Rasa cemburu merupakan fenomena yang ada dalam setiap orang. Namun, dalam memerihalkan ‘rasa cemburu’ kita sering diingatkan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Ada rasa cemburu yang dicintai Allah, da nada ras cemburu yang dibenci Allah. Ada pun cemburu yang dicintai Allah adalah rasa cemburu ketika ada tanda-tanda perilaku yang menyimpang, sedangkan cemburu yang dibenci Allah adalah cemburu yang tidak dilandasi kecurigaan penyimpangannya (bukti yang jelas). “ (hadis riwayat Abu Daud dan dihasankan oleh al-Bani dalam Shahih wa Dha’if Sunan Abi Dawud, jilid 6, hal.159, hadis no.2659)
Rasa cemburu yang dibenci Allah SWT ialah rasa cemburu yang keterlaluan tanpa ada bukti yang jelas, atau hanya mendengar maklumat-maklumat yang tidak sahih, misalnya dakwaan bahawa si suami bersengkongkol dengan perempuan lain di luar rumah hanya berdasarkan ‘cerita orang’ mahupun gambar-gambar yang disebarkan dalam media sosial. Cemburu sebegitu lebih berimpak negatif sehingga muncul pertengkaran (tuduh menuduh), konflik rumah tangga, penceraian dan seterusnya tidak kurang pula berakhir dengan tragedi.
Misalnya, kisah yang berlaku di Kampung Laksamana, Batu Caves (Kosmo, 20 Oktober 2021), seorang isteri menikam mati menggunakan besi pemegang paying kerana cemburu buta suaminya ada hubungan dengan perempuan lain. Isteri pada mula bertengkar, setelah suaminya turut mendakwa wanita itu ada hubungan sulit dengan seorang lelaki lain. Dalam pertengkaran tersebut, si suami mengambil sebilah pisau dan menyerang si isteri. Isteri kemudian bertindak balas, dengan mematahkan besi pemegang payung.
Menurut polis: “Wanita berkenaan kemudiannya telah menikam suaminya di bahagian bawah perut dan menyebabkan lelaki terbabit terus rebah di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah sebelum meninggal dunia.”
Laporan Berita Harian (5 Mac 2021) memaparkan misteri kehilangan seorang isteri akhirnya terjawab apabila mayatnya yang disimpan di dalam tong air ditanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar, Johor. Isteri berusia 38 tahun disyaki ditembak oleh semuanya yang berusia 43 tahun ketika sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana Kota Tinggi dan disifatkan bermotifkan cemburu setelah ditemui surat tuntutan fasakh. Pasangan itu sudah mempunyai dua orang anak, manakala suami membunuh isteri dengan menggunakan senapang angin. Setelah berjaya membunuh, mayat isterinya dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru sebelum dibawa ke Ladang Serai yang terletak 30 kilometer dari kediaman mereka. Ia kemudian ditanam di situ dengan kedalaman dua meter.
Bagi mengelak daripada ditangkap, si suami mendakwa isterinya lari dari rumah, pada 28 Februari 2021 sekitar jam 2 pagi, dan tidak pulang selepas itu. Pada hari yang sama, jiran mangsa membuat laporan polis, dan ia kemudian membawa kepada penangkapan suami mangsa bersama seorang lagi lelaki, keesokannya.
Mereka yang cemburu berlebihan dikategorikan sebagai sindrom Othello. Sindrom Othello adalah tanggapan yang salah pasangan terhadap tahap kesetiaan, yakni berlaku perilaku curang seperti mempunyai hubungan sulit dengan orang ketiga. Istilah ini muncul berdasarkan drama Othello yang digarap oleh William Shakepeare (1564-1616) yang kemudiannya dikaji dan diterbitkan dapatannya oleh John Todd dan K Dawhurst dalam Nervous and Mental Disorder Journal (1955) dengan judul The Othello Syndrome: a Study of Psychopatology of Sexual Jealousy.
Asma Khalid dan Amir Syammakh mengambil sebuah cerita yang dilaporkan berlaku ke atas seorang suri rumah bernama Sumayyah. Sumayyah mempunyai seorang suami yang kuat ‘rasa’ cemburu, setiap pergerakannya di luar rumah disiasat dan dipersoalkan termasuk ketika ke pasar membeli sayur-sayuran dan daging. Bagi Sumayyah, rasa cemburu suaminya itu membuatkan dirinya “terpasung dengan belenggu besi” sehingga “terasa hidup ini sangat sempit.”
Sumayyah pernah mengadu kepada para ulama, tetapi tidak mendapat jawapan atau cara mengatasinya. Sumayyah pernah memperoleh sedikit kekuatan psikologi (harapan) dan sangat menginginkan perubahan suaminya setelah diberikan nasihat oleh ahli keluarga. Suaminya pernah berjanji akan memperbaiki (juga meninggalkan) kesilapan-kesilapan tersebut.
Sumayyah mempunyai tahap agama yang baik, dan sentiasa bersikap rasional. Bahkan tidak merasa kecewa untuk mengubah perilaku suami walaupun pernah terlintas untuk bercerai. Namun, setiap pergerakan Sumayyah diperhatikan, dan pada suatu hari berlaku pergaduhan di pasar. Suami Sumayyah menuduh bahawa isterinya ada niat untuk menduakannya kerana bercakap-cakap dengan penjual sayur. Ketika itu, Sumayyah sedang melakukan proses tawar-menawar sebelum bersetuju membelinya. Ramai orang datang untuk menyelesaikan pertikaian itu, dan Sumayyah menegur sikap suaminya yang cemburu berlebihan. Sumayyah menanggap, insiden itu sebagai salah satu daripada beberapa tindakan memperlekehkan dirinya.
Sumayyah bercadang menemui psikiatari untuk memulihkan ‘rasa cemburu’ suaminya selama dua minggu. Namun, ceritanya tidak berakhir di situ, Sumayyah terus menunggu keputusan suaminya sama ada bersetuju atau tidak untuk menjalani sesi terapi. Kisah ini menarik, kerana ada solusi, yakni Sumayyah tidak mudah mengalah atau berputus asa, masih besikap rasional untuk memulihkan situasi (sindrom Onthello) suaminya, yakni mendapat rawatan daripada pengamal psikiateri.
Kesimpulannya, kisah tersebut memberikan kita sesuatu yang cukup waspada terhadap pelempiasan makna cemburu. Kita boleh bercemburu, tetapi cemburu itu mestilah dihadapi dengan tenang dan sikap yang rasional. Jika salah seorang daripada pasangan itu menimbulkan emosi marah, maka nilai cemburu itu akan bertukar menjadi tragedi. Ketika salah seorang pasangan “menorehkan luka”, hendaklah dilakukan introspeksi diri dengan hadirnya pihak ketiga (ahli keluarga di pihak suami atau isteri. Jika masalah itu berpunca dari suami, maka ahli keluarga pihak isteri perlu menjadi perujuk damai. Begitulah disebaliknya, takut dianggap bias atau berat sebelah dan ada kecenderungan menyokong akibat hubungan darah dengan penyebabnya).
Kedua, memberikan ingatan kepada pasangan bahawa telah berlaku pelanggaran terhadap agama dan terkeluar daripada kehidupan berumah tangga yang sihat. Antaranya, melanggar nilai agama ialah menodai kehormatan diri, melemparkan tuduhan batil (tanpa bukti yang jelas), dan melanggar hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT, seperti dianjurkan untuk hidup saling memerlukan sebagaimana diperintahkan. Allah jadikan manusia lelaki dan perempuan secara berpasangan-pasangan dan saling memahami, membantu, bekerjasama dan sayang meyayanginya. Allah SWT sangat bencikan manusia yang ego, sombong dan penuh prasangka.
Cemburu buta adalah salah satu daripada ciri-ciri prasangka yang sangat memudaratkan jika tidak dapat dikawal. Ertinya, dalam kehidupan berumah tangga, saling mempercayai merupakan benih-benih ‘kesetiaan’ yang cukup kuat dalam menentukan kebahagiaan. Dan, kerana itu, Islam sangat tegas menasihatkan setiap pasangan agar tidak mudah mendengar hasutan, fitnah dan maklumat-maklumat yang tidak sahih, kerana syaitan sentiasa mencari jalan untuk merosakkan iman dan kehidupan kekeluargaan menerusi pelbagai cara dan situasi.
Menurut Asma Khalid dan Amir Syammakh lagi, adalah sangat bermanfaat jika orang-orang seperti itu menelaah dan meneladani kehidupan Rasululllah SAW bersama isteri, walaupun Rasulullah juga mempunyai ‘rasa cemburu’. Rasulullah SAW tidak mengambil keputusan-keputusan terburu-buru, yakni tindakan buruk ketika ‘rasa cemburu’ itu muncul.
Sikap memaafkan antara pasangan adalah hal yang terpuji dan tidak melakukan tindakan-tindakan yang bersifat provokasi untuk tempoh-tempoh selanjutnya. Misalnya, si isteri tidak mempamerkan perhiasannya yang berlebihan, atau bercakap-cakap dengan seorang lelaki (bukan muhrim) dalam situasi menggoda (perkataan dan perbuatan). Hal ini cukup berbahaya, kerana ia ‘mengancam kebahagiaan kehidupan suami isteri dan ketenangan rumah tangga.’ Ada istilah, mengorat isteri jiran di sebelah rumah atau fenomena berselingkuh di pejabat.
Apa yang menarik ialah solusi seterusnya yang dibincangkan oleh pengarang, iaitu ‘mengupayakan adanya ishlah (mencari perdamaian) sebaik-baiknya. Ia seperti memuji-muji kelebihan dan kebaikan pasangan, dan bukan melebarkan perbezaan. Tindakan sedemikian adalah penting dalam mengurangkan tekanan ‘rasa cemburu’ dan setiap kekurangan atau keburukan yang berlaku, diusahakan untuk memperbaikinya sehingga wujud win-win situation dalam rumah tangga.
Sebagai kesimpulan, saya petik sebuah tulisan Imas Damayanti mengenai nasihat kepada Sa’ad bin Ubadah yang cemburu terhadap isterinya. Dalam kitab Syarah Shahih al-Bukhari karya Syeikh Muhammad bin Shalil al-Ustaimin. Sa’ad pernah berkata: Seandainya aku melihat seorang lelaki bersama isteriku, maka aku akan tebas dia dengan pedang yang tidak bersarung.
Mendengarkan kata-kata tersebut, Nabi Muhammad SAW bersabda: Apakah kalian kagum dengan kecemburuan Sa’ad? Sesungguhnya, aku lebih cemburu daripada dia, dan Allah lebih cemburu kepada aku.”
Berdasarkan dialog berkenaan, jelaslah bahawa Rasulullah adalah orang yang paling cemburu terhadap mahram, sedangkan Allah SWT sangat mencemburui baginda. Allah mengharamkan perbuatan keji (yang nampak dan tidak nampak, yang zahir ataupun batin) kerana Allah SWT adalah dzat yang paling cemburu.
Ini bermakna: “jika seorang suami mendapati isterinya berzina dengan laki-laki lain, alangkah baiknya dicari kebenaran faktanya terlebih dahulu. Setelah itu berikan peringatan dan setelahnya barulah dilaksanakan tindakannya, yakni tidak boleh keluar dari syariat, termasuk tidak boleh membunuh.” (https://www.republika.co.id/berita/qazizk366/nasihat-rasulullah-bagi-orang-yang-cemburu-buta)
(Bersambung: XIII: SALAH PILIH PASANGAN).
Kamarun KH
Recent Comments