadi pemilik cinta baginda satu-satunya.Mereka semua hidup bahagia bersama-sama baginda sejak hari-hari pertama perkahwinan sehingga detik memilukan berpisah dengan baginda.”(Dr Nizar Abzahan, edisi terjemahan dari bahasa Arab, Fi Bayt al-Rasul oleh Asy’ari Khatib, Johor Bahru: Pustaka Azhar, 2013, hal. 235).

Untuk mencari makna ‘cinta’, saya terkenangkan sebuah pendekatan yang cukup menarik pernah ditulis oleh al-Ghazali berbanding pakar-pakar psikologi yang pernah membuat kajian dan mengungkapkan pelbagai kesimpulan mereka, tetapi dalam praktisnya, ada pelbagai kegoncangan teorinya.Ungkapan cinta yang indah tidak mampu menyelesaikan pertelingkahan, konflik dan pengurusan emosi walaupun yang memberikan nasihat itu adalah “kaunselor perkahwinan yang profesyenal dan berdaftar.”

Kita mungkin boleh bertanya kepada kaunselor perkahwinan, berapa ramaikah pelanggan yang menemui mereka dan mendapat nasihat sedia kembali kepada pasangan masing-masing berbanding yang mengambil keputusan ‘membubarkan perkahwinan’ , tanpa mempersoalkan berapa lamakah tempoh perkahwinan itu dimulai. Dengan istilah yang mudah, berapa ramaikah pasangan yang dapat diselamatkan (disatukan semula) berbanding dengan jumlah pasangan yang bercerai sebagai ‘jalan terbaik’?

Al-Ghazali ketika menulis al-Mahabbah wa al-Syawq wa al-Uns wa al-Ridha mengungkapkan, untuk memahami dan menghayati makna cinta, kita perlu mengetahui hakikat, syarat dan penyebab cinta. Prinsip pertama cinta, ialah mengenali terlebih dahulu objek yang dicintai itu, sebelum mendeskripsikan cinta. Ia penting kerana manusia:”…hanya mencintai apa yang ia kenal. Cinta itu sendiri juga tidak pernah dialami oleh benda-benda mati (bukan hidup). Cinta hanya dialami oleh benda-benda hidup yang sudah terlebih dahulu mengenaliobjek yang dicintainya,”  iaitu: (1) objek yang sesuai dan seirama dengan naluri kemanusiaannya, yang boleh menimbulkan perasaan puas dan nikmat; (2) objek yang bertentangan atau berlawanan dengan naluri kemanusiaannya, yang menimbulkan perasaan pedih dan sakit (benci, kecewa atau putus harapan); dan (3) objek yang yang tidak menimbulkan pengaruh atau kesan terhadap naluri kemanusiaan, tidak ada nikmat atau kepuasan dan menimbulkan apa-apa makna.

Simpul al-Ghazali: “Jika objek itu menimbulkan kesan kenikmatan dan kepuasan, ia pasti akan dicintai. Jika objek itu menimbulkan kesan yang menyakitkan, ia pasti akan dibenci. Dan, jika objek itu tidak menimbulkan kesan apa-apa, ia pasti tidak akan dicintai dan dibenci.” (al-Ghazali, Rindu Tanpa Akhir: Metod Mendidik Jiwa Agar Cinta, Ridha, dan Damai Bersama Alllah, edisi terjemahan dari  al-Mahabbah wa al-Syawq wa al-Uns wa al-Ridha oleh Asy’ari Khatib, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, cetakan ke-III, 2007, hal.20-21)

Prinsip kedua ialah mengenai ‘ragam cinta’. Disebabkan cinta muncul selepas mengenali objeknya, maka cinta memiliki kepelbagaian ragam, ‘sesuai dengan objek yang dikenal dan diketahuinya serta indera yang ada. Setiap indera hanya mengenal hanya satu jenis objek.Kerana menemukan rasa nikmat, naluri yang sihat pasti menykai sesuatu itu.Jadi, sesuatu itu adalah objek yang dicintainya.

Nikmat yang dirasakan indera penglihatan [mata] adalah memandang dan mengetahui objek yang indah serta gambar atau lukisan yang bagus, elok dan mengesankan [seperti potret Monalisa lukisan Leonardo da Vinci atau Salvador Dali dengan The Burning Giraffe].Nikmat yang dirasakan oleh indera pendengaran [telinga] seperti mendengar simfoni yang indah dan menggetarkan [sukma/emosi, seperti muzik, loceng alam waktu subuh – kicauan burung, kokokan ayam dan sebagainya].Nikmat yang dirasakan oleh indera perasa [sense of taste, yang disumbangkan oleh lidah] terhadap makanan yang lazat [delicious, yang menimbulkan pelbagai reaksi seperti pedas, tawar, masin, manis dan sebagainya sehingga keenakan atau memutuskan selera]. Misalnya, kita cukup terpengaruh dengan ungkapan “sehingga menjilat jari” dan sebagainya yang digunakan dalam kempen menu KFC.Nikmat yang dirasakan oleh indera bau[smelling] apabila tercium aroma, harum ataupun busuk.

Dalam hal ini, ramai yang melihat bau harum [wangi-wangian] boleh menimbulkan suasana ‘sense of attraction, rasa terpikat dan ghairah’ sehingga industri kosmetik cukup besar berkembang dan meraih keuntungan yang lumayan. Bahkan, ia turut mempengaruhi penggunaan bahan-bahan sampingan di rumah agar berbau harum dan boleh menimbulkan ‘suasana romantik.” Suasana romantik dalam kehidupan keluarga atau rumah tangga akan dibincangkan secara mendalam, kerana ia menjadi sebab tidak bertahan atau berkekalannya kasih sayang antara pasangan.

Tidak ada romantisme’ adalah fenomena yang berlaku setelah sekalian lama berkahwin sehngga menimbulkan perasaan jemu dan bosan di antara salah seorang atau kededuanya. Sebaliknya, apa yang sepatutnya ialah ‘rumah tangga yang bahagia sentiasa disirami dengan rasa kasih sayang, dimotivasikan oleh perhubungan yang romantik pasangan setiap ketika’ dengan syarat tidak berlebihan atau ekstrem. Semakin lama bersama, semakin bahagia dan kerana itu adalah penzahiran terhadap azam “sehidup semati” atau ‘cinta sepanjang usia.”

Ia penting, menurut al-Ghazali : …masing-masing objek yang dikenal [atau dikesan] oleh pancaindera itu menimbulkan kenikmatan tersendiri, ia pun dicintai oleh indera itu. Ertinya, naluri sihat kita menyukainya.Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda: Ada tiga hal yang aku cintai dari dunia ini: parfum (wang-wangian), wanita dan kenikmatan dalam shalat.” (a-Nasa’i, melalui Anas bin Malik tidak terdapat perkataan ‘tiga’). Parfum dirasai oleh indera bau (smelling), wanita dirasainya ‘nikmat’ menerusi indera ‘penglihatan dan sentuhan’ manakala shalat nikmatnya diperoleh oleh indera yang lain, iaitu indera keenam, hati. Kerana itulah “orang yang mempunyai ‘hati’ yang dapat merasakan ‘nikmatnya shalat’”.

Walau bagaimanapun, menurut al-Ghazali lagi: Indera yang lima [lihat, rasa, sentuhan, dengar dan bau] dimiliki bak oleh manusia dan juga binatang. Apabila cinta hanya sebatas apa yang dikenali oleh pancaindera, maka mungkinkah Allah SWT dicintai, sementara Dia tidak dapat dikenali lewat pancaindera dan tidak dapat digambarkan dalam khayal? Lebih lanjut, jika kita mengandalkan pancaindera, maka apa ciri khas manusia sebagai makhluk? Manusia itu istimewa kerana dilengkapi dengan fasilitas istimewa berupa indera keenam berupa akal, nur, hati, ataupunapa pun istilahnya.

Dengan demikian, pandangan mata batin jauh lebih kuat dibandingkan pandangan mata lahir [zahir].Hati memiliki kemampuan mengetahui yang jauh lebih besar dibandingkan mata.Keindahan rohani yang diperoleh dengan kekuatan akal jauh lebih mengesankan dibandingkan keindahan gambar atau lukisan yang ditangkap indera penglihatan.Maka, dapat dipastikan bahawa kenikmatan yang dirasakan hati – setelah ia mengetahui pelbagai keagungan dan ketuhanan yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera – jauh lebih sempurna dan lebih memuncak. Tidak hairanlah bahawa kecenderungan naluri dan akal sihat kepada yang demikian itu pasti lebih kuat.Dan, cinta tidak dapat diertikan selainnya kecuali sebagai kecenderungan atau kesenangan terhadap sesuatu yang diketahui boleh memberikan kenikmatan.”

Prinsip ketiga ialah mengenali untuk siapa cinta itu diberikan: Manusia jelas mencintai dirinya sendiri. Jika ia mencintai orang lain, itu pun demi dirinya sendiri. Bolehkah digambarkan dalam fikiran kita, manusia mencintai orang lain demi orang lain, bukan demi dirinya sendiri? Saya yakin masalah ini sukar difahami oleh orang yang kualiti pemikirannya masih dangkal. Bahkan, bagi orang yang sedemikian, sungguh tidak masuk akal membayangkan seseorang yang mencintai orang lain demi orang lain itu.

“Tidak ada timbal balik apa pun terhadap orang yang mencintai itu kecuali semata-mata dia kerana dia mengenali orang lain yang dicintainya. Pada hal, sebenarnya ini jelas ada dan masuk akal bila diselami lebih jauh dengan mengetahui faktor dan ragam cinta: (1) kecenderungan mencintai diri sendiri; (2) kebaikan atau nilai positif sesuatu; (3) wujud sesuatu ‘objek’ yang dicintati; (4) kualiti keindahan dan kebaikan yang dicintai; dan, (5) keserasian yang tersembunyi antara yang mencintai dan yang dicintai.” (al-Ghazali, 2007, hal.21-39). Huraian dan perbincangan lebih lanjut mengenai ‘cinta’ akan dikupas dalam rencana berikutnya “Falsafah Cinta” dan “Falsafah Keluarga”.

Dalam rencana ini, saya berusaha untuk memberikan makna cinta dengan memetik tulisan al-Ghazali untuk menjawab salah satu serangan virus rumah tangga yang menjadi kes contoh ‘tidak ada romantis’ dalam hidup berkeluarga sebagaimana dipaparkan oleh Asma’ Khalil dan Amir Syammakh. Sana’ mengadu bahawa suaminya adalah ‘seorang yang serius’, terpelajar dan cerdas, tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami tetapi tidak ‘memahami bahasa cinta’. Hidup sebagai pasangan dalam keluarga, bersama-sama anak-anak seolah-olah memenuhi tanggungjawab zahir, walhal iklim rumah tangga perlu dibajai dengan aspek-aspek yang lain termasuk psikologi – rasa hormat, disayangi dan menyayangi, dan saling menghargai.

Akibatnya, Sana’ semakin lama semakin merasakan “seolah-olah aku sedang bekerja sebagai pendidik anak-anak dari suamiku ini.Aku rasa seolah-olah aku ini bukanlah isterinya dan bukan ibu dari anak-anaknya ini.Perasaan ini semakin bertambah setelah kejadian terakhir ini. Aku pun bukan tahu apa yang harus kulakukan. Yang aku perlukan ialah tidak lebih dari sekadar memperlakukanku sebagai wanita yang mempunyai perasaan. Sungguh, aku sangat mencintainya, dan aku rela melakukan apa sahaja yang ia suka, Akan tetapi, ia justeru selalu berpaling dariku. Dan. hal tersebut justeru yang membuatkan cintaku padanya semakin kendur.Aku sudah berusaha keras untuk menjauhkan darinya, namun seperti yang kukatakan, aku tidak mampu.Maka, jadilah aku seperti ini…berada dalam kemelut yang sangat memilukan.”  (Asma’ Khalil dan Amir Syammakh, 40 Virus Rumah Tangga,  2009, hal. 62).

Ada pelbagai teori mengenai tingkahlaku tersebut, termasuk juga cadangan untuk mengatasinya yang pernah kita dengar, baca dan tonton dalam pelbagai program televisyen sama ada dalam bentuk wawancara, diskusi, nasihat agama dan juga secara subliminialnya, daripada siri drama fiksyen. Namun, apa yang penting ialah bagaimana membentuk sebuah keluarga yang bahagia, menyelami makna perkahwinan dan kehidupan berkeluarga, kerana falsafah perkahwinan dalam Islam, bukan sekadar memenuhi tuntutan (naluri) haiwan sebagaimana diberikan perbandingan oleh al-Ghazali, yakni perlu menjaga dan memelihara hati pasangan.

Dalam hidup secara berpasangan-pasangan, sebagaimana difitrahkan oleh Allah SWT daripada penciptaan manusia (makhluk) sangat diberikan penekanan yang jelas terhadap makna ‘saling mengenali’.Saling mengenali ini bukan sekadar mengenali pasangan kita secara zahirnya, juga perlu difahami sifat-sifat fizikal, biologi dan psikologinya.Secara fitrahnya, lelaki disifatkan oleh John Gray datang dari planet Mars manakala perempuan dari planet Venus, yang kemudiannya memulakan kehidupan di planet bumi. (Baca, Joh Gray, Men Are from Mars, Women Are from Venus, 1992 dan John Gray, Why Mars and Venus Colliade, 2008). Mereka berasal daripada planet berbeza. Hal ini dapat kita fahami kerana ada peribahasa Melayu yang cukup indah mengilustrasikan sebegini: Ikan di laut, asam di darat, di dalam periuk mereka bertemu. Setelah sama-sama berada di dalam periuk, lalu dimasak, maka masakan itu menghasilkan menu yang lazat dan cukup berselera, bukan berselerak.Selera meningkat dengan ditambah garam, pedas, bawang putih, lengkuas mahupun asam keeping, yang menghasilkan menu popular masakan Pantai Timur, singang [singe].

Dalam Islam digambarkan bahawa ‘seorang lelaki’ wajib memperbetulkan ‘tulang yang bengkok’ kerana mempercayai bahawa Hawa dicipta daripada ‘tulang rusuk Nabi Adam AS’, ketika Adam AS sedang tidur. Allah SWT berfirman, bermaksud:

Wahai sekalian manusia!Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya -zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai. Dan, bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silat’ur-rahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” (an-Nisa, ayat ke-1).

Ini tidak bermakna, dalam diri seorang perempuan ‘semuanya bengkok’ dan semuasikap, pendirian dan tingkahlaku lelaki adalah ‘betul dan benar’.Setiap daripada mereka ada kelebihan juga kekurangan,  di mana kelebihan dan kekurangan itu boleh dilengkapkan bila masing-masing hidup bersama sebagai pasangan yang sah. Apa yang penting ialah saling memahami perbezaan yang disengajakan oleh Allah SWT agar manusia mengenali dan memahami tujuan kenapa dijadikan berpasang-pasangan. Gender yang berbeza itu untuk saling melengkapi dan bertoleransi dalam bingkai kehidupan yang harmoni dan disirami dengan nilai-nilai agama.

Secara fitrahnya, John Media berjaya mengungkapkan beberapa ciri perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam kerangka biologi (fitrah) dan juga psikologi, yang mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan pemahaman serta keinginan estetika (John Medina, Brain Rules: 12 Principles for Surviving and Thriving at Work, Home and School, 2013) manakala Derek Llewellyn-Jones dalam perspektif gineakologi, kajian perubatan mengenai penyakit dan organ wanita (Everywoman: A Gynaecological Guide For Life, 1971 atau versi terjemahan bahasa Melayu, Rahsia Wanita: Satu Panduan Ginekologi Untuk Kehidupan, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1981).

Buku-buku ini memberikan kita kefahaman mengenai perbezaan antara lelaki dan wanita, dan bagaimana mengharungi kehidupan berkeluarga kita boleh mengimbanginya untuk mewujudkan suasana rumah tangga yang bahagia, baik dalam pemahaman zahir dan batin. Setelah seseorang lelaki melafazkan akad nikah, dan seorang wanita memahami makna ‘ijab kabul’ itu, setiap daripada mereka perlu memahami dan berusaha untuk saling melengkapi.Sebagaimana dijelaskan oleh beberapa penemuan psikologi– termasuk psikologi tingkah laku – wanita ada kelebihan yang cukup berbeza berbanding lelaki, terutama dalam memaknakan penghayatan cinta.Juga dalam kamus Islam, setelah selesainya akad nikah maka bermulalah era kehidupan rumah tangga yang sangat berbeza dengan alam remaja atau zaman bujang (hidup berseorangan atau sebagai duda atau janda/balu).

Bagi lelaki, persepsi cinta atau kasih sayang hanya lebih tertumpu kepada ‘hubungan intim’ atau ‘kehidupan seksual’ manakala bagi wanita, kasih sayang itu ialah memahami keinginan, layanan, rasa hormat dan penghargaan dari seorang suami. Itulah yang berlaku antara Sana’ dan suaminya, kerana ‘hati’ antara mereka berbeza, sikap dan pembawaan yang tidak serasi.Sebagai ‘ketua keluarga’ seharusnya suami Sana’ menghargai peranan seorang isteri, yang juga seorang ibu kepada anak-anaknya, bukan hidup dalam ‘khayal bersendirian’. Inilah yang dinamakan empati dalam rumah tangga, antara pasangan saling hadir rasa hormat, syukur dan memenuhi tuntutan psikologi, kerana wanita sangat memerlukan ‘pujian’ dan penghargaan dari orang yang disayangi, yang diterjemahkan sebagai ‘suasana romantik’.

Suasana romantik itu bukan semata-mata dalam bentuk ‘hubungan seks’,  ia melangkaui cara pasangan itu berinteraksi, bergurau senda dan saling bekerjasama termasuk dalam memenuhi tuntutan berumah tangga, seperti membantu mengemaskan rumah, membasuh pinggan mangkuk, bermain dengan anak-anak, bersembang-sembang dan bergurau senda. Bahkan, Nabi Muhammad SAW membahagiakan isteri-isterinya dengan bergurau senda, sebagaimana diceritakan oleh Aisyah RA.

Cerita Rasulullah, pada zaman Jahiliyah terdapat seramai 11 wanita berkumpul untuk berceritakan mengenai suami mereka, tanpa berbohong. Setiap orang menceritakannya dengan jujur dan berterus-terang, dan cerita wanita kesebelas, iaitu Ummu Zar’, suaminya seorang yang bertanggungjawab, menyayangi (caring) dan melayaninya dengan baik.(Untuk memahami cerita setiap orang wanita itu, baca, Kisah Teladan Ummu Zar’i yang Menutupi Aib Suaminya dalam https://dalamislam.com/hukum-islam/pernikahan/kisah-teladan-ummu-zari-yang-menutupi-aib-suaminya).

Selepas Rasulullah SAW bercerita, Aisyah berkata: Eggkau jauh lebih baik bagiku, wahai Rasulullah dibanding Abu Zar’”. Dalam riwayat yang lain, Aisyah berkata: Nabilah yang bersabda kepadanya: Bagimu aku lebih dibanding Abu Zar’ bagi Ummur Zar”.

Sosok Ummu Zar’ merupakan sosok peribadi seorang isteri yang sholehah, sangat menjaga kehormatan diri dan keluarga.Tidak mencerita atau menyebarkan keburukan suaminya (Abu Zar’), hanya menceritakan keaibannya sendiri (self-guilty).Inilah yang sangat dituntut oleh Islam bagi menjamin keharmonian rumah tangga.Tetapi tidak bermakna kelakuan melampau suami perlu dipertahankan, sehingga wanita menjadi sebuah watak yang ‘sadis’ dan ‘mangsa tragedi keganasan rumah tangga’.

Islam melarang seorang suami menyiksa isterinya, sama ada dalam perspektif fizikal, mental atau emosi. Sebaliknya, berdasarkan teladan Nabi Muhammad SAW, kita wajar melihat dan mempraktikkan bagaimana baginda mengatasi pelbagai cabaran sepanjang kehidupan berumah tangga, termasuk ketika isteri-isterinya ‘kecewa’ tidak mempunyai makanan yang mencukupi, perabot yang gah walhal Nabi Muhammad adalah seorang ketua atau pemimpin masyarakat Islam yang semakin membesar dan berpengaruh. Nabi Muhammad SAW mempunyai sikap yang berbeza, bahkan sanggup menahan lapar dan menyerahkan apa-apa yang dimilikinya untuk keperluan ‘orang miskin’.

Hidupnya cukup sederhana: tidur tanpa beralaskan tilam yang empuk, hidup di rumah yang cukup sederhana, sebagaimana ditulis oleh Dr Nizar Abazhan: Ibu segenap kaum mukmin mendesak agar Rasulullah SAW diberikan nafkah yang cukup. Namun, baginda tetap bertahan.Bahkan setelah desakan semakin bertubi-tubi, baginda segera bersikap tegas.Baginda tinggalkan mereka semua, menjauhi mereka dan memutuskan hubungan dengan mereka.Baginda berikhtikaf seorang diri.Khabar Rasulullah meninggalkan isteri-isterinya menggemparkan kaum Muslim.Isteri-isteri baginda semuanya cemas atas apa-apa yang telah mereka tuntut daripada suami mereka.

Umar al-Khattab, mengetahuinya dan berusaha menemui Rasulullah SAW.Setelah tiga kali dicuba, akhirnya Umar dan Abu Bakar dapat bertemu dan bercakap.Hafsah, puteri Umar merupakan salah seorang isteri Rasulullah manakala Aisyah RA adalah puteri Abu Bakar al-Siddik, isteri bongsu Rasulullah SAW.

Walaupun Rasulullah SAW pernah bersumpah (kerana marah) ‘tidak akan memasuki rumah mereka selama enam bulan’, tulis Dr Nizar, “Akhirnya Rasulullah SAW keluar dari penyendiriannya. Sesuai dengan perintah Allah, baginda lebih memilih isteri-isterinya daripada menceraikannya serta membiarkan mereka berkahwin dengan lelaki lain yang berharta. Baginda juga memilih bersabar dalam kehidupan yang serba susah.

Rasulullah berjumpa isterinya seorang demi seorang, dimulai dengan Aisyah, isteri termuda kesayangannya.Apabila tiba di sana Rasulullah bersabda: Kuingatkan satu hal padamu. Kamu tidak perlu tergesa-gesa memutuskan sebelum meminta pertimbangan daripada ibu bapamu…Setelah mendengar ayat tersebut dengan saksama, Aisyah menyifatkan tidak ada yang berat untuk diputuskan dan berkata: Hanya dalam urusan ini aku harus meminta pertimbangan ibu bapa? Tidak, sekarang juga kuputuskan memilih Allah dan Rasul-Nya serta kehidupan akhirat.”

Betapa senangnya hati Rasulullah mendengar jawapan itu. Baginda kemudian berkeliling mengunjungi bilik-bilik isterinya yang lain. Dikatakannya, kepada mereka seperti apa yang dikatakan kepada Aisyah. Tidak seorang pun di antara mereka yang memberi jawapan berbeza.Masalah pun selesai dengan sebaik-baiknya.

Umar menjadi gelisah. Dia mencari akal bagaimana membuat Rasulullah ketawa:. Wahai Rasulullah” sebut Umar, “Kalau isteriku minta nafkah, kucekik lehernya.” Baginda ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya.

“Tetapi, mereka yang disekelilingku ini sedang menintaku nafkah,” beritahu Nabi Muhammad SAW.

Apabila mendengar apa-apa yang dilakukan oleh puterinya kepada Rasululllah SAW, Abu Bakar marah. Dia dan Umar kemudian bingkas hendak memukul mereka: Kau telah meminta kepada Nabi sesuatu yang dia tidak ada (memiliki)?”,gertak kededuanya. Tetapi, Rasulullah mencegah mereka dan menganggap tindakan kerasmereka akan memberikan pengaruh buruk terhadap keperibadian puteri-puteri mereka.

Kedua-dua isteri Nabi itu terkejut penuh kehairanan. Mereka ketakutan apabila melihat sang bapa murka. Mereka sedar telah berbuat kesalahan dengan mudarat yang ditimbulkan.

Oleh sebab itu, mereka lalu berkata: Demi Allah, selepas ini kami tidak akan meminta daripada Nabi sesuatu yang tidak dimilikinya.”

Tanpa ragu, tanpa gagap, dan tanpa rasa berat kesemua isteri Nabi rela dan menerima kehidupan dengan seadanya. Mereka juga berjanji tidak akan meninggalkan baginda dalam situasi apa pun. Bahkan, setelah itu, perilaku mereka berubah sepenuhnya, iaitu mereka memilih hidup susah dan  mendahulukan orang lain. Perilaku ini mereka amalkan setelah Rasulullah wafat.”(Dr Nizar Abazhan, 2013, Bilik-Bilik Cinta Muhammad SAW, hal. 229-233).

(BersambungXV:KECEWA DENGAN PASANGAN)

Kamarun KH

Translate »