Siapakah generasi Z? Apakah tindakan yang mereka lakukan kini boleh diklasifikasikan kepada kecelaruan mental? Mari kita singkap satu persatu persoalan ini. Generasi Z merupakan mereka yang lahir antara tahun 1998 sehingga 2010. Ini bermakna umur mereka kini dalam lingkungan tujuh sehingga sembilan belas tahun dan mereka terdiri daripada golongan remaja. Kini, hampir saban hari kita disajikan dengan pelbgaia berita tentang generasi Z sama ada dibuli, didera, dibunuh, menjadi mangsa rogol, hilang dan yang paling mengejutkan terdapat remaja yang berani membunuh hanya kerana ejek mengejek sehingga mengorbankan nyawa rakan-rakanya yang tidak bersalah. Persolannya, di manakah letaknya akal, nilai agama, akhlak, moral dan tatasusila mereka?

Adakah generasi Z kini mempunyai kecelaruan mental sehingga tidak mampu berfikir dengan waras sebelum melakukan sebarang tindakan? Seharusnya dengan kecanggihan sistem pendidikan, kemudahan mengakses maklumat, teknologi dan sebagainya diaplikasi secara baik dan menjadi pemangkin kepada generasi Z agar mereka berupaya berfikir dengan matang serta melihat kesan jangka panjang melalui tindakan yang akan mereka lakukan. Namun, perkara ini belum dapat direalisasikan akibat daripada kecelaruan mental yang mereka hadapi. Apakah kecelaruan mental yang dihadapi oleh generasi ini? Kecelaruan mental disebut sebagai penyakit mental, iaitu minda dan emosi yang tidak teratur, ketidakupayaan mengawal gangguan pemikiran, perasaan, tingkah laku, sehingga menyebabkan tekanan. Secara klinikal, kecelaruan mental merupakan gangguan mental yang mempunyai hubungan signifikan dengan tingkah laku atau psikologi individu yang mana individu tersebut tidak berupaya mengawal mentalnya sehingga boleh menyebabkan pelbagai risiko dan tingkah laku yang tidak normal yang membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Terdapat pelbagai jenis kecelaruan mental yang melibatkan remaja kini antaranya kecelaruan tingkah laku, emosi, indentiti yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Kita sedia maklum zaman remaja merupakan detik peralihan yang sungguh bererti dalam kehidupan mereka. Pada setiap detik peralihan itu didapati wujud pelbagai konflik dan tanggungjawab yang mencabar. Jika mereka gagal mengawal keadaan tersebut, remaja akan mengalami pelbagai rintangan, kerumitan dan kecelaruan. Justeru, faktor persekitaran, keluarga, didikan ibu bapa, kebudayaan, kepercayaan, kesejahteraan jiwa dan sejarah hidup mampu mempengaruhi tingkah laku mereka. Tinghkah laku yang tidak terkawal ini dizahirkan melalui tindakan seperti marah dan kecewa, keras kepala, tingkah laku agresif atau depresif yang “menentang” orang lain atau tingkah laku yang berisiko tinggi seperti membuli, berbohong, memusnahkan harta benda, mengambil dadah, buli, mencuri, ponteng sekolah, mencederakan dan membunuh diri atau membunuh orang lain.

Statistik bilangan pesakit mental di Malaysia pada tahun 2006-2016 telah meningkat sebanyak 11.25% dan merupakan penyakit kedua tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020. Laporan kesihatan Malaysia menunjukkan mereka yang berumur lingkungan 16- 19 tahun merupakan penghidap tertinggi masalah mental. Ini menunjukkan masalah mental dalam kalangan remaja kini atau generasi Z membimbangkan kerana mereka ini merupakan pelapis masa hadapan negara. Saidina Ali R.A pernah berkata; “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini”. Daripada kata-kata tersebut jelaslah jatuh dan bangunnya sebuah negara bergantung kepada generasi muda masa kini.

Kes Kecelaruan Mental Melibatkan Generasi Z

 Generasi Z atau remaja didapati banyak mengalami masalah kebimbangan, kemurungn dan tingkah laku, dan mereka yang berumur 16 tahun ke atas berisiko tinggi mengalami masalah ini. Ini dibuktikan dengan laporan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menunjukkan bilangan kes baru pesalah muda (lingkungan umur 18-21 tahun) pada tahun 2014 dan 2015 pada angka yang membimbangkan iaitu seramai 1627 yang kebanyakannya terlibat dengan kesalahan dadah, harta benda dan berjudi, manakala bagi kes kanak-kanak tidak terkawal (18 tahun ke bawah) pula menunjukkan seramai 4669 terlibat dengan jenayah harta benda, dadah, bersabit dengan orang dan lain-lain. Mereka ini telah diberi hukuman berbentuk penjara, denda, bon berkelakuan baik, dihantar ke pusat pemulihan akhlak dan perintah khidmat masyarakat.

Kita lihat sahaja laporan akhbar yang melibatkan generasi ini, antaranya; remaja didapati membunuh nenek yang dipercayai mengalami gangguan mental serius, mencederakan ahli keluarga, penyalahgunaan dadah, pemanduan yang merbahaya, mangsa jenayah seksual, dakwaan merogol, buli, dera dan sanggup membunuh hanya kerena perkara yang kecil. Terdapat kajian pada tahun 2007 yang mendapati semakin ramai remaja mempunyai keinginan membunuh diri. Diperincikan lagi kajian tersebut didapati 7 peratus remaja secara serius telah berfikir untuk membunuh diri. 4.6 peratus daripadanya telah melakukan cubaan bunuh diri sekurang-kurangnya sekali dalam masa setahun. Namun mereka kini bukan sahaja mahu membunuh diri malah mempunyai niat membunuh orang lain hanya disebabkan perasaan tidak berpuas hati. Tanggal 17 September rakyat Malaysia terpempan apabila media melaporkan tujuh suspek direman kerana disyaki menjadi dalang kepada kebakaran sebuah pusat tahfiz di ibu kota yang mengakibatkan 23 nyawa terkorban. Apa yang menyedihkan kesemua suspek tersebut merupakan remaja dalam lingkungan umur 11- 18 tahun dan 21 pelajar tahfiz yang terkorban berusia antara 6 sehingga 16 tahun. Persoalan yang timbul ialah remaja sanggup membunuh remaja? Apa sudah jadi dengan generasi ini?

Kecelaruan mental juga melibatkan masalah sosial lain seperti salah laku seksual. Pada tahun 2010, Institut Belia Malaysia melaporkan beberapa bentuk kegiatan salah laku seksual dalam kalangan remaja dan belia seperti hubungan seks bebas, pornografi, jenayah rogol serta pembuangan bayi. Hasil daripada masalah salah laku seksual ini, 803 orang anak tidak sah taraf dilahirkan di institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dari tahun 2010-2013 dan 532,158 kelahiran berdasarkan Jabatan Pendataran Negara pada tahun   2005 sehingga 2015 serta 18,000 kes remaja hamil. Daripada jumlah kes remaja hamil ini, 25 peratus (4,500 kes) membabitkan remaja hamil luar nikah yang dianggarkan 1,500 kes pada setiap bulan iaitu 50 kes sehari dan kajian mendapati 50.4 peratus remaja melakukan hubungan seks kali pertama sebelum mencecah usia 14 tahun.

Kes-kes di atas semakin membimbangkan dan ia seiring dengan jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melihat penyakit mental akan menjadi bebanan nombor dua dunia menjelang 2020 dan bebanan pertama pada 2030. Mereka yang terlibat dengan masalah sosial di atas boleh diklasifikasikan sebagai remaja yang menghadapi kecelaruan mental, kerana mental mereka tidak berupaya berfungsi/berfikir secara normal, bercelaru, sehingga mengakibatkan tingkah laku yang tidak terkawal. Remaja ini memerlukan rawatan dan kaedah bagi mengelakkan masalah yang lebih rumit timbul pada masa hadapan.

Rawatan dan Kaedah

Antara kaedah mengatasi masalah di atas ialah remaja yang menghadapi kecelaruan mental ini perlu di letakkan dalam lingkungan persekitaran yang soleh, kerana faktor persekitaran berupaya membentuk akhlak dan tindakan individu. Jika dilihat pada situasi ini Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan mempunyai institusi perlindungan remaja tidak terkawal seperti Sekolah Tunas Bakti, Asrama Akhlak, Taman Seri Puteri, Rumah Teduh Perlis, Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, PENGASIH dan sebagainya. Namun pemerkasaan perlu dilakukan pada modul yang disediakan oleh instusi terbabit dengan membezakan modul mengikut masalah yang dihadapi oleh penghuninya seperti modul ketagihan dadah, modul ketagihan pronogafi, modul kecelaruan mental sebagaimana yang dilakukan oleh negara maju.

Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah perlu memberi perhatian kepada pelajar yang dikategori sebagai “tidak cemerlang akademik” kerana mereka ini merupakan kumpulan majoriti baik di sekolah rendah dan menengah. Kealpaan pihak berwajib ke atas mereka menyebabkan mereka merasa terpinggir dan melakukan tindakan-tindakan menyalahi undang- undang. Kumpulan ini memerlukan program pendidikan khas yang digubal di peringkat atasan dan dilaksanakan di setiap sekolah kerana tidak semua mereka yang “tidak cemerlang akademik” akan melanjutkan pelajaran di sekolah vokasional. Jika sekolah mempunyai pendidikan khas untuk pelajar Kelainan Upaya dan kelas pemulihan untuk pelajar yang belum menguasai 3M maka perhatian kepada kelompok pelajar ini sangat perlu dengan memberi penekanan kepada akhlak, moral dan pembangunan insan.

Selain itu rawatan psikoterapi kaunseling boleh diberikan untuk membantu remaja yang bercelaru mentalnya. Rawatan ini berupaya membantu remaja memahami diri sendiri dan menyesuaikan dirinya dengan persekitaran serta orang lain, memperkembangkan personaliti dirinya ke arah yang positif, menjadi lebih bertanggungjawab, mampu mengendalikan diri dalam menentukan tingkah lakunya, menjadikan sikap dan pemikiran lebih terbuka, sistematik, mengatasi gangguan emosi, mencapai kekuatan diri dan kepuasan hidup selaras dengan nilai moral, agama dan norma masyarakat

Namun yang paling penting ialah memperkasakan institusi keluarga. Ibu dan bapa perlu menjalankan peranan masing-masing dengan mengambil peduli tindakan anak-anak, mengenali rakan-rakan mereka, memberikan didikan agama secukupnya, menerapkan akhlak mulia dalam kehidupan, berkomunikasi secara baik dan menyekolahkan mereka bagi memastikan anak-anak mendapat ilmu duniawi dan ukhrawi. Kegagalan insitusi keluarga antara punca mengapa remaja ini melakukan kesalahan jenayah. Kecundangan ibu bapa membentuk jati diri yang baik dalam kalangan anak-anak menyebabkan mereka tidak mampu membezakan antara baik buruk sesuatu perkara. Ibu bapa perlu kesedaran bahawa tingkah laku anak-anak bergantung kepada didikan sebagaimana maksud hadis: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibubapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Generasi Z dan Generasi A kini merupakan penentu masa hadapan sebuah negara dan merekalah pemuda dan pemudi harapan bangsa. John F. Kennedy menyatakan: “Anak-anak merupakan sumber yang paling berharga di dunia dan harapan terbaik untuk masa hadapan.” Malah mantan Presiden Soekarno turut mengatakan: “Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia”. Berdasarkan maklumat tersebut generasi ini perlu diperkasa dan diseimbangkan rohani, jasmani, emosi dan inteleknya agar selaras dengan pembangunan dan permodenan sebuah negara namun pada masa yang sama bertanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi

Institut Kecemerlangan Akademik, (Pendidikan dan Sains Sosial),

Open Universiti Malaysia, Jalan Tun Ismail, 50480, Kuala Lumpur

 

 

Translate »