Secara istilah, virus bermaksud: (1) sejenis kuman yang halus daripada bakteria yang boleh menyebabkan penyakit pada manusia, haiwan atau tumbuhan; (2) (istilah komputer) atur cara asing yang menerobosi sesuatu sistem komputer sehingga dapat menganggu, mengubah, merosakkan, atau memusnahkan maklumat yang tersimpan dalam sistem komputer; dan (3) (bahasa kiasan) pengaruh yang buruk, jahat, atau merosakkan.”
Rumah tangga: perihal rumah dan kehidupan dalam rumah, rumah dengan keluarga yang mendiaminya. Berumah tangga: (1) mengurus rumah tangga; (2) berkahwin (beristeri atau bersuami). (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.1790).
Maksudnya, virus rumah tangga adalah ‘kuman’ atau ‘bakteria’ atau ‘unsur-unsur asing (luaran) yang ‘memasuki rumah tangga’ sehingga menyebabkan iklim atau suasana tidak tenteram atau ‘bermasalah’. Virus itu mungkin sudah ada ‘dalam diri pasangan’; yang mungkin dihasilkan menerusi pelbagai ‘masukan’ termasuk proses sosialisasi (pembudayaan), percampuran dan pergaulan seharian.
Seperti juga kesihatan tubuh, dalam organ kita telah tersedia ada bakteria, sama ada bakteria itu ‘baik’ atau ‘buruk’. Ia seperti juga dengan kalestrol, ia terbahagi kepada dua – kalesterol baik dan kalestoral jahat. Kalestrol baik dikenali HDL (high density lipoprotein) berperanan mengawal kerosakan dinding pembuluh darah dengan menyingkirkan kalestrol jahat, LDL (low density lipoprotein).
Semakin tinggi HDL, ia semakin baik untuk kesihatan tubuh. Sebaliknya, jika semakin tinggi LDL, ia menjadi semakin bermasalah kepada kesihatan. Sebab itulah pakar-pakar perubatan sangat mengesyorkan agar kita ‘menjaga pemakanan’ dan sentiasa mengamalkan ‘gaya hidup sihat’. Itulah juga yang disyorkan dalam ‘kesihatan rumah tangga’, tidak mengumpulkan lebih banyak LDL, sebaliknya mempertingkatkan HDL.
Saya umpamakan HDL dengan iltizam dan tindakan kita seharian untuk menjadi pasangan yang berbahagia dan dalam konteks Islam ia dikenali sebagai ‘keluarga sakinah’, sebuah keluarga yang disimbahi dengan keberkatan dan cahaya Islam. LDL saya umpamakan sebagai ‘keluarga bermasalah’ kerana setiap tindakan yang dibudayakan dalam kehidupan berumah tangga, yakni bersama pasangan berlangsung dalam suasana berkonflik, krisis dan seumpama ‘enau dalam belukar’ walaupun masih tinggal serumah, tiada kemesraan, ‘perebutan kuasa’ atau ‘jiwa yang tidak tenteram’ .
*****
Asma’ Khalid dan Amir Syammakh, dalam mukadimah buku 40 Virus Kebahagiaan Rumah Tangga menulis: kebahagiaan rumah tangga merupakan satu perasaan yang menyejukkan yang diusung oleh masing-masing pihak terhadap teman hidupnya, yang kemudiannya diaplikasikan dalam bentuk ucapan dan perbuatan.
“Maka, dari itu, kita boleh merasakan kesan yang ditimbulkannya. Iaitu berupa sikap toleran, hati yang bersih (jujur dan ikhlas), tidak mengutamakan diri sendiri, santun dan sebagainya. Rumah tangga tanpa komponen kebahagiaan ini, maka ia akan didera perbagai persoalan dan krisis yang cukup besar.
“Dan, dalam hal ini, dampak negatifnya sangat parah sekali, baik bagi kedua pasangan mahupun bagi anak-anak mereka dari satu sisi; dan juga bagi masyarakat dari sisi lainnya.” (edisi terjemahan daripada bahasa Arab, Ihdzaru Firusat as-Sa’adah az-Zaujiyyah, Semanggi, Indonesia: Wacana Ilmiah Press, 2009, hal. 1).
Ertinya, bila berlaku perceraian atau terbubarnya sesebuah perkahwinan, ia akan memberikan kesan yang cukup besar dalam kehidupan manusia secara amnya. Tetapi yang paling besar akibatnya ialah pasangan itu sendiri, dan jika mempunyai nak-anak, ia turut mempengaruhi fizikal dan jiwa anak-anak. Ahli keluarga – kedua belah pihak – juga akan menerima tempiasnya. Begitu juga dengan masyarakat di mana menjadi leluhur dan persekitaran kehidupan mereka. Bagi seorang wanita, setelah berlakunya penceraian ia dipanggil ‘janda’ manakala si suami dipanggil ‘duda’.
Namun, antara kedua istilah tersebut, istilah ‘janda’ sangat berdampak negatif berbanding ‘duda’. Bahkan ada pelbagai tafsiran, seolah-olah terjadinya sesuatu penceraian itu majoritinya disebabkan ‘kesilapan isteri’, jarang diperkatakan kesilapan suami. Sedangkan dalam Islam, peranan suami bagi menentukan kebahagiaan rumah tangga cukup besar, suami adalah ‘ketua keluarga’. Tetapi tidak bermakna, sebagai ‘suri rumah’ tidak ada kesilapan besar berlaku pada isteri sehingga menyebabkan terbubarnya sesebuah perkahwinan. Suami adalah pemimpin keluarga, manakala peranan isteri ialah mengurus rumah tangga. Antara peranan ‘pemimpin’ dan peranan ‘pengurus’, ia cukup menunjukkan perbezaan yang cukup jelas.
Antaranya: pemimpin adalah orang yang dapat membimbing, memotivasi dan mempunyai keupayaan memimpin manakala pengurus ialah orang yang berdisiplin untuk melaksanakan sesuatu peranan. Dalam organisasi, peranan pengurus sangat berkait rapat dengan mekanisme dan kaedah untuk mencapai matlamat (atau hasil) sedangkan peranan pemimpin lebih cenderung kepada mendorong atau mempengaruhi. Namun, untuk mencapai kejayaan dalam organisasi, dua ‘orang’ tersebut sangat penting.
Kadangkala dua peranan itu dimainkan oleh seorang, kerana seorang pemimpin juga boleh berperanan sebagai pengurus. Tetapi, dalam sesetengah situasi, seorang pengurus bukanlah seorang pemimpin kerana kecenderungannya adalah lebih berorientasikan hasil, tanpa mengambil kira bagaimana hasrat itu diterjemahkan bagi membentuk ‘empowerment’. Ada batas yang tidak boleh dilanggar atau diketepikan, yakni bagaimana membuat sesuatu keputusan yang lebih besar atau dikenali sebagai ‘keputusan dasar’. Begitulah dalam kehidupan berumah tangga, ‘keputusan dasar’ adalah hak mutlak ‘suami’. Sebab itulah dalam keadaan bila mana seorang isteri mengawal seluruh ‘perjalanan rumah tangga’, membuat keputusan tanpa ‘persetujuan suami’, ia dikenali sebagai ‘queen control’.
Dalam meneroka sebab-sebab atau faktor yang menyebabkan kegagalan sesebuah perkahwinan, dua orang pengarang buku tersebut menyenaraikan 40 sebab atau dipanggil virus rumah tangga. Seluruh perbincangan dalam rencana ini, saya fokuskan kepada virus-virus tersebut, kerana virus itu sebenarnya berasal dari luar, yang memasuki rumah tangga secara langsung dan juga tidak langsung. Ia memasuki dengan cara salah seorang daripada pasangan terus mahu mengekalkan ‘nilai-nilai yang dipunyai’ ekoran pengetahuan, pembudayaan dan pengalaman sebagai faktor tidak langsung, dan dipengaruhi oleh ‘masukan-masukan baharu’ menerusi pengetahuan yang diperoleh sama ada menerusi pengaruh subliminial (pembacaan, kesan media dan pergaulan) dan keinginan untuk melakukan perbandingan.
Virus memasuki ke dalam rumah tangga menerusi pelbagai cara dan kaedah, bukan sahaja dalam bentuk sporadik (bawaan angin dan sukar dikesan) sebagaimana kita ketahui ketika kita takutkan jangkitan virus corona, bahkan secara tidak langsung dari dalam diri kita sendiri. Ia bukan berjangkit secara drastiknya menerusi sentuhan (misalnya disinfeksi tangan) berbanding di kawasan sesak, sempit dan tertutup (tidak mempunyai pengudaraan yang baik). Itu ketakutan awal ketika diisytiharkan pandemik COVID-19. Virus juga masuk ke dalam rumah tangga kerana virus tersebut sudah lama ‘hidup dalam diri’ pasangan, sama ada disedari atau tidak sehingga menimbulkan pelbagai rintangan untuk memaknakan ‘kerjasama, perkongsian, menghormati’ dan sebagainya.
Antaranya yang lazim kita dengar ialah virus yang disebabkan oleh kecanduan gajet, televisyen dan layanan keterlaluan terhadap media sosial sehingga ada yang lebih ‘senang tidur bersamanya’ berbanding pasangan masing-masing. Lebih kecewa rasa kehilangan gajet daripada ‘kehilangan suami atau isteri’. Bahkan, ada yang terpaksa bermasam muka, bertelingkah dan berkonflik sepanjang malam hanya kerana ada sesuatu yang menyentuh emosi bila ‘chatting’ diganggu.
Ketika membicarakan tentang kejutan masa depan (future shocks) sekitar tahun 1980-an, Alvin Toffler meramalkan kebangkitan internet sebagai salah satu trajektori yang bakal mempengaruhi kehidupan manusia. Akibat pola pekerjaan berubah dari kota (bandar) kepada unit yang lebih kecil, seperti ‘work from home’, maka manusia akan menjadi semakin berjarak atau munculnya apa yang dinamakan sebagai alienasi sosial: Manusia telah memasuki ruang-ruang tanpa batas, dan ianya akan menimbulkan kesan keterasingan manusia itu sendiri. (Alvin Tofller, Future Shock, New York: Bantan Doubleday Dell, 1984).
Ramalan itu kemudiannya menjadikan dunia semakin ‘kehilangan tradisi dan keakraban secara fizikal’ sehingga memunculkan keterbalikan makna sosial. John Locke kemudian menamakan masyarakat yang kurang bercakap (secara bersemuka) tetapi lantang bersuara menerusi pelbagai aplikasi yang dimunculkan menerusi internet sebagai de-Voicing of Society (John Locke, De-Voicing Society: Why We Don’t Talk to Each Other Any More, New York: Simon & Schuster, 1998) manakala kesannya semakin jungkir balik sehingga ada yang menggelarkan fenomena tersebut sebagai ‘dunia yang dilipat’ (Yasraf Amir Yusraf Piliang, Sebuah Dunia Yang Dilipat: Tamasya Melampaui Batas-batas Kebudayaan, 1998; Hiper-moralitas: Mengadili Bayang-bayang, 2003; dan Dunia yang Berlari: Mencari Tuhan-tuhan Digital, 2004).
Mark Slouka, yang menulis sebuah buku berkenaan kehilangan ‘kemanusiaan atau humanisme’ akibat munculnya ‘cyberspace’ atau ruang siber, War of the Worlds: Cyberspace and the High-Tech Assault on Reality (1995) seperti menyesali apa yang berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku sehingga menyerang dan membunuh apa sahaja nilai kehidupan yang sangat bernilai: jati diri, peribadi (perwatakan) dan ruang tempat kita bekerja, pemikiran anak-anak, komuniti dan sebagainya. Ia telah memerangkapkan kita ke dalam sebuah dunia ‘majoriti senyap, the silent majorities’. Itulah dunia reality maya (virtual reality) yang sedang kita alami sekarang. Seseorang boleh mengecam orang lain tanpa ada rasa malu dan bersalah, kerana semuanya sangat tertakluk dan dipengaruhi oleh persepsi sehingga memunculkan istilah post-truth, pasca-kebenaran. Sesuatu ‘kebenaran’ bukan lagi bersandarkan fakta dan maklumat yang benar, tetapi, ia dipotong dan dijungkirbalikkan (distortion) oleh persepsi.
Contohnya, personaliti seseorang yang ego (keras kepala). Ia sangat sukar diubah, namun tidak bermakna tidak dapat diubah. Ia boleh berubah menerusi kecekalan, dedikasi dan secara perlahan-lahan, kadangkala menimbulkan pelbagai ‘rosan bosan’ dan ‘meluat’. Cuba kita perhatikan pada diri sendiri, bagaimana kita melihat diri sendiri berdasarkan apa yang kita fahami mengenai erti kecantikan, atau penampilan yang menawan atau sofistikated yang pernah suatu ketika cukup digemari oleh para wanita. Misalnya menghabiskan beberapa jam untuk ‘berdandan’ kerana melihat ‘kecantikan untuk diperhatikan oleh orang lain’ dan ‘rasa malu’ dengan berbusana ringkas walaupun menutupi aurat. Rasa malu jika memakai ‘pakaian sama’ hadir ke majlis-majlis keramaian seperti majlis kenduri kahwin. Sebab itulah, jika undangan ke majlis kenduri tiba beberapa bulan sebelumnya, pada hari menerima jemputan itu sudah terfikir ‘apa yang nak dipakai’. Dalam ‘bayangan keputusan’, mesti ‘pakaian baharu’ dan jika ‘tidak ada’, wajar ditempah atau didekati butik-butik yang menjual pakaian untuk wanita.
Cuba kita bandingkan dengan kecantikan menurut perspektif agama. Menurut Imam Syafi’e: Ada empat sebab kenapa wajah hilang kesegarannya, iaitu berbohong, tidak ada rasa malu, banyak menyoal tanpa ada pengetahuan, dan sering melakukan dosa. Butsamah as-Sayyid al-Iraqi menulis: kecantikan manusia bukan hanya terletak pada kecantikan rupanya sahaja, melainkan juga keindahan roh, fikiran dan jiwa yang tidak menurut hawa nafsu. Termasuk juga keindahan akhlak, sifat dan budi pekerti yang baik.
“Kecantikan yang dimaksudkan bukanlah kecantikan luar (ekstrinsik), melainkan juga keindahan dalaman (instrinsik). Itulah yang terpenting. Banyak orang yang terlihat cantik secara fizikal, tetapi perilakunya sendiri dbenci oleh orang lain, bahkan oleh keluarga terdekatnya sendiri.” (Butsamah as-Sayyid al-Iraqi, Mau Cantik? Tip Menjadi Wanita Idaman Sepanjang Masa, edisi terjemahan Kaifa Takunina Jamilah oleh Fuad Saifudin Nur, Jakarta Timur: Penerbit Klinikal Mahira, 2010, hal.x).
Kini, perspektif itu (kecantikan) semakin bertukar dengan idea minimalis. Minimalis, berasal dari istilah minimum yang boleh dimaksudkan sebagai ringkas, mudah dan tidak terlampau banyak aksesorinya. Cukup sekadar memakai ‘jubah’ bagi seorang wanita bersama-sama ‘tudung yang ringkas’, tetapi sepadan dengan warna baju. Namun, perkembangan itu turut menyebabkan kondisi yang lain menjadi sedikit ‘berbeza’ apabila ramai wanita lebih gemar memakai jubah untuk ke pejabat, yang dilihat ‘kurang sesuai’. Namun, pemakaian baju kurug semasa berada di pejabat cukup menampakkan keayuan dan kesopanan pemakai asalkan pakaian itu tidak sendat dan terlalu dipengaruhi oleh trend fesyen.
Personaliti atau perwatakan atau peribadi terbentuk menerusi amalan budaya, pemahaman mengenai pengetahuan, pengalaman dan proses sosialisasi serta keadatan yang dipertahankan dalam sesuatu komuniti dan keluarga. Meskipun kehadiran Islam telah mengubah ‘cara hidup’, bukan semuanya berubah kerana masih banyak nilai-nilai keadatan yang dipertahankan dalam hidup berkeluarga, misalnya dalam persoalan perkahwinan. Bagi Islam, sesuatu ikatan perkahwinan itu dianggap sah selepas ianya diijabkabulkan oleh wali dan disaksikan oleh dua orang saksi.
Daripada perspektif keadatan, ia semacam ‘belum sah’ sekiranya acara sambutan atau kenduri dan majlis resepsi tidak dilakukan. Namun, ia tidak bertentangan dengan prinsip Islam kerana Islam turut meletakkan peraturan bahawa sesuatu perkahwinan itu perlu diberitahu, sekurang-kurangnya kepada ahli keluarga, sanak saudara, rakan dan sahabat serta jiran-jiran. Asasnya ialah agar ‘tidak ada lagi lelaki yang akan masuk meminang’ atau mengharapkan perempuan tersebut yang sudah dipunyai’.
Begitu juga lelaki. Lelaki yang sudah bersuami perlu berlaku jujur pada diri sendiri dan masyarakat, yang dirinya sudah berteman atau berkahwin. Tidak perlu lagi ‘mencari pasangan lain’ sekurang-kurangnya buat semantara waktu kerana ‘inai masih merah’ walaupun dari persepktif Islam, seorang lelaki boleh berkahwin lebih daripada seorang wanita (poligami). Poligami tidak seharusnya dipandang sebagai suatu penghinaan terhadap wanita dan masalah persepsi.
(Bersambung: XI: VIRUS PEMIKIRAN)
Kamarun KH
Recent Comments