Beberapa bulan lalu, kita mendengar kisah seorang isteri yang merupakan ‘pasangan jarak jauh’ berjaya menangkap suaminya, seorang doktor terbabit skandal apabila berkhalwat dengan seorang jururawat di rumah sewa. Setelah dipisahkan oleh jarak, si suami terpaksa hidup ‘membujang di rumah sewa’ kerana isterinya tidak dapat bersama dikekang oleh tuntutan kerjaya masing-masing. Beberapa bulan awal, mereka saling memahami dan bersedia mengatur kehidupan masing-masing dengan sesekali bertemu sama ada isteri ke rumah sewa yang didiami oleh suami bersendirian ataupun si suami ke lokasi rumah sewa isteri apabila cuti di hujung minggu.

Ia mungkin akan membosankan bila menjadi keluarga jarak jauh dalam tempoh yang lama. Masalah tersebut paling banyak dihadapi oleh pasangan guru, sehingga muncul istilah ‘weekly husband or wife’, sedangkan pada masa-masa lain, mereka terpaka ‘berpisah’. Ia pernah dikenali dengan lelucon “pasangan gulana”. Awalnya tidak menjadi masalah, tetapi sampai bila ia dapat dipertahankan?

Hati seorang lelaki mungkin mudah berubah, apatah lagi bila ada wanita lain yang sanggup mengambil peranan sebagai ‘isteri’ dan juga ‘pasangan berbual-bual, mengadu hal dan memberikan perhatian’. Ia penting sebagaimana dirumuskan oleh Abraham Maslow dalam teori hirarki keperluan manusia, dalam kategori ‘keperluan kasih sayang – love needs-“ disayangi dan menyayangi. Manusia adalah makhluk sosial, tidak boleh hidup bersendirian dalam tempoh yang lama dan berpanjangan. Manusia memerlukan ‘teman’ atau pendamping yang boleh memenuhi keperluan nurani, termasuk layanan mesra dan untuk bercakap-cakap.

Ia berbeza dengan apa yang disarankan oleh Islam. Seorang isteri, dalam apa keadaan sekali pun mesti berada di sisi suami selagi ianya bergelar isteri; tinggal di rumah yang disediakan, tidak boleh keluar rumah tanpa izin suami, dan yang lebih penting ialah menjaga rahsia keluarga sepanjang masa, tidak boleh mendedahkan perihal kehidupan intim ataupun konflik antara mereka,  kecuali untuk tujuan ‘perdamaian’ atau mencari kaedah penyelesaian (dengan pihak ketiga, seperti ahli keluarga terdekat dan pihak berkuasa undang-undang –kadhi, kaunselor dan peguam syariah- bukannya melebarkan perbalahan di media sosial), redha dan syukur serta sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar terbentuknya keluarga sakinah. Seperti kata cerdik pandai (hukama): Kebahagiaan Rumah Tangga Bermula di Rumah, bukan di luar rumah. Kebahagiaan itu adalah apa yang kita alami dan  rasai di dalam jiwa, bukan di luar jiwa (yang hanya terlihat pada kasat mata) atau menurut penilaian orang lain.

HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah, 1908-1981), seorang ulama dan penulis terkenal di Alam Melayu menulis: Terdapat empat cara menuju kebahagiaan. Pertama, harus ada i’tiqad, iaitu motivasi yang benar-benar berasal dari dalam dirinya sendiri. Kedua, yakin, iaitu keyakinan yang kuat akan sesuatu yang sedang dikerjakannya. Ketiga, iman, iaitu yang lebih tinggi dari sekadar keyakinan, sehingga dibuktikan oleh lisan dan perbuatan. Keempat ialah ad-diin, iaitu penyerahan diri secara total kepada Allah SWT, penghambaan diri yang sempurna. Mereka yang menjalankan ad-diin secara sempurna tidaklah merasa sedih berkepanjangan, lantaran mereka benar-benar yakin akan ada jalan (ketentuan) yang telah Allah pilihkan untuknya.

Dalam Tafsir a-Azhar, HAMKA memberikan gambaran bahawa ramai juga orang yang mencari kebahagiaan tidak dapat menemukannya kerana melihat kebahagiaan itu pada ukuran material. Orang yang berfikir bahawa kebahagiaan itu dengan memiliki kekayaan material (harta) merupakan orang yang ‘putus asa’ kerana hidup dalam kemiskinan. Hasrat menjadi kaya sentiasa gagal dan pendapatnya ‘tidak didengar orang kerana mereka miskin’, maka diputuskan bahawa kebahagiaan itu terletak pada wang, bukan pada dirinya. Kaedah ini hadir dalam diri orang yang kecewa.

Jelas HAMKA, ramai juga orang yang tidak menemukan kebahagiaan meskipun ia sudah mencapai maksudnya. Contohnya, orang miskin yang mengejar kekayaan, sebab dalam bayangannya (pemikiran), jika kaya ia akan mampu menolong orang lain. Akan tetapi, setelah kaya ia malah menjadi manusia yang sombong dan kedekut. Ada negarawan yang ketika menjadi Ahli Parlimen berjanji akan menolak segala kezaliman, namun setelah jadi Presiden atau Perdana Menteri justeru ia sendiri yang menzalimi rakyatnya. ((https://www.republika.co.id/berita/q880se320/kebahagian-jiwa-yang-hakiki-menurut-buya-hamka).

Apakah anda pernah melihat atau menemui gambar-gambar romantik pasangan tersiar menerusi laman sosial? Saya menemukan gambar-gambar itu setiap hari. Pasangan separuh abad, yang saya andaikan pernikahan mereka sudah melebihi 20 atau 30 tahun atau 40 tahun. Setiap kali menyambut ulangtahun perkahwinan, setiap kali melancong (dalam negeri atau luar negeri), bahkan setiap kali mengunjungi restoran ternama, mereka mengeposkan gambar romantik bersama. Apakah gambar-gambar itu menampakkan mereka bahagia?

Mungkin benar dan mungkin tidak. Oleh itu, anda harus boleh membaca dan mentafsirkannya. Anda mungkin boleh tafsirkan berdasarkan unsur-unsur semiotik (kajian mengeni tanda-tanda seperti kerutan di wajah, pandangan anak mata, ciri-ciri rangkulan antara mereka, posisi pasangan dan sebagainya) yang mungkin nampak dibuat-buat atau bersahaja.

Saya pernah mengikuti rangkuman foto atau visual pasangan tersebut kerana suaminya adalah seorang yang cukup akrab bersahabat menerusi facebook. Setiap kali dimuatnaikkan foto atau gambar ‘bahagia mereka’ setiap kali itulah saya ditagging. Saya tidak mengenali pasangan itu secara fizikal (tatap muka) atau personal, hanya sekadar berkawan di facebook. Entah apa sebabnya, sebelum berakhirnya era PKP, yakni bulan Februari lalu, tepat pada ‘fenomena gila menyambut Hari Kekasih’(kalau sebelumnya), rakan facebook itu hilang daripada ‘radar facebook’, hanya terpapar isterinya seorang diri menyambut ulangtahun perkahwinan, suami tiada di sisi, hanya ditemani anak-anak dan beberapa orang cucu.

Mereka berkahwin pada Hari Kekasih, hampir 30 tahun lalu. Mereka sudahpun mempunyai tiga orang cucu, yang berumur antara 3 hingga 5 tahun. Mereka memiliki lima orang anak, tiga daripadanya sudah berkeluarga di mana salah seorang berkahwin pada musim PKP. Tiada majlis keraian dan resepsi. Anaknya keempat sudah tamat belajar dan mengenggam sekeping ijazah dalam bidang pengajian perniagaan manakala yang bongsu sedang belajar di tahun pertama di salah sebuah IPTA.

Rupa-rupanya mereka sudah tidak lagi ‘hidup sebumbung’. Si suami mengambil keputusan untuk ‘berpisah sementara’ bagi mencari ketenangan, yang mungkin boleh mengembalikan kehidupan berkeluarga yang ‘hampir putus’ itu kerana masing-masing mempunyai nilai dan aset bersama – anak-anak dan cucu-cucu yang lahir dari benih yang sama – selain pengalaman ‘bahagia’ sebelumnya.

Ya! Bukan mudah membina ‘keluarga bahagia’, tetapi lebih sukar lagi bila usia perkahwinan yang panjang, yang semakin berubah pendirian dan pendekatan. Ia berbeza dengan masa-masa awal perkahwinan, sering muncul persefahaman dan hubungan komunikasi yang berkesan, banyak kesulitan dan kesukaran dibincangkan bersama secara kondusif, masing-masing bercakap dan carikan penyelesaian secara rasional.

Tetapi, sejak hadirnya cucu, kemesraan sudah beralih arah. Ada sahaja hal yang tidak beres berlaku, walaupun hal-hal itu cukup remeh dan kecil. Mungkin kerana keletihan ‘mengasuh’ saban hari siang, kadangkala isteri ketiduran di awal malam, yakni selepas selesai Isya’.

Suami semakin sehari semakin terpisah, tidur malam juga bersendirian, walaupun masih berkongsi bilik: suami di katil manakala isteri di hadapan televisyen. Isteri lebih selesa bertemankan televisyen, bila terjaga selepas ketiduran beberapa jam,  isteri segera mencapai telefon genggam, yang kadangkala kedengaran suara-suara parau, gesit dan menengking dari youtube, menonton pelbagai gelagat, yang kadangkala cukup membingitkan. Bahkan telah muncul fenomena isteri atau suami lebih setia kepada ‘telefon genggam’ berbanding tidur bersama pasangan masing-masing. Apakah ini bahana sebuah kehidupan maju dan bertatasusila?

Buat apa lagi, kita pun dah tua,” itu antara kata-kata yang sangat diingati oleh si suami apabila berbicara tentang hubungan suami-isteri yang sedang meniti usia emas.

Ya! Kita sudah tua, tidak bermakna kita sudah ‘terputus ikatan perkahwinan,” lontaran kata-kata itu tidak memberikan apa-apa reaksi tindakan kerana malam-malam berikutnya, si isteri dengan sikap dan pendirian yang sama, walaupun kerja-kerja di dapur dan mengemas rumah masih tetap dilakukan.

Kata-kata itu cukup membuatkan hati seorang suami terluka. Kata-kata itu cukup menyebalkan perasaan si suami yang akhirnya membuat keputusan: Jika saya tidak penting lagi dalam kehidupan keluarga ini, biarlah saya pergi.”

Kemuncak daripada konflik itu ialah si suami benar-benar membuat keputusan “pergi” pada suatu pagi sebulan sebelum hari ulang tahun perkahwinan.

Si suami tidak berfikir panjang lagi kerana pada malam itu hatinya cukup terbakar: Saya tidak perlukan awak lagi. Saya boleh hidup dengan anak-anak. Saya tidak perlukan wang awak lagi. Anak-anak sudah besar. Mereka titipkan kepada saya setiap bulan. Saya lebih bahagia bermain dengan cucu-cucu daripada hidup bersama awak. Awak sudah lama memeningkan kepala saya.”

Sebagai suami yang cukup faham keranah isteri, malam itu dia tidak tidur nyenyak. Si suami merenung ruang bilik dengan mata yang tajam dan akhirnya membuat keputusan untuk tidak tidur di bilik yang sama. Si suami berada semalaman di Bilik Bacaannya, dan di situlah dihabiskan beberapa jam sebelum fajar muncul dengan merenung hari-hari bahagia mereka.

Dilakukan sembahyang sunat istikarah. Selepas selesai sembahyang Subuh, dilakukan pula sunat dhuha. Beberapa cuplikan doa dibacakan dengan harapan Allah SWT membuka ‘jalan kembali untuk hidup semula dalam satu keluarga’, namun, hati kecilnya tetap dengan keputusan untuk ‘pergi’ buat sementara.

Dengan ‘kepergian’ itu akan mengubah keadaan, diharapkan situasi perhubungan menjadi lebih baik kerana mereka sebenarnya ‘saling memerlukan’, tidak ada hal-hal yang besar pernah berlaku sepanjang perkahwinan mereka, termasuk dakwaan curang dan tidak bertanggungjawab dalam bab nafkah (zahir dan batin).

Ertinya, ketika rencana ini ditulis, ‘perpisahan’ tersebut sudah berlaku hampir enam bulan. Entah kenapa beberapa hari lalu saya tertanya-tanya apakah kesudahannya dengan pasangan yang cukup romantis itu, sebagaimana dipaparkan menerusi laman facebook, kerana agak lama tidak muncul, cuma sesekali ada berita yang ditulis dalam nada kecewa tanpa foto.

Salah satu ‘mesej’ itu telah saya berikan komen. Komen itu kemudiannya diberikan likes dan sedikit komentar. Saya mula mensyaki sesuatu yang tidak beres, akhirnya ternyata sangkaan saya itu benar apabila dijawab secara peribadi: Langit tidak sentiasa cerah, namun matahari terus bersinar terang, walaupun kadangkala nampak ada awan mendung.

Saya cukup faham dengan ungkapan itu, maka saya berikan nasihat: “Bersabarlah. Mungkin Tuhan sedang menguji erti kesabaran dan Tuhan akan menunjukkan ‘jalan keharmonian’ atau ketenangan jiwa (psikologi)  bagi setiap orang yang bersabar dan beriman kepada-Nya. Berdoalah, jangan putus asa kerana sentiasa ada ‘cahaya di hujung terowong’ kecuali terowong itu sudah terkambus.

Dibalasnya komen saya itu: In sha Allah, Allah akan tunjukkan jalan kepada saya. Allah akan berikan hidayah-Nya kepada kami. Doalah kebahagiaan kami, kerana kami percaya dan yakin apa yang berlaku itu adalah sebuah ujian. Ujian yang cukup mencabar dan suatu penentuan yang sangat mencabar erti kesabaran.”

Aidilfitri lalu, saya menerima ucapan Selamat Menyambut Lebaran dari dia, yang katanya pulang ke kampong halaman meraikan bersama-sama sanak saudara tanpa ditemani isteri, anak-anak dan cucu. Kesepian menyambut Aidilfitri tidak terasa sangat, masih ramai sanak-saudara yang membantu sehingga sebahagian kesedihan dan kerinduan dapat disembunyikan.

Khabarnya, hujung tahun ini dirinya akan bersara, yang mungkin akan hidup bersendirian untuk tahun-tahun berikutnya. Namun tekadnya cukup kuat, jika hidup bersendirian itu adalah takdir baginya, hari-hari persaraan itu akan diisi dengan peningkatan ilmu-ilmu agama. Dia bertekad akan belajar di salah sebuah pondok dan mungkin akan menetap di sana untuk beberapa tahun kalaupun bukan selagi hayat dikandung badan.

Saya doakan dia diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, akan bertemu ‘jalan pulang’ dan kembali ‘menikmati hari-hari bahagia’ sebelum dipanggil pulang ke negeri abadi dalam husnul khatimah. Saya akan terus menyapa sesekali dan bertanyakan khabar selagi kami masih ‘bersahabat’.

Peristiwa itu mengingatkan saya kepada Dr Ahsin Sako Muhammad, Tafsir Kebahagiaan: Tuntutan al-Qur’an Menyikapi Cobaan dan Kesulitan Hidup mengenai perangai atau sifat-sifat yang akan mempengaruhi ragam kehidupan kita sebagai manusia. Ragam atau perangai itu adalah (1) ‘Ajul’, tergesa-gesa; (2) kecintaan terhadap dunia dan material; (3) kikir (bukhl) dan asy-syuhh (bakhil); (4) zhalum (zalim terhadap diri sendiri), jahul (jahat, jahil) dan kafur (beracun); (5) suka berdebat atau narsistik dan toksik, mencari kemenangan sendiri; dan (6) berkeluh-kesah (merungut); (Ahsin Sako Muhammad, 2019, hal.141-148).

(Bersambung “X- VIRUS RUMAHTANGGA)

Kamarun KH

Translate »